Beberapa pengumuman yang melegakan rakyat sejak kelmarin mungkin menyukarkan pembangkang untuk terus memperkecilkan keupayaan dan keikhlasan kerajaan.
Kini mereka perlu mencari isu baru atau yang bersifat kontroversi jika mahu terus mengritik atau menyalahkan kerajaan.
Langkah populis yang diumumkan seperti penurunan harga minyak, turunnya harga beras, insentif potongan tol kepada pengguna lebuh raya serta deklasifikasi perjanjian konsesi lebuh raya, pastinya membuatkan rakyat gembira dan merasa lega.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan ini semua akan menyebabkan pembangkang tersepit, lebih-lebih lagi langkah-langkah beberapa kerajaan negeri dikawal pembangkang banyak menimbulkan kemarahan rakyat.
Janji pembangkang untuk memberikan keselesaan kepada rakyat di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sehingga ini belum membuahkan apa-apa.
Ada sahaja kontroversinya, termasuk usaha kerajaan Kedah untuk memperkenalkan kuota 50 pertaus bagi Bumiputera di negeri itu untuk pemilikan rumah.
Langkah-langkah terbaru yang diumumkan kerajaan kelmarin dan semalam dengan sendirinya akan mengurangkan kemarahan rakyat biarpun tiada laungan sokongan untuk menyatakan terima kasih kepada kerajaan.
Dalam keadaan kerajaan sedar betapa rakyat ‘memusuhinya’ seperti ditunjukkan melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 Mac lalu, langkah populis ini akan dapat melembutkan hati rakyat untuk memahami bahawa apa juga tindakan mereka terhadap kerajaan, Barisan Nasional tetap menunaikan janji untuk mengurangkan beban, walaupun dilaksanakan secara berperingkat.
Kelmarin Najib mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion yang diumumkan awal bulan ini akan dilaksanakan menjelang suku pertama tahun depan (2009).
Langkah ini menggambarkan betapa Malaysia sentiasa mengamalkan dasar terbuka ke arah melaksanakan langkah tambahan dalam merangsangkan perkembangan ekonomi semasa.
Meskipun krisis kewangan global bertambah buruk berbanding ramalan awalnya, kerajaan tetap yakin unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dan tahun depan mampu dicapai
Timbalan Perdana Menteri berkata, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 5.5 peratus pada tahun ini dan 3.5 peratus pada tahun depan dengan menjamin permintaan domestik terus kukuh.
Najib menjelaskan, untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi itu, kemudahan kredit yang disediakan oleh bank kepada syarikat tempatan termasuk kepada industri kecil dan sederhana (IKS) juga perlu kukuh.
Selain itu kerajaan turut melihat kepada garis panduan domestik yang perlu di liberalisasi dan diperkemaskan agar usahawan tempatan dan asing menjalankan perniagaan dengan selesa dan suasana yang kondusif di negara ini.
Kerajaan bersikap sedemikian untuk menjamin pasaran pelaburan modal kerajaan kekal progresif dan kompetitif.
Secara amnya, keadaan itu akan membuka ruang kepada pelabur, khususnya pelabur asing tetap merasakan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka.
Dan dengan pengumuman bahawa petrol diturunkan sebanyak 7 sen kepada RM2 satu liter, iaitu tinggi 0.8 sen sahaja daripada kedudukan ketika mula-mula kerajaan menaikkan harga minyak Jun lalu, rakyat semakin selesa selepas harga bahan api itu diturunkan untuk kali keempat 1 November lalu.
Pada asasnya rakyat Malaysia masih membayar harga yang murah bagi petrol pada kadar AS$0.53 bagi satu liter apabila di China, rakyatnya membayar sebanyak AS$0.70 dan di Sri Lanka pula berharga AS$1.02.
Biarpun ada yang berpendapat jumlah itu agak kecil tetapi ia berlaku pada masa yang sama dengan penurunan harga beras.
Kelmarin juga, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan harga siling beras lima peratus hancur tempatan (ST5) diturunkan sebanyak 20 sen iaitu daripada RM2.80 sekilogram kepada RM2.60 sementara harga beras 10 peratus hancur tempatan (ST10) turut diturunkan harga silingnya kepada RM2.40 daripada RM2.70 sebelum ini iaitu penurunan 30 sen.
'Pewartaan ini membolehkan kerajaan membuat kawalan terhadap harga tersebut kerana harga beras ini merupakan barang yang dikawal oleh kerajaan dan harga baru ini sudah diwartakan sehari sebelum pengumuman berkenaan.
Sebagai tanda kerajaan serius mengenai perkara ini Mustapa memberi amaran, mana-mana peruncit yang tidak mematuhi harga siling ini boleh diambil tindakan oleh pihak kawal selia padi dan beras di bawah Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) 1992.
Turut menggembirakan pengguna, khususnya ibu bapa ialah langkah kerajaan menahan kenaikan tambang bas 100 peratus yang diperjuangkan oleh pengusaha bas.
