Friday, June 12, 2009

MANEK URAI – CALON TERBAIK ADA...

Agak menarik perbualan telefon dengan seseorang malam semalam mengenai calon di Manek Urai.

Menurut ‘orang ini’ Barisan Nasional (BN) boleh menang jika letak calon anak tempatan walaupun tinggal di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, ini bukan strategi PAS untuk mengalahkan UMNO tetapi pandangan ikhlas beliau.
Lagipun, katanya orang yang dimaksudkannya bukan calang-calang.
Ini kerana dia bukan sahaja dikenali malah bapa dan ibunya pernah jadi wakil rakyat di kawasan Kuala Krai.
“Bawa balik orang ini, BN akan menang. Saya yakin,” katanya berseungguh-sungguh.
Ironinya, dia ini penyokong kuat PAS. Berkarat Hijau, kata orang Kelantan.
Saya yakin kepada orang yang saya berbual melalui telefon kerana pandangan dan pengalamannya banyak dipakai oleh pemimpin PAS.
Apa salahnya kalau mengambil pandangan beliau jika ikhlas.
“Beri namanya kepada Datuk Seri Mohd Najib...saya yakin BN akan menang,” katanya.

Saya tidak pasti kerana rakan saya itu mahu membantu BN di Manek Urai.
Kebetulan, seorang penjenguk posting saya bertajuk ‘Manek Urai – Mencari Calon Cakna Rakyat’ pada 9 Jun, Nik Amir membuat ulasan berikut:
“Bagitahu Dato' Pa, jangan pilih pimpinan tempatan untuk jadi calon Manik Urai. Dendam mendendam amat tinggi dikalangan ahli UMNO tempatan. Buat polisi cari anak tempatan yang berkerja di KL untuk balik bertanding. Macam Dato' Pa buat pada tahun 2004 dahulu.
Orang ini tidak ada musuh. masing-maing kabilah akan membantu habis-habisan untuk menunjukkan komitmen kepada orang baru....adalah peluang sikit..menang belum tentu.”
Sedikit sebanyak pendapat Nik Amir dan rakan yang saya berbual melalui telefon itu ada persamaan.

Rasanya pendapat Nik Amir sedikit bertentangan dengan cadangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin semalam yang mahukan anak tempatan.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Julai depan sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, 14 Julai sebagai hari pembuangan undi berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob (Pas), akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.

Saya bersetuju 100 peratus jika anak tempatan diutamakan sebagai calon Barisan Nasional yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
Tidak syak lagi, dia akan kenal penduduk tempatan dan penduduk tempatan juga mengenalinya.
Difahamkan dalam sejarah pilihan raya di Manek Urai, anak tempatan belum pernah diletakkan sebagai calon.

Banyak pihak berpendapat, faktor utama untuk menang dalam pilihan raya kecil di sini dikatakan bukan bergantung kepada pengaruh parti tetapi lebih terarah kepada ‘kekuatan’ calon.

Kerana itu pandangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin mengenai calon yang semestinya anak tempatan saya sokong seratus peratus.

Namun, sekiranya anak tempatan yang ditonjolkan akan menyebabkan ‘perpecahan dan pertelingkahan’, buat apa diletakkan calon sedemikian.

Kata Awang Adek di Pasir Puteh semalam, anak tempatan yang dapat diterima meluas oleh pengundi wajar diberi keutamaan dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau percaya, ia langkah yang sebaik-baiknya bagi memastikan pengundi dapat diyakinkan dalam proses melakukan perubahan di kawasan itu.

Bagi Awang Adek, ia penting bukan hanya diterima semua lapisan rakyat tetapi berkeupayaan melaksanakan misi Perdana Menteri iaitu konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan , Pencapaian Diutamakan.

Katanya, BN akan menggunakan pendekatan terbaik dalam memenangi hati rakyat untuk kembali mencetuskan satu gelombang baru dalam politik di negeri ini.

“Jentera pilihan raya dan pimpinan UMNO negeri mahukan kemenangan untuk mengembalikan kekuatan dan menebus maruah UMNO,” katanya.

Amat jelas, kalau mahu kemenangan, jangan ‘main-main’ dengan calon. Pilihlah yang boleh bawa kemenangan.

Kemenangan BN akan memberikan suntikan semangat kepada kepimpinan Datuk Mustapa Mohamed yang baru mengambil alih daripada Tan Sri Annuar Musa.

