Showing posts with label Rafidah. Show all posts
Showing posts with label Rafidah. Show all posts

Friday, July 1, 2016

DI UK, BREXIT, DI MALAYSIA PULA 'UMNO-EXIT', MENGAPA BEGINI?


(Bekas anggota kabinet dua perdana menteri sebelum ini – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi)

Sementara United Kingdom melalui peristiwa Brexit, dengan referendum untuk keluar dari Kesatuan Eropah, kita di Malaysia juga tidak ketinggalan.

Umno telah berterusan melakukan "Umno-exit" sendiri dengan penyingkiran beberapa pemimpin-pemimpin Umno atas beberapa alasan-alasan.

Rafidah Aziz
Dan ada yang sendiri meninggalkan parti. Umno dalam setengah abad yang lalu telah mengalami pelbagai peristiwa dan gegaran.

Setiap peristiwa secara berterusan telah menghakis kekuatan dan ketahanan parti, terutama dengan semakin ramai anak-anak muda yang tidak kenal dengan perjuangan Umno di masa lalu.

Pasti Umno tidak boleh hanya bersandar kepada sentimen perjuangan lama kerana suasana politik, sosial dan ekonomi memerlukan strategi serta penekanan-penekanan yang berbeza.

Namun kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa perpaduan, pada mana jua zaman dan era, adalah kunci kepada kejayaan parti seterusnya.

Dan perpaduan tersebut akan pasti terjejas apabila terdapat perpecahan parti mengikut kelompok dan kumpulan, serta antara "orang saya" dan "orang dia", serta "orang kita" dan "orang mereka".

Dan apabila kepelbagaian pendapat tidak dapat diterima, dan dianggap sebagai "tentangan". Sekarang nyata sudah berlaku "peperangan terbuka".

Segala kain kotor dikirai kepada awam. Kata-kata kesat dikeluarkan. Dendam mendendam sudah menjadi asas.

Setiap pemimpin mencuba sedaya upaya untuk menunjukkan pemimpin yang satu lagi betul-betul hodoh dan buruk.

Masing-masing menconteng arang ke muka antara satu dengan yang lain hingga setiap yang terlibat nampak begitu buruk dah hodoh kepada awam.


Pasti ramai yang beranggapan bahawa tiada seorang pun pemimpin "yang betul" dan menganggap "semuanya tak boleh pakai" oleh kerana pemimpin-pemimpin sendiri yang mencaci dan memburukkan sesama sendiri!

Politik telah menjadi peribadi atau personal. Adakah ini matlamat perbalahan antara pemimpin-pemimpin dalam Umno?

Mengapa dibiar dendam dan sakit hati menjadi pendorong tindakan? Di mana letaknya pegangan dan komitmen kepada cogan kata Umno "bersatu, bersetia, berkhidmat”, apabila yang sebenarnya berlaku ialah berbalah, berdendam dan berpecah-belah?

Umno pernah diharamkan. Orang-orang Umno telah menubuhkan parti-parti politik sendiri dan menentang Umno.

Mengapa dibiarkan permusuhan menular dalam parti sehingga kawan jadi lawan dan lawan dibawa tidur sebantal?

Tidakkah kita belajar daripada masa lepas, dari peristiwa-peristiwa pahit yang telah banyak menjejaskan parti?

Menjelang Syawal ini, wajar kita renungkan bersama ke mana arah haluan parti. Kita tidak memupuk kekuatan jika tidak ada perpaduan sebenarnya.

Perpaduan bukan bererti menjerit-jerit slogan, berpeluk-pelukan atau mencium-cium tangan atau “photo opp” dan kenyataan-kenyataan yang "mencerminkan" yang "semua OK"!

Anak-anak muda ada opsyen dan pilihan lain.


Sepatutnya kita yang telah lama dalam Umno, menunjukkan contoh-contoh kepimpinan yang baik, supaya anak-anak muda menjadi penokok tambah kepada kekuatan Umno.

