Thursday, August 4, 2016

SUKAR PERTAHAN NAJIB - PEMIMPIN UMNO TIDAK ‘DIBEKALKAN BOM’ SECUKUPNYA?


Semalam,  Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mempersoalkan kenapa hanya beberapa kerat pemimpin UMNO mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya semalam, pada ketika pemimpin nombor satu parti itu teruk ‘dibelasah’ pembangkang dalam isu-isu yang meragukan, banyak pemimpin UMNO berdiam diri.

‎“Apabila kita berdiam diri, membiarkan rakyat dihujani dengan pelbagai pertanyaan, akibatnya UMNO yang menjadi cemuhan,” katanya melalui blog UMNO Cheras.

Barisan pemimpin UMNO – dari Pusat hingga cawangan - sepatutnya tidak malu atau takut mempertahankan ketua mereka kerana perjuangan UMNO adalah atas landasan parti, demi rakyat dan negara.

Namun ramai yang berdiam diri. Sedangkan pemimpin UMNO, khususnya di peringkat bahagianlah perlu berani mempertahankan kedudukan Presiden kerana mereka  dipilih oleh ahli parti.

Itu memang tanggungjawab pemimpin dan ahli parti di peringkat bawahan.

Namun, fungsi ini seperti tidak difahami oleh pemimpin UMNO. Apakah mereka juga dalam keadaan ragu-ragu dan tidak yakin dengan apa yang patut dipertahankan?

Apakah mereka cukup maklumat untuk mempertahankan ketua mereka?

Apakah isu yang melibatkan Presiden parti terlalu asing dan sukar untuk mereka berhujah?

Syed Ali...kenapa hanya beberapa kerat?
Juga apakah mereka hanya perlu menjadi ‘burung kakak tua’ atau memilih untuk bercakap perkara baru melalui penjelasan-penjelasan yang diatur oleh Ibu Pejabat UMNO?

Di sebalik itu, apakah maklumat yang disalurkan oleh Ibu Pejabat UMNO tidak cukup untuk mereka memberitahu rakyat?

Lebih menjemukan jawapan mempertahankan Najib menjadi sesuatu yang sudah dapat diduga umpamanya ia gerakan konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, dakyah, fitnah, rekaan dan apa sahajalah yang brulang-ulang dan bersifat CLICHE (penjelasan bersifat stereotaip).

Di peringkat negeri pula, apakah Ketua Penerangan UMNO Negari memainkan peranan mereka dengan baik?

Jarang mendengar penjelasan dengan hujah yang kemas dan berinfromasi. Banyak yang bersifat 'bodek' dan berulang-ulang.

Hakikatnya jika tidak cukup maklumat untuk menerangkan kepada rakyat apa lagi jika sesuatu isu itu membabitkan pihak antarabangsa, ia akan  menjadi lebih sukar dan kusut.

Lebih menyukarkan ialah  apabila ada pihak tidak bertanggungjawab melalui spin mereka memutarbelitkan pelbagai isu.

Presiden UMNO adalah Perdana Menteri tetapi menghairankan, apakah yang dilakukan oleh wakil kita di luar negara untuk mempertahankan negara dan pemimpin kita daripada 'cerca' dan serangan pemimpin dan media antarabangsa?

Apa peranan duta, pesuruhjaya tinggi atau perwakilan kita di luar negara?

Saya tertarik dengan apa yang dilakukan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Ahmad Rasidi Hazizi yang mempersoalkan laporan portal Financial Times pada 1 Februari lalu  yang mempertikaikan prestasi Najib yang boleh mengelirukan rakyat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Ireland Utara memberitahu, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diper­kenalkan Najib pada 2010 berjaya meningkatkan pendapatan negara kasar (PNK) sebanyak 47.7 peratus, mewujudkan 1.8 juta peluang pekerjaan dan menyaksikan pelaburan swasta melonjak lebih tiga kali ganda.

Ahmad Rasidi...pertikai laporan Financial Times
Menurut beliau,  Perdana Menteri pada hakikatnya telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada 2009.

Katanya, beliau faham Financial Times meletakkan piawaian yang tinggi tetapi jika kejayaan yang dicapai Najib menyebabkan beliau dianggap Perdana Menteri yang ‘membawa malapetaka’, kami tertanya-tanya apakah yang sepatutnya beliau lakukan supaya dianggap berjaya oleh wartawan-wartawan kanan anda?”