Ketika ini antara nama yang disebut-sebut mampu membawa cabaran BN ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat yang juga Pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang akan memudahkan penduduk mendapatkan bantuan pertanian.

Selain Tuan Aziz, nama lain yang turut menjadi sebutan ialah Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Abdul Jalal dan Ketua Wanita UMNO bahagian, Rohani Abdul Majib.

2 comments:

  1. Saya juga setuju dengan anak tempatan tetapi biarlah yang tidak terlibat dalam pemilihan Bahagian baru-baru ini.Luka mereka belum sembuh.

    Anak tempatan yang bertaraf intelek dari anak orang yang dihormati ramai di Manik Urai.

    Kriteria yang disebut oleh Dato Awang itu adalah kriteria umum sekiranya kedudukan parti normal.Dalam keadaan parti di Bahagian Kuala Krai bercelaru dengan berpuak-puak Dato Awang kena perhalusi lagi tatacara memilih calon. Setidak-tidaknya mampu memberi tentangan pada PAS.

    Dato Ramzi sepatutnya tidak diberi peranan lagi kerana beliau pun mempunyai musuh dalam parti di Kuala Krai.Bunyi janggal tetapi realitinya begitu. Saya melihatnya dari perspektif saikologi orang melayu. Musuh-musuh Ramzi akan bertaut dengan orang baru.Sekurang-kurangnya dendam 'bodoh' mereka itu berbayar.Melayu suka sangat menyebut "padan muka Ramzi".

    sebaliknya pula Ramzi dan pengikut-pengikut harus melihat perkara ini sebagai positif.Kena anggap itu sebagai 'blessing in disguise'. Andainya Manik Urai dirampas BN,namanya tetap dijulang sebagai Ketua Bahagian yang berjaya.Sebagai ketua beliau kena perjelaskan kepada Jawatankuasa Bahagian dan juga ketua-ketua cawangan 'hardcore' beliau tentang muslihat ini.

    Ramzi kena cerminkan keterbukaannya melalui strategi merendahkan ego. Tidak akan hilang bisa ular menyusur akar.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum..

    1. saya setuju memang UMNO kena letak calon anak tempatan di Manik Urai tetapi biarlah yang betul2 boleh menberi harapan menang kepada BN.sebab kalau awal2 lagi calon yang dipilih itu dilihat 'berat' oleh pengundi maka sodaqallah lah sekali lagi buat UMNO.

    2. UMNO kena dengar maklumat dari pelbagai pihak yang buat kajian tentang calon agar dapat menilai siapa yang paling layak. jadi jangan fikir sangat soal ada jawatan atau tidak dalam parti kerana masa pilihan raya ini bukan orang UMNO sahaja yang akan memangkah undi tetapi orang tidak masuk mana2 parti pun boleh memangkah asal dia berdaftar dgn spr je..kalau orang UMNO saja yang boleh mengundi pun belum tentu akan pangkah calon UMNO, sungguh!!

    3. calon UMNO biarlah dikalangan orang yang 'dimalu di orang', tidak semestinya yang banyak pitis. baru sedap kita berlawan dengan PAS yang sentiasa menonjolkan imej pujaan ramai.orang tempatan sangat tahu apa makna malu di orang dan siapa orang2 ini.

    4. kalau dikalangan pemuda yang jadi calon, perkara utama yang perlu dielak ialah imej agah. imej agah ni termasuklah gaya berpakaian, hisap rokok @ cerut, percakapan, berkenderaan dan lain2 yang walaupun nampak kecil dan remeh temeh tapi sangat besar impaknya terhadap psikologi pengundi..pengundi kata: sebelum jadi tok wakil dah nampah agah dah, dan jadi tok wakil gak, berat lagi lah jawabnya..tak sah pakah lah budak nih!

    5. politik projek sudah 'imune' pada mata pengundi, maka tak usahlah dok kempen soal projek lagi kerana kalau itu yang mereka mahu maka sudah lama mereka undi BN. jadi tukarlah strategi kempen..ketua2 bahagian UMNO, ketua2 pemuda bahagian dan lain2 tukarlah imej anda.duduk sama dengan orang kampung, masa berkempen jangan guna kenderaan sendiri tapi guna kenderaan jentera peti undi, Insya Allah kalau pemimpin ubah stail, rakyat akan sokong mereka..sekian.

    ReplyDelete