Tuesday, November 30, 2010

DEMI MELAYU - PERKARA 66 PERLEMBAGAAN WAJAR DIPINDA

Saya tertarik dengan pendapat seorang pembentang kertas kerja pada Wacana "Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan" di Shah Alam semalam yang memperkatakan mengenai Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini menarik kerana menurut Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff, kuasa untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang oleh raja-raja dalam Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini telah dipinda perlu dikembalikan semula bagi memastikan sistem pemerintahan beraja di negara ini dapat dikekalkan.

Sebenarnya, ada kalangan Menteri yang mempunyai pengalaman dan kelulusan undang-undang turut bersetuju jika pindaan kepada Perkara 66 ini dipinda.

“Ini adalah antara perkara penting yang perlu bagi orang Melayu kerana Raja-Raja Melayu mampu melindungi mereka dengan lebih kuat lagi,’ tegas Menteri berkenaan.

Namun menurutnya, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional perlu mempunyai iltizam yang tinggi untuk melakukannya.

Mohammad Agus pula bercakap selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Sistem Raja Berperlembagaan: Keperluan dan Masa Depan pada Wacana: Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di Shah Alam semalam, menegaskan Perkara 66 ini dipinda dipinda pada 1983.

Hakikatnya, ia merupakan satu sistem yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dan perlu dikekalkan sebagai kelangsungan survival Melayu sebagai penduduk asal.

Beliau berkata, ia juga merupakan identiti dan lambang bangsa Melayu.

Jika dirujuk kepada perlembagaan, Perkara 66 ini adalah berikut:

Perkara 66. Penjalanan kuasa perundangan.

(1) Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah dijalankan melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (atau, dalam hal yang disebut dalam Perkara 68, oleh Dewan Rakyat) dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Perkara ini, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Tertakluk kepada Perkara 67, sesuatu Rang Undang-Undang boleh bermula di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

(3) Apabila sesuatu Rang Undang-Undang telah diluluskan oleh Majlis Parlimen tempat Rang Undang-Undang itu bermula, maka Rang Undang-Undang itu hendaklah dihantar kepada Majlis Parlimen yang satu lagi; dan Rang Undang-Undang itu hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya apabila telah diluluskan oleh Majlis Parlimen yang satu lagi itu dan persetujuan telah dicapai antara kedua-dua Majlis Parlimen itu mengenai apa-apa pindaan yang dibuat dalam Rang Undang-Undang itu atau apabila Rang Undang-Undang itu dikehendaki dikemukakan sedemikian di bawah Perkara 68.

(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Mohor Besar dicapkan pada Rang Undang-Undang itu.

(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah
memperkenankannya.

(4B) (Dimansuhkan).

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apabila diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal (4A), tetapi tiada undang-undang boleh berkuat kuasa sehingga undang-undang itu telah disiarkan, tanpa, walau bagaimanapun, menjejaskan kuasa Parlimen untuk menangguhkan kuat kuasa mana-mana undang-undang atau untuk membuat undang-undang yang berkuat kuasa ke belakang.

(6) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini atau dalam Perkara 68 boleh menidaksahkan mana-mana undang-undang yang mengesahkan aku janji yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan yang bermaksud bahawa Rang Undang-Undang yang dimaksudkan oleh aku janji itu tidak akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya kecuali mengikut aku janji itu.

Yang penting, jika kuasa itu dikembalikan kepada Yang DiPertuan Agong atau Raja-Raja Melayu, ia dapat mengimbangi peranan penggubal undang-undang.

"Dengan kembalinya kuasa itu, raja-raja boleh semak dan imbang di situ," katanya.

Menurut Mohammad Agus yang ditemui wartawan selepas itu, bukan mudah untuk mengembalikan perkara itu kepada yang asal (pinda semula Perkara 66) kerana ia memerlukan undi majoriti dua per tiga Ahli Dewan Rakyat untuk kelulusan.

Kata beliau, untuk mendapat undi majoriti itu juga agak sukar kerana tidak mungkin Ahli Dewan Rakyat bukan Melayu akan menyokong perkara itu.

"Jadi saya rasa hanya raja-raja yang boleh meminta supaya kuasa itu dikembalikan kepada mereka dan saya yakin kalau raja yang minta pasti orang Melayu akan sokong," kata beliau.

Apakah akan ada permintaan sedemikian?

Bagaimanakah menggembalikan kuasa itu? Jika orang Melayu dan rakyat Melayu merasakan kuasa itu perlu dikembalikan, mereka perlu bersatu menyokong pindaan ini.

Tidak kiralah dari parti mana sekali pun, jika Ahli Parlimen berbangsa Melayu memahami perlunya pindaan ini, mereka perlu menyokongnya.

Dalam banyak perkara penting, kuasa Raja-Raja Melayu sangat jelas diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan orang Melayu di negara ini.

Ini ditegaskan oleh pakar undang-undang perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi pada majlis yang sama bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melantik Perdana Menteri, menteri Kabinet dan timbalan menteri untuk menasihati baginda dalam tugas-tugas baginda. ''Kuasa-kuasa ini diperuntukkan dalam perkara 43(1),(2) dan 43A Perlembagaan Persekutuan."

Selain itu, keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk tidak memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak boleh dicabar kerana ia jelas dilakukan mengikut perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh negeri itu.

Katanya, peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai raja berperlembagaan amat jelas digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh di negeri masing-masing. Menurutnya, peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan juga telah menetapkan kuasa-kuasa baginda di dalam pelbagai perkara.

Dan jika Pindaan 66 itu dilakukan, ia akan mengukuhkan lagi peranan Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam menjamin kedudukan orang Melayu.

Persoalannya, berani dan bersediakan UMNO dan Barisan Nasional melakukannya walaupun berdepan dengan cabaran yang sukar?

MELAYU - SULTAN SELANGOR SEDIH, DUKACITA

“Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara sudah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, amat tidak bertepatan...Sejarah ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Raja Melayu’, sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini." - Sultan Sharafuddin

Oleh Abdul Latiff Muda (http://lawi-ayam.blogspot.com/)

Apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bercakap mengenai Melayu apakah beliau juga patut dikategorikan sebagai mengamalkan sikap perkauman?

Dengan jelas Baginda menegaskan: “Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu saja kerana negeri ini adalah tanah tempat tumpah darah kita, dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan.”

Baginda bertitah, sejarah yang tercatat sejak beratus-ratus tahun lalu menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu sudah membuka serta membangunkan negeri di Tanah Melayu sehingga menjadi sebuah negara maju, selain menempa peristiwa membanggakan sehingga mampu bersaing dengan negara lain di dunia.

Apakah Sultan Sharafuddin rasis kerana menyebut perkara ini sambil mempertahankan institusi beraja dan kepentingan Melayu?

Baginda menegaskan bukan tujuan baginda untuk menyalakan api perkauman, tetapi ingin menyatakan bahawa rakyat Selangor mesti berbangga dengan negeri ini membabitkan kaum Cina, India dan Melayu serta kaum lain.

Persoalannya di sini kenapa Sultan Selangor dengan tegas menyatakan perkara ini ketika individu seperti Presiden Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengatakan ketuanan Melayu tidak relevan sementara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi menganggap dirinya Melayu?

Apakah dengan mengatakan diri mereka Melayu ia memberikan implikasi bahawa Melayu itu dikaitkan dengan kemunduran, kemiskinan, lemah, Islam dan beraja?

Dan dengan tidak mengatakan diri mereka Melayu – orang Melayu akan menjadi ‘Melayu Bermaruah’, maju, bijak dan dihormati?

Siapakah tokoh orang Melayu yang menjadi ikon kepada Melayu yang maju , bijak dan dihormati itu?

Apakah manusia seperti Nik Aziz, Wan Azizah dan paling utama Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai mereka yang maju, bijak dan perlu dijadikan ‘manusia contoh yang terpilih’?

Nik Aziz kelmarin menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang menjadi teladan terbaik untuk rakyat. "Anwar adalah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan kerana sanggup mengharungi pelbagai rintangan hidup," katanya.

Dan apakah manusia seperti Sultan Azlan Shah, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Prof Ungku Aziz, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Azman Hashim, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, Prof Mahmud Zuhdi, Datuk Seri Harussani Zakaria (sekadar menyebut beberapa orang ) bukan ikon dan tidak setaraf Nik Aziz, Anwar atau Azmin untuk dijadikan teladan?

Apakah mereka ini bukan ‘Melayu Bermaruah’ berbanding Anwar dan Azizah?

Persoalannya, apakah orang Melayu/ Islam dalam pakatan pembangkang – PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP – tidak lagi berjiwa Melayu dan tidak sensitif dengan teguran-teguran yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu?

Kalaupun ‘memekakkan telinga’ terhadap saranan pemimpin UMNO mengenai Melayu, setidak-tidaknya mereka akur dan sensitif dengan saranan dan perasaan Raja-Raja Melayu ketika ini.

Terbaru semalam, Sultan Sharafuddin melahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap orang Melayu yang tidak lagi megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan ‘Melayu’ untuk dikuburkan serta lenyap dari dunia.

Malah, Baginda juga sedih kerana ada segelintir individu yang berhijrah ke negeri itu, terutama orang Melayu, sanggup mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukan dan hak keistimewaan bangsa Melayu. Baginda juga sedih kerana generasi sekarang malu mengaku diri mereka seorang Melayu.

Sultan Selangor bertitah, golongan itu turut mempersoalkan kerelevanan institusi Raja Melayu serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara ketika ini.

Amat jelas bahawa orang Melayu, termasuk di Selangor – negeri paling mahu di Malaysia – tidak lagi mengendahkan institusi berkenaan yang mungkin menurut mereka tidak lagi relevan dalam konteks kini.

Dan dengan kedudukan di mana parti pemerintah di beberapa negeri di Semenanjung meletakkan kepentingan persamaan hak dan taraf dalam semua perkara, institusi raja kini bukan lagi dilihat penting.

Apakah di negeri-negeri seperti Selangor khususnya orang Melayu sudah tidak melihat Raja dan institusinya sebagai penting untuk kerana kerana tidak lagi sesuai atau mereka sudah moden?

Menurut Sultan Sharafuddin: “Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara sudah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, amat tidak bertepatan,” titah baginda pada Wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di Shah Alam semalam.

Lebih merisaukan apabila ada pemimpin Melayu yang lantang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’, titah Baginda.

Mana tidak sedihnya bagi Sultan Sharafuddin apabila ada juga suara lantang di kalangan orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’.

Dengan tegas Baginda percaya perbuatan itu dilakukan untuk kepentingan diri atau politik mereka.


Nah terang lagi bersuluh. Siapakah yang lantang menentang pembelaan terhadap orang Melayu, termasuk hak istimewa dan ketuanannya?

Yang melakukannya ialah pemimpin PKR seperti Wan Azizah dan Anwar yang terdesak menarik sokongan bukan Melayu untuk menang pilihan raya. Kerana itu Anwar sanggup berjanji untuk melantik Lim Kit Siang sebagai timbalan perdana menteri.

Apakah DAP lebih besar kemenangannya berbanding sekutu PKR satu lagi – PAS – dan di mana mahu diletakkan Presiden PAS?

Jadi apakah UMNO atau Barisan Nasional yang membelakangkan orang Melayu?

Persoalan lain ialah apakah UMNO memperjuangkan hak Melayu kerana mahu mengekalkan kuasanya seperti yang disebut oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar?

Yang nyata UMNO memperjuangkan Melayu kerana kedudukan orang Melayu dulu, kini dan masa akan datang. Selain itu yang menjadi ‘pelindung’ orang Melayu dan Islam ialah Raja-Raja Melayu.

Hakikatnya, seperti ditegaskan Sultan Selangor: “Sejarah ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Raja Melayu’, sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini.”

Dan hanya orang yang ‘membutakan sejarah’ kerana kepentingan ‘untuk ke Putrajaya’ sahaja seperti Wan Azizah, Anwar selain yang sewaktu dengannya tidak mengiktiraf pentingnya orang Melayu dan menafikan perjuangan orang Melayu menegakkan hak istimewa dan ketuannnya.

Monday, November 29, 2010

AHMAD SAID LETAK JAWATAN MB TERENGGANU HARI INI?

“SalamYB. Maaf mengganggu. Sy dapat info bhw esk ptg ada perjumpaan MB dgn semua ADUN. Ada maklumat diterima bhw terdpt rombakan BPUNT dan kemungkinan juga MB akan meletak jwtn. Cuma nak confirmation dd YB.”

Ini adalah SMS yang diforwardkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu pukul 21:46 (09:46) malam semalam kepada saya.

Apa yang terkandung dalam SMS ini amat jelas bahawa subjek pentingnya ialah:

1. Ada perjumpaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan semua ADUN;

2. Rombakan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) dan;

3. Kemungkinan Menteri Besar akan letak jawatan.

Saya berminat untuk mulakan perbincangan dengan perkara ketiga iaitu kemungkinan Menteri Besar akan meletakkan jawatan.

Tetapi sebelum itu, ingin diberitahu di sini bahawa yang SMS ini asalnya dihantar oleh ‘pegawai penyiasat’ yang jelas beliau sendiri tidak pasti dan mahukan pengesahan daripada YB tersebut.

Oleh kerana YB berkenaan juga tidak tahu ‘hujang pangkal’ mengenai perkara ini, beliau pula meminta penjelasan atau maklumat daripada saya.

Berbalik kepada perkara letak jawatan ini, saya rasa SMS seperti ini sudah lebih sepuluh kali dihantar oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengganggu pentadbiran Ahmad Said.

Malah, beberapa kali Ahmad Said sudah menjawab isu ini dengan mengatakan beliau menunaikan amanah parti dan istana. Selagi tidak diarahkan sama ada oleh Sultan Terengganu atau parti yang mendapat perkenan istana beliau tidak akan melakukannya.

Ini jelas kerana Ahmad Said dilantik menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh bukan kerana beliau melobi atau mencalonkan diri sendiri seperti sesetengah ADUN Terengganu lakukan sebelum ini, sebaliknya kerana ditakdir beliau dipilih daripada ADUN-ADUN yang menang pilihan raya umum lalu.

Ahmad Said ketika pentadbiran Idris atau ketika berlakunya krisis tidak bertindak seperti sesetengah ADUN di Terengganu yang menyatakan ‘mereka adalah layak’, ‘wajar dilantik’ atau ‘mampu menggantikan Ahmad Said’ menjadi Menteri Besar.

Berita angin yang ditiupkan kononnya Ahmad Said bakal diganti bermula selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu apabila BN kecundang dan ramai yang meletakkan kesalahan di bahu Ahmad Said. Jika kita ingat kembali, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Razak ditugaskan menjamin BN menang di Kuala Terengganu dengan kerjasama UMNO dan BN Negeri.

Kebetulan ketika itu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri adalah Ahmad Said, maka beliau mahu dijadikan kambing hitam.

Sedangkan banyak faktor menyumbang kepada kekalahan berkenaan yang kebanyakannya tidak ada kena mengena dengan Ahmad Said mahupun Najib.

Juga pada pilihan raya itu tiada pengarah khusus ditugaskan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun).

Selepas peristiwa berkenaan, SMS mengatakan Ahmad Said akan ditukarkan hampir berlegar setiap dua atau tiga bulan sekali. Secara khusus antara peristiwa besar yang dikaitkan dengan pengunduran, perletakan jawatan atau Ahmad Said ditukar selain selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu ialah:

1. Peristiwa penghantaran SMS Ugut Bunuh terhadap tiga ADUN pada April 2009;

2. Pemulauan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh ADUN BN selepas tersebarnya SMS berkenaan;

3. Selepas Ahmad Said ‘diturunkan pangkat’ oleh Presiden UMNO apabila Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilantik sebagai Pengerusi BPUNT;

4. Sinar Harian pada 28 Februari 2010 melalui satu analisis mengatakan Ahmad Said diminta lepaskan jawatan pertengahan Mac. Akhirnya pada 13 Mac 2010, Hishammuddin meminta pihak media tidak diperalatkan untuk menimbulkan persengketaan;

5. Pertengahan tahun ini kononnya Ahmad Said gagal menghadap Yang DiPertuan Agong di Jerman;

6. Terbaru sebelum SMS semalam ialah kononnya Tuanku Mizan Zainal Abidin murka dengan Ahmad Said di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada majlis keberangkatan pulang Yang DiPertuan Agong selepas mengambil bahagian dalam pertandingan kuda lasak Piala Sultan awal bulan ini.

Bagi Ahmad Said, beliau sudah lali dengan SMS sebegini dan yang mampu dilakukan ialah mendamba diri kepada Allah yang menentukan nasibnya. Bagi MB Terengganu ini beliau berpegang kepada ketentuan Allah dan jika ditakdirkan hari ini atau esok beliau terus menjadi Menteri Besar itu adalah amanah dan jika sebaliknya beliau menerima dengan tangan terbuka dan penuh redha.

Mengenai ada perjumpaan beliau dengan semua ADUN Barisan Nasional hari ini, ia tidak benar sama sekali kerana pengesahan daripada Setiausaha Sulit Kanannya, Encik Azman Ghani dan Setiausaha Politiknya, Wan Ahmad Nizam Ab Hamid, Ahmad Said akan mempunyai dua mesyuarat penting hari ini iaitu Mesyuarat Jemaah Lembaga KETENGAH dan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Tasik kenyir kali ke 3.

Pada sebelah malamnya Menteri Besar akan menghadiri Majlis Makan Malam Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PERMINT).

Dan esok (30 November 2010) Menteri Besar akan ke Acara Pelayaran Coronation Cup (Piala Pertabalan). Laporan media sebelum ini menyebut Tuanku Mizan akan menyertai acara ini.

Perkara yang juga menarik dalam SMS semalam ialah rombakan PBUNT. Sungguh pelik bagaimana mereka yang menghantar SMS itu boleh mengaitkan perkara ini.

Perlantikan dan pertukaran Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri hanya boleh dilakukan oleh Presiden UMNO.
Walaupun disebut akan berlaku pengumuman pertukaran yang akan dibuat oleh Najib pada Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT UMNO) malam esok (30 November) tetapi hanya Najib sahaja yang tahu.

Persoalannya siapakah Ahmad Said untuk memanggil ADUN UMNO untuk mengadakan mesyuarat. Untuk apa?

Apakah kerana kecewa kerana sesuatu sebab umpamanya sekiranya tidak dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu Ahmad Said terlalu kecewa?

Ahmad Said bukan jenis orang politik macam itu. Ahmad Said tidak mengkhianati ketua dan perjuangan. Ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad diserang, Ahmad Said adalah orang di barisan hadapan mempertahankan Menteri Besar Terengganu itu ketika itu.

Dan jika pun tidak memegang jawatan UMNO Negeri, Ahmad Said yang menjadi Ketua UMNO Bahagian Kemaman tetap boleh memberikan sumbangan.

Lagipun jawatan Menteri Besar bukan boleh ditukar-tukar begitu sahaja.

Ahmad Said memegang amanah dan tidak boleh melepaskan amanah hanya kerana beliau digugurkan daripada PBUNT.

Kepercayaan istana dan sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap gaya pemerintahannya yang berslogankan MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN perlu dipertahankan.

Dan kalaupun berpuluh lagi datang SMS mengatakan beliau akan meletakkan jawatan, Ahmad Said tidak hairan.

Yang pasti ia bukan datang daripada pembangkang tetapi mungkin daripada kalangan orang UMNO sendiri.

Lagipun, SMS sebegini tidaklah sehebat SMS Ugut Bunuh. SMS ini yang sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu lebih serius.

Bukan sekadar ia SMS yang cuba mencemarkan nama bekas Setiausaha Sulit Kanannya yang tempiasnya kelak akan dirasai oleh Ahmad Said.

Tetapi SMS itu menyebabkan berlakunya sabotaj bersejarah dan terulung dalam konteks UMNO dan Barisan Nasional apabila ADUN memulaukan sidang DUN Terengganu. Apakah cara ini akan menjadi ikutan di negeri lain jika wakil rakyat BN tidak bersetuju dengan Menteri Besarnya?