Sememangnya masih ada isu-isu dan masalah yang perlu diselesaikan supaya tidak terus terjejas kredibiliti kepimpinan parti dan kerajaan.

Yang betul tetap betul. Yang salah tetap salah. Tetapi penyelesaian tidak akan diperoleh dengan cara perbalahan dan dendam peribadi. Ia hanya mengeruh dan mengusutkan keadaan.

Fokus kepada isu, bukan peribadi. Kesetiaan mestilah kepada parti, bukan kepada mana-mana indeividu kerana individu datang dan pergi.

Sudah ramai yang telah pergi meninggalkan segala gelaran, harta dan pangkat serta kuasa tetapi parti mesti kekal.

Hentikanlah perbalahan, carilah jalan penyatuan.

Pemimpin-pemimpin masa lalu juga berselisih faham, tetapi seperti air yang di cincang tidak akan putus.

Jangan dibiarkan masalah-masalah yang menular itu menyebabkan ahli-ahli sendiri kecewa, apatah lagi orang-orang Melayu.

Umno sebagai parti tidak bersalah. Manusia dan gelagatnya yang mencemar nama baik Umno dengan tindak-tanduk yang tidak selari dengan semangat perjuangan sebenarnya.

Jangan kerana manusia, Umno dipersalahkan.

Berperang sesama sendiri, didorong oleh dendam dan mungkin juga ego merugikan parti.

Di samping menambah dosa dan memburukkan diri masing-masing pada khalayak ramai, pasti di Syawal ini ramai yang perlu memohon ampun maaf antara sesama sendiri.

Sama-samalah kita ingat apa kata orang tua-tua, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Dan berpesan juga orang-orang tua, jangan menang sorak kampung tergadai.

Saturday, November 22, 2008

WANITA UMNO PUN PANDAI ‘MAIN BELAKANG’

Depan lain, belakang lain. Depan kata tidak mahu bertanding, belakang lain pula jadinya.

Itulah kalau sudah pandai ‘main belakang’. Akan makin panas dan berapilah Wanita UMNO yang dulunya menjadi sebuah pergerakan yang ‘cool’ dan sering menjadi rujukan sebagai ketenteraman dalam UMNO.

Selalunya Pergerakan Pemuda UMNO yang berasap-asap kerana ada sahaja pertandingan merebut Ketua Pemuda.

Ada kawan saya berkata, Tan Sri Rafidah Abdul Aziz, 56, akan tergolek sekali lagi kali ini dan jatuh ‘bagai nangka busuk’ (ambil istilah Datuk Seri Rais Yatim).

Nanti dulu, kata saya. Bertenang!

Semua kena ingat, Rafidah biar berumur sedikit tua berbanding Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tetapi bukan calang-calang pemimpin. Sebagai orang yang pernah kalah dalam pertandingan, ‘Kak Fidah’ tidak hairan kalau terjunam pun.

Dia tidak akan rugi apa-apa. Shahrizat mungkin lebih merasa sakitnya kalau kalah.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menerajui Wanita UMNO sejak 1984 kecuali satu penggal berikutan kekalahannya kepada Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan parti 1996 dan pastinya sudah tahu bagaimana peritnya apabila kalah dan dimalukan sedemikian.

Pada Ogos lalu, Rafidah mengumumkan akan menyerahkan jawatannya kepada Shahrizat melalui satu pelan peralihan yang dijadualkan pada Jun 2009.

Orang yang sudah merasai kalah dan menang tidak jadi soal lagi baginya dalam sebarang pertandingan. Namun bagi Shahrizat, pertandingan untuk jawatan no 1 Wanita UMNO ini adalah debut baginya, dia boleh menggeletar sampai ke tumit.

Bagaimana agaknya rupa Shahrizat kalau menggeletar ya?

Mengenai beliau akan ‘dilanggar’ Rafidah berkata: "Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:

a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan;

b) beliau patuh kepada pelan peralihan;


c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti; dan d) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)"

Jelas sekali sejak tiada jawatan, Rafidah tidak lagi boleh kawal Wanita UMNO. Shahrizat pun tidak ada jawatan tetapi kerana menjadi ‘orang penting” Perdana Menteri, dia mempunyai kelebihan.

Semalam, Kak Fidah melepaskan apa yang terbuku di hati: “Saya kecewa kerana pelan peralihan telah dipertikai dan ditolak lebih daripada tiga bulan selepas saya mengumumkannya pada 4 Ogos 2008.

“Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam Exco Wanita atau di luar yang telah mempertikaikannya. Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri sama ada empat mata atau pun dalam mesyuarat Exco dan dalam sidang media telah berkali-kali menegaskan, beliau tidak akan bertanding jawatan Ketua walaupun dicalonkan,” katanya.

Oleh kerana bukan Menteri dan hanya Ahli Parlimen Kuala Kangsar , kenyataan media tulisan tangannya sendiri di atas memo Ahli Parlimen sahaja.

“Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu,” katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.

Rafidah berkata, beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.

Itulah nasib apabila pemimpin tidak lagi di kelilingi ramai orang. Yang dulu sangat rapat dan hari-hari duduk bawah dagu pun agaknya dah duduk jauh-jauh sambil memerhati .

Katanya Rafidah lagi: “Jika dalam mana-mana perbincangan ada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab wajar dibangkitkan dan dibantah. Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-Bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua,” katanya.

“My word is my honour”? tidak ada lagi dalam UMNO. Kalau ini ada tidak akan berlaku politik wang yang gila-gila. Kini ahli UMNO pergi kepada yang paling banyak bagi duit biarpun sudah berjanji sebelumnya dengan seseorang yang lain.

Sebenarnya cerita setuju atau berjanji ini sudah tidak boleh pakai lagi dalam, UMNO.

Dulu pun ada orang berjanji dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak membatalkan projek-projek yang dipersetujui bersama.

Kemudian dia langgar perjanjian dengan membatalkan projek Jambatan Bengkok dan juga laluan dua trek ke Ipoh dan banyak lagilah.

Orang kata ikan akan buruk di kepala terlebih dahulu dan kini belang ahli UMNO semakin jelas.

Nampaknya budaya tidak tunai janji dan ingkar janji semakin dibudayakan dalam UMNO dan tiada lagi setiakawan seperti UMNO sebelum ini.

Apa nak buat, apabila budaya sedemikian diterapkan terpaksalah terima Kak Fidah oiii….

Betul juga kata Rafidah “jika ada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab wajar dibangkitkan dan dibantah.”

Dan apabila tiada bantahan ia bermakna setuju.

Tiba-tiba ada yang mengatakan pencalonan kerana dipaksa dan sebagainya. Apakah pemimpin Wanita UMNO yang sesetengahnya dah nenek tidak faham atau tidak tahu bermain politik?

Tidak setuju kata tidak setuju awal-awal. Budaya UMNO sepatutnya tidak ada perbuatan ‘cakap belakang’ dan ‘main belakang’.

Benar 100 peratus jika Rafidah menyuarakan pendapatnya bahawa “Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-Bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.”

Apa nak buat nasi bukan sahaja tidak menjadi bubur tetapi dah basi.Masing-masing kena pandailah bawa diri.

Presiden UMN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya boleh berharap kedua-dua pihak - Rafidah dan Shahrizat - dapat mengelak daripada bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno, pada pemilihan Mac depan.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berharap, jika kedua-dua calon terbabit mahu bertanding juga, bertandinglah mengikut amalan demokrasi serta memastikan tiada perpecahan pada sayap parti itu.

Yang pening nanti ialah Presiden UMNO yang baru kerana yang lama boleh ‘cuci tangan’ selepas Mac 2009.

Seruan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Wanita UMNO merapatkan semula perpaduan sayap kanan parti itu selepas selesai pemilihan Ketua Wanita UMNO pada Mac depan, belum pasti akan dihormati atau dipatuhi.

Takut “ya “ di depan dan Najib sebagai Presiden UMNO selepas ini pun ‘kena main belakang’ oleh Wanita UMNO.

Thursday, November 20, 2008

WANITA UMNO – PANAS & BERAPI

Wanita UMNO bukan sekadar sudah pandai baling kerusi pada mesyuarat Wanita Bahagian seperti yang berlaku di Kuala Selangor tetapi pada peringkat nasional sudah pandai memberi amaran dan dedah-mendedah.

Dan terbaru, dalam Wanita UMNO akan berlaku ‘langar-melanggar’ pula apabila Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengatakan beliau akan menentang Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan Mac nanti.

‘Kak Aishah’ (Tan Sri Aishah Ghani) menyatakan rasa malunya kerana kemelut pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang berlarutan hingga menyebabkan Presiden UMNO terpaksa campur tangan untuk menyelesaikannya.

Beliau menyatakan kecewa dengan senario politik pergerakan itu menyifatkan ia makin teruk berikutan sikap degil, ego dan terlalu mementingkan diri di kalangan pemimpin Wanita Umno.

Malah, beliau yang juga bekas Ketua Wanita Umno, berkata sebagai pergerakan yang berusia 59 tahun, seharusnya setiap masalah yang dihadapi diatasi di peringkat dalaman bukan hingga memaksa pemimpin tertinggi parti campur tangan bagi menanganinya.

Itu kata Kak Aishah tetapi wanita sekarang ‘mesti jadi punya’. Puteri UMNO pula ‘asal jadi’. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kalau Puteri UMNO kelak menjadi wanita UMNO (amaran – pertandingan Ketua Puteri membabitkan 7 penjuru - Datuk Shahaniza Samsudin, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datin Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd. Khalid, , Azlina Mehtab Mohd. Ishaq, Saarah Ali Bashah dan Ida Rahayu Md. Noor).

Dalam kenyataannya hari ini, Shahrizat menegaskan beliau terpaksa menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan ketua Wanita Mac depan, sekiranya Rafidah yang juga ahli parlimen Kuala Kangsar itu tetap mahu mempertahankan jawatan tersebut.

Pengumuman Shahrizat itu dianggap menjawab teka-teki selama ini sama ada beliau akan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut.

Saya sudah meramalkan dalam posting bertajuk “Shahrizat Tetap ‘Langgar’ Rafidah?” pada 11 November 2008 bahawa Shahrizat akan melanggar Rafidah ketika memfokuskan perbincangan kenapa Datuk Kamalia Ibrahim tetap dengan keputusannya bertanding Naib Ketua Wanita.

Malah M Star Online turut meramalkan perkara serupa. Saya menyebut dalam posting itu: “Pada ketika akhbar-akhbar online dan portal berita Malaysiakini melaporkan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam sebulat suara bersetuju supaya proses peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal seperti yang dirancangkan pada Jun tahun depan, MStar Online pula pergi jauh sedikit dengan mengatakan kemungkinan akan ada pertandingan dalam pergerakan itu.”

Wanita UMNO dah haru biru apabila ada yang menyokong formula peralihan kuasa cadangan Rafidah dan ada yang menyokong Shahrizat ‘melanggar’ Rafidah.

Kelmarin, Naib Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata pencalonan yang diberikan Wanita Umno Bahagian kepada Rafidah untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno adalah kerana arahan, bukannya kehendak sebenar ahli akar umbi.

“Kami berhasrat untuk mempunyai ketua pada Mac ini dan bukannya pemangku,” kata Rusnah.

Ini namanya dedah dan amaran pula bagaimana?

Amarannya ialah kata-kata daripada Exco Wanita Umno, Datuk Khamsiyah Yeop bahawa sekiranya Rafidah terus mempertahankan jawatan itu, Wanita Umno tidak ada pilihan selain memilih Shahrizat yang juga telah meraih sokongan sebenar daripada akar umbi.

Tegasnya: “Bagaimanapun kami mahu supaya tiada pertandingan (bagi jawatan ketua pergerakan). Ini sebaik-baiknya dan ini harapan semua orang. Kita mahu jadikan penyerahan dan perubahan kuasa (seperti ini) sebagai warisan seperti yang dibuat oleh Tan Sri Aishah Ghani yang serahkan kuasa kepada Rafidah dulu. Itu yang kita harapkan.”

Jelas Wanita UMNO bukan sahaja ‘panas’ tetapi kini berapi.

Selepas kesemua 191 bahagian Wanita selesai bermesyuarat awal bulan ini, 117 bahagian mencalonkan Rafidah untuk mempertahankan jawatannya manakala 73 lagi mencalonkan Shahrizat untuk jawatan ketua.

Khamsiyah yang Ketua Wanita Umno Bahagian Lenggong menjelaskan bahawa 117 pencalonan yang diterima Rafidah adalah 'sekadar di atas kertas' dan tidak boleh diguna pakai untuk mencerminkan kehendak sebenar anggota pergerakan itu yang mahukan gandingan Shahrizat dan Datuk Kamilia Ibrahim.

Mereka berkata demikian pada satu sidang akhbar di sini bagi mengumumkan bahawa 22 daripada 24 bahagian Wanita Umno di Perak kini mahu agar peralihan kuasa daripada Rafidah kepada Shahrizat dipercepatkan dari Jun ke Mac tahun depan.

Dan hari ini lebih 100 bahagian menyokong Shahrizat bertanding jawatan ketua Wanita Umno Mac ini.

Menurut exco pergerakan itu, Raja Ropiah Raja Abdullah yang juga ketua Wanita Umno bahagian Petaling Jaya Utara, sekurang-kurangnya lima negeri memberi sokongan penuh kepada Shahrizat untuk mencabar penyandang, iaitu Rafidah. Lima negeri tersebut, katanya, ialah Pulau Pinang, Perak, Melaka,Sabah dan Negeri Sembilan.

Raja Ropiah berkata, negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan - yang sebelum ini merupakan penyokong kuat Rafidah - kini telah mula beralih sokongan kepada Shahrizat.

Alasan utama sebahagian ahli Wanita UMNO mahu Shahrizat bertanding ketua Wanita ialah mereka tidak mahu Shahrizat menjadi pemangku selama tiga tahun.

Ini kerana proses itu tidak akan menguatkan kedudukan Wanita Umno terutamanya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Tuesday, November 11, 2008

SHAHRIZAT TETAP ‘LANGGAR’ RAFIDAH?

Pada ketika akhbar-akhbar online dan portal berita Malaysiakini melaporkan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO semalam sebulat suara bersetuju supaya proses peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal seperti yang dirancangkan pada Jun tahun depan, MStar Online pula pergi jauh sedikit dengan mengatakan kemungkinan akan ada pertandingan dalam pergerakan itu.

Utusan Malaysia Online dan Malaysiakini semalam melaporkan, sudah ada kesepakatan dalam Pergerakan Wanita UMNO dan dengan persetujuan itu bermakna tiada pertandingan untuk dua jawatan utama pergerakan itu pada pemilihan semasa Perhimpunan Agung Umno pada Mac tahun depan.

Tan Sri Rafidah Aziz akan kekal menjadi Ketua Wanita Umno sehingga Jun 2009 dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mendapat pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno tidak akan bertanding jawatan berkenaan dan kekal sebagai Naib Ketua Wanita sehingga Jun.

Selepas mesyuarat parti berakhir kelmarin, terdapat dua calon yang melepasi kuota kelayakan untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita iaitu penyandangnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Kamilia Ibrahim.

Rafidah pada persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita di Menara Dato’ Onn PWTC berkata: “Kita telah berbincang dengan panjang lebar mengenai pencalonan. Exco bersetuju dengan pelan peralihan yang telah diputuskan dan akan berlaku pada bulan Jun, 2009.

