Saturday, October 3, 2009

SIS & JAG JANGAN HANYA PAKAI LOGIK AKAL…

(Isu Sabtu)

Sudahlah…Sisters in Islam (SIS), jangan pakai logik dan akal semata-mata dalam memberikan pandangan mengenai hukum Islam.

Begitu juga dengan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG). Soal agama Islam, kalau memang tidak arif jangan masuk campur.

Apa lagi kalau sekadar memahami Islam melalui pembacaan bukan melalui pengajian, berguru atau juga merujuk kepada asas segala-galanya bagi Islam, iaitu al-Quran, Akan jadi huru hara dibuatnya.

Jangan peningkan lagi orang Islam dan bukan Islam dengan pandangan ‘logik akal’ dan tidak berlandaskan nas. Ini adalah keputusan Mahkamah Syariah.

Jika tidak berhati-hati pandangan SIS dan JAG akan memalukan orang Islam di negara ini.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa ( UIA), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi berkata mereka yang membantah adalah kumpulan yang tidak memahami hukum Islam yang sebenar sedangkan Islam itu adalah satu cara hidup.

“Dengan mempersoalkan hukuman yang telah dijatuhkan mahkamah Syariah, ia sekali gus merendahkan martabat dan memperlekehkan fungsi mahkamah itu,” kata Mahmood Zuhdi.

Baginya dalam keadaan sekarang yang membantah adalah golongan tertentu yang kemudiannya mempengaruhi menteri tertentu. Mengambil contoh orang yang pendek akan kelihatan tinggi jika dia duduk di atas bahu orang yang tinggi. Hanya kerana dia berada di belakang menteri tertentu suaranya menjadi besar.

Jadi masyarakat menjadi keliru seolah-olah mereka yang menentang pelaksanaan hukum Syariah ini ramai jumlahnya sedangkan hakikatnya tidak begitu, katanya.

Sebelum ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters in Islam (SIS) mengambil langkah bijak dengan mendapatkan penjelasan dan alasan daripada pihak yang sepatutnya berhubung hukuman sebat dalam syariah.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata langkah itu adalah lebih baik daripada memberikan reaksi terburu-buru meminta supaya hukuman sebat dalam undang-undang syariah dinilai dan dimansuhkan.

"Pendapat yang mereka keluarkan sudah meleret-leret daripada hukuman sebat itu sendiri. Sudah terpesong jauh (kerana) daripada isu kecil mereka sudah menyentuh isu lain sehingga melarat meminta supaya hukuman itu dihapuskan," katanya baru-baru ini.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) pula membuat laporan terhadap JAG di Ibu Pejabat Polis Daerah (IDP) Shah Alam.

Mereka mendakwa Pengarah Eksekutif WAO, Ivy Josiah dengan angkuh dan biadab mengeluarkan kenyataan yang meminta supaya undang-undang yang bersangkutan jenayah syariah dikaji semula dalam usaha memansuhkannya.

Berikutan itu kerajaan didesak menyiasat JAG yang dianggotai oleh beberapa pertubuhan wanita yang didakwa bergerak secara tersusun dan sistematik untuk menghina dan mengganggu-gugat kedaulatan agama Islam di negara ini.

Siasatan itu perlu melibatkan isu sumbangan dana yang diterima oleh JAG berkenaan sama ada melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu dari luar negara, seterusnya diharamkan jika memang didapati bersalah atas kesalahan menghasut dan secara terang-terangan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Desakan itu merupakan sebahagian daripada keputusan sebulat suara gabungan NGO Islam berhubung kenyataan JAG dalam memorandum mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Ogos lalu.

Memorandum bertajuk Justice For Kartika (Keadilan untuk Kartika) itu mendesak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri supaya memansuhkan Undang-Undang Jenayah Syariah yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri.

Jurucakap NGO Islam itu, Mohamad Isa Abd. Ralip yang juga Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berkata, pihaknya juga mendesak kerajaan menasihatkan menteri Kabinet dan pegawai kerajaan yang enggan menerima kedudukan Islam sebagai agama negara dan menyokong tuntutan JAG, supaya mengundurkan diri.

