Saturday, April 18, 2009

PERBETULKAN SEGERA UMNO

(Isu Sabtu)

Perlantikan Kabinet sudah selesai dan peralihan kerajaan berlaku dalam suasana aman dan berjaya walaupun ada pihak cuba menggagalkan Datuk Serti Najib Razak daripada menjadi Perdana Menteri.

Tugas penting kini tertumpu kepada menguat dan menggembalikan maruah UMNO yang tercalar oleh beberapa kejadian dan peristiwa sebelum ini, sama ada melalui pemilihan atau juga gelagat pemim pin UMNO peringkat pusat, negeri, bahagian atau juga cawangan.

UMNO tidak boleh dibiarkan dalam keadaan ‘tenat’ kerana ia sumber kedatangan Perdana Menteri dan timbalannya selain menteri Kabinet.

Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya tidak boleh berbangga dengan kedudukan mereka jika UMNO terus dicemuh, lemah dan tidak bermaya.

Tidak boleh dinafikan, ada sesetengah mereka dijadikan Menteri, timbalan menteri, senator dan sebagainya kerana menang dalam pemilihan parti dan kerana UMNOlah mereka berada di sana.
Jadi, gandingan Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera menjamin UMNO kembali teguh kerana kita tidak pasti apa akan berlaku sebelum pilihan raya umum akan datang.
Apakah prioriti yang sepatutnya diberikan tumpuan?

Pertama, keserasian antara Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Sebarang keputusan dan tindakan parti hendaklah wujud persefahaman dan selari antara kedua-duanya. Timbalan sepatutnya akur dan tunduk kepada keputusan Presiden dan jangan ada orang itu atau orang ini orang Presidan atau Timbalannya.

Kita tidak mahu melihat wujud pertelingkahan dan pendekatan berbeza antara Najib dan Muhyiddin seperti yang berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Musa Hitam atau antara Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden tidak boleh menjadi ‘lebih sudu daripada kuah’ tetapi subservient kepada bosnya.

Mata sedang memerhatikan kedua-duanya, khususnya bagaimana mereka menangani kemelut politik terbaru di Terengganu.

Jika ada perbezaan arahan dan pendekatan mentadbir dan menjayakan program parti antara kedua-duanya ia akan turut memberikan kesan kepada kerajaan.

Kedua ialah Ibu Pejabat UMNO.

Berkaitan dengan ini, sudah pasti tumpuan ialah pentadbiran am pejabat berkenaan kerana mereka yang dipilih parti tidak boleh diubah lagi.

Tumpuan adalah jawatan Setiausaha Agung kerana ia nucleus atau pusat segala kegiatan parti.
Tugas Setiausaha Agung bukan sekadar mentadbir Ibu Pejabat tetapi juga mempermudah dan mempercekapkan ‘urusan parti’, bukan mengusutkan hubungan antara bahagian dan Ibu Pejabat.

Juga penting ialah Setiausaha Kerja yang sepatutnya seiring dengan Setiausaha Agung.
Semua ketua bahagian dan kebanyakan ahli UMNO maklum bahawa selepas rangkaan Tun Khalil Yaakob (Setiausaha Agung) dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Setiausaha Kerja) di Ibu Pejabat UMNO, wujud pertelingkahan tidak berkesudahan antara Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja.

Pada era Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, hinggalah kepada Tengku Adnan kini, dikatakan wujud banyak ‘perbezaan pendapat dan tindakan’ antara Setiausaha Kerja dan Setiausaha Agung.

Bagaimanakah Ibu Pejabat akan berfungsi dengan baik jika kedua-duanya ‘bertelagah’ dan jangan ada pihak cuba mengatakan masalah ini tidak wujud kerana umum tahu masing-masing mempunyai pendekatan masing-masing.

Selain itu, jawatan penting seperti Ketua Penerangan perlu diambil berat kerana tugas Ketua Penerangan bukan ‘memperkukuhkan dirinya’. Elak melantik mereka yang mempunyai cita-cita tinggi dalam parti.

Sewajarnya Ketua Penerangan memperkuatkan parti, Presiden dan Timbalan Presiden dan UMNO seluruhnya bukan memenuhi cita-citanya untuk menjadi Menteri atau jawatan penting parti di peringkat pusat atau negeri.

Pelajari bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Tan Sri Hussein Ahmad atau Tan Sri Mohd Yusof Nor – matlamatnya untuk bekerja untuk parti.

Mungkin nama-nama pemimpin UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa boleh diketengahkan sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baru selain Tan Sri Muhammad Muhd Taib boleh dikekalkan kerana beliau kini sudah tiada jawatan.

Ketiga, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Mereka ini amat penting kerana selain untuk UMNO di negeri, mereka adalah ketua pentadbir.
Bagi negeri yang diperintah BN, tugas mudah sedikit tetapi bagi negeri yang kalah – Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah – pengerusinya biarlah yang mampu menggembalikan maruah UMNO di negeri berkenaan.

