Wednesday, June 22, 2016

APA SEBENARNYA DI SEBALIK KONTROVERSI RM12 JUTA WANG TEBUSAN?


“Berlaku adillah kepada keluarga, syarikat, individu serta orang ramai yang membuat sumbangan. Sudah pasti ahli keluarga mangsa tebusan serta pihak yang menderma mahu mengetahui ke mana baki wang itu lesap. Tidak terkecuali rakyat Malaysia amnya.”

The Malaysian government, though, thinks Filipinos are fools,” demikian tegas kolumnis The Manila Times semalam, mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi mengenai wang RM12 juta yang dikatakan TIDAK dibayar kepada pejuang Abu Sayyaf, sebaliknya kepada organisasi tertentu di Filipina.

Bekas pegawai kerajaan yang juga bekas wartawan, Rigoberto D. Tiglio dalam kolumnya bertajuk ‘Malaysian Funds Abu Sayyaf’ turut mengatakan beliau syak kerajaan Malaysia sebenarnya yang mengumpulkan wang itu, bukan melalui derma.

Selain itu beliau menyalah dan mempersoalkan Kerajaan Filipina yang menurutnya, peristiwa ini menggambarkan betapa bodoh dan tidak layaknya pemerintah negara itu sekarang.

“Tidakkah perlu kerajaan mengambil satu penyiasatan yang intensif bagaimana Malaysia boleh melakukan satu operasi sebebas-bebasnya di negara ini, melanggar dasar anti-tebusan dan akhirnya memperkukuhkan kedudukan pengganas Abu Sayyaf dengan dana semakin banyak?”

Tidakkah perlu kerajaan menyiasat ‘lobang tempatan’ mana digunakan oleh Malaysia untuk membayar wang tebudan itu? Malaysia ‘mempermainkan’ hak kedaulatan kita dengan melakukan operasi dalam wilayah kita untuk membayar wang tebusan itu..., ” tegas Tiglio.


Amat jelas dan nyata kini persoalan wang RM12 juta yang dikatakan ‘dibayar ‘ kepada Abu Sayaff dan misteri kehilangan RM3.2 juta kini sudah semakin merentasi sempadan?

Tidak kiralah apa pendapat orang asing,  persoalannya ke mana wang RM3.8 juta itu?

Memang jumlahnya tidak banyak berbanding RM14,000 juta wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang lesap di bank luar pesisir Cayman Islands, yang masih misteri.

Namun kehilangannya juga tetap misteri dan merentasi sempadan.

Kini tidak hairanlah sekiranya wang 1MDB yang hilang itu sukar dikesan kerana jumlah yang besar namun walaupun dalam jumlah yang kecil - sebahagian wang tebusan untuk pejuang Abu Sayyaf – turut lesap pastinya menimbulkan banyak persoalan.

Sudah pasti ahli keluarga mangsa tebusan serta pihak yang menderma mahu mengetahui ke mana baki wang itu lesap. Tidak terkecuali, rakyat Malaysia amnya.

Malah, kini banyak pihak di Filipina turut tertanya-tanya apa jadi dengan sejumlah wang berkenaan?

Isu wang ini berkaitan penculikan adik-beradik, Wong Teck Kang, 31, dan Teck Chii, 29, bersama sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan rakan sekerja, Wong Hung Sing, 34. Mereka  diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna, Sabah pada 1 April lalu sebelum dibebaskan pada 7 Jun lalu.

Pertanyaan ialah siapa terlibat dan siapa tahu ke mana wang itu ‘terbang’?

Apakah sebagai rakyat Malaysia, mangsa, keluarga mangsa, penderma dan rakyat tidak berhak untuk mempersoalkan bagaimana dan mengapa timbulnya kontroversi ini? Apa lagi ia melibatkan nama negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jika di Malaysia Ketua Polis Negara dijadikan sasaran pertanyaan, ada pihak di Filipina pula mencadangan supaya persoalan ini diajukan kepada Gabenor Sulu, Abdusakur Tan.