Mungkin kerana tidak ada hukuman atau tindakan terhadap kumpulan ADUN BN yang melakukan perbuatan sabotaj itu, SMS mengatakan Ahmad Said akan meletak jawatan terus berlaku.

Mungkin ada pihak dalam UMNO atau Putrajaya seronok melihat apa yang berlaku di Terengganu.

Persoalannya bagaimana jika suatu hari Ahli Parlimen UMNO/BN yang mengambil contoh apa yang dilakukan oleh ADUN UMNO/BN Terengganu melakukan sabotaj atau cara serupa terhadap Perdana Menteri atau Timbalannya?

Saya tidak mampu meramal dan memberikan jawapan sama ada ia akan berlaku atau sebaliknya tetapi yang jelas precendent sudah ada.

UMNO Pusat serta Putrajaya dudah ‘menghalalkannya’ kerana mereka yang mensabotaj sidang DUN itu 'bebas' daripada sebarang hukuman.

SELEPAS AZIZAH, NIK AZIZ PULA ANGGAP ANWAR INSAN TERPILIH

''Masya-Allah, anugerah Tuhan maksudnya manusia yang istimewa dan menjadi contoh serta teladan.”

Demikian pandangan Tan Sri Muhyiddin, anak kepada seorang ulamak terkenal di Bandar Maharani (Muar), Johor.

Timbalan Perdana Menteri itu merujuk kepada kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai manusia terpilih.
“Jika beliau insan biasa seperti kita, (Anwar) sudah lama mengundur dan tenggelam di celah segala cabaran dan gelora yang berlaku,” kata Wan Azizah.

Semalam, Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengatakan perkara yang sama.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan perkara itu di Gua Musang, turut menyifatkan pemimpin seumpama Penasihat PKR itu sebagai pemimpin yang menjadi teladan terbaik untuk rakyat.

"Anwar adalah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan kerana sanggup mengharungi pelbagai rintangan hidup," kata Nik Aziz.

Dengan kata lain, Anwar adalah ‘insan hebat’ yang memang dianugerahkan Tuhan kepada kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat.

Apapun itulah kata-kata paling indah diucapkan seorang isteri untuk memuji seorang suami.

Isteri berkenaan - Wan Azizah Wan Ismail – memuji suaminya Anwar pada Kongres Nasional Tahunan Ketujuh PKR di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin yang menggambarkan betapa dalam pasangan itu ‘benar-benar gila untuk ke Putrajaya’.

Kata Muhyiddin: ''Saya nak tanya Wan Azizah, mahukah dia rakyat Malaysia termasuk generasi muda mencontohi teladan, perwatakan dan amalan dalam PKR pimpinan Anwar yang nampaknya cakap tidak serupa bikin."

Beliau berkata, dalam soal kepemimpinan dan politik, umum sudah tahu tentang sifat, perlakuan dan amalan Anwar yang sebenarnya.

''Saya tidak perlu sebut semua ini kerana masyarakat sudah tahu kes yang berlegar di sekitar Anwar. Saya tidak mahu mendahului mahkamah. Jadi, apakah ini anugerah Tuhan, bagi saya ia adalah takdir," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, Wan Azizah harus bersifat lebih realistik dalam memberikan pujian dan tidak harus melakukannya semata-mata kerana Anwar ialah suami yang disayanginya.

''Ucapannya ketika kongres berkenaan seharusnya melibatkan isu yang lebih daripada soal rumah tangga dan peribadi iaitu memberikan tumpuan kepada soal kepimpinan dan politik," katanya.

Setahu saya, hanya bangsa Yahudi sahaja yang merasakan mereka umat terpilih di muka bumi ini. Yang lain yang pernah mengatakan mereka istimewa ialah kalangan Firaun.

Tidak tahulah kini ada pula manusia istimewa yang menjadi pilihan atau dianugerah Allah untuk menjadi Perdana Menteri di negara ini.

Cuma anehnya tidak pula Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'manusia terpilih' kerana berjaya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan berjaya menukar Malaysia daripada negara membangun yang kerdil kepada sebuah negara yang sedang menuju tahap negara maju.