Kekecohan yang berlaku pada mesyuarat agung cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap kecil oleh beberapa pemimpin parti itu yang bersikap defensif dan mahu menutup kelemahan diri.
Namun yang nyata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengakui bahawa mesyuarat agung bagi tujuh cabang PKR terpaksa ditangguhkan ekoran berlaku perbuatan vandalisme serta masalah teknikal.
Biarpun pakatan pembangkang cuba ‘bersendiwara’ dan seboleh-bolehnya menutup kejadian sedemikian dengan menganggap kekecohan pada pemilihan cabang PKR Ahad lepas sebagai perkara kecil, persepsi orang ramai terhadap perkara itu jangan dilihat perkara kecil.
Yang nyata ia tidak baik kepada imej parti yang selama ini pemimpin PKR menuding jari kononnya pemilihan UMNO tidak bersih dan sering berdepan masalah.
Juga, kepercayaan dan harapan yang ada pada rakyat mengenai PKR telah tercalar.
Saifuddin boleh mengatakan antara sebab kekecohan dan penangguhan kerana faktor teknikal dan keghairahan luar biasa di kalangan anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti.
Benar sistem pemilihan langsung diperkenalkan tahun ini berbanding pada 2004 dan 2007 tetapi dengan cakap-cakap meningggi dan angkuh bahawa PKR parti yang perjuangkan ‘keadilan’ dan penuh demokrasi tetapi sebaliknya yang berlaku membawa igauan buruk kepada kenyataan sedemikian.
Dengan mendakwa terdapat perbuatan provokasi oleh kalangan tertentu dari bukan anggota parti yang mahu menimbulkan kekacauan dan memburukkan imej parti bagaikan mahu ‘menutup pekong di dada’ sedangkan busung dan nanah busuk sudah mula mengalir dan dapat dilihat dengan jelas.
Baca apa pendapat pemerhati mengenai perkara ini.
PKR: Apa Tersirat Disebalik Kekecohan?
(Bernama, 27 Sept 2020)
Kekecohan yang tercetus pada pemilihan beberapa cabang PKR pada Ahad lepas merupakan satu daripada contoh atau petanda perebutan kuasa dan jawatan dalam parti di antara kumpulan perintis "reformasi" dan mereka yang menyertai parti selepas pilihan raya umum 2008, menurut penganalisis politik.
Mereka berpendapat konflik di antara dua kumpulan itu semakin ketara akhir-akhir ini, khususnya apabila mereka yang menyertai parti selepas pilihan raya umum Mac 2008, mula mensasarkan jawatan dalam parti.
"Kecuali pucuk pimpinan dapat membendungnya, tampaknya mereka bersaing untuk merebut jawatan dengan personaliti tertentu terlibat. Walaupun parti mempunyai 400,000 anggota, kalangan atas pagar mengikuti perkembangan ini dengan dekat," kata Dr Sivamurugan Pandian,penganalisis politik di Universiti Sains Malaysia.
Katanya pengundi atas pagar mengikuti perkembangan itu untuk menilai tahap kematangan pemimpin parti dan mereka mungkin akan membuat penilaian dari situ sebelum mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
"Rakyat memantau perkembangan ini secara dekat kerana mahu tahu apa yang mereka ini rebutkan? (Adakah) untuk rakyat (amnya) atau untuk memperkukuhkan kuasa orang tertentu dalam parti," katanya.
Dr Sivamurugan berkata kedudukan dalam parti amat penting bagi sesetengah pemimpin untuk jaminan dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
"Masalah itu sebenarnya lebih parah. Hampir separuh daripada pemilihan cabang membabitkan pertandingan antara dua kumpulan. Ini baru pemilihan peringkat pertama iaitu memilih Ketua Cabang. Apa akan berlaku apabila mereka membuat pemilihan kepimpinan peringkat kebangsaan bulan depan," katanya.
Seorang lagi penganalisis politik, Prof James Chin dari Monash University berpendapat pertandingan sengit dalam pemilihan cabang PKR disebabkan hakikat mereka mahu memegang jawatan bagi menjamin pencalonan pada pilihan raya umum akan datang.
"Bagaimanapun, ini bukan satu masalah kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Ini merupakan kali pertama mereka melakukannya (pemilihan parti secara langsung)," katanya.
Tetapi bagi penganalisis politik dan bekas ahli politik James Wong, apa yang berlaku semasa pemilihan cabang PKR itu akan memberikan gambaran kurang baik kepada pengundi yang bersikap berkecuali.
"Semasa tempoh berkempen, sudah terdapat petanda yang pemimpinnya terlalu terlibat dalam polemik peribadi. Ramai orang mengharapkan PKR bersikap baik, Pertandingan adalah pertandingan dan bukannya peribadi," katanya.
Wong menjelaskan sebelum pilihan raya umum lepas, wujud jangkaan tinggi bahawa pembangkang mempunyai "moral alternatif" untuk menjadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) dan atas sebab itu pakatan PKR-DAP-PAS atau Pakatan Rakyat (PR) berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.
"PKR selama ini memberikan tanggapan kepada rakyat yang mereka adalah "moral alternatif". Kini anda (PKR) menjadi sepertimana MIC dan MCA sebelum ini, membaling kerusi dan sebagainya," katanya.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution hari ini berkata mesyuarat agung bagi tujuh cabang PKR terpaksa ditangguhkan ekoran berlaku perbuatan vandalisme serta masalah teknikal.
Beliau berkata laporan awal mendapati penangguhan itu disebabkan faktor teknikal dan keghairahan luar biasa di kalangan anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti yang memperkenalkan sistem pemilihan langsung tahun ini berbanding pada 2004 dan 2007. Mereka turut mendakwa bahawa terdapat perbuatan provokasi oleh kalangan tertentu dari bukan anggota parti yang mahu menimbulkan kekacauan dan memburukkan imej parti.
Lagipun, katanya daripada 166 cabang, 159 atau 96 peratus telah selesai mengadakan mesyuarat agung dan 39 lagi cabang akan selesai bermesyuarat menjelang hujung minggu ini.
Wong berkata, walaupun pakatan pembangkang mungkin menganggap kekecohan yang berlaku pada pemilihan cabang PKR Ahad lepas sebagai perkara kecil, tetapi mereka masih perlu mengambil kira persepsi orang ramai terhadap perkara itu.
"Walaupun perkara itu kecil, ia masih tidak baik. Harapan yang ada pada rakyat kini telah tercalar. Jika mereka memandang mudah perkara itu, BN akan mendapat faedah daripadanya pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
itu pun masih tuduh umno dalang ...pelik lah aku..pr pas pkr ni otak apa ha??
ReplyDelete