Tuesday, January 5, 2010

LAPORAN PAKAR PERUBATAN TANPA PERKENAN SULTAN KELANTAN


KOTA BHARU (5 Jan 2010): Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, mendakwa laporan panel pakar perubatan yang dilantik kerajaan negeri bagi menilai tahap kesihatan ayahandanya sebagai tidak tepat.

Beliau mendakwa, panel berkenaan tidak pernah menemui ayahandanya, Tuanku Ismail Petra, sepanjang tempoh baginda menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

"Sejak Tuanku menerima rawatan dari Mei 2009 sehingga kini, panel berkenaan tidak pernah melawat dan menjalankan pemeriksaan terhadapnya. Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh menyediakan laporan perubatan tahap kesihatan Tuanku Sultan kepada kerajaan negeri pada 24 Disember lalu.

"Lebih-lebih lagi, Tuanku Sultan tidak pernah memperkenankan apa-apa maklumat perubatan peribadinya diberikan kepada panel itu pada bila-bila masa," katanya pada sidang media di kediamannya di sini, petang semalam.

Beliau memanggil sidang media itu bagi mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di pejabatnya pagi semalam yang mengumumkan panel itu merumuskan baginda kini stabil dan boleh dipindahkan untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Nik Aziz juga memaklumkan baginda terpaksa diberi makanan menerusi saluran tiub di perut dan masih tidak dapat menggerakkan tangan serta kaki, daya penglihatan kurang dan percakapan terjejas.
Menteri Besar juga berkata, Sultan Kelantan yang menerima rawatan intensif membabitkan ubat-ubatan, fisioterapi, terapi cara kerja serta terapi pertuturan, menunjukkan kemajuan.

Tengku Muhammad Fakhry juga dukacita terhadap tindakan kerajaan negeri yang menurutnya tidak dimaklumkan kepada bondanya, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Anakanda ketiga Sultan Kelantan itu turut menyatakan kekesalannya terhadap Nik Aziz yang didakwanya gagal menemui Sultan Kelantan pada akhir tahun lalu, walaupun dua kali diarah berbuat demikian oleh baginda.

"Saya dukacita, Menteri Besar dua kali dititah oleh Sultan sendiri melalui telefon untuk menghadap pada akhir 2009, tetapi atas sebab tidak diketahui, tidak menurut titah Tuanku. Jika menghadap, Menteri Besar boleh melihat sendiri perkembangan kesihatan atau menyaksikan sendiri sebarang titah Tuanku.
"Saya amat kesal dan dukacita atas tindakan kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang mengadakan sidang media mengenai tahap kesihatan Tuanku Sultan dan perakuan panel perubatan yang dibuat tidak berasaskan undang-undang serta peraturan kerajaan dan rakyat keseluruhannya," katanya.

Berikutan itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata, beliau akan merujuk kepada panel peguamnya bagi mengambil tindakan undang-undang atau langkah sewajarnya mengenai perkara itu.

Beliau juga mendakwa, penubuhan panel perubatan tidak pernah memaklum dan mendapat perkenan Raja Perempuan Kelantan yang menjaga Sultan Kelantan sepanjang masa sejak dimasukkan ke hospital berkenaan.

Ditanya sama ada beliau membantah cadangan membawa balik ayahandanya mendapatkan rawatan di negara ini, Tengku Muhammad Fakhry berkata: "Saya rasa bukan (soal) membantah atau menerima. Kena tanya pesakit itu sendirilah.

"Orang lain tak boleh buat keputusan bagi pihak orang lain, terutama Tuanku sendiri dan Raja Perempuan berada di sana selama 24 jam sejak hari pertama. Jadi, secara sopan santun, itulah yang sepatutnya berlaku," katanya sambil menambah ayahandanya amat merindui rakyat dan negeri.

Nik Aziz, ketika membacakan kenyataan akhbar dua halaman itu berkata, panel dianggotai pakar perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu, Institut Jantung Negara (IJN) dan HKL, dilantik susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 18 November tahun lalu.

Beliau berkata, panel berkenaan mendapati HKL paling sesuai untuk meneruskan rawatan baginda kerana mempunyai pakar seperti ahli terapi serta peralatan yang mencukupi, selain kemudahan Wad Diraja.

Sejurus membacakan kenyataan itu, Nik Aziz menolak menjawab sebarang pertanyaan media, termasuk mengenai kos rawatan serta tarikh baginda akan dibawa pulang ke Malaysia.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment