(Isu Sabtu)
Orang di Petaling Jaya atau Kuala Lumpur mungkin menilai pengumuman PAS mengenai calonnya untuk pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu sebagai mengejutkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Wakaf Mempelam lima penggal, Mohd Abdul Wahid Endot kini mewakili Pakatan Rakyat bertanding pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini menentang calon Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Wan Mohd Farid Wan Salleh.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands pada 28 November lalu.
Beberapa laporan dan analisis menyebut banyak pihak terkejut dengan pengumuman itu tetapi sebenarnya PAS yang ‘terkejut beruk’.
Majlis penamaan calon yang dimulakan dengan solat maghrib dan solat hajat itu mulanya dikatakan akan dihadiri lebih 15,000 orang tetapi ternyata, tidak sampaipun separuh daripada jangkaan itu.
Apakah masyarakat PAS Kuala Terengganu tidak menyanjungi usaha PAS Terengganu kerana sebahagian yang datang adalah dari negeri berdekatan.
Atau ada boikot daripada PAS Kelantan yang jika mereka menghantar ‘rombongan’ sudah pasti sekitar Stadium Negeri akan sesak teruk.
Tetapi melalui jalan sekitarnya seperti majlis biasa sahaja. Dengan majlis yang separuh suram serta pengumuman yang mengejutkan orang PAS sendiri - ketika mata dan telinga tertumpu kepada Dr Syed Azman Syed Nawawi - tiba-tiba nama Mohd Wahid pula yang berkumandang.
Malaysian Insider berkata pengumuman Mohd Wahid pada saat-saat akhir memang mengejutkan dan dilihat sebagai ‘compromise’ puak-puak yang bertentangan dalam PAS yang masing-masing bermain tarik tali antara Syed Azman dan Datuk Musafa Ali.
Malaysian Insider mengatakan usaha ini bertujuan menyejukkan puak Erdogan yang lebih condong dan rapat dengan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kumpulan “Ulama” yang menyokong Hadi.
Hadi sendiri mengatakan ia adalah pertukaran saat-saat akhir. Malah menurutnya, ketika membuat pengumuman itu di Stadium Negeri di Batu Burok berkata, memilih calon PAS memang sukar tetapi "satu-satunya yang berada dalam fikiran kami merupakan calon yang berkebolehan."
Saya juga hairan kenapa Mohd Sayuti Omar (MSO) yang selalunya menulis agak keras dan lantang mempromosikan calon PAS dalam sesuatu pilihan raya tetapi kali ini ‘ke kiri dan ke kanan’ penuh diplomatik. Apakah MSO juga terkejut beruk?
Dalam postingnya semalam bertajuk “Pemilihan Wahid Kebijaksanaan Abdul Hadi”, MSO mengulas, ramai yang beranggapan Syed Azman akan dipilih berpandukan kepada beberapa petunjuk dan kehendak besar pihak tertentu dalam PAS. Namun akhirnya Tuhan tidak mentakdirkan demikian. Nama Syed Azman terkulai di saat-saat akhir. Sebabnya? Elok kalau tidak disebut.
Yang pastinya bukan kerana beliau sudah menjadi Adun, sebab Abdul Wahid juga seorang Adun. Alasan untuk tidak mengambil Syed Azman kerana beliau Adun tidak timbul dan tentulah ada sebab-sebab lain yang lebih penting dan besar daripada itu. Dengan pemilihan Mohd Abdul Wahid itu tidak ada sebab kalau antara puak yang saling menonjolkan calon masing-masing tadi untuk bersatu untuk memastikan kemenangan Mohd Abdul Wahid yang juga kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat amnya, kata MSO.
Apakah banyak yang tidak kena mengenai pengumuman Hadi ini?
Hakikatnya, ketegangan Erdogan+Klon dengan ulama jelas sehingga kini, malah Hadi pada ceramahnya pada Majlis Amanat Pilihan Raya Kecil P036 di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, baru-baru ini mengingatkan ahli, penyokong serta pendokong perjuangan PAS agar tetap teguh dengan Islam serta bersama dengan gerakan tersebut baik ketika berada dalam kesenangan mahu pun kesusahan.
