Showing posts with label Wanita. Show all posts
Showing posts with label Wanita. Show all posts

Tuesday, March 8, 2011

ANWAR LABEL DR MAHATHIR PEMBOHONG BESAR, PECAT KERANA TAKUT DICABAR

Baca dan renung apa yang diperkatakan mengenai seseorang yang dianggap 'anak emas' Tun Dr Mahathir Mohamad antara awal 1990-an hingga akhir dekad 1990-an.

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas pelbagai dakwaan dibuat oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir dalam buku autobiografinya yang dipasarkan bermula hari ini.

“Dr Mahathir pembohong besar, (dengan) amnesia yang selektif,” kata Anwar kepada The Malaysian Insider menerusi e-mel hari ini menjawab perkara-perkara disentuh bekas ketuanya itu dalam buku tersebut.

Kata Anwar (gambar), dakwaan-dakwaan yang digariskan Dr Mahathir dalam bukunya bukan sesuatu yang baru dan secara konsisten telah menjawab perkara tersebut sejak sebelum dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

“Saya telah menafikan dakwaan ini secara terbuka sejak 1997. Rujukan beliau kepada empat wanita, saya nafikan,” kata Ketua Umum PKR ini.

Anwar, kini Ketua Pembangkang di Parlimen juga berkata beliau tidak mengulas dakwaan berhubung aktiviti homoseksual kerana dari segi “konteks” yang sebenar telah pun menafikan dakwaan berkaitan hubungan seks melibatkan empat wanita.

“Dalam konteks itu, saya tidak menyebut mengenai (dakwaan) liwat,” kata Anwar lagi.

Dalam bukunya ini, Dr Mahathir menulis bahawa beliau memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri atas dua sebab iaitu tidak layak untuk berkhidmat dalam kerajaan dan juga untuk menggantikannya sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun Anwar menegaskan bahawa pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri ekoran keputusan dibuat oleh beliau selaku pemimpin nombor dua ketika itu.

“Keputusan berhubung pemecatan saya: keputusan saya agar Price Waterhouse Coopers menyiasat penyelewengan kewangan melibatkan Tan Sri Eric Chia dan Perwaja,” kata Anwar.

Malah Anwar juga berkata Dr Mahathir menganggapnya sebagai ancaman dan bimbang akan mencabarnya kerana tahu tentang rasuah di kalangan keluarga Dr Mahathir.

“Kebimbangan akan dicabar: saham-saham dan kontrak-kontrak kepada Mokhzani (Mahathir) dan Mukhriz (Mahathir) serta ‘bailout’ bagi Mirzan (Mahathir),” tambah Anwar.

Dr Mahathir mendakwa Anwar telah dibekalkan empat wanita untuk mengadakan hubungan seks sebelum beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Bekas timbalan presiden itu berkata beliau ada menemu bual wanita-wanita yang memberitahunya bahawa mereka telah dibawa untuk mengadakan hubungan seks dengan timbalannya ketika itu, yang kemudian didakwa dan dihukum penjara berhubung tuduhan kes liwat dan salah guna kuasa.

Dr Mahathir menulis bahawa mereka dipujuk agar berbuat demikian oleh seorang lelaki India bersama Nalla, dipercayai Datuk K. S. Nallakarupan, ketika itu rakan Anwar.

Nallakarupan telah memutuskan hubungan dengan Anwar selepas pemilihan PKR tahun 2007.

“Dia telah membawa setiap perempuan secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills. Di sana mereka bertemu dengan seorang yang (mereka) kenalinya sebagai timbalan perdana menteri.

Mereka telah diminta menanggalkan pakaian untuk tujuan mengadakan hubungan seks,” tulis Dr Mahathir.

“Dua daripada mereka enggan (mengadakan hubungan seks) tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka sudi untuk bercakap kepada polis dan kepada saya tetapi berkeras tidak mahu muncul di mahkamah untuk memberi keterangan,
” kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkata beliau memanggil pemimpin-pemimpin Umno termasuk ketua-ketua menteri dan menteri-menteri besar ke kediaman rasminya Sri Perdana di sini untuk memberi taklimat mengenai perkara itu dan menunjukkan mereka gambar para saksi.

“Dia mengisytiharkan dia tidak melakukan sesuatu yang luar biasa dan menegaskan bahawa setiap orang termasuk kesemua ahli Majlis Tertinggi memang ada berbuat demikian,” tulis Dr Mahathir mengenai pendirian Anwar membela dirinya di hadapan kepimpinan tertinggi Umno.

“Ketika penjelasan panjang lebar, Anwar tidak pernah dirujuk kepada soal hubungan homoseks, hanya fokus hubungan dengan wanita,” katanya.

Anwar kini berhadapan dengan tuduhan kes liwat kali kedua.

Thursday, June 24, 2010

JULIA GILLARD PM WANITA AUSTRALIA PERTAMA

Tahniah untuk kaum wanita. Mereka membuktikan sekali lagi mampu melakukannya.

Julia Gillard menjadi Perdana Menteri wanita pertama Australia selepas parti pemerintah menyingkirkan bekas pemimpin nombor satu, Kevin Rudd sebagai ketua Parti Buruh.

Gillard yang menang tanpa bertanding kini menjadi perdana menteri ke-27 di negara itu dan merupakan pemimpin wanita pertama.

Beliau telah memilih Bendahari, Wayna Swan sebagai Timbalan Perdana Menteri, perkara itu diumumkan oleh Senator Michael Forshaw selepas mesyuarat kokus.

Sebagai Perdana Menteri baru, beliau akan memimpin parti bagi menghadapi pilihan raya dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Gillard mendapat 74 undian daripada 112 undian kokus, sokongan majoriti di dalam parti berkenaan.

“Rudd dan Gillard sudah dijangka akan bertanding, tetapi Rudd meletakkan jawatannya pada saat akhir. Rudd mengambil keputusan selepas 25 minit di dalam mesyuarat selepas mendapat tekanan daripada pelbagai laporan yang akan mengatakan beliau akan kalah.

“Tindakan itu sekaligus memberi laluan kepada Gillard untuk menjadi ketua Parti Buruh dan perdana menteri yang baru,” kata pegawai kerajaan Buruh, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita China, Xinhua pada Khamis.

“Beliau (Gillard) akan mengangkat sumpah dalam waktu terdekat,” kata Forshaw yang turut menambah bahawa beliau kini yakin terhadap pilihan raya seterusnya akan diketuai kumpulan baru.

Rudd mengetuai Parti Buruh selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya pada tahun 2007 selepas 11 tahun sebagai pembangkang.

Gillard sebelum ini menjadi Timbalan Perdana Menteri Australia yang merupakan wanita dan rakyat asing pertama memegang jawatan tersebut sejak 3 Disember 2007.

Beliau yang dilahirkan pada 29 September 1961 di Barry, Wales, United Kingdom sebelum ini pernah menjadi Menteri Pelajaran, Menteri Perhubungan Pekerjaan dan Tempat Kerja serta Menteri Hal Sosial.

Gillard menjadi ahli Parti Buruh Australia sejak pilihan raya persekutuan sejak tahun 1998 mewakili Divisyen Buruh di Victoria.

Friday, February 19, 2010

NGO ISLAM BANTAH HUKUM SYARAK

Wajarkah kenyataan menyifatkan sebatan syariah sebagai zalim dan kejam? Apakah tindakan itu boleh dianggap keterlaluan?

Atau apakah kenyataan itu menggambarkan pihak berkenaan tidak mempunyai asas perundangan dan Hukum Syarak.



'Sebat insafkan kami' - Kumpulan tiga wanita Islam pertama yang menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di Penjara Wanita Kajang tidak mahu mengulangi kesilapan mereka.


Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pada 9 Januari lepas buat pertama kali hukuman sebat dijalankan ke atas wanita membabitkan tiga pesalah jenayah syariah.

Kenyataan itu membawa respons daripada beberapa pihak termasuk NGO yang antara lain menyifatkannya sebagai zalim dan diskriminasi terhadap kaum wanita.

Sedangkan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengatakan sebatan syariah mempunyai falsafah yang tersendiri dan berakar umbi daripada sumber hukum Islam yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

PPMM juga mengatakan dengan mempertikaikan efektif atau tidaknya hukuman sebatan Islam ini samalah seperti mempertikaikan hikmah dan mukjizat al-Quran dan Rasul.

Pertikaian timbul apabila munculnya berita mengenai tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah.

Dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

PEGAWAI Jabatan Mufti Negeri Pahang menunjukkan cara sebatan kes peminum arak dan zina pada satu seminar di Kuantan, baru-baru ini.


Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Tahun lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari kerana kesalahan meminum arak, mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan hukuman berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini.

Beberapa pihak termasuk NGO mempertikaikan hukuman itu yang didakwa sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun Kartika sendiri rela untuk dikenakan sebatan.

Bantahan dan pertikaian mengenai hukuman ini semakin kuat, khususnya daripada badan pertubuhan bukan-kerajaan Islam sendiri.

Selain membantah pelaksanaan hukuman sebat terhadap tiga wanita Islam yang diadakan pada 9 Februari lalu mereka juga mempersoalkan tindakan kerajaan merahsiakan pelaksanaan hukuman berkenaan daripada pengetahuan masyarakat sehingga didedahkan melalui media kelmarin.

Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS), Dr Hamidah Marican berkata, pihaknya mengutuk hukuman sebat berkenaan kerana bertentangan dengan undang-undang sivil Seksyen 289 Kanun Tatacara Jenayah yang menghalang hukuman sebat dijalankan terhadap wanita.

"Kami amat terkejut dengan tindakan pihak penjara melakukan hukuman sebat terhadap tiga wanita muslim itu."Kami juga ingin mempersoalkan motif kerajaan meneruskan hukuman sebat berkenaan walaupun isu mengenai kes Kartika (Sari Dewi Shukarno) masih belum selesai," katanya.

Hamidah turut menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya mengambil tindakan berhubung perkara ini termasuk isu yang melibatkan Kartika.

Pengarah Eksekutif Pusat Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Maria Chin Abdullah berkata semalam, pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan itu kerana dianggap melanggar prinsip hak asasi manusia terutamanya terhadap wanita.

"Sebagai NGO wanita kami amat kecewa dengan hukuman berkenaan, hukuman sebat terhadap kaum wanita adalah melanggari hukum hak asasi manusia," katanya kepada mStar Online semalam.

Jelas Maria lagi, kerajaan sepatutnya perlu mendedahkan kepada masyarakat berhubung hukuman berkenaan sebelum apa-apa tindakan diambil.

"Mengapa kerajaan jalankan hukuman sebat itu tanpa memberitahu rakyat terlebih dahulu, mengapa buat secara rahsia?

"Ini bukan perkara kecil, hukuman sudah dijalankan baru kerajaan dedahkan," katanya.
Selain itu, Maria turut menggesa agar kerajaan mengkaji semula Undang-undang Syariah di negara ini.

"Kita harap kerajaan dapat mengkaji semula Undang-undang Syariah yang sedia ada sekarang.
"Memang ada masalah kalau negara kita ada dua undang-undang... sivil dan syariah," katanya.

Berikutan bantahan itu PMM menyifatkan kenyataan beberapa pihak yang mempertikaikan sebatan syariah ke atas tiga pesalah syariah wanita baru-baru ini memperlihatkan masih ada yang tidak memahami dwisistem perundangan yang diamalkan di negara ini.

Presidennya Zainul Rijal Abu Bakar berkata kenyataan oleh Sisters in Islam (SIS), Majlis Peguam dan beberapa pihak lain juga membayangkan mereka tidak pernah melihat bagaimana hukuman sebat syariah dijalankan.

"Perlulah ditegaskan sekali lagi di sini bahawa sebatan syariah jauh berbeza daripada sebatan sivil.

"Sebatan syariah tidak mencederakan mahupun melukakan pesalah berbanding dengan sebatan sivil yang meninggalkan parut dan kesan dalam jangka masa dua tahun.

"Sebatan syariah adalah umpama bapa atau guru yang merotan anak yang telah melakukan kesilapan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

"Dalam masa yang sama PPMM bersetuju sebatan sivil itu adalah kejam dan perlu dihapuskan. Sebatan sivil itu juga tidak Islamik. Sebatan yang mencedera dan mengerikan itulah yang patut dihapuskan kerana melanggar hak asasi manusia.

"Malah Resolusi Majlis Peguam yang diluluskan beberapa tahun lepas juga memberi penekanan aspek kekejaman sebatan sivil. Ini adalah kerana sebatan syariah tidaklah sekejam yang digambarkan itu," katanya.

Beliau berkata PPMM percaya anggotanya di dalam Majlis Peguam juga tidak bersetuju sebatan syariah dihapuskan.

Zainul Rijal seterusnya meminta agar hukuman sebatan syariah yang masih belum dilaksanakan termasuklah kes Kartika Sari Dewi Sukharnor dilakukan segera agar keadilan kepada pesalah syariah itu sendiri dapat dilakukan.

"PPMM menyokong usaha kerajaan memartabatkan perundangan syariah melalui sebatan syariah bagi pesalah yang telah disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman sebat," katanya.

Baca rencana berikut dalam Berita Harian:

Hukuman sebat menusuk jiwa
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my


KAJANG: Tiga wanita kumpulan pertama yang menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, reda disebat dan mengakui hukuman itu memberi mereka kesedaran yang cukup mendalam.

Mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, Aishah dan Nur, juga mengakui hukuman itu tidak menyakitkan seperti yang disangka sebelum ini.

Ayu, 20-an, yang juga ibu kepada bayi berusia kira-kira setahun, berkata hukuman sebatan itu tidak mencederakan atau menyakitkan, sebaliknya bertujuan memberi keinsafan dan mengurangkan tekanan jiwa.

"Hukuman itu memberi kesedaran mendalam dalam jiwa saya. Allah memberi peluang untuk saya bertaubat dan kembali ke jalan-Nya," katanya kepada pemberita di Penjara Wanita Kajang di sini, semalam.

