Namun, apakah kombinasi populariti dan aura yang dimiliki Tan Sri Mohd Isa Samad yang disifatkan sebagai pelengkap pakej yang diperlukan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang boleh menjamin kemenangan?
Tidak ada sesiapa pun yang mempertikaikan populariti yang dimiliki oleh Mohd Isa kerana beliau bukanlah orang asing di kalangan pengundi di Bagan Pinang.
Selain bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau adalah pemimpin yang dianggap ‘mesra rakyat’, selesa bergaul dengan sesiapa sahaja malah disenangi oleh masyarakat pelbagi kaum.
Berdasarkan faktor populariti itu juga Umno menurunkan Mohd Isa sebagai calon BN untuk berentap dengan calon PAS di DUN Bagan Pinang.
Persoalannya, bagaimana jika pembangkang menimbulkan isu bersih dan tidak korup?
Apakah selepas menjalani penggantungan oleh partinya, Mohd Isa kini suci daripada ‘dosanya’?
Juga apakah selepas dikenakan hukuman itu Mohd Isa kini bagaikan ‘kain putih’ yang tidak ada cacat celanya?
Apakah ini akan menjadi amalan parti bahawa sesiapa juga selepas menjalani penggantungan atau apa juga hukuman, boleh diletakkan sebagai calon atau wakil parti sama ada dalam sesuatu pemilihan atau parti?
Isu-isu ini dijangka akan diperkatakan oleh pembangkang. Jika sebelum ini DAP umpamanya berkata hanya Mohd Isa yang dapat memenangkan BN, sudah pasti selepas ini akan bertukar menjadi pemimpin korup patut ditolak.
Memanglah nama Mohd Isa sudah meniti di bibir penduduk tempatan yang mahukan beliau kembali berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Jika beliau menjadi pilihan pengundi yang akan menjalankan tanggungjawab mereka pada 11 Oktober depan, Ketua Umno Bahagaian Teluk Kemang itu akan berkhidmat kepada orang kampungya sendiri.
Muhyiddin pada mulanya tidak mengumumkan secara rasmi nama calon BN, sebaliknya beliau seakan berkias dengan meminta tetamu dan penyokong yang hadir untuk menyebut sendiri siapakan calon yang diinginkan oleh mereka sebagai calon.
"Anda mahu siapa jadi calon Bagan Pinang," soalannya disambung oleh kira-kira 10,000 tetamu yang hadir dengan jawapan 'Mohd Isa'.
Soal Muhyiddin sekali lagi: "Siapa?"
Kali ini jeritan jawapan yang kedengaran lebih kuat tetap dengan nama Mohd Isa.
Muhyiddin sekali lagi mengulangi soalannya buat kali ketiga dan lautan manusia yang membanjiri majlis tersebut tetap menyebut nama Mohd Isa.
Setelah tiga kali orang ramai menjerit nama Mohd Isa, maka Muhyiddin dengan rasminya berkata: "Kalau begitu... nah calon Bagan Pinang ialah Tan Sri Mohd Isa."
Jelas sekali aura serta populariti yang dimiliki Mohd Isa begitu kuat di kalangan penduduk tempatan malah Umno dan BN sendiri seakan akur dengan permintaan dan kehendak pengundi.
Jika diasaskan kepada jeritan dan kemahuan penduduk tempatan yang juga dianggap ‘kemahuan dan kehendak pengundi’ ia seperti mereka melupakan serta memaafkan kesalahan yang tercatat dalam sejarah karier politiknya sebelum ini.
Namun, pengundi yang dimaksudkan di sini ialah pengundi UMNO dan BN. Bagaimana pengundi atas pagar dan pengundi pembangkang?
Bolehkah mereka melupakan ‘kesalahan Mohd Isa’ yang keahliannya digantung oleh UMNO selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008) setelah didapati bersalah terhadap dakwaan amalan politik wang dalam Perhimpunan Agung Umno 2004?
Apapun, jika Mohd Isa dapat mengatasi hilang keyakinan di kalangan pengundi atas pagar dan sesetengah mereka yang bersimpati dengan pembangkang, Mohd Isa bukan sahaja membuat political comeback tetapi membuktikan bahawa mereka yang sudah menjalani hukuman sebenarnya tidak wajar untuk terus dipalitkan.
Lebih-lebih lagi jika mereka benar-benar insaf dan mahu menabur bakti kepada rakyat sebagai ‘menyucikan diri selepas berbuat dosa’.
No comments:
Post a Comment