Katanya, ahli PAS yang faham serta mendokongi perjuangan Islam perlu mentaati arahan kepimpinan yang dibuat secara kolektif dan syura.
Dengan nada agak keras Hadi mengingatkan penyokong PAS: “Taat diwaktu senang dan susah. Mentaati dalam semua keadaan. Setuju kita taat dan tidak setuju pun kita taat. Apa sahaja arahan yang diberi oleh pemimpin.
"Jika tahu calon dahulu baru hendak taat, itu bukan ajaran dari Allah SWT. Kita tidak menang jika ada golongan macam ini dalam PAS. Jika hendak dengar amanat kena taat dan patuh.”
Seperti MSO, saya turut tertanya-tanya di mana Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan anak didiknya, Naib Presiden Pas, Husam Musa pada majlis itu? Tidak nampak pun di pentas utama. Datangkah mereka? Kalau ada kenapa menyorok-nyorok dan tidak munasabah orang PAS tidak menjemput mereka berdua naik ke pentas.
Betul atau tidak tidak dapat dipastikan tetapi Husam dikatakan datang lewat sedikit iaitu ketika Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw sedang berucap. Tetapi “Tok Guru” tidak ada. Pemimpin lain yang ada ialah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Pas, Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mustapa Ali, Dr Tan Seng Giaw mewakili DAP serta ahli Kepimpinan Tertinggi PKR, Mustafa Kamil Ayub kelihatan dengan jelas.
Bolehkah kita katakan Naib Pesuruhjaya PAS Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah, ahli Exco Kerajaan Kelantan, Mejar Nizam Abdul Rahman mewakili Nik Aziz?
Atau Husam mewakili Nik Aziz?
Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu adalah pada 6 Januari ini dengan 11 hari berkempen.
Apakah Nik Aziz akan datang bertongkat seperti di Permatang Pauh sebelum ini dan Husam pula sanggup berkampung di Kuala Terengganu seperti ketika membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh tempoh hari?
Juga apakah Husam akan ke hulu ke hilir seperti di Permatang Pauh apabila calon ‘tajaannya’ tidak terpilih?
Amatlah jelas strategi untuk meletakkan calon Erdogan + Klon sudah gagal apabila ulama berjaya ‘memintas’ dengan meletakkan calon pilihan mereka.
Husam yang sebelum ini dilihat perancang utama dalam PAS, yang jelas tidak berani meramalkan siapa pada Rabu lepas dan ternyata turut terkejut dengan pengumuman itu.
Persoalannya, jika selama ini Husam bersusah payah memenangkan beliau di Parmatang Pauh, bagaimana Anwar dapat ‘membalas budi’ Husam pada pilihan raya ini?
Sanggupkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) turun dengan duit dan tenaga membantu Mohd Wahid sedangkan dia bukan ‘calon Husam?
Juga, apakah akan ada fatwa Nik Aziz bagi menjamin kemenangan Mohd Wahid sedangkan PAS Terengganu menolak cadangannya meletakkan Mohamad Sabu atau Dr Syed Azman sebagai calon.
Bagi saya, apa juga yang belaku dalam PAS, UMNO dan BN jangan menganggapnya sebagai berpihak kepada mereka.
Ambil perhatian terhadap kata-kata MSO bahawa: “... selalunya dan menjadi amalan PAS, perbalahan atau perebutan calon tidak akan berpanjangan dan akan tamat selepas ianya rasmi diumumkan sebab PAS lebih berwala' kepada parti daripada indiviu ataupun profesional seseorang”.
Kita tunggu hari penamaan calon Selasa ini (6 Januari 2009) untuk mengetahui apakah perpecahan pendapat dalam PAS dan mereka yang ‘terkejut beruk’berterusan atau kembali bertaut untuk merampas kerusi P36 Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment