Buku karangan Zainal Yusof
Hari ini saya dikejutkan oleh pertemuan sulung dengan bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Din Adam yang bukan menyambut pertemuan dengan salam tetapi dengan ugutan.“You Hambali? Jaga-jaga sikit.....” tegur beliau.
“Kenapa?” Tanya saya kepada Ahli Dewan Undangan Barisan Nasional (BN) Bukit Besi.
“Buku Kemelut Politik Terengganu..Jaga-jaga sikit,” balas Din.
“Bukan saya tulis buku itu. Saya pun tak kenal penulisnya. Saya hanya tahu nama penulis Zainal Yusuf, “ balas saya.
Zainal banyak juga memetik entri daripada blog saya ini untuk bahan blognya. Itu pilihan dan kebebasannya. Saya turut gembira apabila tulisan saya diiktiraf atau dihormati.
Tanpa mengendahkan jawapan saya, Din sebelum berlalu memasuki Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang bersidang memberi amaran “Jaga-jaga sikit”
Kejadian yang berlalu begitu cepat tidak disaksikan manusia. Allah melihatnya. Waktu itu kira-kira jam 11.52 minit pagi.
Nada Din memang serius. Saya terpinga-pingga. Saya kemudian memasuki persidangan DUN. Ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad, sedang menggulung.
Saya terfikir-fikir, apakah Din merasakan saya penulis buku berkenaan? Atau apakah kerana ada petikan-petikan membabitkan tulisan saya menyebabkan Din marah?
Tajuk-tajuk seperti ‘Din Adam Nak Hishamuddin Gantikan MB Terengganu’, ‘Antara Din dan Rosol – Siapa Ketua Geng 10’, ‘Din Adam...Dapat banyak jawatan sekarang’ memanglah menjadikannya bengang. Tetapi kenapa bengang itu dilepaskan kepada saya.
Apapun, Din silap kerana mengugut saya sedemikian. Mulanya saya mahu membuat laporan polis tetapi fikirkan orang politik dan Din bukan bukan ‘sehebat mana’ - tak apalah.
Cuma Din mungkin merasakan dia besar dan berkuasa untuk mengugut saya sedemikian.
Tapi bagi saya walaupun saya manusia kecil – penulis dan bekas wartawan – Din jangan cuba main kotor.
Saya pantang kalau orang memburukkan empat orang ini – Yang DiPertuan Agong, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Datuk Ahmad Said.
Kenapa selepas saya berhenti kerja dengan ntv7 pada 1998, saya bersetuju kerja di belakang tabir di Ibu Pejabat UMNO untuk menahan serangan ‘reformasi’?
Kerana saya sayangkan UMNO dan Dr Mahathir yang saya ‘kenali’ sejak 1983 (ketika mula bekerja dengan Berita Harian). Saya menyanjunginya dan banyak belaajar ketika meliputi sidang antarabangsa di luar negara yang Dr Mahathir hadiri sebagai Perdana Menteri atau juga peserta.
Najib? Saya berhubung dengan beliau sejak 1983 ketika beliau masih lagi Menteri Besar Pahang dan kemudian Menteri Belia dan Sukan. Tidak tahulah sama ada Najib ingat atau tidak tetapi saya turut menyumbangkan tenaga kerdil saya ketika beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Pendidikan.
Dengan kata lain, dalam setiap perkara – termasuk kesediaannya bertanding Presiden UMNO – saya menyokongnya. Walaupun saya bukan perwakilan UMNO tetapi saya tetap ahli UMNO yang tidak pernah belot.
Apabila di Pejabat UMNO, kami agak ‘rapat’ kerana ketika itu beliau sudah menjadi Naib Presiden, malah beliaulah orang pertama membisikkan kepada saya bahawa saya akan dilantik sebagai Pengarang Wawasan Merdeka – akhbar rasmi UMNO antara tahun 2000-2002.
Kalau Din merasakan dengan memberi amaran kepada saya untuk saya tidak mempertahankan Ahmad Said dalam kelemut politik Terengganu, Din silap. Din tersasar!
Apa cara sekali pun selagi Ahmad Said tidak membuat silap, saya akan pertahankannya.
Saya terima jawatan ditawarkan Ahmad Said kerana saya kesian beliau ‘bersaorangan’ selepas menjadi Menteri Besar. Sejarah menunjukkan beliau tersepit antara titah pihak istana dengan UMNO – parti yang dia sertai dan memikul pula tanggungjawab kerana jawatan penting iaitu Ketua Bahagian Kemaman.
Apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri tugasnya semakin mencabar.