Ayu dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara dua bulan dan empat sebatan. Dia juga didenda RM1,000 mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 selepas menyerah diri di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).


Katanya, dia tidak mengemukakan rayuan kerana reda dengan apa juga hukuman yang diputuskan mahkamah.

"Saya wajar menerima hukuman itu, jika tidak saya tak akan sedar sampai bila-bila," katanya.

Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Semalam, wakil media juga menyaksikan demonstrasi hukuman sebat ke atas pesalah syariah wanita. Mengikut undang-undang syariah, hukuman itu hanya dijalankan ke atas pesalah yang disahkan sihat oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.

Selain itu, hukuman dilaksanakan dalam keadaan pesalah menutup aurat oleh pegawai sebat wanita. Rotan yang digunakan pula berukuran maksimum 1.22 meter panjang dan ketebalan 1.25 sentimeter bergantung keputusan mahkamah.

Menceritakan detik disebat pada 9 Februari lalu, Ayu berkata, selepas menerima sebatan pertama, dia memperbanyakkan istighfar.


"Apa yang terlintas dalam fikiran saya ketika itu hanya mengharapkan keampunan daripada Allah," katanya yang akan melangsungkan perkahwinan sebaik saja pasangannya dibebaskan, akhir bulan depan.

Ayu berkata, walaupun gerun mendengar hukuman yang bakal diterimanya, dia mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas agama di penjara dan banyak mengerjakan solat taubat meminta keampunan daripada Allah.

Aishah, 18, pula berkata dia terkejut dan terduduk ketika Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara, enam sebatan dan denda RM3,000 pada Disember lalu. Pasangannya yang dikahwininya pada Oktober lalu, turut dikenakan hukuman yang sama.

"Walaupun berdebar, saya reda dan patut terima hukuman itu kerana hukuman di akhirat lebih hebat tetapi sekurang-kurangnya saya insaf.

"Saya tidak buat rayuan kerana tidak mahu menyusahkan lagi ibu bapa saya yang mengharapkan saya menjadi manusia berguna," katanya yang kematian bayi pramatang berusia tujuh bulan pada November lalu.

Katanya, keluarganya hanya mengetahui dia mengandung ketika kandungannya berusia enam bulan dan memaksanya berkahwin dengan pasangannya.

"Walaupun tertekan dengan kesilapan lalu, saya tidak tergamak untuk membunuh bayi dalam kandungan kerana tidak mahu menanggung satu lagi dosa besar tetapi malangnya bayi meninggal dunia selepas dilahirkan tidak cukup bulan," katanya.

Sementara itu, Nur, 20-an, berkata hukuman enam sebatan yang dilaluinya dapat mengurangkan tekanan jiwa yang ditanggung selepas melahirkan anak luar nikah hampir tiga tahun lalu.

Menganggap diri sebagai insan terpilih kerana diberi peluang menjalani hukuman berkenaan, Nur berkata, dia tidak merasai kesakitan ketika disebat kerana reda dengan hukuman itu.

Katanya, dia tidak dapat berkahwin dengan pasangannya yang juga menerima hukuman sama di Penjara Kajang walaupun selepas melahirkan anak perempuan kerana berdepan dengan masalah wali apabila bapanya meninggalkan keluarga termasuk ibunya yang sakit sejak enam tahun lalu.

Tanpa menyalahkan keadaan keluarganya, dia menganggap kejadian yang berlaku berpunca daripada kesilapan diri sendiri.

"Selepas menjalani hukuman ini, saya berserah kepada Allah semoga diampunkan segala dosa kami," katanya.

Friday, February 20, 2009

KAMALIA NAIB KETUA WANITA UMNO

Tahniah Datuk Kamalia Ibrahim.

Ketentuan Allah mengatasi segala-galanya. Menang percuma, percumalah. Menang juga!
Kamilia menang apabila Shahrizat sah tidak tanding Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO.
Sah sudah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hanya akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Perkembangan terbaru menunjukkan Shahrizat menolak untuk bertanding jawatan Naib Ketua dan ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan parti Mac ini.

Ini bererti, perebutan jawatan nombor satu dalam pergerakan itu akan menyaksikan pertarungan sengit antara Shahrizat dan Tan Sri Rafidah Aziz yang menyandang jawatan tersebut.

Menurut Utusan Malaysia hari ini, Jurucakap Pejabat Setiausaha Agung UMNO mengesahkan keputusan Shahrizat untuk bertanding jawatan nombor satu pergerakan itu.

Katanya, borang pengesahan penerimaan dan penolakan jawatan yang dikembalikan oleh Shahrizat baru-baru ini menunjukkan beliau menolak untuk bertanding jawatan Naib Ketua dan ahli MT .

“Perkara ini dapat disahkan daripada jawapan beliau melalui borang pengesahan penerimaan dan penolakan pencalonan jawatan bagi tempoh tiga tahun (2008–2011) yang dipulangkan baru-baru ini,” katanya.

Friday, December 12, 2008

ABDULLAH TERLUPA DUA JANJINYA?

Mana kenyataan rombakan Kabinet dan penyelesaian ‘kemelut wanitaUMNO’?

Perdana Menteri sudah pulang dari lawatan ke Turkmenistan kira-kira 20 hari.

Ketika di Ashgabat pada 19 November lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan akan membuat satu rombakan Kabinet yang melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio dalam masa terdekat.

Sementara sehari sebelum itu di Tashkent Uzbekistan, Abdullah yang juga Presiden UMNO, akan ‘menyelesaikan’ kemelut dalam pergerakan Wanita parti itu sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air dari lawatan rasminya ke dua buah negara di Asia Tengah itu.

Apakah Abdullah menunggu keputusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu untuk melakukannya?

Apakah bakal calon Barisan Nasional (BN) jika menang bukan sekadar mengisi jawatan Timbalan Menteri, sebaliknya akan dinaikkan pangkat menjadi Menteri kerana memenangi pilihan raya kecil itu?

Abdullah ketika di Ashgabat berkata: “Rombakan itu tidak hanya untuk mengisi jawatan yang kosong (itu sahaja).”

Berikutan itu, banyaklah ramalan dan andaian nakal termasuk mengatakan Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan dilantiki menjadi Menteri.

Tujuannya ialah memperkukuhkan kedudukan beliau untuk bertanding Timbalan Presiden UMNO.

Sementara Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin pula akan ditukarkan ke kementerian lain kerana Abdullah merasakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sudah ‘melampau’ dan terlalu ‘laju’ mengejar kedudukan dalam parti.

Abdullah pernah berang dengan Muhyiddin ketika di Kota Kinabalu apabila menegur menteri berkenaan kerana kenyataan-kenyataannya berkaitan peralihan kuasa.

“Rombakan Kabinet itu akan melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio. Semua kemungkinan rombakan itu sentiasa ada,” katanya kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara berkenaan.

Berikutan itu timbul juga spekulasi bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri kepada Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat, bagaimanapun tiada sebarang surat perletakan jawatan dibuat.

Bernama yang memetik sumber sebagai berkata, Ka Chuan menyerahkan “surat peletakan jawatan tanpa tarikh” ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti 18 Oktober lalu.

Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden.

Dalam isu kemelut Pergerakan Wanita UMNO, Presiden itu berjanji akan menyelesaikannya, sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air dari lawatan rasminya ke dua buah negara di Asia Tengah.

Katanya, beliau tidak mahu memihak kepada mana-mana pihak “kerana tidak mahu mengganggu mereka”, namun beliau tidak mahu masalah itu akan membawa kepada perpecahan hingga pergerakan itu menjadi lemah.

“Saya dengar ada berlaku perebutan dan persaingan di dalam pergerakan itu. Mereka yang bagi undi kepada calon-calon ini mungkin nak biar semua ini berlaku, tapi saya berharap janganlah berlaku perpecahan,” katanya.

Namun sehingga kini tiada penyelesaian konkrit terhadap kemelut berkenaan dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kini sah akan menentang Ketua Wanita sekarang, Tan Sri Rafidah Aziz.

Shahrizat mendapat 73 pencalonan untuk bertanding dengan penyandang, Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Wanita, dan 113 pencalonan untuk jawatan Naib Ketua.

Abdullah sudah menasihatkan mereka apabila berkata: “Saya tidak mahu perpecahan, pergaduhan hingga jadi lemah. Wanita bukan pergerakan yang cetek dan bukannya baru.”

Beliau berjanji akan mencari penyelesaian bagi memelihara kekuatan pergerakan itu.
Sehingga kini belum ada formula menyelesaikan kekusutan Wanita UMNO Malaysia diumumkan.

Apakah dengan sunyi dan sepinya kenyataan daripada Shahrizat dan Rafidah kebelakangan ini adalah hasil campurtangan Abdullah?

Jika demikian, Presiden UMNO itu sudah mengotakan janjinya tetapi berdasarkan kedudukan sekarang, kita boleh menunggu apa cadangan beliau mengatasi kemelut ini dalam masa tedekat.

Tuesday, November 25, 2008

RIFIDAH, SHAHRIZAT HENTILAH MEMBEBEL

Baik henti membebel. Semakin melalut. Kedua-dua dah dapat bertanding dah!

Seorang pertahankan jawatan dan seorang lagi menginginkan jawatan. Kedua-duanya ‘demi UMNO’.

Lebih banyak bercakap akan membuka pekung di dada (?), baik duduk diam-diam. Mulut orang perempuan bahaya.

Perkemaskan saf dan tunggu hari ‘pesta tarik rambut’ Mac depan. Siapa menang kena buat kerja kuat. Yang tidak menang pun kena buat kerja kuat sebab awak pun bertanding, Cuma tidak bernasib baik.

Rafidah dan Shahrizat sudah menyatakan kenapa mereka bertanding dan kedua-duanya juga sudah menyatakan isi hati masing-masing. Dalam media pulak tu. Sampai muka depan akhbar berhari-hari.

Benar kata Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique agar semua pihak diminta tidak 'menelanjangkan' Pergerakan Wanita UMNO dengan menyebarkan keburukan dan fitnah terhadap Rafidah dan Shahrizat bagi menghangatkan lagi pertandingan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.

Dibimbangi persaingan sengit itu nanti dikhuatiri mewujudkan golongan yang berkempen secara agresif termasuk mengutuk, mengaibkan dan menggunakan media massa bagi memastikan pemimpin yang disokong menang.

"Hentikanlah perangai buruk seperti itu sebaliknya pertandingan mestilah berasaskan keyakinan dan keikhlasan untuk memperjuangkan nasib Melayu," katanya yang juga Exco Wanita UMNO .

Utusan Malaysia memetik beliau mengulas keputusan Rafidah yang merupakan Ketua Wanita UMNO dan juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mempertahankan jawatan itu selepas Naibnya, Shahrizat mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu sayap itu.

Halimah mendedahkan, golongan tersebut akan bertindak seolah-olah kumpulan pendesak yang memberi tekanan kepada Rafidah dan Shahrizat bagi menghangatkan lagi pertandingan hingga memalukan sayap wanita itu.

Perdebatan mengenai pertandingan itu perlu dihentikan kerana semua anggota dan perwakilan sayap sudah matang untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak bagi menerajui Wanita UMNO yang menjadi tulang belakang UMNO.

Hakikatnya, kemelut Wanita UMNO jika dibiarkan akan bertambah parah.

Presiden UMNO kena bertindak. Buat ruling supaya kedua-duanya jangan bercakap banyak. Cakap hal nak bina UMNO lebih baik.

Nasib baik isu politik wang tidak melanda Wanita UMNO. Jawatan tinggi lain dalam UMNO dan Pemuda sudah dikaitkan dengan politik wang.

Kalau ada politik wang dalam Wanita UMNO lagi parah.

Habis segala batik, songket, beg tangan, jam tangan, alat solek, segala-galanyalah kata. Hanya mungkin tidak ialah tuala wanita.

Tak taulah UMNO zaman Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) ni macam-macam.
Terbuka sungguh, sampai terselak kain atas peha. Kalau macam itu baik pula orang yang pakai skrit seperti dalam Wanita MCA atau Gerakan atau MIC yang lagi hebat nampak perut tidak bergolak seperti Wanita UMNO.

Sunday, November 23, 2008

RAFIDAH - MENANG PILIHAN RAYA LEBIH PENTING...

Ada orang mengatakan peralihan kuasa perlu dilakukan pada Jun tahun depan kerana Tan Sri Rafidah , 65 ‘gila jawatan Kabinet'.

Semalam beliau menafikan sekeras-kerasnya pandangan itu kerana baginya peralihan di buat demi kepentingan kuasa UMNO dalam pilihan raya akan datang.

Tidak tahulah sama ada beliau merujuk kepada seseorang atau beberapa orang. Utusan Malaysia melaporkan 11 November lalu, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani ada berkata, beliau tidak nampak alasan kukuh untuk tidak mempercepatkan pelan peralihan kuasa Wanita dari Jun ke Mac melainkan kemungkinan Rafidah masih menaruh harapan kembali ke Kabinet.

''Yalah, era Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), Rafidah tidak terpilih, mana tahu apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih selepas Mac ini, Rafidah kembali ke Kabinet, kata Aishah.

Namun saya yakin soal peralihan kuasa ini sudah ‘berbiuh’ diperjelaskan Rafidah kepaada Exco Wanita tetapi selepas masuk beberapa ketika ke lubang telinga kanan, ia kemudian berasap-asap mahu keluar pula ke telinga kiri.

Tidak munasabah pemimpin Wnita UMNO tidak faham apa yang cuba diperjelaskan oleh Rafidah.

Namun oleh kerana ada perkara lain atau kerana ada gerakan untuk mencabar beliau sebagai ketua pergerakan itu menyebabkan pelan itu terpaksa dimusnahkan sendiri oleh Wanita UMNO selepas ia dipersetujui.

Tidak salah sedikit pun jika Ketua Wanita UMNO itu mengatakan gerakan berkenaan itu wujud biarpun pelan peralihan kuasa - untuk menyerahkan jawatan ketua Wanita kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil - pada Jun 2009 dipersetujui dengan sebulat suara sebelum ini.

Siapa yang dok ‘pam’ Shahrizat hingga menyebabkan beliau tiba-tiba ‘naik syok’ nak bertanding melawan Rafidah?

Semua sudah tahu bahawa mengikut pelan peralihan kuasa,- selepas kekal sebagai ketua Wanita,- Rafidah akan menyerahkan jawatan itu dalam keadaan yang sebaik-baiknya.
Malah sebelum ini, kalau ada yang tidak suka pun kepada pelan peralihan itu, suara yang dikeluarkan pun bagai ‘suara mengerang dalam selimut’ kerana Rafidah akan berunding dengan Shahrizat dalam melantik ketua Wanita UMNO negeri.

Tidakkah ini bermakna ketua Wanita UMNO negeri semuan ya ‘orang Shahrizat?”.

Benarlah juga jika mempersoalkan tindakan Shahrizat yang hanya mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan ketua Wanita selepas mesyuarat Wanita Umno bahagian berakhir.

Menurut laporan Malaysiakini, Rafidah ada mengatakan: “Saya memang hendak serahkan elok-elok kepadanya, jadi buat apa dia bangkit lagi kononnya saya sudah tidak ada penyokong.

"Jangan guna kempen kononnya untuk pembaharuan. Tidak ada orang lama Umno akan hancur. Kita terima yang baru untuk digandingkan dengan pemimpin Wanita yang lama," katanya.

Rafidah turut mendedahkan banyak bahagian Wanita yang mahu mencalonkan calon lain selain Shahrizat bagi bertanding jawatan naib ketua Wanita Umno namun beliau tidak mahu mereka mencalonkan orang lain kerana mahu berpegang kepada pelan peralihan kuasa yang telah ditetap dan dipersetujui pada Jun 2009.

Banyak bahagian difahamkan mahu mencalonkan Datuk Halimah Sadique, Datuk Maznah Mazlan serta Datuk Seri Azalina Othman Said untuk calon jawatan naib ketua tetapi kerana wujudnya pelan peralihan itu, Azalina tidak cukup kuota pencalonan sementara yang dua lagi itu ‘berdiam diri’.

Sebagai orang lama dalam politik, Rafidah boleh menerima dan tidak mungkin bermusuh dengan naib ketuanya itu dan begitulah dengan Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman apabila beliau berkata: “Saya masih boleh bersama, bertegur dan bercakap dengan Dr Siti Zaharah.

Katanya dengan pencalonan iaitu 117 pencalonan, beliau tidak cabar Shahrizat sekadar mempertahankan jawatan.

Kerana itu dalam soal ini, Rafidah tetap mempertahankan untuk mengekalkan peralihan kuasa sehingga Jun 2009 bertujuan memperkuatkan Wanita Umno, kerana pada pendapatnya, setelah rakyat menolak UMNO di beberapa negeri, kekuatan Wanita Umno dilihat berkurangan.

Rafidah mengakui: “Kelemahan wanita Umno telah menyebabkan kekalahan parti dalam pilihanraya umum lalu. Kalau orang kata, saya mengekalkan jawatan ketua semata-mata untuk mendapatkan jawatan kabinet, itu adalah kerja gila," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Cuma yang sampai waktu ini Rafidah tidak faham ialah mengapa Shahrizat mahu bertanding jawatan ketua Wanita sedangkan beliau (Shahrizat) sendiri telah setuju dari awal lagi mengenai penyerahan kuasa itu.

Kata Rafidah: “Dalam mesyuarat Exco Wanita, Shahrizat tidak pernah bercakap yang beliau tidak setuju dengan pelan peraihan kuasa (Jun) itu, walaupun saya beri peluang kepada dia untuk bercakap mengenai ini, tapi beliau tidak cakap, tapi sebaliknya tetap setuju dengan peralihan kuasa. Saya hairan mengapa selepas pencalonan tamat, isu pemangku jawatan ketua Wanita dibangkitkan. Kalau tidak setuju dengan jawatan pemangku, mengapa tidak diberitahu atau dibangkitkan lebih awal?”

Sebagai orang lama Rafidah mengatakan jawatan pemangku ketua dalam Umno bukan perkara baru.

Menurutnya:

• Tun Hussein Onn menjadi pemangku presiden selama satu tahun 9 bulan;

• Datuk Seri Hishammuddin Hussein jadi pemangku ketua Pemuda selama dua tahun; dan

• Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, juga pernah memangku presiden Umno beberapa ketika;

Berikutan itu, jawatan pemangku tidak ada kurangnya tetapi yang penting ialah kerja yang perlu dilakukan untuk parti. Tegasnya, yang ada hanyalah kerja dan tanggungjawab dan bukan masalah besar walaupun menjadi pemangku kerana ada exco dan ada Ketua Wanita Negeri selain Ketua Wanita Bahagian.

Tegas Rafidah: “Yang paling penting menghadapi pilihanraya umum ke-13... Jangan lagi kita mengalami kekalahan yang baru.”

Beliau bertanya, “kerja adalah sama, kalau pemangku ketua Wanita tidak ada kuasa, apa kuasa yang ada pada ketua wanita?”

Sokongan kepada Rafidah tidaklah buruk sangat kerana semalam ketua Wanita dari lima negeri - Pulau Pinang, Johor, Pahang, Kelantan dan Selangor datang menyatakan sokongan kepadanya.
"Mereka ini bukan saya panggil, mereka datang sendiri," katanya.

(RALAT – dalam posting bertajuk Wanita Juga Sudah Pandai Main Belakang semalam – saya melakukan kesilapan menaip meletakkan umur Tan Sri Rafidah Aziz 56 tahun - sebenarnya 65 – Maaf di atas kesilapan).

Saturday, November 22, 2008

WANITA UMNO PUN PANDAI ‘MAIN BELAKANG’

Depan lain, belakang lain. Depan kata tidak mahu bertanding, belakang lain pula jadinya.

Itulah kalau sudah pandai ‘main belakang’. Akan makin panas dan berapilah Wanita UMNO yang dulunya menjadi sebuah pergerakan yang ‘cool’ dan sering menjadi rujukan sebagai ketenteraman dalam UMNO.

Selalunya Pergerakan Pemuda UMNO yang berasap-asap kerana ada sahaja pertandingan merebut Ketua Pemuda.

Ada kawan saya berkata, Tan Sri Rafidah Abdul Aziz, 56, akan tergolek sekali lagi kali ini dan jatuh ‘bagai nangka busuk’ (ambil istilah Datuk Seri Rais Yatim).

Nanti dulu, kata saya. Bertenang!

Semua kena ingat, Rafidah biar berumur sedikit tua berbanding Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tetapi bukan calang-calang pemimpin. Sebagai orang yang pernah kalah dalam pertandingan, ‘Kak Fidah’ tidak hairan kalau terjunam pun.

Dia tidak akan rugi apa-apa. Shahrizat mungkin lebih merasa sakitnya kalau kalah.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menerajui Wanita UMNO sejak 1984 kecuali satu penggal berikutan kekalahannya kepada Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan parti 1996 dan pastinya sudah tahu bagaimana peritnya apabila kalah dan dimalukan sedemikian.

Pada Ogos lalu, Rafidah mengumumkan akan menyerahkan jawatannya kepada Shahrizat melalui satu pelan peralihan yang dijadualkan pada Jun 2009.

Orang yang sudah merasai kalah dan menang tidak jadi soal lagi baginya dalam sebarang pertandingan. Namun bagi Shahrizat, pertandingan untuk jawatan no 1 Wanita UMNO ini adalah debut baginya, dia boleh menggeletar sampai ke tumit.

Bagaimana agaknya rupa Shahrizat kalau menggeletar ya?

Mengenai beliau akan ‘dilanggar’ Rafidah berkata: "Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:

a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan;

b) beliau patuh kepada pelan peralihan;


c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti; dan d) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)"

Jelas sekali sejak tiada jawatan, Rafidah tidak lagi boleh kawal Wanita UMNO. Shahrizat pun tidak ada jawatan tetapi kerana menjadi ‘orang penting” Perdana Menteri, dia mempunyai kelebihan.

Semalam, Kak Fidah melepaskan apa yang terbuku di hati: “Saya kecewa kerana pelan peralihan telah dipertikai dan ditolak lebih daripada tiga bulan selepas saya mengumumkannya pada 4 Ogos 2008.

“Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam Exco Wanita atau di luar yang telah mempertikaikannya. Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri sama ada empat mata atau pun dalam mesyuarat Exco dan dalam sidang media telah berkali-kali menegaskan, beliau tidak akan bertanding jawatan Ketua walaupun dicalonkan,” katanya.

Oleh kerana bukan Menteri dan hanya Ahli Parlimen Kuala Kangsar , kenyataan media tulisan tangannya sendiri di atas memo Ahli Parlimen sahaja.

“Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu,” katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.

Rafidah berkata, beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.

Itulah nasib apabila pemimpin tidak lagi di kelilingi ramai orang. Yang dulu sangat rapat dan hari-hari duduk bawah dagu pun agaknya dah duduk jauh-jauh sambil memerhati .

Katanya Rafidah lagi: “Jika dalam mana-mana perbincangan ada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab wajar dibangkitkan dan dibantah. Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-Bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua,” katanya.

“My word is my honour”? tidak ada lagi dalam UMNO. Kalau ini ada tidak akan berlaku politik wang yang gila-gila. Kini ahli UMNO pergi kepada yang paling banyak bagi duit biarpun sudah berjanji sebelumnya dengan seseorang yang lain.

Sebenarnya cerita setuju atau berjanji ini sudah tidak boleh pakai lagi dalam, UMNO.

Dulu pun ada orang berjanji dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak membatalkan projek-projek yang dipersetujui bersama.

Kemudian dia langgar perjanjian dengan membatalkan projek Jambatan Bengkok dan juga laluan dua trek ke Ipoh dan banyak lagilah.

Orang kata ikan akan buruk di kepala terlebih dahulu dan kini belang ahli UMNO semakin jelas.

Nampaknya budaya tidak tunai janji dan ingkar janji semakin dibudayakan dalam UMNO dan tiada lagi setiakawan seperti UMNO sebelum ini.

Apa nak buat, apabila budaya sedemikian diterapkan terpaksalah terima Kak Fidah oiii….

Betul juga kata Rafidah “jika ada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab wajar dibangkitkan dan dibantah.”

Dan apabila tiada bantahan ia bermakna setuju.

Tiba-tiba ada yang mengatakan pencalonan kerana dipaksa dan sebagainya. Apakah pemimpin Wanita UMNO yang sesetengahnya dah nenek tidak faham atau tidak tahu bermain politik?

Tidak setuju kata tidak setuju awal-awal. Budaya UMNO sepatutnya tidak ada perbuatan ‘cakap belakang’ dan ‘main belakang’.

Benar 100 peratus jika Rafidah menyuarakan pendapatnya bahawa “Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-Bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.”

Apa nak buat nasi bukan sahaja tidak menjadi bubur tetapi dah basi.Masing-masing kena pandailah bawa diri.

Presiden UMN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya boleh berharap kedua-dua pihak - Rafidah dan Shahrizat - dapat mengelak daripada bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno, pada pemilihan Mac depan.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berharap, jika kedua-dua calon terbabit mahu bertanding juga, bertandinglah mengikut amalan demokrasi serta memastikan tiada perpecahan pada sayap parti itu.

Yang pening nanti ialah Presiden UMNO yang baru kerana yang lama boleh ‘cuci tangan’ selepas Mac 2009.

Seruan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Wanita UMNO merapatkan semula perpaduan sayap kanan parti itu selepas selesai pemilihan Ketua Wanita UMNO pada Mac depan, belum pasti akan dihormati atau dipatuhi.

Takut “ya “ di depan dan Najib sebagai Presiden UMNO selepas ini pun ‘kena main belakang’ oleh Wanita UMNO.

Thursday, November 20, 2008

WANITA UMNO – PANAS & BERAPI

Wanita UMNO bukan sekadar sudah pandai baling kerusi pada mesyuarat Wanita Bahagian seperti yang berlaku di Kuala Selangor tetapi pada peringkat nasional sudah pandai memberi amaran dan dedah-mendedah.

Dan terbaru, dalam Wanita UMNO akan berlaku ‘langar-melanggar’ pula apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengatakan beliau akan menentang Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan Mac nanti.

‘Kak Aishah’ (Tan Sri Aishah Ghani) menyatakan rasa malunya kerana kemelut pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang berlarutan hingga menyebabkan Presiden UMNO terpaksa campur tangan untuk menyelesaikannya.

Beliau menyatakan kecewa dengan senario politik pergerakan itu menyifatkan ia makin teruk berikutan sikap degil, ego dan terlalu mementingkan diri di kalangan pemimpin Wanita Umno.

Malah, beliau yang juga bekas Ketua Wanita Umno, berkata sebagai pergerakan yang berusia 59 tahun, seharusnya setiap masalah yang dihadapi diatasi di peringkat dalaman bukan hingga memaksa pemimpin tertinggi parti campur tangan bagi menanganinya.

Itu kata Kak Aishah tetapi wanita sekarang ‘mesti jadi punya’. Puteri UMNO pula ‘asal jadi’. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kalau Puteri UMNO kelak menjadi wanita UMNO (amaran – pertandingan Ketua Puteri membabitkan 7 penjuru - Datuk Shahaniza Samsudin, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datin Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd. Khalid, , Azlina Mehtab Mohd. Ishaq, Saarah Ali Bashah dan Ida Rahayu Md. Noor).

Dalam kenyataannya hari ini, Shahrizat menegaskan beliau terpaksa menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Mac depan, sekiranya Rafidah yang juga ahli parlimen Kuala Kangsar itu tetap mahu mempertahankan jawatan tersebut.

Pengumuman Shahrizat itu dianggap menjawab teka-teki selama ini sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Saya sudah meramalkan dalam posting bertajuk “Shahrizat Tetap ‘Langgar’ Rafidah?” pada 11 November 2008 bahawa Shahrizat akan melanggar Rafidah ketika memfokuskan perbincangan kenapa Datuk Kamalia Ibrahim tetap dengan keputusannya bertanding Naib Ketua Wanita.