Exco juga menegaskan supaya tidak ada pertandingan untuk jawatan ketua dan naib ketua. Ini telahpun dibincangkan dan diputuskan sedemikian untuk menjamin perpaduan dalam Umno. Ia juga untuk membantu dalam proses pemulihan Umno dan untuk kita memberi kekuatan kepada parti dan juga kepada presiden Umno.”

Mesyuarat itu bermula pukul 10.30 pagi dan berlangsung selama kira-kira enam jam.

MStar Online semalam sebaliknya dalam laporannya dengan mengemukakan soalan apakah Shahrizat berubah fikiran dalam soal peralihan kuasa dan saingan merebut kerusi Ketua Wanita?
Selepas mesyuarat Exco Wanita itu Shahrizat berkata, cadangannya supaya pelan peralihan kuasa daripada Rafidah kepada beliau dipercepatkan kepada Mac depan ditolak oleh mesyuarat pergerakan itu hari ini.

"Cadangan mempercepatkan pelan peralihan kepada Mac semasa Perhimpunan Agung Umno tidak diterima (Tan Sri) Rafidah dan exco, tetapi pelan peralihan seperti yang dirancang pada Jun tahun depan dikekalkan," katanya.

Kepada Bernama selepas sidang akhbar itu, Shahrizat berkata, keputusan exco ialah untuk menerima saranan Rafidah seperti asal di samping menentukan tiada pertandingan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua pergerakan itu.

Shahrizat berkata pada masa yang sama, akan ada rundingan secara damai untuk menyelesaikan isu pengisian jawatan dan usaha untuk berunding bersama Datuk Kamilia Ibrahim, exco Wanita Umno yang turut layak bersama beliau untuk bertanding jawatan Naib Ketua.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menunjukkan minatnya untuk bertanding Naib Ketua.

Bagaimanapun, beliau hanya menerima 20 pencalonan, sekali gus gagal melepasi kuota kelayakan 29 pencalonan untuk membolehkannya bertanding jawatan nombor dua pergerakan berkenaan.

Azalina bagaimanapun menyifatkan dirinya tidak gagal walaupun tidak layak bertanding jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan parti Mac tahun depan. Menurutnya, walaupun tidak layak bertanding, namun Azalina menganggap percubaan kali pertamanya itu sebagai satu ‘kejayaan’ kepada dirinya sambil memberikan pengertian besar kepada Wanita UMNO.

Ditanya langkah beliau seterusnya ekoran penolakan usahanya agar pelan peralihan kuasa dipercepatkan selaras dengan pelan peralihan Umno induk, beliau berkata:
"Saya juga akan mengambil kira suara daripada akar umbi dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk Wanita Umno." "Untuk pelan peralihan ini berjaya, kita perlu ada kerjasama Kamilia, kalau tidak, akan ada pertandingan nanti untuk jawatan Naib Ketua".

Shahrizat berkata, beliau akan berusaha menyelesaikan isu itu secara damai berlandaskan kepada pendirian Rafidah, exco Wanita Umno serta amanah yang diberikan oleh akar umbi.
Kamilia yang juga Ketua Wanita Bahagian Kuala Kangsar, sebelum ini berkata, beliau mahu pelan peralihan itu dipercepatkan bagi mengukuhkan kepimpinan pusat pergerakan itu.Beliau berkata jika tempoh peralihan itu dilaksanakan mengikut perancangan asal, ia akan merugikan pergerakan itu kerana ia akan memberi kekosongan kepada jawatan Ketua Wanita dan melemahkan kepimpinan parti.

Shahrizat, yang turut layak bersama Rafidah bertanding jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti akan datang, bagaimana pun enggan menyatakan sama ada beliau akan membuat keputusan ke arah itu dalam masa terdekat seperti yang digesa oleh akar umbi.

Namun, menurut laporan Utusan Malaysia Online pula, Shahrizat pada persidangan akhbar yang sama berkata beliau menerima keputusan yang telah dibuat pada mesyuarat Exco hari ini.