Tuesday, December 2, 2008

ZAHARIN KEMBALI...

(Rehat Minda)

Saya mengalu-alukan kembalinya Saudara Zaharin Mohd Yassin ke ‘dunia blogger’ selepas diam seketika, apabila ‘dapat mencium tangan’ Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kota Kinabalu pada 8 April 2008.

Mungkin Zaharin khayal seketika dengan bau aroma ‘nasi kandar Perth’ yang masih melekat di tangan Pak Lah hingga lupa untuk berbicara melalui penulisan.

Kembalinya Zaharin akan ‘memeriahkan’ lagi dunia blogger tanah air dan agaknya apa pula langkahnya kali ini. Apakah selepas ‘Kerajaan Tiga Beranak’ Zaharin aka nada pula slogan baru untuk Perdana Menteri akan datang?

Apapun saya berharap Zaharin terus rasional dan menimbang segala perkara sebelum menyatakan pandangannya.

Pada 27 Oktober 2008 lalu, Zaharin menulis dalam blognya http://zaharinmy.blogspot.com bahawa beliau sudah lama tidak menulis dalam blog Sang Kelembai, Temannya, Husin Lempayong hantar satu sms pada hari itu lebih kurang mengatakan bahawa adakah beliau sudah pencen sebagai blogger.

Jawapannya tidak, beliau masih aktif tetapi akhir akhir ini beliau menyifatkan isu politik begitu hangat.

Katanya: “Dahulu saya menulis ada visi dan misi nak jatuhkan Abdullah Hj Ahmad, dia pun sudah mula mengira anak tangga nak menurun. Maka saya tak sesuai lagi menulis dalam blog Sangkelembai yang berjasa besar itu. Ini disebabkan saya tidak sekejam Abdullah Hj Ahmad yang memecat saya dalam UMNO kerana kesalahan menulis tetapi orang yang sabotaj UMNO di Rantau Panjang sekadar digantung hak-haknya dalam UMNO. Itu cara keadilan dalam UMNO.”

Menurut Zaharin, dalam UMNO, dosa besar jika mengata atau menulis pasal Presiden tetapi berdosa kecil jika sabotaj Parti.

Beliau menjelaskan, “Saya mengambil keputusan berdiam dahulu dengan melihat keadaan sekarang, lagi pun saya bepegang kepada prinsip saya berdasarkan peribahasa China yang mengatakan tidak ada orang yang menendang anjing sudah mati. Pada saya Abdullah Hj Ahmad sudah jatuh terlentang.

Bagaimana pun saya perlu menulis bagi meneruskan perjuangan saya supaya UMNO menjadi kuat dan diterima balik oleh orang Melayu.”

Saya akui Zaharin mencipta sejarahnya sendiri apabila dengan tegas dan berani beliau mempopularkan slogan seperti ‘Kerajaan Tiga Beranak’ dan ‘Patrick Badawi’.

Selain itu, apa yang unik kepada Zaharin ialah dia mengkritik Pak Lah ketika Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu sedang memiliki dan menikmati kuasa yang mutlak selepas Barisan Nasional yang dipimpinnya memang besar dalam pilihan raya umum 2004.

Zaharin bukan ‘berperang’ dengan musuhnya ketika musuhnya lemah dan tidak bermaya seperti sekarang. Zaharin memang berani dan saya ‘angkat topi’.

Apapun, akhirnya Zaharin mengajak semua untuk bertemu semula dengannya bermula Ahad 02 Nov 2008 apabila beliau menghantar posting pertamanya “Ketuanan Melayu, Siapa Dapat Faedahnya.” Sah kini dia kembali menjadi ‘blogger’.

Maaf kerana ‘mencuri’ poster kecil ini.

1 comment:

  1. SELADANG TETAP MENUNGGU SUMPAHAN BARU SANG KELEMBAI! Biar hebat jangan habat!

    ReplyDelete