Thursday, June 18, 2009

LPT PULA TERGENDALA

Macam-macam hal.

Kini Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula tergendala kerana kerenah kontraktor.

Sepatutnya Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said tidak menyebut mengenai dua kontraktor yang ‘tidak berupaya’ melaksanakan Fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT) kerana ia akan menimbulkan banyak pertanyaan.

Dua kontraktor yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu kini menarik diri.

Persoalannya, pertama kontraktor mana? Kedua, siapa bagi peluang kepada kontraktor berkenaan? Ketiga, apakah pihak yang memberikan ruang kepada kontraktor berkenaan tidak melihat latar belakang kontraktor berkenaan? Keempat, apakah kontraktor yang menarik diri itu mengalami kerugian atau membuat untung kerana menarik diri?

Yang jelas, sebarang kelewatan kepada LPT itu akan menjejaskan peluang rakyat menikmatikan lebuh raya berkenaan dan hasrat kerajaan negeri membuka Tasik Kenyir untuk pelancong secara besar-besaran akan terjejas.

Anehnya, ketika mendengar taklimat mengenai LPT baru-baru ini, pegawai Jabatan Kerja Raya yang ditugaskan untuk menyelia pakej yang membabitkan dua kontraktor berkenaan bagai ‘tidak merasa apa-apa’ dan ‘tidak mengapa’ dengan kelewatan itu.

Berikutan kegagalan kontraktor berkenaan, Fasa dua LPT yang sebelum ini dijadualkan siap pertengahan 2011, dijangka mengalami kelewatan setahun lagi.

Ahmad Said menjelaskan, kontraktor itu menarik diri berikutan harga bitumen, yang merupakan bahan utama bagi kerja-kerja menurap lebuh raya itu, melambung tinggi.

Beliau berkata setakat ini seorang kontraktor sudah menghantar surat menarik diri, manakala seorang lagi dalam proses untuk berbuat demikian.

“Harga bitumen yang tinggi menyebabkan kontraktor itu menarik diri kerana tidak mampu. Jika mereka teruskan juga kerja-kerja itu, mereka akan mengalami kerugian yang besar,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu semalam.

Fasa Dua LPT yang melibatkan 11 pakej pembinaan bermula dari laluan Jabor sehingga ke Kampung Gemuroh, membabitkan kos keseluruhan RM3.7 bilion.

Ahmad berkata berikutan penarikan diri dua kontraktor itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuka tender bagi mendapatkan kontraktor baru.

Sebelum ini pembinaan lebuh raya itu sudah beberapa kali terganggu antara tiga dan empat bulan disebabkan bahan binaan yang tinggi, namun projek itu diteruskan semula setelah harga bahan itu kembali stabil.

Bila soal ini diperkatakan, aka nada pula tuding-menuding.

Itu memang tidak baik tetapi kenapa perkara ini boleh berlaku?

Tidakkan lebuh raya untuk rakyat dan kenapa tidak didahulukan rakyat dalam kerja atau kontrak seperti ini?

Benar jugalah Perdana Menteri menekankan rakyat didahulukan dan Kementerian Kerja Raya pula meletakkan slogan untuk JKR sebagai Jasa Kepada Rakyat.

Kalau tidak entahlah jasa untuk siapa dan siapa pula didahulukan!

No comments:

Post a Comment