Bukan sekadar itu – Din dan rakan-rakannya yang tidak puas hati Ahmad Said dilantik menganggu-gugat pentadbiran Ahmad Said.
Daripada isu sms Ugut Bunuh, hinggalah sindrom bisu di sidang DUN dan ‘serang-menyerang sesama sendiri’ pada sidang DUN akhir 2009.
Lupakah Din, adalah antara orang pertama yang ditawarkan semula sebagai Exco dalam kerajaan pimpinan Ahmad Said? Bukan Ahmad Said tidak tawarkan tapi dia tolak sebab setia dengan Datuk Seri Idris Jusoh.
Kebetulan Yang DiPertuan Agong sebagai ‘pelindung rakyat dan agama Islam’ adalah orang yang bertanggungjawab memilih Ahmad Said, saya tidak rela rakyat Terengganu sendiri mencerca Rajanya.
Saya yang dianggap sebagai ‘bukan rakyat Terengganu’ oleh budak-budak suruhan Din Adam – Abdul Mubin Ismail (jarang anak Melayu) merasakan adalah tidak adil apabila Raja disamakan dengan ‘natang’.
Saya akui saya budak tingkat 16 Darul Iman walaupun pejabat saya bukan di tingkat 16. Namun untuk memburuk-burukkan kepimpinan ‘government of the day’, itu jauh sekali.
Ahmad Said perlu dibantu kerana dia adalah pemimpin dipilih oleh istana untuk rakyat. Selepas itu Majlis Tertinggi UMNO turut mengesahkan beliau sebagai Menteri Besar Terengganu yang sah. Apa masalah dengan you, Din?
Walaupun Ahmad Said bukan jenis pemimpin yang berbangga dengan sifat global atau bertaraf dunia, Menteri Besar Terengganu ‘anak tok penyadat’ ini meletakkan semua perkara pentingkan rakyat.
Memanglah tidak semua perkara perfect. Dr Mahathir yang dipuja dan dipuji itu ada kelemahan dan Nabi Muhammad s.a.w. pun tidak perfect terus. Kerana wahyu dan pertolongan Allah, Baginda mampu menjadi pemimpin umat Islam.
Ahmad Said sebagai manusia lagilah banyak kelemahan. Namun, apakah dengan wujudnya kelemahan itu selepas dilantik Menteri Besar, kita patut minta beliau diturunkan?
Apakah salah beliau? Rasuah, penyelewengan, pilih kasih? Tiada bukti. Yang banyak bukti di Terengganu ialah runtuh dan roboh. Ahmad Saidkah yang bertanggungjawab meluluskannya?
Tiada pembangunan – pembangunan apa? Apakah Terengganu mendapat sokongan dan bantuan sewajarnya? Hutang oleh Kerajaan Pusat pun tidak dibayar kepada Terengganu. Adilkah menuduh Ahmad Said lemah?
Mungkin Din melihat saya sebagai orang Ahmad Said dan berani pula dia memberi amaran kerana merasakan dia kini orang kuat Naib Presiden UMNO, Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu.
Kalau demikian, saya cabar Din supaya minta Hishamuddin mengarahkan Ahmad Said memecat saya jika tulisan saya ‘merosakkan UMNO Terengganu’.
Ayob Mamat, Presiden Kawat yang boleh bertukar jenaka dengan Hishamuddin di atas pentas ketika satu majlis penganugerahan di Hotel Primula tidak lama dahulu, pernah melabelkan saya sebagai tidak cerdik dan BODOHFUL.
Malah Ayob turut mengatakan komen saya mengenai UMNO Terengganu banyak ‘membinasakan’ daripada kebaikan.
Tidak mengapa, biarlah Ayob dengan kecerdikannya kerana dia sekolah tinggi!
Oleh kerana Din memang bersekongkol dengan Abdul Mubin dan Ayob bolehlah mencadangkan kepada Hishamuddin supaya mengambil tindakan terhadap saya kerana buku Kemelut Politik Terengganu itu.
Din boleh minta bosnya, Hishamuddin atau Najib sendiri untuk mengenakan tindakan terhadap saya.
Oleh kerana Din kini orang penting Hishamuddin, Din boleh arahkan sesiapa sahaja untuk siasat saya!
Perlu diingat – saya bukan jenis boleh digertak. Saya turun tangga Ibu Pejabat UMNO bukan kerana saya dipecat tetapi saya ‘benci’ dengan riaknya pemimpinan UMNO ketika itu selepas memang pilihan raya 1999.
Pada ketika UMNO - orang malu untuk menyebutnya pada 1999 - saya antara mereka yang bekerja keras dengan Dr Mahathir, Tun Abdullah Badawi, Najib, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Mohd Yusof Nor, Tengku Adnan Tengku Mansor, Rosnah Majid dan beberapa yang lain memulihkan imej UMNO.
Pada 1999 dan 2000, imej UMNO merosot teruk berbanding sekarang. Namun sumbangan di belakang tabir orang tidak nampak.
Najib sendiri pun tidak atau sudah lupa. Apapun saya puas hati walaupun tidak ada terima kasih daripada orang seperti Tun Abdullah hatta Perdana Menteri hari ini – Najib.
Mengenai buku Kemelut Politik Terengganu – saya tegaskan sekali lagi, saya bukan penulisnya. Penulisanya ialah Zainal MYusof. Siapa Zainal ini?
Saya menulis hampir 10 buah buku dan tidak satu pun memakai nama samara, jadi kalau benar buku ini saya penulisnya, saya bangga menggunakan nama saya. Lagipun, nama saya ada sedikit komersilnya kerana pernah menghasilkan buku politik dan akademik.
Menurut biodata di laman web Zainal ini, beliau mengatakan bahawa beliau berpengalaman lebih dari 20 tahun dalam bidang penulisan dan pemberitaan. “Saya terlibat dalam dunia penulisan sukan, politik, rencana umum, buku politik,cerpen dan kisah-kisah misteri.” Berminat untuk berkongsi pengalaman dan pengamatan dalam perkembangan politik semasa dan terkini. “saya mengalu-alukan sumbangan bahan2 politik untuk disiarkan di blog saya.” Katanya dan meminta dihantar bahan berkenaan ke citra_bangsa@yahoo.com.
Lebih menarik, dalam satu blog hari ini, ada entri bertajuk “Buku Kemelut Politik Terengganu : Kenapa tuduh Pok Li?” Ia berkisar sekitar mencari Zainal Yusof sebenarnya?
Zainal Yusof yang menulis buku itu berkata: “SAYA menyiapkan buku Kemelut Politik Terengganu dalam masa enam bulan. Semua tulisan yang dikumpulkan untuk menjadikan ia sebuah buku sudah pernah tersiar dalam blog ini http://citra-bangsa.blogspot.com. Malangnya, apabila buku itu siap dan mula diedarkan, maka ada yang menuduh Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan sebagai penaja yang menyebabkan buku itu berada di pasaran.”
Kata Zainal, “Kenapa buat dosa kering? Kenapa orang kita suka memfitnah? Kenapa bila ada buku yang mempertahankan seorang Menteri Besar dari serangan bertubi-tubi, maka ia dianggap sebagai buku tajaan?”
Saya menyokong Zainal apabila beliau mengatakan: “Yang peliknya, bila ada penulis yang menggunakan blog mereka menyerang Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said secara terus menerus sejak YAB Datuk Ahmad diperkenankan pihak Istana Terengganu menjadi Menteri Besar - penulis, blogger dan blog itu tidak dituduh ada penaja di belakang mereka?”
Kata Zainal lagi, “Seorang kenalan memberitahu, ada usaha mengesan siapakah Zainal Yusof ini? Orang Melaka? Orang Terengganu? Atau orang Johor? Sebenarnya, isu di sini bukan siapa dan dari mana Zainal Yusof datang tetapi lihatlah apa yang terkandung dalam buku bertajuk Kemelut Politik Terengganu itu? Adakah ia salah? Adakah ia fitnah atau hanya cerita rekaan yang mahu merosakkan sesiapa?”
Mungkin Din sedang mengesan siapa penulisnya. Tetapi dengan memberikan amaran dan ugutan sedemikian, Din sudah beranggapan salah kepada saya.
Jika beginilah perangai Pembantu Khas kepada Datuk Hishamuddin, saya malu dan ingin bertanya bagaimana Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu boleh mengambil beliau?
Din juga sepanjang sidang DUN kali ini tidak aktif seperti sidang lepas yang jelas sengaja mahu menguji Ahmad Said dalam isu lombong bijih.
Pada ketika hampir semua bekas 10 Budak Hitam bersuara memberikan pandangan, Din nampaknya mahu meneruskan ‘sindrom bisunya’.
Dan hari ini, pada hari akhir sidang DUN, tiba-tiba Din buat hal dengan mengancam dan mengugut saya.
Apakah Din marah kerana ada bab ‘Din Adam nak Hishamuddin gantikan MB Terengganu?”
Kepada Din, lu pikirlah sendiri!
No comments:
Post a Comment