Siapalah saya untuk memperbetulkan fakta salah dalam penulisan Mohd Sayuti Oma (MSO) dalam postingnya “Kenapa Projek Kondo di Ledang K Terengganu Tidak Dibantah?” bertarikh 14 Disember 2011 (hari ini).
Silap-silap kena bantai tidak layak menerima Hadiah Kajai walaupun hadiah itu saya terima pada 1984 yang ketika itu MSO sendiri pun tidak terkenal mana.
Walaupun saya tidak setaraf beliau sebagai blogger terkenal, setaraf Papagomo, namun yang salah perlu diperbetulkan.
Kalau Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, yang banyak beliau pertikai dan kritik dalam penulisannya itu, silap-silap kena saman lagi MSO ini. Malah jelas sekali melalui Bajet 2012, kerajaan Terengganu berusaha membantu rakyat memiliki rumah.
Melalui dana perumahan yang ditubuhkan Kerajaan Negeri, rakyat Terenggau akan mendapat manfaat daripadanya.
Sudahlah disaman Datuk Zaid Ibrahim, MSO rasanya tidak mampu untuk memikul beban saman berterusan kerana sebagai penulis, daripada bayar saman baik tunai haji atau umrah.
Walaupun ramai rakan blogger berkata MSO kini kaya dan tidak heran untuk bayar saman, saya mengenali MSO ketika beliau sama-sama tidak kaya seperti saya dan saya bersimpati jika dibebankan dengan saman.
Pendekkan cerita, pertamanya Ledang tidak ada di Terengganu, mungkin MSO terlalu ingatkan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang memang orang Ledang.
Yang ada hanyalah Ladang. Kawasan Ladang di tengah bandar Kuala Terengganu!
Kedua, MSO menulis berdasarkan ‘fakta hearsay’ dari sumber yang salah pulak tu. (Nota - Hearsay is information gathered by one person from another person concerning some event, condition, or thing of which the first person had no direct experience. When submitted as evidence, such statements are called hearsay evidence. As a legal term, "hearsay" can also have the narrower meaning of the use of such information as evidence to prove the truth of what is asserted. Such use of "hearsay evidence" in court is generally not allowed. This prohibition is called the hearsay rule.)
Malah, kalau kita menemubual orang yang tidak suka atau memang tahu kritik sahaja, kita tidak akan tahu kebaikan sebenar di sebalik projek ini.
Berkaitan isu penempatan di Ladang ini, atau kawasan Ladang Gemilang, banyak sudah diperkata dan banyak juga penjelasan dibuat.
Pertikaian lidah pada siding Dewan Undangan Negeri antara Ahmad Said dan wakil Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pernah berlaku mengenai isu ini. Dr Syed Azman (PAS-Batu Buruk) meminta Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ditangguh bagi membincangkan soal pengambilalihan tanah rakyat di Ladang yang didakwa menzalimi penduduk di kawasan itu. Usul itu bagaimananapun ditolak.
Gara-gara memperkatakan isu ini melalui satu program di TV1, seorang wartawan di Bilik Berita RTM khabarnya digantung tugas beberapa minggu.
Namun dalam konteks MSO ini, siapa nak gantung tugasnya. Melainlah kalau beliau mengakui kesilapan fakta.
Fakta mengenai pengambilalihan tanah di kawasan Ladang oleh kerajaan negeri Terengganu
1. Ia dibuat bagi memastikan pemilikan orang Melayu di kawasan bandar kekal dan menyusun semula pembangunan di kawasan bandar raya Kuala Terengganu kerana perkampungan itu sebelum ini kurang tersusun. Jadi tidak timbul soal kerajaan menganiaya rakyat dengan mengambil tanah di kawasan itu dan membuat pembangunan sehingga mengabaikan kebajikan penduduk seperti yang digembar-gemburkan pembangkang.
Soalan untuk MSO – tahukah MSO berapa banyak sudah tanah orang Melayu yang sudah jatuh ke tangan orang lain? Jika kerajaan negeri diberitahu pemilik mahu menjualnya, kerajaan negeri sedia berunding untuk membelinya!