Malah M Star Online turut meramalkan perkara serupa. Saya menyebut dalam posting itu: “Pada ketika akhbar-akhbar online dan portal berita Malaysiakini melaporkan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam sebulat suara bersetuju supaya proses peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal seperti yang dirancangkan pada Jun tahun depan, MStar Online pula pergi jauh sedikit dengan mengatakan kemungkinan akan ada pertandingan dalam pergerakan itu.”

Wanita UMNO dah haru biru apabila ada yang menyokong formula peralihan kuasa cadangan Rafidah dan ada yang menyokong Shahrizat ‘melanggar’ Rafidah.

Kelmarin, Naib Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata pencalonan yang diberikan Wanita Umno Bahagian kepada Rafidah untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno adalah kerana arahan, bukannya kehendak sebenar ahli akar umbi.

“Kami berhasrat untuk mempunyai ketua pada Mac ini dan bukannya pemangku,” kata Rusnah.

Ini namanya dedah dan amaran pula bagaimana?

Amarannya ialah kata-kata daripada Exco Wanita Umno, Datuk Khamsiyah Yeop bahawa sekiranya Rafidah terus mempertahankan jawatan itu, Wanita Umno tidak ada pilihan selain memilih Shahrizat yang juga telah meraih sokongan sebenar daripada akar umbi.

Tegasnya: “Bagaimanapun kami mahu supaya tiada pertandingan (bagi jawatan ketua pergerakan). Ini sebaik-baiknya dan ini harapan semua orang. Kita mahu jadikan penyerahan dan perubahan kuasa (seperti ini) sebagai warisan seperti yang dibuat oleh Tan Sri Aishah Ghani yang serahkan kuasa kepada Rafidah dulu. Itu yang kita harapkan.”

Jelas Wanita UMNO bukan sahaja ‘panas’ tetapi kini berapi.

Selepas kesemua 191 bahagian Wanita selesai bermesyuarat awal bulan ini, 117 bahagian mencalonkan Rafidah untuk mempertahankan jawatannya manakala 73 lagi mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua.

Khamsiyah yang Ketua Wanita Umno Bahagian Lenggong menjelaskan bahawa 117 pencalonan yang diterima Rafidah adalah 'sekadar di atas kertas' dan tidak boleh diguna pakai untuk mencerminkan kehendak sebenar anggota pergerakan itu yang mahukan gandingan Shahrizat dan Datuk Kamilia Ibrahim.

Mereka berkata demikian pada satu sidang akhbar di sini bagi mengumumkan bahawa 22 daripada 24 bahagian Wanita Umno di Perak kini mahu agar peralihan kuasa daripada Rafidah kepada Shahrizat dipercepatkan dari Jun ke Mac tahun depan.

Dan hari ini lebih 100 bahagian menyokong Shahrizat bertanding jawatan ketua Wanita Umno Mac ini.

Menurut exco pergerakan itu, Raja Ropiah Raja Abdullah yang juga ketua Wanita Umno bahagian Petaling Jaya Utara, sekurang-kurangnya lima negeri memberi sokongan penuh kepada Shahrizat untuk mencabar penyandang, iaitu Rafidah. Lima negeri tersebut, katanya, ialah Pulau Pinang, Perak, Melaka,Sabah dan Negeri Sembilan.

Raja Ropiah berkata, negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan - yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Rafidah - kini telah mula beralih sokongan kepada Shahrizat.

Alasan utama sebahagian ahli Wanita UMNO mahu Shahrizat bertanding ketua Wanita ialah mereka tidak mahu Shahrizat menjadi pemangku selama tiga tahun.

Ini kerana proses itu tidak akan menguatkan kedudukan Wanita Umno terutamanya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Wednesday, November 12, 2008

WANITA UMNO TERUS BERGELORA

Jelas Datuk Kamilia Ibrahim bukan calang-calang pemimpin.

Dia bukan boleh dipujuk-pujuk juga dipaksa-paksa.

Dia tetap tidak mengitiraf pelan peralihan kuasa kepemimpinan pergerakan itu pada Jun depan.
Kamilia yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar menganggap bukanlah hak Exco Wanita untuk menentukan siapa pemimpin pergerakan itu.

Baginya, pelan peralihan seumpama itu tidak terkandung dalam perlembangan Umno dan “bukan amalan Umno”.

Kamilia, yang layak bertanding bagi jawatan itu setelah memperoleh 55 pencalonan, berkata pemimpin pergerakan itu haruslah dipilih oleh anggota dan akar umbi.

Kelmarin, Exco Wanita Umno itu menegaskan beliau tetap mahu bertanding bagi merebut jawatan Naib Ketua pergerakan itu pada pemilihan parti, Mac depan.

Semalam beliau mengulangi: ‘‘Sekali lagi saya nyatakan, saya menolak pelan peralihan itu dan tidak mengiktirafnya kerana ia bukan menjadi amalan parti yang dipegang selama ini.

‘‘Saya juga menolak sebarang perbincangan untuk tujuan itu (peralihan kuasa). Mengapa perlu kita kosongkan jawatan ketua untuk tiga bulan sedangkan calon berkenaan sudah layak bertanding? Mengapa perlu kita ‘lompongkan’ jawatan itu?,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kamalia menawarkan diri bagi jawatan itu adalah untuk membolehkan beliau memperjuangkan isu Islam dengan lebih berkesan memandangkan isu agama itu kini kerap dipersoalkan.

“Sebagai seorang peguam dan ahli politik yang telah lama berkecimpung dalam Umno, saya terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Saya perlu tempat lebih tinggi kerana saya nampak ada kekosongan,” katanya.

Kenyataannya ini dibuat pada ketika Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam berkata bahawa beliau berpegang dengan pendirian bahawa pelan peralihan pergerakan itu perlu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri sempena perhimpunan agung Umno.

“Jika kita teruskan keputusan yang dibuat pada Ogos 2008, ini akan menyebabkan jawatan Ketua Wanita Umno hanya kekal bagi tempoh tiga bulan selepas pemilihan.

“Seterusnya, jawatan Ketua Wanita Umno hanya sekadar memangku bagi tempoh tiga tahun manakala jawatan Naib Ketua terpaksa dikosongkan. Ini merugikan kepimpinan Wanita Umno dalam senario politik hari ini,” kata Shahrizat.

Semalam, beberapa Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian di Sabah mendesak supaya Shahrizat membuat keputusan tegas bagi merebut jawatan Ketua Wanita.

Menurut mereka, persetujuan peralihan kuasa yang dicapai oleh Exco Pergerakan Wanita tidak lagi relevan berdasarkan pencalonan yang diterima oleh beliau daripada para perwakilan Wanita UMNO bahagian di seluruh negara.

Sebenarnya, Kamilia telah dua kali tidak menghadiri mesyuarat Exco pergerakan itu termasuk semalam. Katanya, tindakannya itu adalah satu isyarat bahawa beliau tidak menyetujui pelan peralihan itu.

“Saya telah bagi mesej yang jelas, bila saya tidak datang bermakna saya tidak dapat menerima pelan peralihan kuasa itu,” katanya.

Ditanya wartawan sama ada beliau “kisah” untuk bertanding dengan Shahrizat bagi jawatan itu, Kamilia berkata beliau tidak akan menarik diri walaupun berdepan dengan sesiapa jua.

Mengenai sama ada Tan Sri Rafidah Aziz dan Shahrizat telah menghubungi beliau untuk berunding seperti yang dilaporkan, Kamilia berkata beliau belum dihubungi oleh kedua-dua pemimpin itu.

Kamilia bagaimanapun berkata beliau tidak melihat keperluan untuk bertemu kedua-dua pemimpin itu untuk berunding.

“Saya tak nak jumpa kerana pendirian (saya) sudah ada,” katanya.

Kelmarin Exco Pergerakan Wanita Umno memutuskan pelan peralihan kuasa antara Rafidah dan Shahrizat dikekalkan pada Jun 2009.

Mesyuarat itu juga membuat ketetapan jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Umno Mac depan demi perpaduan dan pengukuhan sayap Umno itu.

Mesyuarat itu menolak cadangan Shahrizat supaya pelan peralihan pergerakan itu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri sempena perhimpunan agung Umno.

Ditanya sama ada Rafidah dan Shahrizat mengetahui pendiriannya yang tidak menyetujui pelan peralihan itu, Kamilia berkata: “Saya rasa mereka berdua tahu”.

Katanya beliau melihat terdapat kekosongan pada jawatan nombor dua dalam pergerakan itu selepas Rafidah memaklumkan hasrat untuk “berhenti" memimpin pergerakan itu pada Ogos lalu.

“Saya tetap tawarkan diri kerana Rafidah kata hendak berhenti. Dan saya tawarkan diri kerana telah dapat cukup pencalonan,” katanya.

Tuesday, November 11, 2008

SHAHRIZAT TETAP ‘LANGGAR’ RAFIDAH?

Pada ketika akhbar-akhbar online dan portal berita Malaysiakini melaporkan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam sebulat suara bersetuju supaya proses peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal seperti yang dirancangkan pada Jun tahun depan, MStar Online pula pergi jauh sedikit dengan mengatakan kemungkinan akan ada pertandingan dalam pergerakan itu.

Utusan Malaysia Online dan Malaysiakini semalam melaporkan, sudah ada kesepakatan dalam Pergerakan Wanita UMNO dan dengan persetujuan itu bermakna tiada pertandingan untuk dua jawatan utama pergerakan itu pada pemilihan semasa Perhimpunan Agung Umno pada Mac tahun depan.

Tan Sri Rafidah Aziz akan kekal menjadi Ketua Wanita Umno sehingga Jun 2009 dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mendapat pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno tidak akan bertanding jawatan berkenaan dan kekal sebagai Naib Ketua Wanita sehingga Jun.

Selepas mesyuarat parti berakhir kelmarin, terdapat dua calon yang melepasi kuota kelayakan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita iaitu penyandangnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Kamilia Ibrahim.

Rafidah pada persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita di Menara Dato’ Onn PWTC berkata: “Kita telah berbincang dengan panjang lebar mengenai pencalonan. Exco bersetuju dengan pelan peralihan yang telah diputuskan dan akan berlaku pada bulan Jun, 2009.

Exco juga menegaskan supaya tidak ada pertandingan untuk jawatan ketua dan naib ketua. Ini telahpun dibincangkan dan diputuskan sedemikian untuk menjamin perpaduan dalam Umno. Ia juga untuk membantu dalam proses pemulihan Umno dan untuk kita memberi kekuatan kepada parti dan juga kepada presiden Umno.”

Mesyuarat itu bermula pukul 10.30 pagi dan berlangsung selama kira-kira enam jam.

MStar Online semalam sebaliknya dalam laporannya dengan mengemukakan soalan apakah Shahrizat berubah fikiran dalam soal peralihan kuasa dan saingan merebut kerusi Ketua Wanita?
Selepas mesyuarat Exco Wanita itu Shahrizat berkata, cadangannya supaya pelan peralihan kuasa daripada Rafidah kepada beliau dipercepatkan kepada Mac depan ditolak oleh mesyuarat pergerakan itu hari ini.

"Cadangan mempercepatkan pelan peralihan kepada Mac semasa Perhimpunan Agung Umno tidak diterima (Tan Sri) Rafidah dan exco, tetapi pelan peralihan seperti yang dirancang pada Jun tahun depan dikekalkan," katanya.

Kepada Bernama selepas sidang akhbar itu, Shahrizat berkata, keputusan exco ialah untuk menerima saranan Rafidah seperti asal di samping menentukan tiada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua pergerakan itu.

Shahrizat berkata pada masa yang sama, akan ada rundingan secara damai untuk menyelesaikan isu pengisian jawatan dan usaha untuk berunding bersama Datuk Kamilia Ibrahim, exco Wanita Umno yang turut layak bersama beliau untuk bertanding jawatan Naib Ketua.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menunjukkan minatnya untuk bertanding Naib Ketua.

Bagaimanapun, beliau hanya menerima 20 pencalonan, sekali gus gagal melepasi kuota kelayakan 29 pencalonan untuk membolehkannya bertanding jawatan nombor dua pergerakan berkenaan.

Azalina bagaimanapun menyifatkan dirinya tidak gagal walaupun tidak layak bertanding jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan parti Mac tahun depan. Menurutnya, walaupun tidak layak bertanding, namun Azalina menganggap percubaan kali pertamanya itu sebagai satu ‘kejayaan’ kepada dirinya sambil memberikan pengertian besar kepada Wanita UMNO.

Ditanya langkah beliau seterusnya ekoran penolakan usahanya agar pelan peralihan kuasa dipercepatkan selaras dengan pelan peralihan Umno induk, beliau berkata:
"Saya juga akan mengambil kira suara daripada akar umbi dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk Wanita Umno." "Untuk pelan peralihan ini berjaya, kita perlu ada kerjasama Kamilia, kalau tidak, akan ada pertandingan nanti untuk jawatan Naib Ketua".

Shahrizat berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan isu itu secara damai berlandaskan kepada pendirian Rafidah, exco Wanita Umno serta amanah yang diberikan oleh akar umbi.
Kamilia yang juga Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar, sebelum ini berkata, beliau mahu pelan peralihan itu dipercepatkan bagi mengukuhkan kepimpinan pusat pergerakan itu.Beliau berkata jika tempoh peralihan itu dilaksanakan mengikut perancangan asal, ia akan merugikan pergerakan itu kerana ia akan memberi kekosongan kepada jawatan Ketua Wanita dan melemahkan kepimpinan parti.

Shahrizat, yang turut layak bersama Rafidah bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang, bagaimana pun enggan menyatakan sama ada beliau akan membuat keputusan ke arah itu dalam masa terdekat seperti yang digesa oleh akar umbi.

Namun, menurut laporan Utusan Malaysia Online pula, Shahrizat pada persidangan akhbar yang sama berkata beliau menerima keputusan yang telah dibuat pada mesyuarat Exco hari ini.