Wednesday, October 15, 2008

HORMATI SEJARAH KESULTANAN - SERI PADUKA

Apabila ada kekusutan mengenai asal usul orang Melayu, selalunya sejarah kesultanan Melayu hendaklah dirujuk.
Dalam konteks perbahasan mengenai apakah orang Melayu berasal dari wilayah ini juga boleh dirujukkan kepada sejarah kesultanan Melayu
Ikuti titah Yang di-Pertuan Agong di Kuala Terengganu dalam perutusan buku cenderamata sempena Majlis Pelancaran Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu 1708-2008 di Taman Tamadun Islam (TTI).

KUALA TERENGGANU (14 Okt. 2008) - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat agar memahami dan menghormati sejarah kesultanan serta mengambil pengajaran daripadanya supaya warisannya terpelihara.

Seri Paduka bertitah, seperti yang dibuktikan dalam sejarah, institusi raja dan rakyat adalah erat laksana isi dengan kuku dan perlu dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.
Tuanku Mizan bersyukur dan melahirkan penghargaan tinggi di atas taat setia yang ditunjukkan oleh rakyat kepada institusi raja selama ini.

''Raja menaungi dan melindungi rakyat, manakala rakyat mendukung raja," titah Seri Paduka dalam perutusan buku cenderamata sempena Majlis Pelancaran Sambutan Tiga Abad Kesultanan Terengganu 1708-2008 di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong.

Seri Paduka percaya paduan antara kedua-dua pihak iaitu rakyat dan raja akan dapat membangunkan negeri Terengganu menjadi sebiji mutiara yang indah dan cemerlang di Pantai Timur.

Mengenai sambutan tersebut, Tuanku Mizan yakin ia adalah rakaman sejarah yang penting dan amat besar ertinya.

Titah Seri Paduka, ia membuktikan bahawa Kesultanan Terengganu adalah sebuah kesultanan yang utuh dan berdaulat selama 300 tahun dengan 16 orang sultan yang memerintah sehingga ke hari ini.

''Sebagai seorang sultan generasi baru, beta berasa bersyukur dan amat gembira dapat bersama rakyat meneruskan sejarah kesultanan yang cemerlang ini," titah Seri Paduka.

Sempena majlis itu, Tuanku Mizan berkenan melancarkan buku 'Dirgahayu Tuanku: Sejarah Kesultanan Terengganu, 1708-2008' terbitan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) hasil tulisan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Nik Anwar Nik Mahmud dan Dr. Anwar Omar Din.

Buku mengandungi 16 bab itu bertujuan memulihara dan mengembangkan sejarah serta warisan Terengganu bermula daripada Sultan Terengganu pertama, Sultan Zainal Abidin 1 dan pelbagai aspek lain agar ia dapat diketengahkan untuk pengetahuan masyarakat dalam negeri dan antarabangsa.

Selain pelancaran buku tersebut, satu pameran mengenai sejarah kesultanan Terengganu turut diadakan di Muzium Negeri selain persidangan yang dianjurkan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan YDSM sempena sambutan berkenaan.

LIAN HOE TIDAK LAYAK TIMBALAN MENTERI PENERANGAN

‘Jika orang Melayu bercakap menyentuh isu kaum, kita dianggap sebagai perkauman tetapi jika mereka (bukan Melayu) bercakap dalam soal yang sama, mereka tidak pula dianggap begitu...’ - Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo

Membangkitkan asal usul orang Melayu biarlah berlatarkan sejarah.
Jangan hentam kromo dan kerana mahu mencari sokongan daripada ahli parti, seseorang pemimpin boleh membuat kenyataan apa sahaja, termasuk menghina dan memperkecilkan bangsa lain.

Perbuatan Ketua Wanita parti Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe menganggap asal usul setiap kaum di negara ini adalah sama adalah perbuatan sengaja mencari pasal dan mengundang kemarahan orang Melayu.

Lian Hoe jelas tidak menghormati semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN) khususnya orang Melayu yang ikhlas berkongsi dan memberikan taraf kerakyatan kepada orang Cina dan India sebelum ini.

Sewajarnya Lian Hoe perlu menyelidik fakta dan sejarah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana sebelum kedatangan orang Cina dan India ke Malaysia, orang Melayu telah wujud dan bertapak di negara ini
.
Ini dibuktikan dengan orang Melayu sudah mempunyai struktur politik serta kerajaannya sendiri seperti kerajaan kesultanan Melaka dan Langkasuka.

Jadi, bagaimana boleh pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mengatakan demikian, lebih-lebih lagi mempersoalkan asal usul orang Melayu di negara ini?

Lebih malang, Lian Hoe ialah Timbalan Menteri Penerangan. Apakah selama ini beliau turut memberikan maklumat salah kepada rakyat khususnya daripada bangsanya sendiri?

Bagaimana beraninya beliau membuat kenyataan sedemikian sedangkan beliau tahu kedudukannya sebagai pemimpin parti Gerakan adalah komponen BN dan timbalan menteri yang menjaga arus maklumat yang wajar disebarkan?

Saya kesal bagaimana beliau boleh dilantik ke jawatan itu berasaskan kenyataannya yang membuta tuli dan apakah beliau buta sejarah?

Jika demikian, layakkan untuk mengekalkan beliau di jawatan berkenaan yang sepatutnya timbalan menteri di Kementerian Peneranganlah yang menyebarkan maklumat yang betul.

Dengan kedudukannya yang mana beliau turut “berkuasa” ke atas Jabatan Penerangan Malaysia, Bernama serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) sama ada RTM1, RTM2 dan rangkaian lain dan radio milik kementerian berkenaan, wajarkah Lian Hoe dipertahankan kerana kenyataannya?

Saya ingin sangat mendengar komen Menteri Penerangan mengenai perkara ini dan apa tindakan yang akan dan sudah dibuat.
Datuk Ahmad Shabrey Cheek tidak patut terus membisu seribu bahasa, pun begitu pemimpin tertinggi Gerakan.

Saya sangat bersetuju dengan calon Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang mengatakan apabila kita berkata BN berubah dan menuju ke era yang baru, isu perkauman tidak patut dibangkitkan lagi. Ia tidak akan mendapat sokongan mana-mana pihak.

Tegasnya, yang penting adalah bergerak ke hadapan. Kita tidak sepatutnya memberi penekanan kepada semua perkara remeh. Isu sedemikian hanya sesuai untuk zaman lampau.
Malah, kata-kata Tiong Lai bahawa pemimpin- pemimpin yang membangkitkan isu perkauman untuk meraih sokongan adalah mereka yang gagal mengikut arus perubahan semasa yang diingini rakyat.

Berikutan itu, menurutnya, pemimpin parti komponen BN sepatutnya memastikan sokongan ahli-ahli daripada setiap parti komponen terhadap parti itu sentiasa utuh sepanjang masa.
Selain itu saya menyokong penuh pandangan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang mendesak Gerakan mengambil tindakan tegas terhadap Lian Hoe berhubung kenyataannya Jumaat lalu yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.

Tindakan ke atas Lian Hoe perlu dilakukan kerana Gerakan sebelum ini merupakan pihak yang paling lantang mendesak UMNO mengambil tindakan terhadap Ketua Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman khususnya kepada kaum Cina.

Benar kata Khir, jika orang Melayu bercakap menyentuh isu kaum, kita dianggap sebagai perkauman tetapi jika mereka (bukan Melayu) bercakap dalam soal yang sama, mereka tidak pula dianggap begitu.

“Kalau mereka (Gerakan) sebelum ini menyifatkan kenyataan Ahmad sebagai perkauman, mereka perlu sedar bahawa Lian Hoe melakukan perkara yang sama. Oleh itu, Gerakan perlu kenakan tindakan kepada Lian Hoe sama seperti UMNO lakukan kepada Ahmad.”

Semasa Persidangan Perwakilan Nasional parti itu baru-baru ini, Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Penerangan memberi peringatan supaya semua pihak tidak melupakan sejarah selain menyamakan asal-usul setiap kaum di negara ini.

Soal penting seperti ditegaskan Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee, Lian Hoe perlu sedar bahawa berdasarkan sejarah Nusantara, bangsa Melayu meliputi kepulauan Filipina, Tanah Jawa sehingga ke Selatan Thai dan melangkau ke negara Yunan.

Tegasnya, bangsa Melayu mula tegak sebagai sebuah kerajaan berdaulat apabila terbentuknya kerajaan Langkasuka (Kedah) dan kesultanan Melayu Melaka di samping banyak lagi kerajaan Melayu di kepulauan Nusantara.

Memang benar kata Syed Ali, Syed Ali berkata Gerakan perlu mengambil tindakan terhadap Tan kerana membuat kenyataan yang didakwanya berbaur hasutan dan perkauman, selain mengetepikan fakta berhubung kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini.