Showing posts with label utusan. Show all posts
Showing posts with label utusan. Show all posts

Wednesday, March 21, 2012

SAMAN SAJALAH, TAK PAYAH NAK HINA UTUSAN MALAYSIA...

Naib Presiden PKR N Surendran ini memang KURANG AJAR dan BERLAGAK TAHU ilmu kewartawanan apabila menuduh Utusan Malaysia mengamalkan ‘kewartawanan yang menjijikkan’.

Saya tidak boleh menerima penghinaan seperti ini walaupun saya bukan kerja atau warga Utusan Malaysia.

Saya tidak tahu warga Utusan Malaysia sama ada mereka boleh menelan kata-kata pedih dan pahit ini. Ia suatu penghinaan bukan sahaja kepada profesyen kewartawanan tetapi juga peribadi akhbar itu sendiri.

'Kewartawanan yang menjijikan' bukan tuduhan tetapi suatu kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin tinggi PKR ini sangat  MENGHINA dan MENJIJIKKAN (pinjam kata-kata Surendran).

Apapun, Surendran dan Datuk Seri Anwar Ibrahim jangan nak pusing, auta atau ‘belit’! Yang penting jawab tuduhan senator Datuk S Nallakarupan itu.


Walau ‘belit’ sepanjang atau sebesar mana pun, yang penting rakyat Malaysia nak tahu benarkah tuduhan terhadap Anwar oleh bekas rakan Anwar selama 30 tahun itu.

Cara Surendran, pengamal undang-undang bercakap memang menggambarkan beliau seorang yang cetek mengenai dunia kewartawanan.

Selain itu perangai pemimpin PKR ini jelas bersifat ‘cauvinis terhadap akhbar Melayu ini’!

OKlah, Anwar memulakan tindakan undang-undang dengan menghantar notis tuntutan sebanyak RM100 juta kepada kerana mendakwanya seorang biseksual dan tidak memimpin pembangkang.

Tetapi kenapa mahu kaitkan Utusan Malaysia?

Lebih buruk tuduhan Surendran ialah mengatakan ‘akhbar milik Umno’ itu jelas bersifat dusta, bermotif politik dan mencerminkan "kewartawanan yang menjijikkan".

Dalam kenyataannya semalam, Surendran berkata, laporan itu sekali gus menzahirkan wajah sebenar Umno dan melekehkan retorik perdana menteri terhadap agenda kesederhanaan dan perubahan. "Ketidakjujuran dan ketidakadilan dalam laporan melibatkan isu politik adalah kebiasaan buat media yang dikawal oleh BN," katanya.

Sedangkan laporan atau pemberitaan oleh Utusan Malaysia adalah straight forward reporting apabila memetik kata-kata Nalla pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Saya ulangi, pada sidang media, bukan pungut berita daripada cakap-cakap atau spin giler seperti yang sering dilakukan oleh pemimpin PKR.

Atau Surendran hanya mengiktiraf laporan oleh Wall Street Journal atau Jerusalem Post sahaja? Akhbar Melayu di Malaysia ini semuanya tidak betul?

Utusan Malaysia tidak memutar ‘belit’ pun kenyataan Nalla yang secara terbuka mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang biseksual berdasarkan pengalamannya yang pernah berkawan baik selama 30 tahun dengan Ketua Pembangkang itu sebelum ini.

Malah, Utusan Malaysia memetik apa yang diucapkan oleh Nalla (bukan komentar, ulasan, analisis atau sebagainya sama ada dalam bentuk rencana atau analisis. Tidak salah dan tidak melanggar etika kewartawanan pun.

Malah apabila Nalla mengatakan kecenderungan Anwar sebagai seorang biseksual bukan lagi rahsia dan mendakwa “beliau sendiri pernah melihat Ketua Pembangkang itu melakukan aksi seks sama ada bersama lelaki atau wanita” ia bukan sengaja diada-adakan oleh Utusan Malaysia.'