Kita melihat sendiri bagaimana Tan Sri Wan Mokhtar diketepikan oleh Dr Mahathir dengan melantik Datuk Seri Idris Jusoh menjadi orang kuat di Terengganu ketika PAS membentuk kerajaan.

Akhirnya dengan ‘gelombang biru’ Idris, PAS di Terengganu ranap dan UMNO kembali berkuasa.

Semua pihak pastinya menunggu nama-nama baru yang mungkin dilketengahkan oleh Najib untuk negeri-negeri yang kalah atau juga mungkin negeri yang menang.

Ada UMNO negeri yang langsung tidak mengadakan aktiviti sejak pilihan raya umum yang lalu dan seolah-olah pemimpinnya ‘hilang punca. Dengan sepi dan tandusnya kegiatan UMNO, rakyat akan merasakan UMNO hanya muncul ketika hampir pilihan raya.

Keempat, Lembaga Disiplin UMNO

Kita jangan mudah lupa bahawa lembaga ini patut berfungsi dengan berkesan setiap masa.
Yang patut dihukum kerana politik wang jangan dibiarkan terlepas begitu sahaja. Biarpun pemilihan parti sudah berlalu, yang perlu disiasat perlu disiasat terus. Jika tidak parti tidak berlaku adil kepada semua pihak, termasuk yang terkena tindakan sebelum pemilihan.
Yang patut dibawa ke muka pengadilan, perlu diseret untuk dijadikan pengajaran.
Begitu juga dengan yang melanggar disiplin dan sabotaj parti.

Satu peraturan mengawal disiplin perlu diperkenalkan segera kerana jika dibiarkan ahli mempersoalkan pemimpin secara terbuka ia akan menjejaskan parti dan kerajaan.’

Satu etika baru mengenai had ahli mempersoalkan pemimpin parti perlu diwujudkan seperti peraturan yang dikenalkan terhadap mereka yang membawa parti ke mahkamah, boleh dipecat atau dikenakan tindakan berat.

Jika UMNO membiarkan ahli atau kumpulan mempersoalkan Pengerusi Perhubungan melalui akhbar atau secara terbuka, bukan sahaja masalah akab berlaku seperti di Terengganu baru-baru ini tetapi juga di negeri lain.

Lembaga Disiplin dan Ibu Pejabat perlu mengatasi segera masalah bahagian, ahli dan juga pentabiran UMNO agar parti kembali tenang.

Masalah bahagian yang digantung mesyuarat dan sebagainya perlu diselesaikan segera dan isu-isu berkaitan tuduhan melakukan rasuah juga perlu dileraikan segera!

Sebenarnya banyak lagi boleh diperkatakan mengenai usaha menggembalikan maruah UMNO, termasuk aktiviti, cara pengurusan parti, kempen dan sebagainya tetapi kita serahkan kepada Muhyiddin untuk melaksanakannya.

1 comment:

  1. 1.Air yang keruh di hulu masakan boleh jernih di hilir . Ikan busuk kepala busuklah badan. Bermula dari atas, kita perlu berani ambil tindakan jika mahu dihormati. Pemimpin mesti berani cabut gigi busuk dalam mulut sendiri.

    2.Akibat menyimpan gigi busuk makanan yang masuk ke dalam perut akan menimbulkan barah dalam UMNO yang ibarat retak menunggu belah.Kepimpinan peringkat atas perlu memantau pegawai-pegawai di Ibu Pejabat.Mereka dibayar upah untuk mengurus dan mentadbir UMNO secara professional. Gaji tentunya lumayan. Berbanding dengan ganjaran yang diterima ahli-ahli parti di medan.Siang bermandikan peluh dan debu, malam bertongkat mata dan berembun sampai pagi. Mereka sanggup berdepan dengan musuh parti.Tanpa syarat. Bukan gaji yang lumayan dipertaruhkan tapi nyawa, dan harta yang dah tidak seberapa.

    4.Kenapa pula yang mendapat upah lumayan dan duduk dikerusi empuk dalam bilik berhawa dingin di Ibu Pejabat tergamak melindungi para ‘penjenayah dan penyagak’ UMNO.Insaflah. .Biar musuh yang memusnahkan UMNO bukan para pegawai di PWTC.

    Allahyarham Pak Hamka; yang menjadikan kita berbeza adalah; "Dua puluh ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya, sama kuatnya, sama pula kepandaiannya menghela pedati, tentu harganya pun tidak pula berlebih berkurang. Tetapi 20 orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama "harganya". Sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga. Bagi manusia peribadinya.
    Berilmu sahaja, walaupun bagaimana mahirnya dalam suatu jurusan, belum tentu berharga, belum tentu akan beroleh kejayaan dalam hidup, kalau sekiranya bahan peribadi yang lain tidak lengkap atau tidak kuat, terutama budi dan akhlak!"Prof. Dr. Hamka Peribadi

    Memetik kata-kata ulama besar Sheikh Abdullah Fahim --- “Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi siapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina.” (Mokhtar Petah – Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos, 1957. Pustaka Antara 1997.)

    ReplyDelete