(Sembang Ahad)
Sekarang siapa ‘lebong’?
Lebong atau belawok bagi orang Terengganu ialah berbohong.
Dalam kes Hudud ini banyak pendapat, khususnya daripada pembangkang, kononnya pemimpin UMNO berbohong apabila berkata ada perbezaan pendapat ketara antara DAP dan PAS.
Kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, cuba menggambarkan betapa PAS dan DAP kini sudah bersefahaman dalam isu ini.
Pada masa yang sama mereka memburukkan UMNO khususnya, kononnya UMNO menolak Hudud dan menyebabkan orang bukan Islam keliru mengenainya.
Tetapi semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh menafikan dakwaan kononnya parti itu tidak mempunyai sebarang masalah berhubung perlaksanaan hukum hudud dalam negara sebagaimana yang dinyatakan oleh Hadi, baru- baru ini.
"Kenyataan oleh Abdul Hadi berhubung perlaksanaan hukum hudud, kononnya DAP sudah jelas dan faham dengan apa yang sedang bermain difikiran Pas, sebenarnya tersimpang jauh daripada kebenaran.
"Pas tidak pernah menjelaskan isu berhubung perlaksanaan hukum hudud kepada DAP. DAP sudah tentu ada masalah berhubung perlaksanaan hukum hudud dalam negara," menurutnya dalam satu kenyataan di semalam.
Karpal mengulas kenyataan Hadi di Kuala Terengganu bahawa DAP tidak perlu lagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan hukum hudud dan qisas kepada Pengerusi DAP Karpal Singh kerana anggota Parlimen Jelutong itu telah faham mengenainya.
Hadi berkata soal pelaksanaan hukum tersebut telah pun dijelaskan kepada pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk pemimpin DAP.
“Kita dah pernah buat seminar dan berbincang pasal benda ini (hudud dan qisas) kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat. Saya rasa tak perlu lagi saya nak jelaskan kepada DAP kerana saya rasa Karpal Singh (Pengerusi DAP) dah faham.
“Sekarang ini persoalannya kenapa UMNO menolak untuk dilaksanakan hudud?
Saya bersedia untuk berbincang dan memberikan penjelasan kepada Umno mengenai hudud,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Rusila, Marang.
Sebelum ini pun Karpal Singh sudah meminta parti itu menjelaskan mengenai pelaksanaan hukum hudud itu.
Bukan Karpal sahaja yang pening berkaitan Hudud ini.
Ramai orang PAS – apa lagi UMNO yang dikatakan menolak hokum Hudud.
Hakikat sebenar ialah PAS sendiri yang sekali begitu dan sekali begini dalam hokum Hudud ini dari segi pelaksanaan khususnya.
Lebih membingungkan apabila Dewan Ulama Pas menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini bukan menjadi keutamaan parti tersebut sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan.
Seperti dikatakan oleh ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata baru-baru ini, perkara utama yang harus ditekankan jika pakatan pembangkang memerintah ialah keamanan dan keadilan kepada rakyat di negara ini.
Amat jelas hasrat PAS dalam melaksanakan hukum hudud sekiranya mentadbir negara adalah satu dasar yang tidak konsisten kerana lebih mengambil kita perasaan rakan mereka dalam pakatan pembangkang yang tidak senang dengan cadangan berkenaan.
PAS yang sebelum ini tidak pernah mahu berkompromi mengenai Hudud ternyata sedang ‘mencari-cari’ arah perjuangan sebenar mereka apabila terpaksa memilih antara kuasa dan perkara-perkara lain berkaitan Islam.
Apakah PAS sanggup ‘menggadaikan’ hukum Islam hanya kerana ingin berkuasa?
Persoalannya berbanding UMNO atau parti lain, apa istimewanya PAS jika hanya berlandaskan keamanan dan keadilan?
Apakah rekod UMNO dan Barisan Nasional selama lebih 5o tahun menjadikan Malaysia aman dan sejahtera bukan perjuangan kea rah keamanan?
Seperti yang saya kemukakan sebelum ini, apa jaminan PAS apabila memerintah mampu melaksanakan keamanan? Apa yang diperkatakan oleh Islam mengenai keamanan dan pelaksanaan atau realiti politik semasa tidak sama.
Contoh sudah ada di beberapa negara Islam yang turut menekankan keamanan tetapi peperangan saudara, bunuh-membunuh dan ketidak stabilan terus berlaku. Slogan sahaja tidak mampu menjamin wujudnya keamanan sebenar.
Agak aneh apabila, Ketua Dewan Ulama PAS berkata, hudud dan qisas sukar untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana masih ramai yang tidak memahami kebaikan hukum tersebut.
Saya ingin mengulangi - saya bukan takbur atau mahu memperkecilkan Islam - jika PAS bersekongkol dengan DAP dan PKR, sampai kiamat pun Hudud tidak mampu dilaksanakan di Malaysia kerana DAP khususnya akan menentang habis-habisan.
Bagi DAP, saya yakin kena ‘langkah mayat mereka dahulu’ baru dasar Islam dan Negara Islam dapat diwujudkan.
Jika PAS ikhlas untuk melaksanakan Hudud secara berperingkat, tiada parti lain yang lebih memahami Islam selain UMNO.
Kekuatan PAS adalah pada usahanya untuk melaksanakan hukum Allah tetapi apabila Hudud yang diperjuangkan dan diterima oleh penyokong PAS, pemimpinnya pula ‘mengorbankan Hudud’ demi kuasa, penyokong PAS sewajarnya menilai semula arah perjuangan sebenar mereka.
PAS tidak wajar meletakkan Hudud di belakang atau ke tepi kerana dengan tindakan itu PAS ternyata bukanlah sebuah parti yang boleh lagi diharapkan akan memperkatakan perkara-perkara berkaitan Islam tetapi sekadar sebuah parti yang pemimpinnya gilakan kuasa dan sanggup mencemarkan Hudud demi kuasa.
Apakah perbuatan sedemikian diredhai Allah?
Atau apakah PAS termakan ‘sumpah’nya sendiri apabila sering menuduh orang lain tidak Islam, sedangkan hakikatnya orang lain tidak menonjolkan mereka sebagai ulama, uztaz atau lebih Islamnya tetapi berjaya menubuhkan institusi penting Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa, perbankan Islam, perundangan Islam, serta perkara lain yang memupuk ke arah kehidupan cara Islam dalam suasana orang bukan Islam hampir separuh mendiami negara ini.
Dalam konteks Hudud ini amat jelas PAS menggunakannya sebagai sebagai slogan atau propaganda politik semata-mata tetapi menyisihkannya hanya kerana pemimpin PAS gila kuasa.
Lebih buruk usaha mendapatkan kuasa ini dilakukan dengan sanggup berlebong kononnya DAP – yang memperjuangkan kepentingan satu kaum semata-mata - sudah menerima dasar-dasar PAS.
Menyedihkan kerana dalam usaha berbaik-baik dengan bukan-Melayu, PAS menuduh UMNO (majoriti besarnya Islam) menolak Hudud sedangkan hakikat sebenar mereka sedar tidak mampu melaksanakannya.
No comments:
Post a Comment