Ini semua cakap Nalla…malah Nalla secara sinis meminta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya mengeluarkan fatwa membenarkan individu biseksual menjadi Ketua Pembangkang.

Kata Nalla lagi : "Dahulu pekerja Magnum (Corporation) yang lelaki Anwar ada simpan dan Anwar juga pernah bawa isteri orang. Saya bersedia untuk mendedahkan kesemua nama mereka di mahkamah.

Pendedahan kelmarin merupakan siri kritikan terbaru terhadap Anwar yang pernah menjadi rakan permainan tenis beliau.

Dalam notis yang dihantar kepada Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan itu, Anwar juga menuntut permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan itu. "Tindakan ini diambil demi kepentingan awam dan demi memastikan pelaporan media membabitkan isu awam dilakukan secara adil dan jujur," kata Surendran.

Kepentingan awam?

Habis yang diminta oleh Nalla itu apa? Bukan kepentingan awam? Anwar perlu jawab secara jujur…jangan tuntut orang supaya adil dan jujur sedangkan kita sendiri apakah kita jujur dan mahu menjawab secara terbuka tuduhan Nalla itu?

Tak guna berbahas panjang. Saya cadangkan Utusan Malaysia siarkan sepenuhnya transkrip sidang media Nalla itu.

Tujuannya ia bukan direka-reka untuk ‘belit’. Selain itu agar pemimpin PKR yang BAHLOL  boleh membacanya dan bukan Utusan Malaysia sengaja mahu mem’belit-belit’ berita itu!

Friday, February 17, 2012

ALFATIHAH, BADRUL HISHAM KEMBALI KE RAHMATULLAH

Alfatihah!

Bekas ahli parlimen Hulu Langat yang juga bekas wartawan kanan Utusan Malaysia, Badrul Hisham Abdul Aziz yang saya kenali sejak 1984, meninggal dunia di Hospital Serdang pada lebih kurang jam 3.30 petang tadi.

Beliau yang berkhidmat selama dua penggal mewakili Barisan Nasional (BN) adalah juga bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Hulu Langat.

Allahyarham yang berkelulusan ijazah sarjana muda sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyertai akhbar Kumpulan Utusan sebagai wartawan kadet pada 15 Februari 1984.

Antara jawatan yang pernah disandangnya ketika di Utusan ialah sebagai penolong pengarang berita.

Pada tahun 1995, ketika masih berkhidmat di meja penyunting Utusan Malaysia, Badrul telah dicalonkan mewakili BN dalam pilihan raya umum tahun itu.

Beliau sekali lagi bertanding mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum 1999 dan menang.

Selepas menamatkan perkhidmatan selama dua penggal sebagai ahli Dewan Rakyat, Badrul bersara dari politik selepas parlimen dibubarkan pada tahun 2004 dan dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2007 kembali menyertai dunia kewartawanan bersama portal berita Agenda Daily sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Beliau mempunyai sebuah kolum dalam portal berita tersebut dan kali terakhir mengemaskini kolumnya itu ialah pada Selasa lepas.

Semoga Rohnya Dicucuri Rahmat

Friday, November 26, 2010

UTUSAN MALAYSIA - KERUGIAN & PEMILIKAN POLITIK

Utusan Malaysia berada dalam keadaan tersepit antara ‘menjaga kepentingan dan masa depan Melayu’ dengan keuntungan. Yang berlaku sehingga hari ini ialah Utusan Malaysia meletakkan perjuangan kepentingan Melayu, Islam dan masa depan Malaysia sebagai matlamat utama.


Bahagian Pertama

Berita mengenai Utusan Malaysia (M) Bhd rugi yang dikatakan akibat pemilikan politik menarik minat saya untuk turut serta memperkatakannya.

Lagipun Presiden Wartawan Malaysia (NUJ) , Hatta Wahari (gambar kanan) yang saya difahamkan masih menjadi kakitangan syarikat itu turut membuat kenyataan yang pada saya tidak adil dalam beberapa konteks.

