Showing posts with label Sultan Selangor. Show all posts
Showing posts with label Sultan Selangor. Show all posts

Wednesday, August 24, 2011

MAJLIS SYURA - KHALID IBRAHIM KANTOI LAGI...

Pandai-pandai je kamu menggunakan nama Sultan Selangor wahai Khalid!

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam melalui kenyataan Setiausaha Sulitnya bertitah, kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bahawa baginda menitahkan atau mencadangkan supaya kerajaan negeri menubuhkan Majlis Penasihat Syura adalah sama sekali tidak benar.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, apa yang berlaku dalam pertemuan itu ialah Abdul Khalid menyembah maklum kepada Sultan Selangor hasrat beliau untuk memanggil dan berjumpa dengan pihak pengurusan Gereja Methodist Damansara Utama.

Maknanya Sultan Selangor menafikan baginda mahu Majlis Penasihat Syura ditubuhkan. Dengan kata lain Khalid memandai-mandai menggunakan nama Sultan Selangor. Untuk apa? Kita tidak tahu. Meredakan ‘politik gereja’ di Selangor?

Atau Khalid ambil hati ‘pemimpin Kristian di dalam kerajaannya, khususnya DAP dan penyokong kuat DAP, iaitu PAS.

Semalam pula kenyataan Kerajaan Negeri menyatakan kesalnya dengan kekeliruan berhubung penggunaan nama 'Majlis Syura' bagi jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mencari penyelesaian isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Methodist Church di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Justeru itu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk mengubah nama jawatankuasa tersebut kepada Jawatankuasa Pendengaran demi mengelakkan sebarang pertindihan dengan Majlis Syura Negeri Selangor yang diterajui oleh MAIS.

Matlamat asal tidak berubah, gerak kerja dan keahlian jawatankuasa ini tetap sama dan selaras dengan perbincangan antara Khalid dan DYMM Sultan Selangor.

Kerajaan Negeri berharap perubahan nama ini akan dapat merungkai sebarang kekeliruan yang wujud dan meneruskan segala usaha mencari penyelesaian berhubung isu DUMC dan JAIS bagi kesejahteraan rakyat jelata.

Kerajaan negeri tetap akan akur kepada segala nasihat dan titah yang diterima secara langsung daripada DYMM Sultan Selangor serta bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan penyelesaian terbaik dalam isu ini.

Sebelum ini Khalid menegaskan penubuhan Majlis Penasihat Syura dicadangkan Sultan Selangor semasa perbincangan beliau dengan baginda pada minggu lalu.

Katanya, Majlis Penasihat Syura itu akan ditubuhkan bagi menyelesaikan pertikaian berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu kerana disyaki terdapat orang Islam menyertai upacara makan malam yang dianjurkan oleh gereja itu.

Ini, kata Abdul Khalid, bagi mendapat penjelasan daripada pihak gereja mengenai isu pemeriksaan JAIS ke atas gereja itu dan beliau bercadang untuk membawa bersama Mufti Negeri, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Hakikatnya, Sultan Selangor tidak menghalang hasrat Datuk Menteri Besar Selangor memanggil pihak gereja bersama-sama dengan Mufti Selangor tetapi baginda menasihatkan Menteri Besar menjemput sekali Timbalan Mufti Selangor (Datuk Abdul Majid Omar) untuk memberi nasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan hukum hakam syariah.

Malah ia tidak sepatutnya menyentuh sama sekali isu pemeriksaan gereja oleh JAIS.

Amat jelas di sini Khalid silap kerana baginda tidak menitahkan atau menasihatkan Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Majlis Penasihat Syura dan apa yang dikatakan Khalid adalah tidak benar.

Amat jelas pendirian Sultan Selangor berkaitan dengan Majlis Penasihat Syura ataupun berbentuk dialog berkaitan agama, tidak pernah diperkenankan.

Ini kerana Negeri Selangor telah mempunyai Majlis Agama Islam Selangor, JAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Dengan kenyataan Sultan Selangor ini, rakyat Selangor kena faham di mana sebenarnya kedudukan Khalid dan apa sebenarnya yang mahu dilakukan Khalid dalam soal toleransi beragama di negeri Selangor.