Malah pertubuhan bukan kerajaan, MyWatch menggesa polis supaya menyiasat bekas komando mereka, Halim Ishak, yang sebelum ini dilaporkan sebagai orang penting dalam usaha pembebasan warga Sarawak yang menjadi tebusan Abu Sayyaf.

Bagaimanapun, PDRM  mengatakan tidak akan ada keperluan untuk menyiasat. Kenapa? Apakah ia bukan kepentingan orang ramai, sekadar perihal keluarga mangsa semata?

Berlaku adillah kepada keluarga, syarikat, orang ramai serta individu yang membuat sumbangan.



Datuk Lau Cheng Kiong (berbaju merah) yang menjadi jurucakap kepada kumpulan lelaki yang diculik itu semalam mengulangi dan mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa wang RM12 juta telah dihantar ke Sandakan melalui bank. Malah, jika ada  keraguan,  orang ramai  boleh tanya Hong Leong Bank, tegasnya. (“I still maintain what I have earlier said, which is that RM12 million was sent to Sandakan through the bank. If the public has any doubts, they can enquire the matter with Hong Leong Bank.”

Laporan dipetik oleh The Borneo Post bagaimanapun menyatakan beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu setelah keluarga mahu melupakan hal tersebut dan meneruskan kehidupan mereka.

Wang tebusan keseluruhannya RM12 juta itu membabitkan sumbangan individu dan orang ramai sebanyak RM9 juta, pemberian syarikat perkapalan tempat mangsa bekerja sebanyak RM2 juta dan RM1 juta lagi hasil pajak gadai dua rumah keluarga mangsa di Pulau Li Hua, Sibu.

‘Keciciran’ wang itu menyebabkan pejuang  Abu Sayyaf marah kerana jumlah yang dikatakan dijanjikan kepada mereka  tidak sampai sepenuhnya.

Semalam, 20 Jun 2016, kumpulan perjuang itu menyatakan kekecewaan mereka selepas mendapati daripada wang tebusan sebanyak P130 juta (RM12 juta) yang dikumpul, hanya P100 juta (RM8.8 juta) sahaja sampai ke tangan mereka.


The Manila Times melaporkan: “Kami mendapat maklumat kumpulan Abu Sayyaf tidak berpuas hati (marah) setelah mendapat tahu dari laporan berita bahawa wang itu sebenarnya RM12 juta, bersamaan dengan P130 juta tetapi yang diterima hanya P100 juta,” kata seorang pegawai kanan yang enggan namanya didedahkan.

“Persoalannya sekarang, di mana wang itu hilang hilang?”. Soalan ini bukan sahaja di tanya pelbagai pihak di Malaysia tetapi juga di Filipna.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa wang telah melalui Cawangan Khas Polis Malaysia dan pegawai-pegawai tempatan di Sulu sebelum sampai ke kumpulan Abu Sayyaf.

Kerajaan Malaysia, bagaimanapun berkata, keseluruhan wang RM12 juta itu disalurkan kepada badan Islam tertentu yang sah di Filipina dan bukannya sebagai wang tebusan.

Pada 16 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan wang tebusan daripada penculik.

Zahid dilaporkan sebagai berkata, RM12 juta yang diperoleh oleh keluarga mangsa itu telah diserahkan kepada bahagian Cawangan Khas dan disalurkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang sah (NGO) di Filipina.


Berikutan itu, beliau menafikan membayar wang pampasan kepada pengganas Abu Sayyaf bagi membebaskan empat mangsa culik.

