Thursday, January 14, 2010

AHMAD SAID TIDAK AKAN ‘SOROK SAMPAH DI BAWAH PERMAIDANI’

Ikrar Menteri Besar Terengganu: "Kita tidak mahu sembunyikan sampah di bawah permaidani. Jika kita terima kertas siasatan berkenaan, kita akan dedahkan. Kita mahu tahu puncanya dan kita tidak akan sembunyikan segala fakta.

"Ini kerana kelemahan-kelemahan itu perlu didedahkan untuk kebaikan masa depan, supaya semua pihak ambil iktibar ke atas apa yang berlaku," kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Beliau menyatakan perkara ini mengulas laporan kertas siasatan berhubung kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh pada 2 Jun lepas.

Katanya, kerajaan negeri Terengganu akan mendedahkan segalanya dan tidak satupun akan disembunyikan.

Beliau menyatakannya selepas mendengar taklimat di Pejabat Tanah dan Galian sempena Pelancaran Program Pendaftaran Urusniaga dan Bukan urusniaga Dalam Masa Satu Hari di Kuala Terengganu semalam.

Pada 7 Januari lalu, Kementerian Kerja Raya menyatakan ia mengenal pasti tiga punca utama yang menyebabkan berlakunya kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak itu.

Tiga punca itu ialah reka bentuk bahagian bumbung yang tidak mengikut spesifikasi bangunan, kualiti bahan-bahan binaan yang digunakan serta pengawasan yang lemah ketika stadium itu dibina.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, laporan punca kejadian bumbung runtuh itu telah disediakan oleh 10 penyiasat bebas daripada agensi kerajaan dan badan profesional yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR).

Berikutan iu, arkitek prinsipal Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Senibahri Arkitek, mencadangkan pihak berkuasa menyiarkan laporan penuh berhubung bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM280 juta yang runtuh itu.

Pemiliknya, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah berkata, selagi laporan penuh tidak dikemukakan, selagi itulah rakyat akan tertanya-tanya tentang pihak manakah yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.

''Laporan yang disiarkan akhbar baru-baru ini tidak sepenuhnya dan selagi tidak didedahkan kepada umum, selama itulah aspek integriti dipersoalkan," katanya mengulas laporan akhbar Jumaat lalu yang menyebut Kementerian Kerja Raya mengenal pasti tiga punca utama yang menyebabkan berlakunya kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.


Mengulas lanjut Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, disebabkan pengumuman kurang lengkap mengenainya, ia menimbulkan lebih banyak tanda tanya daripada menjawab isu tersebut.

Katanya, walaupun menjadi perunding arkitek dan jurutera projek, namun mereka tidak diberikan tanggungjawab di dalam kerja-kerja pengawasan dan pemantauan sepanjang proses pembinaan.

''Kami juga tidak dilantik sebagai pegawai penguasa untuk projek tersebut. Kami ingin membuat kenyataan ini demi memenuhi tanggungjawab kami dan memelihara integriti kami sebagai profesional dalam isu pengawasan pembinaan bumbung tersebut," katanya.

Raja Kamarul Bahrin Shah menambah, pihaknya telah melapor dan menjelaskan peranannya kepada pihak Lembaga Arkitek Malaysia dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), Jun tahun lalu.

Katanya, dengan adanya penjelasan tersebut ia diharap dapat mengelak salah anggapan dan salah faham tentang peranan arkitek yang terbatas di dalam pembinaan projek tersebut.

Katanya, pihaknya menunggu lapan bulan laporan dan hasil siasatan yang disediakan oleh 10 penyiasat bebas daripada agensi kerajaan dan badan profesional yang dilantik Jabatan Kerja Raya (JKR), namun laporan yang disiarkan tidak menyeluruh.

"Laporan tersebut tidak menunjukkan siapa atau pihak mana yang perlu bertanggungjawab terhadap runtuhan tersebut secara menyeluruh sehingga menyebabkan kami yang tidak sepatutnya terlibat perlu menerima tohmahan dan andaian 'nakal' banyak pihak," katanya.

Ahmad Said berkata semalam, pendedahan itu dilakukan perlu bagi menjaga imej kerajaan negeri dan masa depan negara.

Bagaimanapun, sehingga ini kerajaan negeri masih belum menerima sebarang laporan rasmi kertas siasatan berhubung kejadian itu.

Katanya, ini kerana banyak lagi projek-projek yang berskala besar dan kecil yang akan dilaksanakan pada masa depan di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak perlu berhati-hati dan bertanggugjawab agar segala perancangan yang dibuat tidak menimbulkan masalah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan gesaan arkitek prinsipal Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Seni Bahri Arkitek Raja Datuk Kamrul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah yang mahukan pihak berkuasa menyiarkan laporan penuh berhubung kejadian bumbung stadium itu runtuh.

Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang berharga RM280 juta di Gong Badak runtuh pada 2 Jun lepas setelah setahun siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) pada 31 Mei 2008.

No comments:

Post a Comment