Antara lain desakan itu ialah:

*Mendakwa semua pihak yang terlibat dengan tuntutan memorandum tersebut atau apa-apa alasan yang bersifat menghasut dan menghina ajaran Islam.

*Membatalkan permit akhbar dan media yang menyuarakan pandangan bersifat menghasut untuk menghapuskan undang-undang jenayah syariah.

*Bertegas dan bersungguh-sungguh memelihara ajaran Islam dan kedudukannya selaras dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
*Menghormati kebebasan Mahkamah Syariah dan tidak mencampuri urusan keadilan di mahkamah tersebut.

Memorandum seperti yang dibuat oleh JAG ini sebenarnya pernah dikemukakan kepada kerajaan pada 2005 dan ditandatangani oleh lebih 300 individu dan NGO termasuk Menteri Kabinet dan ahli politik beragama Islam supaya kawalan moral melalui penguatkuasaan undang-undang syariah dihapuskan.

Jadi adalah tidak baik untuk mengemukakan apa juga pandangan apabila tuan diri iaitu model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor sendiri bersedia menghadapi hukuman sebat yang akan dilaksanakan ke atasnya pada bila-bila masa.

Menurut bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib, anaknya itu bersyukur kerana penantian lebih dua bulan akan berakhir.

"Kartika sudah mengetahui perkembangan terkini dan berharap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi.

Shukarnor berkata, segala urusan berkaitan pelaksanaan hukuman, penahanan untuk dibawa ke Penjara Kajang dan sebagainya akan dimaklumkan kepada Kartika melalui firma guaman Tetuan Adham & Associate. "Saya secara peribadi berharap insiden pemulangan semula Kartika ke rumah seperti sebelum ini tidak berulang," katanya.

Kini sebanyak 14 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang hari ini menyelar Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) berhubung kenyataan dua badan itu yang menganggap hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, sebagai kejam.

Menurut jurucakap 14 NGO Islam di Pahang itu, Amidi Abdul Manan, mereka juga meminta dua badan berkenaan menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini.

"Enakmen Pentadbiran Ugama dan Adat Resam Negeri Pahang 1982 (Pindaan 1987) adalah di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang diperkenankan Sultan Pahang. Menghina undang-undang syariah adalah bererti menghina Sultan Pahang.

"Kita juga menuntut penganut agama lain tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam," katanya kepada pemberita di sini.

Baru-baru ini JAG dan SIS dalam laporan sebuah akhbar menyifatkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi sebagai kejam, mencabuli hak manusia antarabangsa dan menjatuhkan maruah seseorang.

Kartika dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lalu.
Hukuman sebat itu kemudian ditangguhkan baru-baru ini bagi menghormati bulan puasa.

Amidi yang juga Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia berkata, pihaknya juga akan mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang JAG dan SIS serta pihak-pihak lain daripada membuat sebarang kenyataan yang mempertikaikan sebarang pelaksanaan hukuman berkaitan agama Islam.

"Kami juga menyokong sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan menyokong sepenuhnya sikap dan pendirian Kartika Sari Dewi dan keluarganya berhubung kerelaannya menerima hukuman yang bakal dilaksanakan itu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu bertindak tegas terhadap pihak yang mencabar kedudukan Islam dan perundangan syariah yang telah dijamin dalam Perlembagaan negara.
"Kita juga telah membuat satu laporan polis terhadap JAG dan SIS berhubung kenyataan yang menghina Islam itu di balai polis daerah Kuantan hari ini," katanya.

NGO berkenaan ialah Angkatan Belia Islam Malaysia Pahang (Abim), Peguam-peguam Syarie Negeri Pahang, Jemaah Islah Malaysia Negeri Pahang (JIM), Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia Pahang, Ikatan Muslimin Malaysia Pahang, Persatuan Cina Muslim Malaysia Pahang, Pekida Pahang, Badan Nadwah Ummah Negeri Pahang, Wadah Pencerdasan Ummah Pahang.

Ikatan Pengkajian Islam Pahang, Majlis Kebajikan India Muslim Pahang, Persatuan Melayu Kuantan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Pahang dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Pahang.

1 comment:

  1. Saya rasa munasabahlah PAS minta supaya SIS disiasat dan jika terbukti menyeleweng SIS mesti dibubbarkan.

    ReplyDelete