Khalid seboleh-bolehnya 'mahu tunduk' kepada desakan DAP dan sanggup menggunakan nama Sultan Selangor demi kuasa!

Juga di mana kedudukan Kerajaan Selangor yang diterajui PKR dalam konteks Gereja, JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor?

Khalid, Khalid....

Tuesday, August 9, 2011

KHALID MEMANG JENIS TIDAK HIRAU NASIHAT SULTAN?

"Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor. Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini..." - Sultan Sharafuddin Idris Shah

Dah macam-macam amaran dikeluakan. Namun nampaknya kerajaan pembangkang di Selangor sudah tuli.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh buat bodoh seperti tidak adaperkara yang berlaku, walaupun amaran itu dititahkan oleh Sultan Selangor.

Terbaru Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya politik kepartian tidak dicampur adukkan dalam pengajaran di Universiti Selangor (UNISEL) demi masa depan pelajar institusi itu.

Tegas Baginda: "Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor.

Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini.”

Baginda bertitah profesor dan pensyarah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka untuk mengajar dan berhenti daripada berpolitik di kampus.

Ini kerana ia boleh menjejaskan masa depan pelajar, titah baginda ketika merasmikan Masjid UNISEL Kampus Bestari Jaya di Kuaa Selangor.

Peringatan dan amaran ini tepat masanya kerana UNISEL menjadi tumpuan utama minggu lalu selepas adanya gerakan pihak-pihak tertentu yang berkusa ketika ini di Selangor mencampuri urusan pentadbiran universiti berkenaan.

Minggu lalu, Unisel telah mencetuskan kontroversi apabila Datuk Dr. Rosti Saruwono meletak jawatan sebagai Naib Canselor Unisel dengan notis 24 jam berkuat kuasa kelmarin dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Hakikatnya, tindakan mencampuradukkan politik dengan pelajaran akademik, berkemungkinan menyebabkan ada pihak-pihak tertentu khususnya ibu bapa yang tidak gemar akan keadaan sedemikian.

Kesannya akan menyebabkan ada ibu-bapa tidak akan menghantar anak-anak mereka ke universiti ini untuk melanjutkan pelajaran mereka.

"Sekiranya ini berlaku, ia akan menjadi satu kerugian kepada universiti ini dan juga kawasan Bestari Jaya kerana industri sokongan tidak dapat berkembang dan dikhuatiri universiti ini akan menjadi projek 'gajah putih'.

Untuk makluman semua, beta telah menerima aduan daripada ibu bapa yang prihatin mengenai isu berpolitik di kampus Unisel ini. Beta tidak mahu perkara ini berterusan kerana jika Unisel ini tidak berjaya, ia akan merugikan kewangan kerajaan negeri Selangor," titah Baginda.

http://lawi-ayam.blogspot.com/ Tajuk asal - 'Apabila Khalid Ibrahim 'Tuli', Buat Bodoh

Tuesday, November 30, 2010

MELAYU - SULTAN SELANGOR SEDIH, DUKACITA

“Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara sudah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, amat tidak bertepatan...Sejarah ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Raja Melayu’, sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini." - Sultan Sharafuddin

Oleh Abdul Latiff Muda (http://lawi-ayam.blogspot.com/)

Apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bercakap mengenai Melayu apakah beliau juga patut dikategorikan sebagai mengamalkan sikap perkauman?

Dengan jelas Baginda menegaskan: “Kepada rakyat Melayu, beta ingin menyedarkan bahawa rakyat Melayu tidak akan hilang begitu saja kerana negeri ini adalah tanah tempat tumpah darah kita, dan di tanah bertuah ini juga tempat kita dikuburkan.”

Baginda bertitah, sejarah yang tercatat sejak beratus-ratus tahun lalu menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu sudah membuka serta membangunkan negeri di Tanah Melayu sehingga menjadi sebuah negara maju, selain menempa peristiwa membanggakan sehingga mampu bersaing dengan negara lain di dunia.

Apakah Sultan Sharafuddin rasis kerana menyebut perkara ini sambil mempertahankan institusi beraja dan kepentingan Melayu?

Baginda menegaskan bukan tujuan baginda untuk menyalakan api perkauman, tetapi ingin menyatakan bahawa rakyat Selangor mesti berbangga dengan negeri ini membabitkan kaum Cina, India dan Melayu serta kaum lain.

Persoalannya di sini kenapa Sultan Selangor dengan tegas menyatakan perkara ini ketika individu seperti Presiden Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengatakan ketuanan Melayu tidak relevan sementara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi menganggap dirinya Melayu?

Apakah dengan mengatakan diri mereka Melayu ia memberikan implikasi bahawa Melayu itu dikaitkan dengan kemunduran, kemiskinan, lemah, Islam dan beraja?

Dan dengan tidak mengatakan diri mereka Melayu – orang Melayu akan menjadi ‘Melayu Bermaruah’, maju, bijak dan dihormati?

Siapakah tokoh orang Melayu yang menjadi ikon kepada Melayu yang maju , bijak dan dihormati itu?

Apakah manusia seperti Nik Aziz, Wan Azizah dan paling utama Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai mereka yang maju, bijak dan perlu dijadikan ‘manusia contoh yang terpilih’?

Nik Aziz kelmarin menyifatkan Anwar sebagai pemimpin yang menjadi teladan terbaik untuk rakyat. "Anwar adalah pemimpin yang dianugerahkan Tuhan kerana sanggup mengharungi pelbagai rintangan hidup," katanya.

Dan apakah manusia seperti Sultan Azlan Shah, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Prof Ungku Aziz, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Azman Hashim, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary, Prof Mahmud Zuhdi, Datuk Seri Harussani Zakaria (sekadar menyebut beberapa orang ) bukan ikon dan tidak setaraf Nik Aziz, Anwar atau Azmin untuk dijadikan teladan?

Apakah mereka ini bukan ‘Melayu Bermaruah’ berbanding Anwar dan Azizah?

Persoalannya, apakah orang Melayu/ Islam dalam pakatan pembangkang – PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP – tidak lagi berjiwa Melayu dan tidak sensitif dengan teguran-teguran yang dibuat oleh Raja-Raja Melayu?

Kalaupun ‘memekakkan telinga’ terhadap saranan pemimpin UMNO mengenai Melayu, setidak-tidaknya mereka akur dan sensitif dengan saranan dan perasaan Raja-Raja Melayu ketika ini.

Terbaru semalam, Sultan Sharafuddin melahirkan rasa sedih dan dukacita terhadap orang Melayu yang tidak lagi megah dan bangga sebagai orang Melayu sehingga sanggup menggadaikan perkataan ‘Melayu’ untuk dikuburkan serta lenyap dari dunia.

Malah, Baginda juga sedih kerana ada segelintir individu yang berhijrah ke negeri itu, terutama orang Melayu, sanggup mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukan dan hak keistimewaan bangsa Melayu. Baginda juga sedih kerana generasi sekarang malu mengaku diri mereka seorang Melayu.

Sultan Selangor bertitah, golongan itu turut mempersoalkan kerelevanan institusi Raja Melayu serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara ketika ini.

Amat jelas bahawa orang Melayu, termasuk di Selangor – negeri paling mahu di Malaysia – tidak lagi mengendahkan institusi berkenaan yang mungkin menurut mereka tidak lagi relevan dalam konteks kini.

Dan dengan kedudukan di mana parti pemerintah di beberapa negeri di Semenanjung meletakkan kepentingan persamaan hak dan taraf dalam semua perkara, institusi raja kini bukan lagi dilihat penting.

Apakah di negeri-negeri seperti Selangor khususnya orang Melayu sudah tidak melihat Raja dan institusinya sebagai penting untuk kerana kerana tidak lagi sesuai atau mereka sudah moden?

Menurut Sultan Sharafuddin: “Matlamat mereka supaya sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara sudah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, amat tidak bertepatan,” titah baginda pada Wacana Raja Berperlembagaan-Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di Shah Alam semalam.

Lebih merisaukan apabila ada pemimpin Melayu yang lantang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’, titah Baginda.

Mana tidak sedihnya bagi Sultan Sharafuddin apabila ada juga suara lantang di kalangan orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’.

Dengan tegas Baginda percaya perbuatan itu dilakukan untuk kepentingan diri atau politik mereka.


Nah terang lagi bersuluh. Siapakah yang lantang menentang pembelaan terhadap orang Melayu, termasuk hak istimewa dan ketuanannya?

Yang melakukannya ialah pemimpin PKR seperti Wan Azizah dan Anwar yang terdesak menarik sokongan bukan Melayu untuk menang pilihan raya. Kerana itu Anwar sanggup berjanji untuk melantik Lim Kit Siang sebagai timbalan perdana menteri.

Apakah DAP lebih besar kemenangannya berbanding sekutu PKR satu lagi – PAS – dan di mana mahu diletakkan Presiden PAS?

Jadi apakah UMNO atau Barisan Nasional yang membelakangkan orang Melayu?

Persoalan lain ialah apakah UMNO memperjuangkan hak Melayu kerana mahu mengekalkan kuasanya seperti yang disebut oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar?

Yang nyata UMNO memperjuangkan Melayu kerana kedudukan orang Melayu dulu, kini dan masa akan datang. Selain itu yang menjadi ‘pelindung’ orang Melayu dan Islam ialah Raja-Raja Melayu.

Hakikatnya, seperti ditegaskan Sultan Selangor: “Sejarah ditulis oleh orang Inggeris ada menyatakan mengenai ‘Tanah Melayu’, ‘Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Raja Melayu’, sekali gus membuktikan penulis Barat ketika itu mengiktiraf adanya Melayu yang memulakan sejarah negara ini.”

Dan hanya orang yang ‘membutakan sejarah’ kerana kepentingan ‘untuk ke Putrajaya’ sahaja seperti Wan Azizah, Anwar selain yang sewaktu dengannya tidak mengiktiraf pentingnya orang Melayu dan menafikan perjuangan orang Melayu menegakkan hak istimewa dan ketuannnya.

Sunday, August 29, 2010

SULTAN SELANGOR MURKA, NIK AZIZ PERTAHAN NIE CHING

Entah apalah nak jadi kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada ketika Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyedari beliau membuat kesilapan dan memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan kerana ‘tazkirah di surau’, Nik Aziz pula yang mempertahankan tindakannya.

Nik Aziz mempertahankan Ahli Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Hari ini, Nie Ching yang mencetuskan kontroversi apabila lawatannya ke Surau Al-Huda Kajang pada Ahad lalu dilaporkan sebagai 'tazkirah' di surau, secara rasminya memohon maaf kepada Sultan Selangor.

Beliau menyesal kerana menurutnya lawatan ikhlasnya itu telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara ini dan menurutnya lebih malang lagi apabila ada pihak-pihak tertentu mengeksploitasikannya untuk kepentingan politik mereka.

“Saya akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pada Ahad, 22hb Ogos, selaku wakil rakyat kawasan itu beliau telah mengunjungi surau al-Huda dengan tujuan menghulurkan bantuan kewangan sumbangan kerajaan negeri Selangor bagi memperbaiki pagar surau dan juga sumbangan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.,” katanya.

Semalam, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Sultan Selangor dilaporkan amat murka dan dukacita terhadap laporan akhbar berhubung 'tazkirah' Teo di surau berkenaan.

Sehubungan itu, katanya MAIS dititahkan bertindak tegas, termasuk mengambil alih surau itu dan menguruskan pentadbirannya dengan serta merta.

Mohamad Adzib juga berkata, surat amaran akan juga diberikan kepada Teo supaya mengambil perhatian terhadap perkara itu dan tidak mengulanginya lagi.

Menurut beberapa pendapat, isu yang berlaku di Kajang itu tidak sepatutnya timbul jika jawatankuasa surau berkenaan merujuk kepada majlis agama Islam negeri dan memahami garis panduannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata jawatankuasa masjid atau surau diminta merujuk kepada majlis agama Islam negeri-negeri dalam soal membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Ini kerana setiap negeri mempunyai panduan masing-masing dalam soal itu dan jawatankuasa atau pengurusan masjid perlu mematuhi panduan tersebut dan tidak sepatutnya sewenang-wenangnya membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid terutama di ruang solat.

Katanya, rumah ibadat agama lain pun, mereka mempunyai garis panduan dalam membenarkan penganut agama lain memasuki tempat ibadat mereka.

“Kita tiada masalah untuk penganut agama lain masuk ke masjid atau surau. Ada masjid-masjid kita benarkan pelancong bukan Islam masuk tetapi kita sediakan garis panduan seperti yang wanita kena menutup kepala dan sebagainya.

“Kalau nak bawa masuk bukan Islam kenalah minta kebenaran majlis agama Islam negeri-negeri. Orang bukan Islam pun kenalah hormat dengan tempat ibadat umat Islam,” katanya kelmarin.

Sebaliknya, Menteri Besar Kelantan pula yang mempertahankan tindikan Nie Ching berkata, tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Apakah Nik Aziz sekali lagi menyanggah titah Sultan Selangor selepas kali pertama melakukannya beberapa bulan lalu dalam isu ‘ceramah politik’ di masjid negeri Selangor?

Nik Aziz…Nik Aziz, kenapakah mahu mempertahankan ahli politik DAP ini? Apakah kerana dia sekutu PAS dalam pakatan pembangkang?

Pastinya esok beliau akan berkata ‘saya tidak tahu yang Sultan Selangor murka’ dan Nie Ching sendiri sudah menyedari kekilafannya dan memohon maaf kepada Sultan Selangor.

Atau paling mudah, beliau akan berkata,“saya menjawab apabila pemberita meminta ulasan tanpa saya ketahui Sultan Selangor murka mengenai perbuatan wakil rakyat DAP itu”.

Saturday, August 7, 2010

SULTAN SELANGOR, ABDUL HADI PERKAUMAN & ASABIYAH?

"PAS berpendapat, hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartana...Ini kerana majoriti penduduk yang miskin adalah kaum bumiputera dan mereka sememangnya berhak mendapat hak dan keistimewaan tersebut.- Hadi Awang

Apabila Sultan Selangor mengingatkan rakyat negeri itu dan Malaysia amnya yang beragama Islam terutama orang Melayu, agar bersatu untuk mempertahankan agama dan bangsa, apakah kenyataan itu bersifat perkauman dan berundur asabiyah?

Pada pengertian DAP dan PKR, mana-mana ajakan yang mahukan Islam dan Melayu bersatu dianggap perkauman dan cauvanis.

Sementara kepada PAS pula, jika orang Melayu dan Islam diajak bersatu dan menghilangkan permusuhan itu dianggap berkepentingan politik dan bersifat asabiyah.

Jadi apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah membuat gesaan berkenaan, apakah ia bersifat politik, perkauman dan asabiyah?

Sultan Selangor itu kelmarin mengingatkan umat Islam terutama orang Melayu agar bersatu untuk mempertahankan agama dan bangsa.

Utusan Online melaporkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata PAS berpendapat, hak dan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera yang merupakan penduduk majoriti di negara ini perlu dikekalkan termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartanah.

Ini kerana majoriti penduduk yang miskin adalah kaum bumiputera dan mereka sememangnya berhak mendapat hak dan keistimewaan tersebut.

"(Beri) kepada siapa yang berhak, majoriti adalah yang berhak kerana majoriti yang miskin adalah bumiputera, yang bukan bumiputera tidak lah besar (jumlah) jika dibandingkan bumiputera," katanya selepas majlis pelancaran buku bertajuk Taktik dan Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin, hasil karya beliau sempena Jubli Perak Maahad Darul al-Quran di Rusila semalam.

Beliau diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua agar kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.

Pada 26 Julai lalu, Pua yang juga wakil DAP mencadangkan supaya kerajaan Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun tujuh peratus kepada pembeli Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersil dan kediaman mewah yang bernilai lebih RM500,000.

