Wednesday, November 12, 2008

WANITA UMNO TERUS BERGELORA

Jelas Datuk Kamilia Ibrahim bukan calang-calang pemimpin.

Dia bukan boleh dipujuk-pujuk juga dipaksa-paksa.

Dia tetap tidak mengitiraf pelan peralihan kuasa kepemimpinan pergerakan itu pada Jun depan.
Kamilia yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar menganggap bukanlah hak Exco Wanita untuk menentukan siapa pemimpin pergerakan itu.

Baginya, pelan peralihan seumpama itu tidak terkandung dalam perlembangan Umno dan “bukan amalan Umno”.

Kamilia, yang layak bertanding bagi jawatan itu setelah memperoleh 55 pencalonan, berkata pemimpin pergerakan itu haruslah dipilih oleh anggota dan akar umbi.

Kelmarin, Exco Wanita Umno itu menegaskan beliau tetap mahu bertanding bagi merebut jawatan Naib Ketua pergerakan itu pada pemilihan parti, Mac depan.

Semalam beliau mengulangi: ‘‘Sekali lagi saya nyatakan, saya menolak pelan peralihan itu dan tidak mengiktirafnya kerana ia bukan menjadi amalan parti yang dipegang selama ini.

‘‘Saya juga menolak sebarang perbincangan untuk tujuan itu (peralihan kuasa). Mengapa perlu kita kosongkan jawatan ketua untuk tiga bulan sedangkan calon berkenaan sudah layak bertanding? Mengapa perlu kita ‘lompongkan’ jawatan itu?,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kamalia menawarkan diri bagi jawatan itu adalah untuk membolehkan beliau memperjuangkan isu Islam dengan lebih berkesan memandangkan isu agama itu kini kerap dipersoalkan.

“Sebagai seorang peguam dan ahli politik yang telah lama berkecimpung dalam Umno, saya terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Saya perlu tempat lebih tinggi kerana saya nampak ada kekosongan,” katanya.

Kenyataannya ini dibuat pada ketika Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam berkata bahawa beliau berpegang dengan pendirian bahawa pelan peralihan pergerakan itu perlu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri sempena perhimpunan agung Umno.

“Jika kita teruskan keputusan yang dibuat pada Ogos 2008, ini akan menyebabkan jawatan Ketua Wanita Umno hanya kekal bagi tempoh tiga bulan selepas pemilihan.

“Seterusnya, jawatan Ketua Wanita Umno hanya sekadar memangku bagi tempoh tiga tahun manakala jawatan Naib Ketua terpaksa dikosongkan. Ini merugikan kepimpinan Wanita Umno dalam senario politik hari ini,” kata Shahrizat.

Semalam, beberapa Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian di Sabah mendesak supaya Shahrizat membuat keputusan tegas bagi merebut jawatan Ketua Wanita.

Menurut mereka, persetujuan peralihan kuasa yang dicapai oleh Exco Pergerakan Wanita tidak lagi relevan berdasarkan pencalonan yang diterima oleh beliau daripada para perwakilan Wanita UMNO bahagian di seluruh negara.

Sebenarnya, Kamilia telah dua kali tidak menghadiri mesyuarat Exco pergerakan itu termasuk semalam. Katanya, tindakannya itu adalah satu isyarat bahawa beliau tidak menyetujui pelan peralihan itu.

“Saya telah bagi mesej yang jelas, bila saya tidak datang bermakna saya tidak dapat menerima pelan peralihan kuasa itu,” katanya.

Ditanya wartawan sama ada beliau “kisah” untuk bertanding dengan Shahrizat bagi jawatan itu, Kamilia berkata beliau tidak akan menarik diri walaupun berdepan dengan sesiapa jua.

Mengenai sama ada Tan Sri Rafidah Aziz dan Shahrizat telah menghubungi beliau untuk berunding seperti yang dilaporkan, Kamilia berkata beliau belum dihubungi oleh kedua-dua pemimpin itu.

Kamilia bagaimanapun berkata beliau tidak melihat keperluan untuk bertemu kedua-dua pemimpin itu untuk berunding.

“Saya tak nak jumpa kerana pendirian (saya) sudah ada,” katanya.

Kelmarin Exco Pergerakan Wanita Umno memutuskan pelan peralihan kuasa antara Rafidah dan Shahrizat dikekalkan pada Jun 2009.

Mesyuarat itu juga membuat ketetapan jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Umno Mac depan demi perpaduan dan pengukuhan sayap Umno itu.

Mesyuarat itu menolak cadangan Shahrizat supaya pelan peralihan pergerakan itu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri sempena perhimpunan agung Umno.

Ditanya sama ada Rafidah dan Shahrizat mengetahui pendiriannya yang tidak menyetujui pelan peralihan itu, Kamilia berkata: “Saya rasa mereka berdua tahu”.

Katanya beliau melihat terdapat kekosongan pada jawatan nombor dua dalam pergerakan itu selepas Rafidah memaklumkan hasrat untuk “berhenti" memimpin pergerakan itu pada Ogos lalu.

“Saya tetap tawarkan diri kerana Rafidah kata hendak berhenti. Dan saya tawarkan diri kerana telah dapat cukup pencalonan,” katanya.

No comments:

Post a Comment