Kalau mengikut pendapat bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, tindakan Datuk Zaid Ibrahim mempertikaikan titah Sultan Selangor, adalah adalah penghinaan kepada Sultan Sharafuddin dan Institusi Kesultanan Selangor.
Katanya, walau apa pun hujahan undang-undang, tindakan mempertikaikan titah sultan adalah tindakan biadab. Mungkin perkataan yang lebih tepat ialah ‘kurang ajar’ kerana Zaid bukan anak negeri Selangor, kata Khir.
Apakah Zaid mempertikaikan daripada sudut sudut undang-undang sebagai ‘langkah pertama’ untuk mempertikaikan titah lain selepas ini?
Apakah ini juga sebagai langkah pertama untuk membolehkan rakyat mempertikaikan perkara-perkara tertentu terhadap institusi raja?
Menurut Zaid, perlembagaan menetapkan Sultan tidak boleh mengeluarkan perintah secara terus, sebaliknya disalurkan melalui Majlis Agama Islam negeri terlebih dahulu dan bermesyuarat sebelum mewartakan keputusan itu sebagai peraturan sah.
Berikutan itu, Zaid berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang menjadikan masjid sebagai tempat berkempen politik sebagai pendapat peribadi kerana ia tidak dirujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
"Baginda memberikan titah yang berniat ikhlas tetapi mungkin diambil kesempatan pihak tertentu untuk mempolitikkannya.
"Arahan dan pandangan peribadi merupakan dua perkara berbeza dan titah baginda sebelum dan semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini itu adalah pendapat peribadi baginda," katanya dalam posting terbaru blognya, myzaidibrahim.wordpress.com.
Zaid menyifatkan ia bukan sebagai arahan, perintah atau 'decree' kerana dalam sistem Raja Berperlembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman Raja-Raja Melaka dahulu.
“Sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja,” katanya.
Dalam konteks sultan ini, walau sultan mana pun dan walau rakyat negeri mana pun asalkan di Malaysia ini, titah sultan selalunya dilihat dalam konteks menyeluruh – satu Malaysia.
Negara kita adalah sebuah persekutuan dan setiap sultan adalah raja kita – itupun kalau rakyat mencintai dan menjunjung hormat kepada sultan.
Apalagi dalam konteks mempertikaikan titah sultan oleh Zaid adalah sesuatu yang mengejutkan.
Ini kerana menurut Majlis Agama Islam Selangor (Mais) boleh menguatkuasakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengingkari dan mempertikai perintah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, seksyen itu juga memperuntukkan bahawa perintah yang dikeluarkan baginda atau Mais, yang bertujuan menjaga kesucian agama Islam dan institusinya akan berkuat kuasadengan serta-merta tanpa perlu diwartakan.
Kenyataan ini jelas bertentangan dengan apa yang disebut Zaid yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat.
Menurutnya, beliau bagi pihak Mais, Mufti Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi menandatangani titah perintah sultan yang diedarkan kepada pegawai dan Jawatankuasa Kariah Masjid berhubung larangan penggunaan kawasan itu sebagai gelanggang politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan.
“Mais amat dukacita atas kenyataan Zaid. Sebagai bekas calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor lalu, beliau sepatutnya lebih peka terhadap undang-undang negeri ini.
“Subfasal 55( 2) (d) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor juga ada menyatakan bahawa sultan mempunyai kuasa dan budi bicara sendiri dalam menjalankan fungsinya sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor,” katanya
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, perintah Sultan Sharafuddin adalah satu peraturan yang wajib dipatuhi kerana titah tersebut adalah undang-undang yang mengikut prosedur.
:Katanya baginda bukan mengeluarkan pandangan peribadi sebaliknya peraturan larangan tersebut dipersetujui dan ditandatangani Mais.
Menurutnya, di dalam perlembagaan juga menyatakan Raja-Raja Melayu memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam dan Adat Melayu di semua negeri dan sempadan pembahagian kuasa yang perlu dipatuhi semua pihak.
“Tuanku bukan memberikan pandangan peribadi sebaliknya titah baginda adalah di bawah penguatkuasaan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 iaitu mengajar tanpa tauliah.
“Undang-undang itu bertujuan membendung penyebaran fahaman yang boleh membawa perpecahan di kalangan umat Islam dalam Negeri Selangor,” katanya.
Bagi Zaid pula, persoalan mengenai Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan melanggar arahan Sultan Selangor seperti didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak timbul sama sekali memandangkan di dalam perlembagaan menyebut, tidak sependapat hanya bererti berbeza pandangan, bukannya ingkar seperti didakwa.
Menurutnya, selain Nik Abdul Aziz ramai lagi yang tidak sependapat dengan pendirian peribadi Sultan termasuklah beberapa perkara sebelum ini seperti di dalam kes bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi yang dihukum sebat kerana kesalahan minum arak.
“Sultan Pahang menitahkan supaya Kartika tidak perlu dirotan adalah keputusan yang sah kerana baginda ada kuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri untuk berbuat demikian.
“Itu pun ramai yang membantah dan melenting malah, ada yang mengkritik keputusan Sultan Pahang, termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), justeru perbezaan pendapat oleh Nik Abdul Aziz bukanlah satu kesalahan atau perbuatan menghina,” katanya.
Bagi UMNO Selangor, tindakan Zaid itu adalah perbuatan biadap dan mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkaji semula pelantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Pengerusi Task Force yang menjaga pembangunan Felda di negeri ini kerana tindakannya yang dianggap tidak berhemah.
Ketua Penerangannya, Abdul Shukur Idrus berkata, beliau kesal dengan kebiadaban Penyelaras Pakatan Rakyat itu dan juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ingkar arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Setiap kata-kata tuanku adalah titah yang wajib dituruti. Sebagai negara yang berdaulat dan berperlembagaan, kita seharusnya mentaati perintah Tuanku,” katanya pada sidang media, semalam.
Beliau berkata, Zaid sengaja mengelirukan rakyat kerana mendakwa titah yang dikeluarkan tidak merujuk Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Padahal katanya, perintah itu dikeluarkan secara bersama tiga agensi yang relevan, iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mais dan Jabatan Mufti Selangor.
Demokrasi amat menjijikkan, membawa ramai manusia ke neraka berbanding syurga. Dimana kita? Hapuskan demokrasi... walau apa pun namanya ia dicipta oleh zion... bermata satu.
ReplyDelete