Kini bukan seorang tetapi semakin ramai yang mahu Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap rakyat negara ini yang menyentuh kedaulatan atau menghina institusi Raja-raja.
Tindakan itu wajar diambil berlandaskan undang-undang dan kesaksamaan bagi menjamin kedaulatan, institusi Raja-raja dan perpaduan rakyat berbilang kaum tidak terjejas.
Hari ini, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata: “Jika dibiarkan tanpa tindakan, ia tidak menjamin tiada pihak akan mengambil kesempatan mengulangi perbuatan yang sama.”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni dan Budaya di Sungai Petani, Kedah.
Beliau mengulas pelbagai pertubuhan termasuk parti politik di seluruh negara membuat aduan polis berhubung tindakan pengerusi DAP Karpal Singh yang didakwa menghina Sultan Perak Sultan Azlan Shah berkaitan isu peralihan kerajaan di negeri itu.
"Sultan yang ada sekarang bukan sahaja Sultan kepada bangsa Melayu malah Sultan atau Raja kepada bangsa lain yang menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu institusi Raja hendaklah dijaga dan dipupuk sebaik mungkin,” tegasnya.
Berkaitan mengenakan tindakan, saya terbaca sebuah tulisan dalam
www.gegernya.blogspot.com yang sangat menarik untuk turut dipaparkan di sini. Ikuti tulisan berikut:
JANGAN SAMPAI KEPALA KENA PIJAK
(www.gegernya.blogspot.com, 15 Februari 2009)
Penulis merasakan ada benarnya pendapat AWANG SELAMAT dalam Mingguan Malaysia hari ini mengatakan kenapa pihak berwajib takut bertindak. Persoalan yang ditimbulkan ialah mengenai penghinaan terhadap Raja, khususnya Sultan Azlan Shah.
Kita pun tidak faham dengan kerajaan sekarang. Apa yang mahu dijaganya? Telah banyak pandangan daripada banyak pihak yang mahukan tindakan diambil tersmasuk di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibuang daerah dan didakwa atas tuduhan khianat kepada raja.
Penulis seperti juga Awang - amat bimbang kerana ia seumpama membuka laluan menjadikan Malaysia negara republik sebagaimana yang dicita-citakan oleh parti dan pihak-pihak tertentu. Janganlah terlalu memberikan muka, nanti kepala kita sekali dipijaknya.
Kenapa takut bertindak? (Mingguan Malaysia, 15 Feb 2009)
Gelombang kemarahan rakyat terhadap pihak-pihak yang menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Sah dalam isu peralihan kerajaan negeri itu, adalah mesej yang cukup jelas.
Banyak demonstrasi di seluruh negara diadakan bagi mempertahankan raja. Awang percaya para pemimpin pembangkang khususnya tiga watak utama dalam kemelut tersebut iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah faham mesej yang disampaikan oleh rakyat.
Belum terlambat bagi mereka semua memohon maaf kepada Sultan Perak. Begitu juga kepada perusuh di hadapan istana dan kenderaan raja. Seandainya ada yang ingkar dan terus berdegil, inilah masa untuk bertindak. Tidak guna lagi kita bercakap banyak dan hanya memberi peringatan.
Jika pihak berkuasa membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja (sebagaimana kes kenyataan Karpal yang didakwa menghina Sultan Perak pada tahun lalu), ia juga secara tidak langsung adalah penghinaan kepada raja. Sebagai negara raja berperlembagaan, tiada sesiapa boleh dibenarkan menghina dan memperlekehkan raja.
Jika kita berlembut, ia akan membawa isyarat yang salah dan mendorong banyak pihak melakukan perkara lebih dahsyat ke atas institusi raja negara ini pada masa depan. Pada hari ini pun, sudah banyak reaksi liar dan memburukkan raja berlegar menerusi internet akibat daripada tindakan secara terbuka mencabar Sultan Azlan.
Nizar sanggup menderhaka, Anwar berdasarkan kenyataannya mahu Nizar terus menjadi MB walaupun tidak lagi sah (berlawanan dengan titah raja) dan Karpal terus mempersoalkan Sultan Perak selain mahu menyaman baginda.
Awang setuju dengan pandangan banyak pihak yang mahukan tindakan diambil. Antaranya melucutkan kewarganegaraan, dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dibuang daerah dan didakwa atas tuduhan khianat kepada raja. Dalam kita perlu bijaksana melaksanakan hukuman, kita juga tidak boleh kelihatan takut dan teragak-agak. Susah sangatkah mahu melucutkan kewarganegaraan?
Seperkara lagi, apa guna ada ISA, jika orang yang menghina raja, tidak boleh ditahan? Anehnya, ada kes yang ditafsir ramai tiada kewajaran dikenakan ISA, diambil pula tindakan. Banyak pengajaran daripada isu ini tetapi apakah kita semua mengambil pengajaran? Sudah tentu juga banyak persoalan yang timbul antaranya mengapa hanya orang Melayu tampil berdemonstrasi menyokong raja sedangkan baginda juga menaungi rakyat semua kaum sebagaimana terbukti dengan penganugerahan darjah kebesaran saban tahun.
Awang bimbang jika kita tidak berani bertindak, ia seumpama membuka laluan menjadikan Malaysia negara republik sebagaimana yang dicita-citakan oleh parti dan pihak-pihak tertentu. Jangan tunggu sampai nasi menjadi bubur.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Bukan Mohd Shafie sahaja menyokong tindakan tegas tetapi nPengerusi badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menyokong saranan Shafie supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap golongan tersebut.
"Kerajaan boleh mencontohi Thailand yang mengenakan tindakan tegas kepada pihak yang menghina Raja mereka dan tindakan itu boleh dilaksanakan melalui apa jua saluran yang ada," katanya.
Mohd Shafie berkata dalam konteks ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang, Malaysia mampu menangkis pelbagai krisis ekonomi dan sosial melalui perpaduan rakyat yang dinaungi institusi Raja berperlembagaan.
"Masalah segelintir rakyat yang ingin memenuhi agenda politik semata-mata membuatkan mereka tidak dapat melihat gambaran lebih luas dari kepentingan negara sehingga sanggup mengetepikan undang-undang dan perlembagaan walaupun cukup arif mengenainya," tambahnya.
Beliau menganggap golongan yang menghina institusi Raja dikuasai pandangan politik yang mengatasi kebijaksanaan, kewarasan dan kematangan dalam bidang undang-undang serta budaya.
"Kita seharusnya melihat kesan dan perasaan kaum lain apabila agama dan budaya mereka disentuh. Jadi kita kena berfikir sebelum bertindak kerana akibatnya boleh menjejaskan negara jika tidak dibendung," tegas Mohd Shafie.
Salam,
ReplyDeleteIni bukan takut atau berani?. Orang Melayu kebanyakannya sedang menghadapi krisis keyakinan. Sudahlah tidak berupaya untuk membuat laporan polis walaupun umat Melayu ada lah seramai 16 Juta orang cuma 100 lebih sahaja yang peka untuk berbuat demikian.
Betapa lembiknya pemimpin Melayu begitu jugalah layunya umat Melayu. Malah lebih teruk lagi ada ahli-ahli UMNO yang menyalahkan Tun Mahathir yang meminda perlembagaan 1993 mengenai imuniti raja-raja yang menyebabkan Raja boleh disaman. Berikut adalah buah fikiran saya berkenaan perkara yang berkaitan.
Tun Mahathirkah Penyebab Sultan Boleh Di Saman?
Krisis politik di Perak yang haru biru dan juga Isu Karpal Singh berhasrat menyaman DYMM Sultan Perak telah menjadikan perbahasan hangat di hotel-hotel besar hinggalah ke warung-warung kopi di kampung-kampung.
Kalau seseorang itu penyokong Pakatan Rakyat pastinya berhujah tidak lari daripada tajuk 'Umno pun ada rekod buruk terhadap Raja-raja Melayu'. Hujah ini mudah dijangkakan akan keluar daripada mulut penyokong -penyokong Pakatan Rakyat.
Tetapi apabila tajuk 'Umno pun ada rekod buruk terhadap Raja-raja Melayu' ini keluar daripada penyokong UMNO sendiri adalah agak pelik bercampur hairan. Ianya merujuk kepada isu pindaan Perlembagaan 1983 (berkenaan kuasa meluluskan undang-undang), pindaan Perlembagaan 1993 (berkenaan imuniti raja-raja).
Tahun 1983 ketika itu saya berumur 19 tahun dan masih bersekolah di High School Batu Pahat. Saya masih ingat hampir 100 ribu umat Melayu berhimpun di Stadium Batu Pahat, Jalan Ampuan untuk mendengar ucapan PM Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamad (Tun)dan Timbalannya Datuk Musa Hitam(Tun) berkenaan dengan pindaan tersebut. Ketika itu gabungan pentadbiran 2M sedang meniti disetiap bibir rakyat.
Pada masa itu saya belajar sejarah dan pengajian am di sekolah dan ada sedikit sebanyak mengetahui latarbelakang cerita yang sibuk diperkatakan orang. Mendengar cerita orang tua-tua di Batu Pahat waktu itu menyatakan pindaan ini penting kerana ada 2 orang Sultan yang akan tiba gilirannya untuk menjadi DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Sultan yang dimaksudkan itu adalah Sultan Iskandar Johor dan Sultan Idris Syah Perak.
Kedua-dua Sultan ini dikatakan mungkin akan menyusahkan pentadbiran Tun Mahathir khususnya berkaitan dengan rang undang-undang yang telah diluluskan di Parlimen. Sebagai seorang yang berfikiran jauh, Tun telah nampak situasi yang akan berlaku jika tidak ada pindaan terhadap perkara yang berkaitan. Sebab itulah pindaan ini penting walaupun ianya menjadi satu krisis perlembagaan.
Pindaan Perlembagaan itu telah dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kemudian diluluskan pada Ogos 1983. Di antara pindaan dibuat ialah berkaitan Fasal 66 (5). Peruntukan asal berbunyi, “Rang Undang-undang akan dikuatkuasakan apabila Yang di-Pertuan Agong menandatanganinya.”
Peruntukan tersebut dipinda kepada, “Rang Undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika di atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani di dalam tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Baginda dianggap telah menandatangani Rang Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu berkuatkuasa sebagai Undang-undang.”
Pada tahun 1993, saya berumur 29 tahun dan telah pun bekerja di Ipoh. Ketika DS Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia membuat penerangan tentang Pindaan Perlembagaan berkaitan dengan imuniti Raja-Raja saya berada bersama ribuan rakyat di Dewan Bandaran Ipoh di depan Stesyen Keretapi.
Saya yang sangat meminati DS Anwar ketika itu cepat menangkap apa yang diperkatakannya. Ceramah beliau selama 3 jam setengah terasa begitu singkat. Antara lain sebab-sebab mengapa pindaan ini dibuat adalah disebabkan desakan rakyat juga. Ianya dikatakan dengan peristiwa 'Gomez di tampar','Amukan Prebet Adam di Chow kit' dan 'Anak Raja memukul Penjaga Gol dengan Kayu Hoki'. Begitulah seingat saya berkenaan isu yang hangat di waktu itu.
DS Anwar menjelaskan pindaan ini adalah atas kehendak rakyat dan kerajaan yang bertanggung jawab untuk melindungi rakyat disamping memartabatkan institusi raja itu kekal sebagai institusi yang dihormati.
Oleh itu pada 1993, Umno sekali lagi mencadangkan pindaan Fasal 38 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal kekebalan atau imuniti raja-raja. Benar, di dalam Islam pun tidak ada pihak yang sepatutnya dianggap kebal di sisi undang-undang.
Dengan pemansuhan kekebalan Raja-Raja daripada tindakan undang-undang, kecuali ketika menjalankan tugas rasminya, adalah dipercayai Raja tidak akan melakukan perbuatan- perbuatan yang boleh didakwa di mahkamah. Dengan ini, Raja akan dihormati rakyat.
Tujuan sebenar pindaan-pindaan ini bukan kerana Kerajaan ataupun rakyat ingin mengheret Raja-Raja ke mahkamah dengan sewenang-wenangnya. Tujuannya ialah supaya Raja-Raja akan menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.Oleh itu, Raja akan lebih dihormati.(Mentiga: Kelabchedet.com:Forums)
Menurut penulis itu lagi melalui Pindaan Perlembagaan tahun 1993, raja-raja adalah:
1. Boleh didakwa dimahkamah bila melakukan kesalahan jenayah atau sivil.
2. Raja tidak boleh didakwa atas apa-apa yang bersabit daripada menjalankan tugas rasminya.
Kadang-kadang kita merasa sedih juga dengan sesetengah ahli UMNO yang tidak mahu mengingati, merujuk semula atau bertanya mengapa pindaan perlembagaan 1983 dan 1993 itu dilakukan. DS Anwar Ibrahim sendiri amat arif dengan isu ini khususnya Pindaan Perlembagaan 1993 kerana beliaulah yang membuat 'road show' menerangkan pindaan terhadap imuniti raja-raja ke seluruh negara.
Pada ketika itu, ahli-ahli UMNO menyokong penuh kedua-dua pindaan perlembagaan atas kepentingan kerajaan dan rakyat. Maka jangan pula kita terpengaruh menyalahkan antara satu sama lain apabila isu pindaan perlembagaan 1983 dan 1993 dimainkan oleh Pakatan Rakyat.
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com