Pertama, Hatta membuat kenyataan bukan sahaja menghentam Utusan Malaysia tetapi membanding dan memuji Malaysiakini.

Kedua, Hatta mengatakan Utusan Malaysia rugi kerana ‘tidak bebas’.

Ketiga, apakah akhbar bukan Utusan Malaysia membuat keuntungan kerana ‘bebas’?

Keempat, apakah Hatta membuat kenyataan mengenai Utusan Malaysia itu bersifat peribadi atau sebagai Presiden NUJ. Apakah wartawan lain menyokong sepenuhnya pendapat beliau ini? Apakah kenyataan ini dibuat sebagai pendirian bersama?

Dalam menyatakan pendapat ini mungkin saya salah kerana sudah meninggalkan dunia akhbar sejak 1998.

Namun, sedikit pengalaman boleh dikongsi bersama untuk sama-sama kita merenungi kedudukan sebenar Utusan Malaysia dan dilema yang dihadapinya.

Saya mahu mengulas perkara kedua terlebih dahulu yang menyabitkan Utusan Malaysia sebagai akhbar ‘bebas’.

Saya mula menulis dengan Utusan Malaysia sejak 1971 ketika tingkatan empat untuk memaparkan masalah masyarakat yang berlaku di daerah Besut, Terengganu.

Contohnya rencana saya di sebelah kanan ini disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 17 Januari 1973 ketika saya menunggu keputusan Malaysian Certificate of Education (MCE). Bermakna ketika saya menulis rencana ini umur saya adalah 18 tahun.

Saya bernasib baik kerana mengenali beberapa penulis Utusan Malaysia yang sudah terkenal ketika itu termasuk Ustaz Ropik (Rafia) - bapa kepada Allahyarham Sirajuddin Rafia (wartawan dan Pengarang di Utusan Malaysia) – yang ketika itu menjadi Ketua Biro Kelantan serta Muis Jabar, Ketua Biro Bernama Kelantan ketika itu.

Selepas penulis saya mengenali Mohamad Jusoh yang menjadi Ketua Biro Utusan Melayu di Kota Bharu selain beberapa wartawan di Kuala Terengganu. Selain itu, ada beberapa yang lain yang saya lupa namun rakan penulis di Utusan Melayu Kelantan yang saya ingat ialah Wan Ahmad Wan Hassan dan Saroji Mokhtar. Melalui mereka saya juga mendapat tunjuk ajar menulis dengan lebih baik selain asas penulisan berita dan rencana diajar oleh abang saya sendiri – Hasbullah Latiff yang sudah bersara dengan RTM dan masih menetap di Kota Kinabalu.

Ketika itu Utusan Malaysia mahukan penulisnya memberikan tumpuan kepada cerita-cerita masyarakat – kemiskinan, peluang belajar, pertanian, perniagaan – yang semuanya bercirikan keadaan setempat.

Malah, apabila Rancangan Malaysia Kedua dilancar pada 1970 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971, saya diberitahu oleh mereka yang membimbing saya memberikan tumpuan kepada perkara berkenaan.

Maknanya, Utusan Malaysia adalah penggerak kemajuan orang Melayu dan sememangnya tidak bebas. Utusan Malaysia adalah suara dan nadi pembangunan orang Melayu yang ketika itu masih miskin dan jauh ketinggalan berbanding dengan rakyat bangsa lain.

Dengan menyiarkan berita-berita serta pembangunan kampung dan daerah - selain menimbulkan masalah kampung dan daerah, ia membantu kerajaan khususnya Pejabat Daerah dan Kerajaan Negeri untuk mendekati masyarakat secara terus.

Mengharapkan rakyat membuat aduan pada 1970an dan 1980an? Jauh sekali. Hanya akhbar Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harianlah yang menjadi suara dan nadi orang Melayu!