 “Sejumlah RM12 juta diberikan kepada polis tetapi bukan untuk membayar wang tebusan. Kerajaan memutuskan tidak akan bayar wang tebusan dan polis telah mematuhi arahan kerajaan. Saya mengesahkan wang itu tidak patut dibayar sebagai wang tebusan sebaliknya disalurkan kepada organisasi tertentu di Filipina untuk membantu perjuangan yang direstui undang-undang dan agama,” katanya dalam sidang media. Zahid turut menegaskan organisasi itu tiada kaitan dengan pengganas atau kumpulan penjenayah.

Sejurus selepas urusan pembayaran dilakukan, keempat-empat yang diculik itu dibebaskan. Mereka diculik di perairan Sabah pada 1 April oleh sekumpulan lelaki bersenjata menggunakan sebuah bot laju.

Mereka dibebaskan di Jolo, Sulu, pada 7 Jun selepas rundingan tempoh panjang oleh kumpulan militan Abu Sayyaf yang diketuai oleh sub-komander Apo Mike.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid sebelum ini dilapor berkata keempat-empat tebusan itu dibawa pulang ke tanah air oleh Unit Tindakan Khas (UTK) selepas dibebaskan tanpa sebarang pembayaran.

Beliau lantas menolak pengesahan Timbalan Perdana Menteri bahawa wang RM12 juta itu disalurkan bahagian Cawangan Khas. Khalid dalam satu sidang media baru-baru ini menafikannya.


“Siapa kata wang bersama polis? Keluarga yang buat dakwaan itu, dan saya nafikan. Terdapat ramai individu, ejen yang berurusan dengan mereka. Jangan guna nama Cawangan Khas (SB) atau polis. Saya tegaskan polis tidak bayar bayar tebusan atau bekerjasama dengan urusan pembayaran kepada penculik,” kata beliau.

Beliau turut menolak siasatan. "Pasal apa pula kita nak buat inkuiri, saya dah jelaskan apa jadi dengan duit itu. Tak ada sebab untuk kita buat apa-apa inkuiri kerana kita (polis) tidak terlibat," katanya.

Khalid juga disoal sama ada pihak berkuasa lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat mengenai wang tebusan itu.

"Saya tak tahu, tapi polis tidak akan menyiasat kerana kita tahu mana pergi duit itu. Saya sudah jelaskan sebelum ini, jadi saya tak perlu ulang balik apa yang saya cakap," katanya.

Persoalan ialah kenapa wujudnya kenyataan bertentangan yang dibuat oleh Khalid, Zahid  dan keluarga mangsa?

Kenapa Khalid sanggup membiarkan dirinya dipersoalkan dengan mengatakan tiada bayaran tebusan dibuat, selain polis tidak terbabit?

Ada laporan lain seorang bekas komando VAT69 Halim Ishak, telah memainkan peranan penting dalam usaha pembebasan empat kelasi itu.

Jumaat lalu, Khalid  berkata wang tebusan itu dipercayai diserahkan oleh keluarga mangsa sendiri kepada pihak ketiga. Keluarga mangsa. menurutnya, banyak berurusan dengan ejen-ejen atau pihak ketiga dari Filipina yang dikatakan boleh membebaskan mangsa.

Isunya ialah apakah penegasan kali kedua oleh Lau kelmarin memang tidak benar?

Lau tetap mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa wang tebusan itu diserahkan kepada Cawangan Khas di Sandakan pada 24 Mei lalu.

Menurutnya dua pegawai  Cawangan Khas yang mempunyai surat kebenaran daripada Bank Negara, mengeluarkan wang yang kemudian diisi dalam  peti besi dibawa ke balai polis.

Penegasan terbaru Lau itu jelas bertentangan dengan kenyataan Ketua Polis Negara  bahawa tiada wang tebusan yang dibayar kepada kumpulan pejuang Abu Sayyaf.

Sebelum ini Lau medahkan, wang derma sebanyak RM12 juta dimasukkan ke dalam 12 peti besi untuk dihantar ke Bank Hong Leong di Sandakan mulai jam 4 petang, 24 Mei lalu.