Kenyataan itu mendorong Pergerakan Pemuda UMNO Selayang dan Gombak membuat laporan polis semalam, supaya pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas mengenainya.

Sehingga ini, tiga persatuan perniagaan Bumiputera semalam menyatakan pendirian bahawa mereka tidak bersetuju dengan cadangan memansuhkan diskaun Bumiputera untuk pembelian hartanah bernilai RM500,000 ke atas di Selangor.

Tiga persatuan itu ialah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS), Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (GAPUMS) dan anggota Majlis Perniagaan dan Ekonomi Melayu Malaysia.

Timbalan Pengerusi DPMMS, Datuk Mohd Karim Abdullah Omar, berkata cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berhubung perkara itu masih tidak sesuai dilaksana.

"Ini kerana ekuiti pemilikan hartanah di kalangan Bumiputera masih di paras rendah," katanya pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.

Beliau berkata, setakat ini pemilikan rumah di kalangan Bumiputera tidak melebihi 14 peratus manakala pemilikan premis perniagaan tidak melebihi tiga peratus dan unit industri tidak lebih satu peratus daripada jumlah hartanah di seluruh negara.

Malaysiakini melaporkan, Mohd Karim berkata, jika cadangan memansuhkan diskaun itu dilaskanakan, sukar bagi Bumiputera untuk memiliki hartanah terutama premis untuk perniagaan dan industri.

"Cadangan itu mungkin boleh dipertimbang jika pemilikan hartanah di kalangan Bumiputera telah meningkat," katanya.

Sementara itu, ketiga-tiga persatuan berkata kerajaan negeri perlu serius dalam mengawal selia pelupusan kuota hartanah Bumiputera oleh pemaju untuk mengelakkan proses pelupusan dibuat dengan tujuan mengaut keuntungan berlebihan.

Ahli Parlimen DAP itu dianggap menimbulkan provokasi dan mencabar Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 153 dan boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, pada masa yang sama, kaum lain yang miskin juga wajib mendapat hak dan pembelaan sewajarnya daripada kerajaan. Menurutnya, ketika keistimewaan kaum bumiputera dijaga dan dibela, kaum lain tidak boleh diabaikan atau dizalimi.

"Realiti yang ada dalam negara kita, majoriti rakyat terutama yang miskin adalah bumiputera, jadi sebab itu kita kena lihat majoriti rakyat yang alami masalah kemiskinan.

"Dalam masa yang sama, kita wajib bela kaum lain yang miskin. Bukan bermakna kita jaga majoriti tapi kita abaikan kaum lain, kita tak boleh menzalimi kaum lain ketika kita membela kaum sendiri," katanya.

Abdul Hadi menjelaskan, buat masa ini, tindakan Tony itu belum dibincangkan di peringkat kepimpinan pakatan pembangkang dan kenyataan itu dianggapnya lebih bersifat peribadi.

Jadi apabila Abdul Hadi menegaskan begini, apakah beliau seorang asabiyah dan cauvanis?

Walaupun Presiden PAS itu menyifatkan pandangan Tony sebagai peribadi tetapi hakikatnya inilah pandangan cauvanis Cina yang tidak sudah-sudah mahu menyakiti hati orang Melayu.

Apakah PAS yang hampir keseluruhan ahlinya Melayu boleh bertahan dengan sikap dan perangai pemimpin DAP sedemikian rupa?

Masihkkah PAS sanggup ‘tepek’ dengan DAP bagi memenuhi impian ke Putrajaya?

Dengan kedudukan yang semakin terhimpit sekarang, wajaralah orang Melayu bersatu bukan sahaja dalam konteks perpaduan bangsa tetapi juga agama Islam.

Biarlah pemimpin PAS mahu kata apa sekali pun.

Bagi yang bukan mengaji sekolah agama atau pondok, kata-kata Rasulullah SAW apabila eorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: "Apakah asabiyah itu seseorang yang kasih kepada kaumnya?" Rasulullah SAW bersabda: "Tidak, tetapi asabiyah ialah orang yang menolong kaumnya atas dasar zalim, " bolehlah dijadikan pegangan.