Tuesday, November 25, 2008

AMALAN FIZIKAL YOGA OK!

Kalau saya tidak silap dalam kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) 22 November 2008 yang mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga, jelas menyebut amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya, tidak menjadi kesalahan.

Jelas MFK sudah mengamalkan sikap terbukanya.

Juga jelas, MFK hanya menasihat umat Islam agar menjauhi amalan yoga meskipun sekadar mempraktikkan pelbagai variasi senaman fizikalnya, kerana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem senaman tersebut.

‘Kalau setakat kita duduk macam yoga itu tidak ada masalah, lagi pun ia ada beratus jenis pergerakan, tetapi masalahnya amalan senaman itu adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem yoga. “‘Amalan fizikal itu hanya peringkat pertama, kita minta umat Islam berhati-hati, takut mereka tidak tahu ilmu yoga itu ke mana matlamat akhirnya dan ini mungkin boleh jadi membawa kepada kesesatan,” tegas Pengerusinya Datuk Dr Abdul Shukor Husin.

Loud and clear!

MFK juga mengatakan amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

Jadi apabila Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin semalam mula menegur Majlis Fatwa Kebangsaan tentang isu pengharaman yoga yang diumumkan baru-baru ini dengan mengatakan MFK jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif, ia mengundang polimik.

Dr Asri nampak bersetuju dengan MFK bahawa ada unsur agama lain dalam yoga tetapi berpendapat ‘tidak seperti air yang sudah tercemar yang sukar untuk dipisahkan’.

Dr Asri yang difahamkan tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan kerana dikatakan kurang selesa dengan sikap diskriminasi JAKIM kepadanya dan kenyataan Pengarah JAKIM yang tidak berapa senang dengan pandangan alternatif beliau, wajar mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada MFK.

Memberi satu lagi pandangan kedua (second opinion) tentang fatwa 'yoga' wajar namun dengan sudah jelas dinyatakan oleh Dr ASbdul Shukor bahawa - amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya, tidak menjadi kesalahan

- bukankah ia suatu suatu alternatif?

Dr Asri seperti dilaporkan mStar semalam meminta supaya ditanggalkan yang bertentangan sahaja, sama ada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Dan beliau meminta dikekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan.

Jika Dr Asri bimbang bahawa fatwa yang dikeluarkan pada zaman sekarang hendaknya jangan terlalu rigid dan berilah alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga yang baik untuk kebaikan kesihatan, kenyataan Dr Asri ini adalah ulasan biasa jika tidak diulas oleh DR Asri pun tidak mengapa.

Jika benar Dr Asri tidak menghadiri mesyuarat MFK dan meminta majlis itu tidak terlalu kaku, ia perbuatan yang tidak adil kerana tidak mengetahui secara jelas, biarpun mungkin mendapat maklumat daripada orang lain.

Benar seperti dikatakan Dr Abdul Shukor, bahawa “‘Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan pada peringkat ini, kita menggunakan pendekatan menasihat dan memaklumkan kepada umat Islam tentang pandangan Islam terhadap yoga. Soal sama ada pandangan muzakarah akan dijadikan fatwa yang diwartakan, itu terpulang kepada kerajaan-kerajaan negeri dan dari segi penguatkuasaan, itu bukan bidang kita.”

Apa pun nasihat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah bahawa sebarang keputusan fatwa pada masa depan yang menyentuh isu melibatkan masyarakat umum sebaik-baiknya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum diumum sangat baik.

Menurut baginda ia adalah bagi memastikan supaya kaedah menyalurkan sesuatu keputusan fatwa itu dapat dilaksanakan secara bijaksana bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kontroversi.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, akan bersidang membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam berkenaan aktiviti senaman yoga di Selangor, dan selepas keputusan muktamad dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, ianya akan disembahkan untuk perkenan baginda.

Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa juga menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang dengan mengamalkan yoga boleh menyatukan mereka dengan Tuhan.

Yoga yang menjadi amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

No comments:

Post a Comment