Wang itu kemudiannya dimasukkan ke dalam beg plastik sampah oleh dua anggota polis Cawangan Khas (SB) dari Sandakan sebelum diangkut ke Balai Polis Sandakan pada jam 6 petang hari sama.

Polis Sabah dan Bank Hong Leong di Sandakan yang dihubungi China Press enggan mengulas berhubung pengeluaran dan penghantaran wang tebusan itu.

Di sebalik itu,  China Press turut melaporkan kira-kira RM18 juta dibelanjakan secara keseluruhan untuk membebaskan empat pemuda dari Sibu itu, termasuk kos rundingan dengan penculik yang dibiayai ahli korporat.

Media sebelum ini melaporkan wang tebusan yang diminta penculik adalah 300 juta peso (RM30 juta), sebelum dikurangkan kepada 180 juta peso (RM18 juta).

Bimbang akan perkembangan ini kerana ia seolah dirahsiakan daripada pengetahuan rakyat Malaysia, pada 16 Jun lalu, Pengarah Eksekutif Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel turut membuat ulasan.

C4 bimbang kerana tiada ketelusan dalam hal RM12 juta yang dikaitkan dengan pembebasan empat warga Sarawak yang dijadikan tebusan. Oleh kerana ancaman pengganas dan penculikan semakin menjadi-jadi, kerahsiaan yang menyelubungi RM12 juta itu amat membimbangkan.

Cynthia menggesa Zahid, yang juga menteri dalam negeri, untuk mendedahkan butiran pembayaran itu supaya rakyat Malaysia tahu kejadian seperti ini tidak akan berulang.

Netizen turut membangkitkan persoalan dan mempertikaikan kenyataan Zahid.

Bekas pengarang kumpulan New Straits Times Mustapha Kamil mempertikaikan logik kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu.

“Jika sebelum, mengapa kita perlu bayar sedangkan sebahagian wang itu milik ahli keluarga tebusan yang telah menjual aset-aset mereka untuk mendapatkan wang? Kita boleh pulangkan wang itu kepada mereka.

“Jika selepas, mengapa badan-badan bukan kerajaan itu dilibatkan dalam hal ini? Bagaimana kita tahu kepada NGO mana wang itu perlu disalurkan?

“Bolehkah kita enggan bayar? Pada saya, bunyinya seperti wang tebusan,” tulisnya dalam catatan di Facebook baru-baru ini.

The Manila Times mengemukakan pertanyaan apakah  jumlah wang yang hilang menimbulkan syak bahawa pihak pemberontak mungkin bersekongkol dengan pihak berkuasa dari Malaysia dan Filipina berkongsi wang selebihnya itu (RM3.2 juta) di antara mereka.

Ada sumber mendakwa, seorang pegawai kerajaan tempatan di Sulu terlibat dalam rundingan. "Sudah menjadi pengetahuan umum di Malaysia yang biasanya sebanyak P30 juta (RM2.64 juta) dibayar sebagai wang tebusan bagi mangsa-mangsa culik rakyat Malaysia pada masa lalu. P130 juta yang diminta untuk empat tebusan terbaru itu setakat ini adalah yang tertinggi," kata sumber itu.

Beberapa pegawai tempatan termasuk mungkin di kalangan tentera bersubahat dengan Abu Sayyaf.

"Mengapa mereka begitu pasif? Jelas sekali, banyak pihak yang mungkin terlibat. Banyak jawapan boleh diberikan oleh Gabenor Sulu (Abdusakur Tan)," tambah sumber itu.

Persoalan juga apakah dengan mengatakan Cawangan Khas tidak terlibat dan akan tiada inkuiri bagi menyiasat wang RM12 juta ituPDRM akan  bebas daripada kontroversi ini?

Apakah alasan bahawa PDRM menyedari ke mana wang RM12 juta itu disalurkan, sudah cukup untuk menutup kes ini begitu sahaja?

