Tuesday, October 5, 2010

DR MAHATHIR KELUAR HOSPITAL DENGAN SEMANGAT TINGGI

Syukur Alhamdulilah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Hospital Epworth di Melbourne 12 tengah hari ini.

Laporan Bernama yang memerik seorang jurucakap hospital, berkata Dr. Mahathir keluar dari hospital dengan semangat yang tinggi.

Beliau telah berada di hotel penginapannya dan akan kembali ke tanah air minggu ini.

Bekas Perdana Menteri menerima rawatan di Hospital Epworth, Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru.

mStar yang memetik Pegawai Khas Dr Mahathir, Sufi Yusoff pula berkata, pasukan perubatan berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Dr Mahatahir.

"Namun beliau masih akan diletakkan di bawah pemerhatian untuk pemerhatian lanjut untuk satu tempoh yang belum ditentukan," katanya.

Selain itu menurut Sufi, Dr Mahathir akan ditempatkan di sebuah hotel berhampiran bagi memudahkan pasukan perubatan membuat pemantauan.

"Pelepasan dari hospital hari ini ke sebuah hotel berhampiran juga merupakan sebahagian daripada proses pemulihan untuk mencepatkan proses pemulihan Dr Mahathir.

"Sepanjang tempoh ini, pasukan perubatan akan terus memantau rawatan antibiotik serta menjalani fisioterapi susulan," katanya.

Dr Mahathir yang diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd. Ali berada di Melbourne sejak Khamis lalu untuk berucap pada seminar pembangunan manusia anjuran Kelab UMNO Melbourne.

DALAM KUMPULAN MANUSIA ADA BINATANG...

WAJAH Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dirakamkan di wad Epworth Hospital Melbourne, Australia pada 11 pagi 4 Okt. kelihatan ceria di sisi isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali. Bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke hospital tersebut selepas mengadu sakit dada, 2 Okt. lalu dan kini dilaporkan semakin pulih. - Utusan

Daripada Utusan Malaysia 5 Oktober 2010
Tajuk asal “Biadabnya pemimpin pembangkang hina Dr. M"

Sewaktu Karpal Singh ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dimasukkan ke Hospital Ipoh kerana sakit kencing manis, adiknya, mendiang Manjit Singh yang juga seorang peguam yang beroperasi di Alor Setar telah meminta melalui rakannya supaya saya menyampaikan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad agar abangnya dipindahkan ke hospital lain, yang lebih selesa dan mempunyai peralatan yang lebih lengkap tentang penyakit abangnya.

Sewaktu saya bercakap dengan Dr. Mahathir yang pada kebetulannya beliau melawat Alor Setar, disertai oleh Tun Daim Zainuddin dan saya memaklumkan mengenai permintaan adik Karpal Singh itu.

Kata Dr. Mahathir, "Saya akan periksa (I will check)". Selang tidak berapa hari kemudian, Karpal Singh dipindahkan ke hospital yang lebih baik di Kuala Lumpur.

Semasa perjumpaan tahunan antara media dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sewaktu saya menjadi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu, saya ditempatkan berada di meja utama dengan Dr. Mahathir di sebelah kanan saya, dan Tun Haniff Omar di sebelah kanan Dr. Mahathir.

Di sebelah saya, seorang menteri yang saya tidak dapat sebut namanya kerana telah meninggal dunia. Sepanjang ingatan saya, Datuk Mohamed Rahmat turut hadir bersama selaku Menteri Penerangan pada waktu itu.

Saya telah bertanya kepada Dr. Mahathir apa yang akan beliau lakukan sekiranya sesuatu berlaku ke atas Tunku Abdul Rahman. Beliau menjawab, "Saya belum tahu", (sememangnya Tun Dr. Mahathir menyembunyikan sesuatu sehingga perkara itu berlaku).

Menteri yang duduk di sebelah saya mencelah katanya, "Saya tidak akan pergi menziarah jenazah Tunku." Dr. Mahathir bertanya kenapa kepada menteri tersebut?
Saya masih ingat Ketua Pengarang Utusan Melayu pada waktu itu, Zainuddin Maidin (sekarang ini Tan Sri) ada bersama.

Dalam tidak berapa hari kemudian, Tunku Abdul Rahman meninggal dunia. Tun Dr. Mahathir telah memberi cuti am (state funeral) sebagai menghormati perjuangan Tunku dan juga sebagai bekas Perdana Menteri.

Beliau juga turut mengiringi jenazah sehingga ke Makam Diraja Langgar dan menunggu sehingga selesai pengebumian Tunku. Seorang kerabat Diraja Kedah telah bertanya.

"Bagaimana Dr. Mahathir boleh melakukan ini, setahu saya Dr. selalu bertelingkah dengan Tunku."

Kata Dr. Mahathir, "Itu pertelingkahan pandangan, bukan soal peribadi." Begitulah sikap seorang Perdana Menteri yang beradab dan bersopan serta disanjungi jutaan rakyat.

Baru-baru ini, seorang pemimpin parti politik yang hampir hancur menyebut Dr. Mahathir tersungkur di Australia. Saya merasa amat sedih kerana sikap bongkak dan biadab manusia yang tidak bersopan itu.

Beginikah sikap pemimpin yang wajar dijadikan pemimpin negara. Betullah seperti mana yang diulang berkali-kali dalam TV3. "Di dalam kumpulan binatang tidak ada manusia, tetapi di dalam kumpulan manusia ada binatang." Inilah ungkapan yang tepat sekali.