Apabila saya ‘tinggalkan’ Utusan Malaysia kerana menerima tawaran Berita Harian untuk menjadi stringer melalui surat Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail (pada 1973) saya tidak menulis lagi dengan Utusan Malaysia.

Namun saya tidak pernah lupa untuk menjenguk Utusan Malaysia hinggalah sekarang. Lagipun penulisan beberapa rakan wartawan seperti Zahari Affendi, Sirajuddin, Khalid Mohd, Mazlan Nordin terus menerus saya ikuti.

Malah ketika Johan Jaafar menjadi Ketua Pengarang pun saya tidak lupa menjenguknya walaupun hati saya sedikit tawar kerana Utusan Malaysia ketika itu ‘tidak bebas’ dalam keadaan tidak bebas kerana dipengarahui orang politik tertentu.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi saya apabila berita mengenai Tan Sri Rahim Thamby Chik dan ‘anak gadis’ mulanya ‘pecah’ melalui laporan Utusan Malaysia. Bagi saya Utusan Malaysia di bawah Johan adalah paling ‘tidak bebas’.

Namun ketika itu tidak ada suara orang menjerit seperti Hatta terhadap Utusan dan jika ada pun ‘suara-suara sumbang’ ia dibuat dalam lingkungan orang UMNO dan pemimpin tertinggi sahaja.

Namun siapa berani buka mulut? Orang yang mengawal Utusan Malaysia ketika itu adalah di bawah ketiak Dr Mahathir Mohamad – Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Faham-fahamlah sendiri siapa dia!

Jadi apabila Hatta mengatakan Utusan Malaysia mesti bebas, saya tertanya-tanya, sebagai pekerja Utusan Malaysia, Hatta tidak fahamkah misi dan matlamat maklumat yang disebarkan Utusan Malaysia itu untuk siapa dan demi siapa?

Bagi saya, jika seseorang pekerja itu tidak tahu matlamat atau hala tuju syarikat di mana dia bekerja – dia seorang yang lemah dan tidak menyumbang kepada syarikat. Dengan kata lain jika ada penilaian terhadap prestasinya dia adalah pekerja yang gagal dan tidak layak dinaikkan pangkat atau diberikan merit.

Tidaklah tahu pula saya apakah Utusan Malaysia memang sanggup ‘memelihara’ pekerja yang lemah dan tidak menyumbang kepada syarikat dan berapa ramai di syarikat berkenaan.

Dan kalau rugi pun, antara sebabnya bukan semata-mata akhbar itu tidak bebas tetapi mempunyai pekerja yang ‘lemah’ dan ‘tidak menyumbang’ kepada syarikat.

Bercakap mengenai ‘bebas’ ini saya ingin merujuk kepada beberapa syarikat seperti The Star dan akhbar berbahasa Cina yang lain.

Apakah akbar ini bebas? Tidakkah ia juga dimiliki oleh parti atau individu yang berkait rapat dengan orang politik? Bebas untuk siapa?

Atau mereka untung bukan kerana beritanya baik tetapi kerana pengiklan yang setia kepada akhbar mereka?

Bagaimana pula pengiklan akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro dan Kosmo! ? Apakah syarikat-syarikat GLC, swasta dan kerajaan negeri benar-benar menyokong mereka seperti akhbar The Star dan akhbar Cina disokong oleh syarikat-syarikat swasta yang besar?

Kita jangan lupa bahawa pembaca The Star dan akhbar Cina ialah masyarakat peniaga, jutawan dan billionaire. Siapa pembaca Harian Metro, Kosmo!, Berita Harian dan Utusan Malaysia?

Di sinilah wujudnya kepentingan akhbar – apakah untuk keuntungan atau demi tanggungjawab sosial?

Setahu saya sesebuah akhbar tidak akan untung daripada jualannya – malah untuk cover kos pun tidak mampu. Akhbar yang jumlah kutipan dan hasil pengiklanan tinggi akan mendapat untung yang besar dan bukan kerana jualannya.

Saya melihat Utusan Malaysia berada dalam keadaan tersepit antara ‘menjaga kepentingan dan masa depan Melayu’ dengan keuntungan. Yang berlaku sehingga hari ini ialah Utusan Malaysia meletakkan perjuangan kepentingan Melayu, Islam dan masa depan Malaysia sebagai matlamat utama.

Sudah pasti dalam keadaan ini Utusan Malaysia akan tercicir dari segi pengiklanan dan keuntungan.

Pertanyaan ialah apakah Hatta mahu Utusan Malaysia ‘menggadai masa depan orang Melayu’ dengan keuntungan?

Bahagian Kedua – Utusan Malaysia Perlu Teruskan Misi

Friday, October 8, 2010

MARI KITA SOKONG UTUSAN MALAYSIA DENGAN - 1 UTUSAN 1 RUMAH!

The Unspinners, Friday, October 8, 2010
Kempen sokong Utusan Malaysia dengan setiap orang beli satu naskhah Utusan Malaysia. Memetik X-PKR menegur kekhilafan Tengku Adnan Tengku Mansor berikut:
3. Akhbar The Star secara jelas dikuasai oleh MCA! The Star telah berulangkali memainkan peranan yang boleh menyemarak api perkauman di negara ini. Betapa laporannya terang-terang menghina institusi raja atau menyokong pembangkang. Namun pernahkan kita dengar MCA menyatakan telah menegur atau memberi amaran kepada The Star?

4. Pemimpin UMNO tidak perlu terlalu 'apologetic' menangani isu ini. Utusan Malaysia yang dipunyai Utusan Melayu adalah benteng umat melayu islam di Malaysia. Tidak pernah akhbar lain seberani Utusan mempertahankan apa yang termaktub dalam perlembagaan. Utusan juga begitu teguh memperlihatkan mereka komited menyatakan kebenaran.

5. Serangan demi serangan ditujukan terhadap Utusan. AnWAR yang pernah 'menguasai' Utusan melalui Datuk Johan Jaafar kini menyerang Utusan apabila kehilangan 'kuasa' itu. PAS juga semakin mengikut rentak AnWAR. DAP tidak pernah seberani sekarang mempertikaikan Utusan, malahan mereka kini bersatu menganjur kempen memboikot Utusan.

6. Mereka ini marah kerana Utusan menyiarkan kebenaran tentang mereka. Bagi AnWAR, PKR, DAP dan PAS, kebenaran hanyalah untuk mereka sahaja, biarpun apa yang dilaporkan akhbar mereka itu tidak benar samasekali. Utusan menyiarkan berita dan gambar tentang perbicaraan kes liwat AnWAR mengikut transkrip perbicaraan mahkamah!

7. Apakah ini tidak betul? Utusan melaporkan agenda Malaysian Insider, Malaysiakini melanyak kepimpinan negara, apakah ini juga tidak benar? Jika tidak benar, ambillah tindakan undang-undang. Sebenarnya mereka marah apabila Utusan mendedahkan segala niat jahat mereka mahu menjahanamkan negara!

8. Utusan juga sering melaporkan kepincangan yang berlaku di kalangan pimpinan UMNO dan BN. Penyelewengan Pos Malaysia, Sime Darby malahan kes salahlaku seorang menteri kanan juga dilaporkan di Utusan. Apakah ini tidak cukup adil bagi pembangkang? Seperti yang dikatakan tadi, pembangkang hanya marah kerana kebobrokan mereka didedahkan.

9. Bukannya mereka ikhlas menyatakan kebenaran. Dalam hal ini, Utusan Malaysia jauh lebih mulia dari pembangkang kerana telus dan bertanggungjawab serta tidak hipokrit. Utusan melaporkan kepincangan yang berlaku tanpa mengira status. Utusan juga sanggup menghadapi risiko undang-undang tentang apa yang telah mereka laporkan.

10. Maka itu, tidak perlulah kita semua terikut-ikut dengan rentak AnWAR. Biarlah PKR, DAP dan PAS sahaja yang menjadi 'pak turut' kepada ANWAR. Kita wajar mempertahankan Utusan bukan kerana ianya Utusan, tetapi kerana ia menyatakan kebenaran tentang musuh yang mahu menghancurkan dan sikap kita sendiri yang sering alpa.....

Baca juga X-PKR :

Demi survival akhbar Melayu, kita takyah beli The Star dan akhbar yang dah jadi haluan kiri. Online cukup.

Baca juga rencana Bigdogdotcom bertajuk Survival Akhbar Melayu. Ayuh hadiri Forum berikut pada pagi Sabtu:

Akhbar Melayu merupakan wadah penyebar maklumat paling penting yang membina minda dan pendapat orang Melayu. Ianya merupakan instrumen terpenting menjana dan membakar semangat nasionalism sehinggakan orang Melayu bersatu melalui 29 NGO dan menubuhkan UMNO pada 11 Mei 1946, dalam usaha menggagalkan Malayan Union.

Akhbar Melayu terus menjadi wadah mempertingkatkan orang Melayu sebagai bangsa yang makin bermaklumat.

Kini Fakulti Kommunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menganjurkan satu
seminar khas memperbincangkan hala tuju dan survival akhbar Melayu, terutama dalam dunia yang dicabar globalisasi, maklumat tanpa sempadan dan demokrasi digital. Ini lebih penting lagi apabila Agenda Melayu dicalari, hak kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan orang Melayu dicabar secara lantang, dari semua sudut.

Seminar ini akan dianjurkan 9 Oktober ini Dewan Pusat Antarabangsa UiTM, bermula 830pagi. Sessi pagi akan dibarisi panelis Dato Seri Azman Ujang, Tan Sri Lee Lam Thye and Adi Satria Ahmad. Sessi petang pula oleh Tan Sri Dr Nordin Kardi, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Prof. Dr. Ahmad Murah Merican.

Semua dijemput hadir.

Selain itu, mari kita sokong Utusan Malaysia dengan 1 Utusan 1 Rumah!

Sunday, February 14, 2010

TULISAN AWANG SELAMAT MENGENAI KES ANWAR

Anwar dan kebenaran (Mingguan Malaysia 14 Feb 2010)

Awang bersyukur kebenaran akhirnya terjelma. Tuduhan liar dan kata-kata cerca Anwar Ibrahim terhadap Utusan Malaysia berkaitan laporan perbicaraan kes liwat terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan, ternyata tidak berasas.

Dalam ruangan ini, minggu lalu (baca artikel di bawah bertajuk Utusan sasaran Anwar), Awang mengulas tentang dakwaan Anwar dan barisan peguamnya terutama Karpal Singh bahawa tajuk utama laporan hari pertama perbicaraan, adalah salah dan berniat jahat.

Gambar katil yang disiarkan oleh Utusan selain beberapa akhbar lain, turut dipersalahkan. Anwar telah meminta akhbar berkenaan disabitkan atas kesalahan menghina mahkamah. Cubaan itu ditolak oleh hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah kerana tiada asas.

Menerusi portal pro pembangkang seperti Malaysiakini, Anwar melabelkan Utusan sebagai biadab, kotor dan jijik.

Nampaknya Utusan menjadi kambing hitam bagi menjayakan strategi Anwar melengah-lengahkan perbicaraan yang makin panas dengan fakta-fakta, yang beliau amat tidak selesa.

Usaha Anwar memohon hakim ditukarkan kononnya kerana bias sudah dijangka. Ketegasan Mohamad Zabidin menyebabkan Anwar merasa goyah.

Rabu lalu dalam perbicaraan yang sama, mahkamah diberitahu oleh Peguam Cara Negara II, Mohd. Yusof Zainal Abiden bahawa laporan Utusan adalah benar berdasarkan nota prosiding.
Malah beliau menyatakan bahawa Anwar dan barisan peguamnya perlu memohon maaf kepada Utusan.

