Tuesday, January 6, 2009

GELANGGANG P036 SUDAH DIBUKA


(Berita awal)
KUALA TERENGGANU: Medan sudah dibuka. ‘Perang’ sudah bermula.

Parlimen Kuala Terengganu (P036) menjadi medan pertarungan UMNO dan PAS. Yang lain tu hanya tempelan sahaja.

Setelah proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima kertas penamaan bagi tiga orang.

Pada kertas penamaan yang dipamerkan untuk proses bantahan, tiga calon tersebut ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat, 45.

Sementara itu, dua lagi calon yang disebut-sebut sebelum ini untuk bertanding pada pilihan raya itu iaitu calon Bebas, Isma Airsath dan Maimun Yusuf tidak kelihatan sehingga tamat proses penamaan calon itu.

Wan Farid antara yang terawal sampai di pusat penamaan calon di stadium negeri, jam 9.05 minit pagi.

Beliau diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN tiba di perkarangan stadium sebelum masuk ke stadium tertutup bagi urusan pendaftaran calon yang mulai dibuka jam 9.00 sehingga 10.00 pagi ini.

Najib tiba di perkarangan Stadium Sultan Mahmud jam 8.35 pagi dan ketibaannya oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dan Wan Farid serta penyokong Umno, termasuk parti komponen BN.
Perarakan yang diketuai Najib bersama bendera dan sepanduk parti bergerak sejauh kira-kira setengah kilometer ke pusat penamaan calon di stadium negeri.

Mohd Wahid pula tiba kira-kira lima belas minit kemudian dengan diiringi kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat.

Calon Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun @ Ab. Rahman Mohamad tidak bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

Walaupun turut tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.20 pagi tetapi pada saat-saat terakhir membatalkan hasratnya untuk bertanding apabila tidak menyerahkan borang pencalonan.

Beliau tidak memberi alasan spesifik tetapi beliau akan menyokong calon Pas pada pilihan raya ini.

Keadaan di sekitar bandar raya, terutama jalan menuju ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri, tenang setakat jam 7.30 pagi ini.

Orang ramai mulai berkumpul di pekarangan jalan menuju ke stadium bagi menyertai perarakan calon yang bertanding kira-kira jam 9 pagi ini.

Pasukan keselamatan terutama polis dilihat berkawal di jalan utama ke pusat penamaan calon bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar.

No comments:

Post a Comment