Friday, August 6, 2010

TERTUDUH KES DADAH MENINGGAL DUNIA DALAM MAHKAMAH

KAKITANGAN perubatan mengangkat mayat Wan Khairul Azizi Wan Ali, 34, yang meninggal dunia selepas tiba-tiba rebah ketika menunggu kesnya disebut di dalam Mahkamah Majistret 2 di Kuantan, hari ini. - Foto Berita Harian

Mahkamah Majistret Kuantan hari ini kecoh apabila seorang tertuduh yang sedang menunggu kesnya disebut, tiba-tiba rebah dan meninggal dunia.

Kejadian berlaku jam 8.15 pagi apabila Wan Khairul Azizi Wan Ali, 34, rebah di pangkuan abangnya yang bernama Wan Khairul, 35.

Bapanya yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Ali, 67, berkata bahawa selepas rebah, abang kepada Wan Khairul Azizi memangkunya di atas riba sambil mengurut-urut dadanya itu.

"Beberapa minit kemudian dia meninggal dunia," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata polis sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

Wan Khairul Azizi direman di Penjara Penor di sini sejak 12 Mei lalu kerana kesalahan memiliki dadah.

Wan Ali berkata beliau dimaklumkan bahawa pada hari ini keputusan ujian air kencing anaknya telah siap dan anaknya itu dibawa ke mahkamah untuk dibacakan pertuduhan.

"Saya terkejut apabila melihatnya dalam keadaan lemah sebaik keluar dari lokap mahkamah. Bentuk badan dia berbeza semasa mula-mula ditangkap. Dulu dia berisi sedikit tetapi sekarang terlalu kurus," katanya.

Beliau berkata pihak penjara tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai keadaan kesihatan anaknya itu.

Wan Khairul pula berkata beliau nampak adiknya terlalu nazak dan cuba memangkunya sambil mengurut dada.

"Arwah pula sejak dibawa masuk ke dalam mahkamah tidak bercakap sepatah pun," katanya.

No comments:

Post a Comment