Bukakah kini integriti PDRM dan Khalid sedand dipersoalan? Membiarkan keadaan berterusan begitu sahaja?

Bagaimana pula dengan reaksi Abu Sayyaf terhadap kegagalan menyerahkan semua RM12 juta kepada pihak mereka selepas ini?

Apa nasib penduduk berhampiran Filipina dan pelancong yang datang ke Sabah dan Sarawak?

Apa jaminan tidak akan ada tindak balas tegas daripada Abu Sayyaf dan mereka mungkin meminta jumlah wang tebusan lebih tinggi pada masa hadapan?

. 
Pengerusi MyWatch menggesa PDRM supaya menyiasat bekas komando mereka, Halim Ishak, yang sebelum ini dilaporkan sebagai orang penting dalam usaha pembebasan warga Sarawak yang menjadi tebusan Abu Sayyaf.

Sri Sanjeevan Ramakrishnan dalam laporan polis yang dibuatnya kelmarin berkata ada kemungkinan Halim Ishak, dan Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) yang dipengerusikannya, punyai kaitan dengan RM12 juta yang dikumpul oleh ahli keluarga mangsa.

“Satu pasukan khas harus ditubuhkan segera untuk menyiasat kes ini agar ia dapat membersihkan nama baik kewibawaan Polis Diraja Malaysia dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar daripada tuduhan,” kata Sanjeevan dalam laporannya.

DAP Sabah yang bimbang dengan kemungkinan-kemungkinan, mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil menyiasat laporan dari Manila bahawa sebahagian daripada dana yang dikutip oleh ahli keluarga yang menjadi tebusan Abu Sayyaf tidak disampaikan kepada kumpulan militan itu.

"Adakah dakwaan ini (Manila Times) benar? DAP mahu siasatan menyeluruh berhubung ke mana baki RM3.2 juta itu berada.

"Setiap rakyat Malaysia, terutamanya keluarga tebusan, ingin tahu jawapannya," kata Setiausaha DAP Sabah Phoong Jin Zhe dalam satu kenyataan.
  
"Jika dakwaan ini adalah benar, tindakan perlu diambil ke atas pegawai yang didakwa mengambil wang itu. Tindakan ini mesti dikutuk sekeras-kerasnya," katanya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menempelak Ketua Polis Negara kerana mengalihkan perhatian berkenaan wang tebusan kepada keluarga mangsa culik.

Lim berkata, pihak polis dan kerajaan seharusnya bertanggungjawab oleh kerana keluarga mangsa tidak dimaklumkan mengenai RM12 juta telah didermakan kepada badan amal dan tidak digunakan untuk tebusan, seperti mana yang didakwa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Lim berkata demikian sebelum membuat laporan mengenai isu wang tebusan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur.

http://www.malaysiakini.com/news/346046

Ekoran kontroversi ini, Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng (kanan) baru-baru ini  memberikan tempoh 24 jam untuk kerajaan memecat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar atas kegagalan menangani isu wang tebusan RM12 juta.

Ini kerana, Khalid telah menyebabkan isu wang tebusan menjadi begitu kacau-bilau sehingga ada pihak yang mula mengesyaki bahawa pihak polis turut terlibat dengan penculik.

"Saya bersetuju dengan dasar kerajaan untuk tidak membayar wang tebusan atas alasan ia memberi galakan kepada penculik lain untuk meneruskan kegiatan mereka sekiranya perjanjian tebusan dipenuhi.

Tetapi, beliau tetap menyalahkan Ketua Polis Negara kerana telah menjadikan isu wang tebusan RM12 juta ini suatu isu yang sangat kacau.

"Jika bukan kerana Khalid menafikan dari awal lagi bahawa pihak polis telah menerima wang tebusan daripada pihak keluarga dan kemudian menyuruh pihak media menyoal pihak keluarga mangsa, saya percaya perkara ini tidak akan menjadi begitu tak tentu hala," katanya dalam kenyataan.