Thursday, July 30, 2009

LEPAS SATU, SATU - TAK HABIS-HABIS

Sudah 4 – 0. Cakap salah, tak cakap lagi salah.

Bukan saja-saja nak cakap tetapi jika semakin membebankan dan memburukkan imej kerajaan negeri, bukan Ahmad Said sahaja akan melenting. Rakyat juga tertanya-tanya.
Apakah dah jadi?

Mulanya bumbung stadium runtuh, kemudian Pusat Akuatik bocor dan selepas itu, Stadium Tertutup Gong Badak terpaksa ditutup. Kini atap lapangan terbang pula melayang.

Entahlah, Menteri Besar pasti perlu menjawab banyak persoalan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.

Dalam usahanya meletakkan rakyat segala-galanya, kejadian yang melanda satu persatu pastinya menggugat pentadbiranya yang menekankan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Apa nasib malang. Semuanya terpaksa ditanggung kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Said ketika ini.
Malu ada, geram pun ada. Seolah-olah Terengganu ini lekeh sangat. Cap ayam katakan.

Tapi semua ini siapa punya angkara?

Fikirkan sendiri kejadian-kejadian ini, apakah ia ujian untuk Ahmad Said atau memang ia ketentuan Tuhan :

1. Bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh dan ditutup ke tarikh yang belum diketahui;

2. Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu turut ditutup untuk orang ramai. “Kolam renang ini baru siap setahun, tetapi tetapi keadaannya sekarang seolah-olah sudah berusia lebih 10 tahun,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang meninjau pusat itu.

Pusat Akuatik MBKT bernilai RM18 juta itu dikesan berlaku kebocoran dan besi berkarat serta mempunyai beberapa kecacatan yang membahayakan keselamatan orang ramai.

3. Jabatan Kerjaraya Pusat turut mengeluarkan arahan supaya Stadium Tertutup Gong Badak ditutup buat sementara kerana kerosakan kecil pada peralatan stadium berkenaan.

4. Terbaru, siling di bahagian bumbung utama Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berhampiran Kompleks Menara Kawalan tertanggal lagi. Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood berkata, pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu.

Dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Ini sudah pasti menjejaskan pemandangan terminal berharga RM123 juta itu.

Hakikatnya, masalah siling tanggal di beberapa bahagian LTSM ini menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri ini yang baru hampir setahun digunakan. Ahmad Ramli menjelaskan, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya tetapi tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang.

LTSM sudah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Apa yang pasti, semua masalah ini ada kaitan dengan JKR.

Kita hanya berharap JKR bukan sahaja terbabit dengan kerja-kerja memperbaiki kemudahan-kemudahan ini tetapi juga menunaikan janji untuk membawa mereka yang ‘menyeleweng dan cuai’ ke muka pengadilan.

Berbuatlah segera kerana tidak lama lagi rakyat pula akan membuat perhitungan apabila tiba pilihan raya.

1 comment:

  1. Siasatan yang rapi terhadap kejadian ini mesti dilakukan oleh badan bebas yang dilantik oleh JKR. Sekiranya terdapat kesangsian mengapa kejadian itu boleh berlaku,SPRM mestilah menyiasatnya.

    Mengenai Ahmad Said yang menjadi MB tanpa mengikut aturan biasa dalam pelantikannya kenalah dia menerima dengan senang hati. Dia tak sepatutnya berada di tempatnya sekarang.

    ReplyDelete