Friday, July 17, 2009

SPRM DAN BARISAN NASIONAL BERSALAH?

Apa yang sedang berlaku di Malaysia II

Kelmarin saya timbulkan “Apa yang sedang berlaku di Malaysia’ dengan membawa isu sensitif berasaskan laporan Malaysiakini yang menyebut sembilan penganut Kristian termasuk dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) ditahan polis berhubung dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut.

Malam semalam, kira-kira 500 penyokong pakatan pembangkang berkumpul di pekarangan Plaza Masalam sambil menyalakan lilin dan memegang bunga sebagai tanda berkabung berikutan kematian Setiausaha Politik kepada Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock, 30.

Mereka turut membawa sepanduk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa gagal menjaga keselamatan Beng Hock, salah seorang saksi kes yang sedang disiasat suruhanjaya itu.

Ini juga isu sensitif. Kementerian Dalam Negeri sudah meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung kejadian tersebut.

Kumpulan itu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu berkumpul sejak pukul 7 malam dan turut disertai ahli keluarga Beng Hock dan teman wanitanya.

Sebelum itu, Ronnie Liu cuba membuat kecoh dengan menjerit-jerit dan mengetuk berulang kali pintu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14, Plaza Masalam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor itu bertindak demikian kerana tidak dibenarkan masuk ke lokasi mayat mendiang Teoh Beng Hock, 30, ditemui iaitu di koridor (ada mengatakan bumbung) tingkat lima di luar bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.

Semalam Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.

Akibat tindakannya itu, Ronnie dihalau dari kawasan pejabat SPRM oleh pegawai yang berada di situ dan wakil rakyat DAP itu turun ke tingkat lima bangunan.

Ronnie ketika menemui pemberita kemudian melahirkan rasa tidak puas hatinya kerana tidak dilayan pegawai SPRM dan tidak dibenarkan masuk ke tempat kejadian.

"Sebagai wakil rakyat, saya tidak pernah datang ke tempat kejadian dan tidak sangka saya dilayan seperti itu.

"Saya rasa Beng Hock bukan bunuh diri dan SPRM patut ambil tanggungjawab atas apa yang terjadi pada dia," kata beliau.

Semasa berkumpul, kumpulan itu melaungkan rasa tidak puas hati atas kejadian yang menimpa Beng Hock dan menyalahkan SPRM serta pemimpin Barisan Nasional (BN) sebagai punca kejadian tersebut.

Mereka juga menyamakan kematian Beng Hock dengan kes kematian S. Kugan, suspek yang mati di dalam lokap polis awal tahun ini.

Sambil berkali-kali menjerit meminta SPRM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian Beng Hock, kumpulan tersebut bersurai pada pukul 11 malam selepas diarah berbuat demikian oleh pihak polis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz meminta supaya pihak, termasuk DAP supaya menunggu selesai siasatan terhadap kematian setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang dipercayai jatuh bangunan pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

"Jangan tuduh-tuduh. Kalau tuduh, kenyataan mereka keluar nanti dekat laporan akhbar, menyebabkan masyarakat buat pandangan (sendiri) sebelum penyiasatan dibuat," tambahnya.

Mengulas lanjut, Nazri berkata: "Saya dapat laporan awal dari SPRM mengatakan dia dah dilepaskan selesai soal siasat semalam.

"Jadi, dia patut balik rumah. Kita pun tak tahu dia nak terjun bangunan tu...," kata Nazri ketika dihubungi Malaysiakini.

"Kita kena tunggu dulu siasatan tu macam mana. Jangan terus membuat kesimpulan," tambahnya.

Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini.

Ditanya bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang tentang mayat itu.

Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.

SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.
Kementerian Dalam Negeri akan menjalankan siasatan secara telus berhubung kematian Teo.

"Saya masih tidak ada laporan lengkap berkenaan perkara itu, jangan timbulkan sebarang andaian, biar pihak berkuasa yang siasat dari segala aspek untuk mengetahui perkara sebenar," kata Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada media malam ini.

2 comments:

  1. Pekara yang begini serius tidak boleh diadili sendiri. Jangan menyalahkan sesiapa tanpa lebih dulu disiasat oleh pihak polis. Itu adalah peraturan biasa. Semua orang tahu. Takkan orang politik macam parti Dap yang satu masa dulu menghidu aktiviti luarbiasa penasihat PKR semasa dia dalam Umno dan memegang jawatan Tpm, tak tahu peraturan ? Takut ada udang sebalik batu je !

    ReplyDelete
  2. Tunggulah hasil siasatan dahulu. Tidak guna buat kecuh dan menjerit-jerit didalam pejabat SPRM, jangan sampai nanti ada ADUN yang berlagak samseng serta perangai macam samseng tidak faham peraturan. Betul juga cadangan Azmin Ali agar exco yang ada sekarang ditukar kerana ada kalangan exco yang dilantik tidak menunjukkan kematangan serta tidak layak.

    ReplyDelete