2. Kerajaan Terengganu sedar tanah-tanah di kawasan Ladang yang dulunya milik orang Melayu kini sudah banyak dibeli oleh orang lain. Kerana itulah kerajaan negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan membeli semula tanah ini dan susun semula penempatan dan pembangunan di bandar raya ini.
Soalan untuk MSO – kenapa MSO tidak pertikaikan tanah milik orang Melayu di Bandar Kota Bharu banyak jatuh ke tangan orang bukan Melayu hasil kerja licik pemimpin PAS Kelantan?
3. Lembaga Tabung Amanah Warisan beli untuk dirikan bangunan untuk disewa dan pastikan 50 peratus sewa dan 30 peratus dibeli oleh orang Melayu bagi memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pemilikan kekal hak Melayu.
Soalan untuk MSO – kenapa MSO tidak bertanya mengenai harga pembinaan kondo dan apartmen itu dan berapa pula harga yang ditawarkan kepada pemilik yang dipindahkan? Tahukah MSO, subsidi kerajaan negeri kepada setiap pemilik itu mampu untuk membeli sebuah kereta Proton setaraf Waja baru?
4. Kerajaan negeri tidak pernah menzalimi rakyat, malah sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka apabila pangsapuri perumahan rakyat di Ladang Gemilang yang dijual secara sewa beli kepada penduduk yang layak, dijual dengan harga RM150,000 iaitu 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Soalan untuk MSO – Tahukah anda bahawa jika diberikan peluang secara terbuka membeli apartmen dan kondo ini, ramai rakyat Terengganu yang mahu memilikinya. Namun kerajaan negeri tidak membenarnya kerana ia milik ekslusif pemilik tanah dan mereka yang berasal dari penempatan yang diambil alih sahaja layak memilikinya. Syaratnya ketat dan dikawal rapi oleh kerajaan negeri supaya penduduk asal Ladang tidak merempat atau berpindah ke tempat lain.
5. Nilai sewa RM126 sebulan. Jumlah itu hanya kepada penerima bantuan sewa rumah dalam bandar. Ini juga formula sebagaimana pernah disebut bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Kalau mahu diungkitkan, ketika kerajaan PAS sendiri memerintahTerengganu antara 1999 - 2004, ia pernah menyerahkan tanah yang sepatutnya dijadikan taman rekreasi untuk penduduk di kawasan Kuala Terengganu kepada sebuah sebuah syarikat kroni parti itu untuk dimajukan menjadi kawasan perumahan.
Tanah seluas lebih 21 hektar di kawasan Tok Adis dibangunkan dengan projek pembangunan perumahan awam menyebabkan golongan belia tidak mempunyai kawasan untuk beriadah.
Sebaliknya dalam konteks orang kampung di kawasan itu, sebenarnya mereka lagi gembira kerajaan ambil alih tanah mereka, kerana bukan sahaja rumah, tetapi telaga dan reban ayam juga turut dihitung dalam soal pemberian pampasan kepada mereka, malah rumah juga diberi murah. Mereka yang selama ini tinggal secara haram di tanah kerajaan di kawasan Ladang juga diberi pampasan RM5,000 hingga RM6,000 walaupun sebenarnya mereka boleh dikenakan denda sebayak RM10,000 atau enam bulan penjara kerana menduduki tanah kerajaan secara haram.
Jadi mana zalimnya? Kenapa MSO tidak menemuramah mereka yang mendapat keuntungan seperti ini?
MSO nampaknya mempunyai agenda tersendiri dalam memperkatakan isu ini walaupun memperkatakan mengenai kondo yang dibina oleh kerajaan Kelantan.
Untuk pengetahuan penjenguk dan pelayar, juga MSO, syarat dan cara menjual kondo dan apartment antara kerajaan Kelantan dan Terengganu bagai langit dengan bumi.
Kerajaan Kelantan menjualnya secara pasaran bebas tetapi kerajaan Terengganu mengutamanya penduduk asal dan pemilik tanah di kawasan Ladang Gemilang berkenaan.
No comments:
Post a Comment