Friday, January 2, 2009

PENGUNDI HANTU – PAS BALING BATU, SEMBUNYI TANGAN

Entah kenapa wartawan TV3 semalam mengemukakan soalan sebanyak tiga kali kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengenai pengundi hantu.

Jelas Ahmad Said bengang mengenai isu `pengundi hantu' yang sebelum ini sering dibangkitkan oleh pembangkang. Wartawan berkenaan seolah-olah tidak faham dengan ucapan sebelumnya dan jawapan yang diberikan dalam sidang media itu.

Yang anehnya kenapa soalan yang ‘tidak relevan’ itu terus diungkitkan seolah-olah Barisan Nasional (BN) yang melakukannya di Terengganu.

Ahmad Said yang pernah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai ‘pengundi hantu’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah diwakilinya, tahu sangat dengan perangai pemimpin PAS.

Yang hantunya PAS bukan BN atau UMNO. Ini kerana merekalah yang mengimport pengundi luar kerana ada kes pengundi didaftarkan secara beramai-ramai kononnya tinggal dalam sebuah rumah yang terletak di satu kawasan dalam ADUNnya.

Apabila diperiksa, didapati bukan sahaja rumah tidak ada, kawasan yang disebut itu pula adalah kawasan semak yang hanya layak menjadi tempat tinggal babi!

Jadi apabila wartawan TV3 menanya Ahmad Said bertalu-talu, saya hairan juga, apakah wartawan ini diminta oleh bosnya supaya bertanyakan soalan ini atau kerana tidak ada isu untuk diungkitkan pembangkang, TV3 mahu ungkitkan isu berkenaan.

Atau TV3 cuba menduga apakah isu basi itu akan terus dihidangkan oleh PAS dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang akan bermula pada hari penamaan calon 6 Januari ini?

Ahmad Said mula membangkitkan perkara pengundi hantu ini dalam ucapan perasmian Pusat Media Kerajaan Negeri Terengganu – Jabatan Penerangan semalam.

Kata Ahmad Said, jika pengundi hantu benar-benar wujud dan digunakan oleh BN, kenapa BN boleh kalah di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, selain banyak kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang pembangkang menangi.

Apa yang berlaku, katanya, pembangkang yang menggunakan isu tersebut untuk menyekat pengundi BN yang berada di luar kawasan daripada kembali untuk mengundi di tempat asal di mana mereka didaftarkan sebagai pengundi.

“ BN tidak pernah menyekat bas PAS tetapi PAS yang menyekat bas-bas dan menahan pengundi serta pelajar,'' katanya.

Seperti BN dan UMNO, PAS juga mempunyai pengundi-pengundi yang berada jauh di luar kawasan. Kerana itu, media tidak patut melayan lagi dakwaan pembangkang tentang wujudnya pengundi hantu.

Menurut Ahmad Said, PAS dan pembangkang lain sering timbulkan isu ini kerana merekalah sebenarnya hantu yang mewujudkan pengundi hantu.

Menteri Besar itu berkata di kawasan Rusila, kajian pihak BN mendapati ada kira-kira 800 orang luar yang berdaftar sebagai pengundi di situ. Namun oleh kerana mereka disahkan oleh SPR, BN dan UMNO tidak boleh berbuat apa-apa.

BN tahu mereka ini pengundi luar apabila surat dan kad-kad yang dihantar melalui surat berdaftar dan sebagainya diterima oleh pengundi berkenaan di alamat yang nyata di luar Terengganu dan banyak di Pantai Barat.

Amatlah wajar kalau Ahmad Said sedikit emosi menjawab soalan ini kerana soal pengundi hantu yang akibatkan oleh Pas ini sudah menyebabkan beliau “tidak lelap tidur malam’ pada suatu ketika.

Lebih menyebabkan beliau naik angin ialah ‘ PAS yang ‘membaling batu tetapi sembunyi tangan’ tetapi kemudian menuduh pula UMNO dan BN sebagai yang patut bertanggungjawab.

1 comment:

  1. BN kalau menang pakai HANTU. Bila PAS menang, senyap plak...

    Inilah yang dikatakan PAS : Parti Amalkan Sandiwara.

    Mereka akan terus bersandiwara utk meneruskan perjuangan mereka.

    Samalah juga undi PAS dapat pahala. Habis tu undi UMNO/BN, yang selama ini berjuang untuk kepentingan rakyat keseluruhannya... dapat apa.

    Jangan mainkan isu dosa dan pahala dalam kempen ini. Itu kerja tuhan, kita hanya merancang tapi tuhan juga yang menentukannya.

    ReplyDelete