Ahmad Rasidi berkata demikian melalui ruangan surat pembaca yang disiarkan Financial Times semalam bagi memberi maklum balas terhadap artikel bertajuk The threat Najib poses to Malaysia’s reputation yang disiarkan portal berkenaan pada 28 Januari 2016.

Begitu juga dengan perwakilan lain di luar negara, umpamanya dalam bidang pelaburan, ketenteraan dan pendidikan, sewajarnya mereka juag bertindak sama.

Semua harus faham bahawa UMNO perlu dipertahankan kerana hanya parti itu mampu menjadi pelindung kepada masa depan orang Melayu. 

Benar jika Syed Ali bertanya. “parti mana lagi yang ada selain UMNO?”

Atau apakah keadaan di mana pemimpin UMNO, khususnya di bahagian-bahagian ‘berdiam diri’ kerana maklumat yang dibekalkan oleh kepimpinan tertinggi sesetengahnya ‘disimpan’ oleh pemimpin peringkat pusat dan Menteri UMNO untuk dijadikan modal untuk mereka bercakap atau berucap?

Akhirnya, apa yang dilaporkan oleh media perdana sahajalah ‘ada untuk mereka di bawah’ untuk diberitahu kepada rakyat. Maklumat yang dikitar semula itu sudah pasti tidak dapat meyakinkan rakyat.

Mungkin kerana keadaan itu menjadikan fakta dan maklumat terhad untuk pemimpin bawahan mendapat fakta dan ini menjadikan hanya beberapa kerat sahaja yang tampil dengan berani membalas serangan itu.

Perkara ini bukan baru, malah askar-askar siber yang bersimpati dengan UMNO turut mempersoalkan kenapa Najib seperti ‘bersendirian’. Kalau ada pun yang mempertahankan Najib, balik-balik orang yang sama.

Malah askar siber UMNO juga kadangkala tidak menunjukkan mereka mempunyai maklumat yang cukup dalam ulasan atau penerangan mereka.

Apakah maklumat hanya untuk pasukan siber bergaji di Ibu Pejabat UMNO dan Barisan Nasional sahaja?

Sewajarnya 'yang bekerja secara sukarela dan menonjol' di seluruh negara juga sewajarnya dibekalkan dengan maklumat yang lengkap?

Modus operandi pembekalan maklumat itu bukan sukar dalam suasana siber dan media baru sekarang. Hanya mahu atau tidak atau rajin dengan malas sahaja.

Sedangkan rakyat pastinya ragu-ragu apabila orang yang sama bercakap, apa lagi mereka melihat mereka yang berkepentingan sama ada melalui parti atau kerajaan sahaja berusaha membela Najib.

Lebih memudaratkan apabila asyik-asyik ‘peluru’ dan ‘bom’ jenis yang sama dibekalkan kepada pejuang UMNO.

Menghairankan juga dalam mempertahankan Najib, bidang maklumat yang diberikan adalah lebih bersifat politik.

Dengan ramai pihak mahir dari segi perbankan, kewangan, saham, perubatan, undang-undang, korporat, Islam dan sebagainya, pelbagai bidang boleh dimanfaatkan untuk mempertahankan Najib.

Namun ternyata ada banyak kelemahan dari segi penjelasan, apa lagi bentuk ‘serangan’.


Akhirnya keluarlah beberapa poster yang dikatakan viral di media sosial sebagai kempen untuk menyatakan sokongan Perdana Menteri umpamanya Hashtag #RespectMyPM yang membanjiri Facebook dan Twitter.

Cara ini tidak dinafikan kebaikkannya namun ia terhad dan tempoh tidak lama kerana ia bermusim dalam usaha untuk membuktikan kepercayaan netizen kepada kepimpinan Najib.

Bagi yang memerlukan ‘inti’ atau ‘maklumat sebenar’ untuk berhujah, poster sebegini tidak mendatangkan faedah dalam mengupas secara ‘hujah melawan hujah’.

Pemimpin UMNO juga perlu membuktikan mereka mempertahankan Najib daripada serangan pihak-pihak tertentu bukanlah disebabkan kerana telah diberi `dedak’.

Isu ini timbul kononnya biarlah yang menerima ‘dedak’ menjawabnya dan yang tidak menerima apa-apa memang wajar tidak mempertahankan Najib.

Sedangkan menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dakwaan pemimpin di bahagian terima dedak hanyalah daripada segelintir pihak sahaja.

Ini kerana sejak Najib jadi Presiden, sistem pemilihan sudah berubah di mana kuasa memilih bukan lagi di tangan pemimpin di bahagian.

“Yang berkuasa adalah ahli peringkat akar umbi dan jika ada yang merasakan pemimpin di bahagian sahaja yang diberi dedak hingga hidup senang lenang, baik laporkan kepada jawatankuasa disiplin parti,” katanya.

Bagi Ahmad Fauzi, ambillah contoh institusi kekeluargaan, jika seorang bapa dihina dan dicaci oleh pihak luar, tidak mungkin anak-anaknya akan berdiam diri melihat bapa mereka di perlaku begitu.

Berikutan itu, tanggungjawab untuk mempertahankan pemimpin bukan terletak di kalangan pemimpin pusat dan bahagian semata-mata. Sesiapa sahaja asalkan ahli UMNO perlu melakukannya.


Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin yang menggesa ahli-ahli parti supaya berani dan berdiri bersama Presiden parti walaupun mereka diperlekehkan kerana berbuat demikian, sangat tepat.

“Kita kena berani, walaupun dikecam, walaupun dicemuh di media sosial, kata ini semua balaci-balaci dan macai-macai UMNO dan sebagainya. Tak apalah, kita jadi balaci, kita jadi macai tak apa. Sebab apa? Kebersamaan dengan Presiden kita cuba menegakkan kebenaran dan keadilan," kata Khairy.

Namun jangan  ia hanya pada ucapan dan majlis-majlis perasmian semata-mata.

Juga dalam melaksanakan tugasan ini jangan pula tindakan atau hujah boleh menjadi bahan ‘ketawa dan persendaan’ oleh rakyat.

Tindakan perlu bijak dan bermaruah. Tindakan yang menunjukkan ‘kebodohan sendiri’ akan menjadikan apa juga gerakan dan kenyataan bagai ‘menepuk air di dulang...”

Dalam apa juga keadaan, setiap pemimpin UMNO sama ada peringkat di Pusat atau juga cawangan, sudah banyak menerima kemudahan hasil sumbangan UMNO sama ada dari segi pembangunan, pendidikan, peluang atau juga perniagaan. Persoalannya, kenapa masih banyak pemimpin UMNO bahagian yang berdiam diri?

Buangkan sikap sedemikian kerana hanya akan merugikan parti dan rakyat pula bakal diselubungi dengan pelbagai tafsiran.

Memburukkan keadaan,  jika tafsiran dan persepsi itu tidak boleh diperbetulkan.

Keadaan ini mungkin terjadi apabila ‘peluru dan bom’ yang dibekalkan itu ‘tidak cukup kuat’ untuk menghapuskan persepsi.

Apalagi jika ia ‘dibedil’ dengan  meriam buluh yang ‘berpeluru kapur’!!!

3 comments:

  1. Lebih memudaratkan apabila asyik-asyik ‘peluru’ dan ‘bom’dedak jenis yang sama dibekalkan kepada pejuang UMNO. Harus lebih besar jumlahnya.

    ReplyDelete
  2. Haha.."apakah maklumat yang disalurkan oleh Ibu Pejabat UMNO tidak cukup untuk mereka memberitahu rakyat?". Media anda byk menipu dan membuat fitnah.

    Soalan sy 1 saja;
    Di dalam akta SPRM derma spt yg didefinasikan oleh akta trsbut adalah rasuah, knape tak ambil tindakan sdgkan jelas empunya akaun mengaku menerima wlupun diawalnya menafikan, serta duit src trbank-in ke dlm acc pemilik org yg sama tidak memulangkan semula? Silakan jawap.

    ReplyDelete
  3. Haha.."apakah maklumat yang disalurkan oleh Ibu Pejabat UMNO tidak cukup untuk mereka memberitahu rakyat?". Media anda byk menipu dan membuat fitnah.

    Soalan sy 1 saja;
    Di dalam akta SPRM derma spt yg didefinasikan oleh akta trsbut adalah rasuah, knape tak ambil tindakan sdgkan jelas empunya akaun mengaku menerima wlupun diawalnya menafikan, serta duit src trbank-in ke dlm acc pemilik org yg sama tidak memulangkan semula? Silakan jawap.

    ReplyDelete