Kerajaan bimbang kenaikan akan turut member kesan kepada tambang bas sekolah ebih-lebih lagi pada musim persekolahan akan datang.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata sebarang kadar baru tambang bas dan teksi, termasuk bas sekolah akan diumumkan pada awal tahun depan dengan mengambil kira kemampuan rakyat dan syarikat pengangkutan awam serta insentif yang diumumkan dalam Bajet 2009.
Katanya, jika pun berlaku kenaikan tambang kelak, ia tiada kaitan langsung dengan harga minyak di pasaran semasa kerana minyak untuk pengangkutan awam telah diberikan subsidi.
Dalam keadaan rakyat gembira dengan penurunan harga minyak, Kementerian Kerjaraya pula mengumumkan bahawa pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Elite dari 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menerima diskaun tol 10 peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed mengumumkan selain itu, diskaun tambahan 10 peratus juga akan turut diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas dalam tempoh dan waktu yang sama.
Selain itu, PLUS Expressways Berhad melalui program Loyalti PLUS dengan pengguna kedua-dua lebuh raya boleh menikmati rebat tol lima peratus daripada nilai terkumpul bulanan minimum RM200 bermula 1 Januari.
Ir Mohd Zin berkata melalui pemberian insentif ini aliran trafik bagi lebuh raya PLUS (Projek Lebuhraya Utara Selatan) pada waktu tersebut dijangka meningkat.
Mungkin untuk permulaan ini diskaun dilihat kecil dan pastinya setiap pihak mahu ia juga berkuatkuasa pada waktu siang. Kementerian Kerja Raya perlu merundingkan supaya pengguna lebuh raya pada waktu siang sepatutnya diberikan keutamaan.
Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) sudah menyatakan semala, ia mahu diskaun 10 peratus yang diberikan kepada pemandu kenderaan ringan (Kelas 1) menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Ekspres Lingkaran Tengah (Elite) diperluaskan sepanjang hari.
Selain itu, mereka juga menuntut supaya kadar diskaun ditingkatkan dan insentif diperluaskan kepada semua jenis pengguna terutama lori kerana ia mampu membantu kerajaan mengurangkan harga barang di pasaran berikutan pengurangan kos pengangkutan.
Pengerusinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata BNBBC kecewa dengan pengumuman baru-baru ini kerana beranggapan ia langsung tidak memberi kesan bagi memenuhi objektif utamanya iaitu mengurangkan beban pengguna dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.
Berkaitan lebuh raya ini juga, sebelum ini banyak pihak merasakan perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat kon sesei berat sebelah yang dikatakan lebih menguntungkan pemegang konsesi tol.
Berikutan itu kerajaan memutuskan untuk mendedahkan kepada umum perjanjian berkenaan membabitkan kesemua 22 syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara kecuali Maju Expressway yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Putrajaya.
Keputusan mendeklasifikasikan dokumen perjanjian dicapai berikutan persetujuan Kabinet pada mesyuarat 17 Oktober lalu terhadap memorandum kementerian itu bertajuk 'Pengelasan Semula Semua Penjanjian Konsesi Lebuh Raya Yang Sedang Beroperasi Supaya Dapat Didedahkan Kepada Umum.'
Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata Kabinet bersetuju supaya perjanjian konsesi lebuh raya yang sedang beroperasi dikelaskan semula selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas mendapat persetujuan daripada syarikat konsesi sejajar dengan peruntukan klausa kerahsiaan yang termaktub dalam perjanjian terbabit.
Dokumen perjanjian tersebut boleh didapati mulai 1 Januari depan dan dengan mendeklasifikasikan dokumen berkenaan, orang ramai dapat meneliti semua aspek operasi syarikat konsesi lebuh raya termasuk aliran kewangan syarikat berkenaan.
Menteri itu berkata Maju Expressway Berhad dijangka akan memberikan persetujuan untuk turut menyertai 22 syarikat lain mendedahkan perjanjian konsesi mereka dalam masa terdekat.
Ternyata, usaha-usaha kerajaan ini, bukan sahaja rakyat semakin mendapat kelebihan dalam konteks perbelanjaan harian untuk sekeluarga serta jaminan ekonomi yang lebih baik tahun hadapan tetapi mereka juga mula merasai betapa kerajaan semakin telus dalam menyalurkan maklumat pelbagai perkara yang ada kaitan dengan keperluan seharian mereka.
Selalunya bila tempua bersarang rendah adalah makna yang tersirat kalau pun tidak tersurat. Kita sama-sama tunggu penghujungnya yang rasanya tidak berapa jauh pun. Masa Pak Lah ambil alih dari Dr. M dulupun dia juga buat hampir sama apa yang Najib nak buat bila nak ambil alih dari Pak Lah ni. Tapi akhirnya lebih teruk dari pemerintahan Dr. M.
ReplyDeleteIni semua bagai cerita pengantin baru!
Bagaimana pun kita sama-samalah berdoa agar negara ini aman, makmur, dan rakyatnya berpadu!