Friday, April 16, 2010

PALANIVEL SENGAJA MALUKAN MUHYIDDIN?

Hati kecil. Tidak dapat terima kenyataan. Inikah jenis pemimpin MIC?

Hanya kerana pernah menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor empat penggal dia boleh membantah secara senyap dengan menghilangkan diri?

Perbuatannya memalukan mereka yang ada di atas pentas pada pengumuman calon Barisan Nasional (BN) untuk Hulu Selangor.

Nasib baik tidak pilih dia. Kalau tidak dia mungkin mengalah sebelum berlawan. Apa lagi ada pihak mahu mendedahkan kononnya dia menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi Ahli Parlimen.

Datuk G Palanivel, bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor yang bercita-cita mahu menjadi calon hilang lesap pada majlis mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) semalam.

Sikap Palanivel ini bukan sahaja memalukan MIC Hulu Selangor tetapi juga MIC Pusat apabila Timbalan Presiden tidak menghadirkan diri pada penamaan calon itu.

Inilah watak yang dipuja-puja Datuk Seri S Samy Vellu sedangkan sebagai Ketua Bahagian MIC Hulu Selangor dia wajar hadir.

Kalau mahu dikira kecewa tidak dipilih, bukan Palanivel seorang sahaja. Seorang lagi pemimpin MIC yang turut dispekulasikan menjadi calon, iaitu Ketua Pemuda MIC bahagian itu, V Mugilan masih boleh hadir dan bersalaman dengan calon yang diumumkan P Kamalanathan.

Mugilan yang juga Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat dikatakan akan dipecat jika dipilih jadi calon kerana dikatakan melobi bagi kerusi itu dan juga mensabotaj aktiviti parti serta mencemarkan nama Palanivel.

Hakikatnya, apabila Timbalan Presiden MIC itu gagal hadir di majlis pengumuman calon BN P Kamalanathan, ia mencetuskan persoalan sama ada beliau kecewa kerana tidak terpilih mewakili BN.

Sikap dan perbuatan Palanivel ini memalukan Muhyiddin secara halus dan bantahan senyap kerana calon lain dipilih adalah perbuatan kurang manis kalau pun tidak sampai ‘kurang ajar’.
MIC perlu mendisiplinkan pemimpin seperti ini yang hanya menunjukkan kepentinganm diri melebihi partinya dan BN.

Palanivel tidak seharusnya membiarkan kegagalan menghadirkan diri semalam menyebabkan Timbalan Perdana Menteri menjawab bagi dirinya.

Ditanya berhubung perkara itu, Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN mengakui bahawa Palanivel mungkin “sedikit kecewa”.

“Mungkin beliau ada tugas lain atau sedikit kecewa. Kalau kita sendiri pun, mungkin ada perasaan sebegitu,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan pilihan BN di hadapan kira-kira 2,000 penyokong di Bukit Beruntung.

BN memerlukan semangat setiakawan kerana cara menentukan calon BN benar-benar mencerminkan semangat 1Malaysia.

Jenis apakah pemimpin MIC ini? 1Diri?

Muhyiddin terpaksa cover dengan mengatakan beliau mahu Palanivel terus membantu bagi memastikan kemenangan BN di kawasan Parlimen tersebut.

"Saya nak sebutkan dalam rekod di atas pentas ini, saya ucapkan terima kasih berbanyak-banyak kepada Datuk G Palanivel," katanya.

Katanya, Palanivel telah berjasa selama empat penggal bagi kawasan tersebut.

"Apa saja yang orang kata, dia sudah ada jasa. Kita perlu letakkan penghargaan itu di tempatnya," katanya lagi.

Hakikat yang perlu diterima ialah Palanivel sudah sejarah. Kalau dia datang baguslah, kalau dia terus menghilang tidak perlu ditangisi.

Malah kalau tidak datang pun tidak apa nanti menimbulkan pelbagai perbualan tidak enak dan boleh mengeruhkan suasana.

Bagi BN Hulu Selangor, life must go on! BN sudah bertekad untuk berjuang habis-habisan pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini bagi menebus kekalahan BN di kawasan itu pada pilihan raya umum 2008.

Bak kata Muhyiddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden BN mengingatkan semua pemimpin parti agar berkampung di Hulu Selangor dan memberi sepenuh tumpuan bagi memastikan kemenangan BN di kawasan ini.

Berucap mengumumkan calon BN bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor di Pusat Command BN di Bukit Sentosa Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN berkata, beliau berharap pemilihan Ketua Penerangan MIC P.Kamalanathan sebagai calon B Nmembawa kemenangan yang lebih banyak kepada BN.

Beliau berkata, apabila BN kalah di kawasan itu pada pilihan raya umum lepas, parti kini sekali lagi berdepan dengan cabaran dan ujian baru yang perlu dihadapi bersama demi rakyat di Hulu Selangor.

Muhyiddin yakin dengan keadaan ekonomi yang semakin pulih serta pembangunan yang memberangsangkan di bawah kepimpinan Najib, rakyat kini juga mempunyai semangat baru dan keyakinan diri terhadap BN.

"Kalau ada pihak nyatakan siapa yang berusaha untuk kembalikan kekuatan ekonomi, tiada pihak boleh nafikan hakikat bahawa ia dilaksanakan oleh kerajaan BN.

"Ekonomi baik bukan sebab pakatan pembangkang, bukan sebab (Datuk) Zaid Ibrahim (calon PKR), kita akan pastikan kestabilan politik dan ekonomi terus kekal tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak pun," katanya.

Katanya, Zaid bukanlah calon "heavyweight" seperti yang disifatkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya merupakan calon "lightweight".

"Soal heavyweight atau tidak bukanlah penting, saya tidak anggap dia sebagai heavyweight, very lightweight... paling ringan. Kalau kita lihat rekod Zaid bukanlah baik sangat," katanya.

Muhyiddin berkata, biarlah pengundi sendiri yang menilai Zaid yang bukan anak tempatan seperti yang dimahukan penduduk akar umbi.

No comments:

Post a Comment