Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan BERJAYA Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya berbohong.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika beliau tidak memberi gambaran yang sebenar berhubung pemberian lesen judi sukan.
Menurut laporan Malaysiakini, pada notis kepada Bursa Malaysia 12 Mei lalu, BERJAYA berkata: 'Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.'
Salinan notis itu kemudiannya diedarkan oleh Pua kepada wartawan pada sidang medianya di lobi parlimen, pagi ini.
Dalam satu jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan/ memberi lesen kepada syarikat Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan di Malaysia.
"Kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma pelesenan dengan syarikat Ascot Sports bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia.
"Kerajaan masih mendapatkan maklumbalas/pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia," kata kenyataan bertulis itu.
No comments:
Post a Comment