Ada janji yang dibuat oleh Menteri Besar baru Perak dan ada janji juga dibuat oleh Menteri Besar Perak.
Kedua-dua belum tertunai. Janji adalah amanah dan mereka wajib menunaikannya!
Tahniah kepada Datuk Dr Zambry Abdul Kadir kerana dipilih sebagai Menteri Besar Perak ke-11.
"Saya akan lakukan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak serta rakan-rakan terhadap sokongan yang diberikan," katanya semalam.
Zambry berkata dengan perlantikan beliau yang diperkenankan Sultan Azlan Shah, berharap ia tidak akan menimbulkan suasana dan isu yang tidak baik.
Zambry dilantik selepas keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin serta barisan Exconya meletakkan jawatan, berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman Zamry, 47, sebagai Menteri Besar Perak dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang akhbar di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang membuka ruang untuk bekas Exco itu mengangkat sumpah Menteri Besar baru dijadualkan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang ini.
Barisan Exco akan mengangkat sumpah pada jam 10 pagi, Selasa ini.
Zambry berjanji akan mengembalikan ketenangan dan keharmonian kepada rakyat negeri Perak.
Beliau, yang menjunjung kasih kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah kerana memberi perkenan dan kepercayaan untuk beliau dilantik sebagai Menteri Besar yang baru, menganggap tanggungjawab itu sebagai satu amanah yang harus dipikul dengan sifat kepimpinan yang baik.
Sementara itu, menurut laporan Bernama, keengganan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin patuh kepada titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah supaya beliau serta barisan exconya meletak jawatan membuktikan beliau tidak berpegang pada janjinya semalam.
Ketika ditemui pemberita kelmarin, Mohammad Nizar mendakwa beliau tidak akan meragui sebarang keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) berikutan perkembangan terbaru politik di negeri itu.
Bagaimanapun pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Ipoh semalam, Mohamad Nizar mengumumkan keengganannya melepaskan jawatan Menteri Besar kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.
Artikel XVI (6) Undang-undang Tubuh negeri menyatakan bahawa jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan daripada majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, maka, kecuali atas titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan membubarkan Dewan negeri, beliau patut mengemukakan peletakan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat.
Sementara Artikel XVI (7) Undang-undang Tubuh Negeri menyatakan bahawa berkait dengan klausa (6) seorang ahli Majlis Mesyuarat selain Menteri Besar boleh mengekalkan jawatan atas perkenan Paduka Seri Sultan tetapi mana-mana ahli Mesyuarat, boleh, pada bilabila masa, meletakkan jawatan.
Mohammad Nizar yakin sebarang keputusan yang diperkenankan oleh Sultan Perak dalam menangani kemelut politik di negeri ini dibuat dengan adil dan akan "akur dan menerima sebarang keputusan yang diperkenankan Tuanku."
Semalam, bekas Menteri Besar Perak itu mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri di Perak kerana majoriti yang disebut oleh BN adalah tidak tepat kerana kedudukan tiga ADUN Pakatan Rakyat yang dianggap mereka telah meletakkan jawatan dan mengosongkan kerusi itu.
Ini berikutan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V.Sivakumar sebelum ini yang mengisytiharkan terdapat tiga kawasan DUN yang kosong dan telahpun memohon mahkamah untuk mengisytiharkan kekosongan itu berikutan dakwaan Sivakumar yang mengatakan beliau menerima surat peletakan jawatan daripada ketiga-tiga ADUN Behrang, Jelapang dan Changkat Jering.
Sultan Perak sebaliknya memutuskan untuk tidak memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), serta menitahkan supaya Mohammad Nizar dan barisan exconya meletak jawatan.
Baginda membuat keputusan itu setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas di Istana Kinta semalam, selain yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.
Berhati-hatilah mereka yang berkuasa.
Janji dan kata-kata politik juga adalah amanah.
TARIKH LAHIR: 22 Mac 1962
TEMPAT LAHIR: Pulau Pangkor, Perak
ISTERI: Datin Saripah Zulkifli
ANAK: Lima (Tiga perempuan, dua lelaki)
KELULUSAN AKADEMIK:
• PhD (Pemikiran Politik) Universiti Temple, Amerika Syarikat (1995)
• MA, Universiti Temple (1992) Falsafah politik dan Perbandingan Agama
• MA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (1991) Pemikiran Islam
• B Econs (Kepujian) UIAM (1987)
PENCAPAIAN:
• Anugerah Kepujian (PhD) 1995
• Geran Penyelidikan Universiti Temple (1993)
• Anugerah WAMY Konvokesyen Pertama UIAM (1987)
JAWATAN:
• Ketua Pemuda Umno Bahagian Pangkor (1992)
• Ketua Umno Bahagian Lumut
• Adun Pangkor (sejak 2004)
• Exco Pelajaran, Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat Perak (2004-2008)
No comments:
Post a Comment