Sunday, August 19, 2012

APA NAK JADI...AIDILFITRI PUN DIPOLITIKKAN JUGA OLEH PAS...

"Kita mahukan sebuah Malaysia yang aman daripada ancaman luar dan dalaman, di mana kawasan kejiranan dan jalan-jalannya bebas daripada jenayah. Sebuah negara di mana rakyatnya merasa aman dan selamat. Kesimpulannya, sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak Malaysia.
Datuk Seri Mohd Najib Razak

Niat di hati Hari Raya Aidilfitri ini tidak mahu buat perkara seperti mempersoal dan mempertikaikan pandangan, perbuatan atau sikap orang lain.


Namun membaca harakahdaily.net saya terpanggil untuk bertanya apakah bagi PAS semua perkara dalam kehidupan, termasuk merayakan Aidilfitri pun kena campur aduk dengan politik?

Kenapa saya katakan demikian?

Ada dua perkara yang menjadi persoalan:

Pertama, untuk apa harakahdaily.net memetik sebuah posting yang mempertikaikan keputusan umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri hari ini (Ahad)?  
 
Posting daripada blog manjongmari. blogspot yang dipetik harakahdaily,net berbunyi : “Hari ini rasanya adalah hari akhir Ramadhan, mustahil rasanya esok Ahad Umat Islam akan berpuasa lagi,, sebab banyak negara-negara terutama di sebelah negara Arab dah mula beraya hari ini…Hairan, sesama negara Islam, nak beraya pun berasingan, ingat lagi Raya Haji (Korban 2 tahun lepas) bagaimana Malaysia terlewat raya,, yang ini lagi haru, kita terlewat sehari dengan Arab Saudi,, Apa yang dibincang di OIC, nak bincang kes perang di Syria, dah beribu rakyat yang tidak berdosa kena bunuh dengan tentera Baath, baru OIC nak bersidang, nak tunggu malam lailatul Qadar,, apa ni..”

Sedangkan, pengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia yang telah ditetapkan pada hari ini - Ahad - adalah titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Pengisytiharan itu diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad yang disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam semalam.

Perkara kedua ialah Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan hari raya Aidilfitri kali ini dijadikan hari ziarah menziarahi sambil menyebarkan maklumat dan memujuk rakyat bagi menjayakan perubahan menjelang Pilihan raya Umum (PRU) ke-13. 

Berucap dalam perutusan rayanya, Ketua Penerangan PAS Pusat itu mengharapkan PRU kali ini menjanjikan perubahan kepada sebuah politik baru dengan sebuah negara yang bebas sesuai dengan fitrah manusia.

Katanya, Aidilfitri bermaksud kembali kepada fitrah dan Allah mengingatkan fitrah manusia ialah taat, patuh dan tidak mensyirikkan Allah. “Tidak lama lagi negara kita akan berhadapan satu pilihan raya yang amat penting yang kita harap menjanjikan perubahan kepada sebuah politik baru negara kita, politik yang mengajak rakyat untuk membersihkan nilai-nilai yang bertentangan dengan fitrah manusia. Kita perlu bina sebuah negara yang bebas rasuah, penyelewengan, ketamakan dan kerakusan."

Apakah kerajaan yang ada sekarang bukan sebuah negara yang mengabdikan diri kepada Allah dengan pengabdian tersebut menterjemahkan bahawa pengutusan Nabi Muhammad ialah membawa rahmat kepada sekelian alam?

Bertentangan dengan mesej Aidilfitri oleh PAS, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat dan umat Islam di negara ini untuk memastikan negara ini kekal aman dan selamat serta menginsafi bahawa kesejahteraan dan keselamatan yang dinikmati hari ini 'bukanlah datang secara bergolek'.

Dalam perutusan Aidilfitri beliau, Najib berkata kerajaan menyedari bahawa sebuah Malaysia maju perulah juga sebuah Malaysia yang selamat dan sejahtera. "Kita mahukan sebuah Malaysia yang aman daripada ancaman luar dan dalaman, di mana kawasan kejiranan dan jalan-jalannya bebas daripada jenayah. Sebuah negara di mana rakyatnya merasa aman dan selamat. Kesimpulannya, sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak Malaysia," katanya.

Bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan, Perdana Menteri berkata ia memerlukan pendekatan yang bersepadu serta rakyat Malaysia yang lebih prihatin dan peduli kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan dan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

 "Kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab memerangi jenayah kepada pihak berkuasa tanpa sumbangan kita sebagai rakyat yang prihatin. Jika kita membiarkan jenayah berlaku tanpa tindakan, kita sebenarnya akan hanya menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan bersama," katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, Perdana Menteri mengajak rakyat mengubah sikap dan melabur secara mapan bagi mempunyai 'mind-set' yang betul serta menyediakan prasarana keselamatan yang lebih ampuh. Najib berkata, kerajaan akan memastikan agensi-agensi yang bertanggungjawab akan lebih berkesan untuk menangani cabaran mencegah jenayah era mutakhir. "Kita menyedari usaha ini memerlukan kaedah pencegahan jenayah yang baru, serta kepimpinan yang dinamik, akauntabiliti yang tinggi, struktur organisasi yang lebih sesuai, latihan yang lebih relevan serta peralatan yang moden," katanya.

Najib berkata umat Islam di negara ini amat bertuah kerana dapat hidup di dalam negara yang mencipta kejayaan berterusan dan sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan, walaupun dunia keliling dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.

"Hari ini kita dapat menyaksikan bagaimana kemelut politik melanda negara-negara di benua Asia dan Afrika, kita dapat menyaksikan bagaimana negara-negara di benua Eropah dan Amerika yang dianggap sebagai negara maju pun ditimpa krisis ekonomi yang kronik akibat kegagalan mengurus negara dengan baik. Kita juga telah menyaksikan kegagalan ini telah memberi kesan yang buruk kepada kesejahteraan rakyat mereka apabila kadar pengangguran semakin meningkat, penciptaan peluang pekerjaan yang tidak mencukupi serta pertumbuhan yang rendah telah menyebabkan taraf dan kualiti hidup rakyat merudum," jelas beliau.

Di tengah-tengah semua kekusutan ini, Perdana Menteri berkata negara tercinta Malaysia telah mencipta kejayaan berterusan sebagai sebuah negara majmuk yang dirahmati dengan perpaduan nasional.