Pertanyaan Awang, apakah wajar Anwar menuduh Utusan yang melaporkan kebenaran sebagai biadab, kotor dan jijik? Pun begitu, Awang tidak akan tergamak mengucapkan kata-kata itu terhadap beliau dalam kaitan apa sekalipun.

Awang juga tidak akan teruja mengharapkan Anwar memohon maaf. Cukuplah sekadar ia menjadi pengajaran kepada Anwar. Janganlah terbawa-bawa dengan sentimen liar, yang hanya memburukkan lagi reputasi beliau.

Di luar mahkamah, banyak petunjuk menampakkan Anwar makin terdesak. Lebih-lebih lagi selepas gagal dalam usaha untuk mengheret rakyat menyokong beliau sebagaimana kes liwat pertama 10 tahun lalu.

Rakyat malah ramai penyokong pembangkang tidak mahu terjebak dalam isu moralnya. Kerana menyedari tiada sokongan, Anwar mendapatkan bantuan negara luar.

Kenapa sampai begitu sekali? Tidakkah kita belajar daripada sejarah lampau betapa padah yang bakal menimpa jika ada pembesar dan pemimpin mengundang campur tangan asing? Sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri, berapakah harga yang perlu dibayar untuk semua itu? Awang pasti terlalu besar nilai balasannya yang kedaulatan negara menjadi pertaruhan.

Sebab itu, Awang bengang apabila 50 ahli Parlimen Australia menuntut agar pertuduhan terhadap Anwar ditarik balik. Ia adalah tindakan angkuh dan bermotif jahat. Janganlah jadi anjing yang suka menyalak. Tetapi tidak adil menyalahkan kumpulan ahli parlimen itu, semata-mata.

Anwar juga perlu dipertanggungjawabkan. Gerakan beliau sejak tahun lalu bagi melobi mendapatkan simpati dan bantuan asing berhubung kes mahkamahnya, bukan rahsia lagi.
Tidak cukup setakat itu, kini digerakkan pula kempen Selamatkan Malaysia di dalam negara, yang turut memaparkan gambar beliau pada pemidang dan papan iklan.

Ceramah yang menyentuh kes liwat itu turut diatur oleh PKR sedangkan perbicaraan sebenar masih berjalan. Ia ternyata menghina mahkamah. Pertanyaan Awang apakah itu semua dilakukan untuk menyelamatkan Malaysia atau sebenarnya menyelamatkan Anwar?

Utusan sasaran Anwar (Mingguan Malaysia 07 Feb 2010)

Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan menjadi topik perbualan paling panas rakyat Malaysia sepanjang minggu ini. Siapa sangka sejarah berulang lagi. Anwar yang pernah dihadapkan ke mahkamah atas kes liwat lebih 10 tahun lalu, sekali lagi menghadapi tuduhan yang sama.

Awang tidak berminat menyentuh apa yang terkandung dalam perbicaraan kes tersebut, ia urusan mahkamah. Tetapi apa yang berlaku di luar mahkamah juga tidak kurang menarik perhatian.

Seperti biasa, Anwar dan PKR menjadikan akhbar Utusan Malaysia sebagai sasarannya. Laporan polis telah dibuat berhubung tajuk berita muka depan Utusan yang didakwanya sebagai penipuan dan berniat jahat.

Begitu juga gambar Bernama yang memaparkan Saiful menunjukkan katil, turut mengundang aduan polis. Cubaan Anwar semasa perbicaraan untuk mensabitkan Utusan menghina mahkamah ditolak oleh hakim kerana tiada asas tetapi PKR tidak berdiam.

Anwar menerusi portal berita pro pembangkang melabelkan Utusan sebagai biadap, kotor dan jijik. Mengapa Anwar begitu sensitif kepada Utusan? Laporan akhbar Cina hampir sama dengan Utusan termasuk penyiaran gambar katil tetapi yang tetap menjadi sasaran adalah Utusan.

Awang tidak terkejut kerana Anwar sememangnya sejak dahulu lagi menyerang institusi Melayu seperti Utusan. Sebab itu, apa sahaja kata nista Anwar terhadap Utusan, Awang tidak ambil pusing. Malah Awang tidak akan menggunakan istilah kotor dan jijik terhadap apa sahaja perbuatan beliau termasuk gerakannya bersama DAP memboikot dan melemparkan banyak tuduhan liar terhadap Utusan selama ini.

Anwar turut mendakwa Utusan sengaja mensensasikan kes beliau. Sebenarnya, semua akhbar memberikan liputan besar, bukan sahaja Utusan. Berita tetap berita. Lagi tinggi kedudukan dan jawatan seseorang yang disabitkan dengan kes mahkamah apatah lagi kes liwat, lagi tinggi nilai berita. Anwar tentu tahu hakikat itu tetapi beliau ada muslihat mahu mengalih perhatian daripada keterangan penting pada perbicaraan itu.

Pada Awang, jika kes tersebut dilihat begitu sensasi, ia juga antara lain berpunca daripada tindakan beliau. Sebelum mahkamah bersidang, ketua pembangkang itu telah lama mengadakan perbicaraan di luar mahkamah dengan mengadakan road show untuk memberikan versi beliau bagi mempertahankan diri.

Kali ini, usaha Anwar mengheret rakyat dalam isu moralnya dengan membakar sentimen awam, tidak berhasil. Hanya puluhan sahaja penyokongnya hadir. Malah cubaan untuk mengadakan demonstrasi selepas sembahyang Jumaat, juga gagal kerana orang ramai tidak mahu terjebak. Ekoran itu, khabarnya, PKR terpaksa memanggil mesyuarat bagi mencari jalan menghimpunkan jumlah penyokong yang besar, selepas ini.

Awang juga berharap kumpulan sorak PKR di mahkamah tidak bertindak keterlaluan. Perbuatan penyokong dan seorang anggota keluarga tertuduh menjerit terhadap Saiful memintanya bertaubat dan penghinaan yang lain, adalah tidak wajar.

Bagaimana pula jika kumpulan atau individu yang bersimpati dengan Saiful membalas bahawa Anwar yang sepatutnya bertaubat dan apa pula perasaan beliau? Maka serahkan sahaja kepada proses mahkamah. Demi mencari keadilan, lapangkan hati dan tenteramkan jiwa.

Thursday, July 23, 2009

WARTAWAN UTUSAN MELAYU UGUT PENGURUSAN?

Selepas dikejutkan dengan wartawan menulis mengenai ‘reban ayam’ menjadi ‘restoran berahi’ Sabtu lalu, kita dikejutkan pula dengan wartawan mahu berarak ke pejabat Perdana Menteri.

Gara-garanya kerana isu pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu NUJ dikenakan tindakan disiplin kerana membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seingat saya inilah kali pertama kejadian seumpama ini jika berlaku tetapi cara main-main ugutan seperti ini tidak baik.

Masyarakat melihat wartawan sebagai kumpulan manusia rasional dan tidak wajar ugut-mengugut dilakukan, apalagi berarak ke pejabat perdana menteri.

Kepada Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak dan timbalannya, Othman Mohamad, tenguk-tenguk perkara ini sebaik mungkin.

Ini kerana semua kita naik bermula dengan wartawan biasa dan pernah menjadi ahli NUJ sebelum ke pangkat eksekutif.

Saya yakin Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin yang pernah menjadi wartawan dan setiausaha akhbar Perdana Menteri mampu menyelesaikan isu ini sebaik-baiknya dengan bantuan Aziz.

Kesatuan itu dilaporkan mengancam berarak ke pejabat perdana menteri jika pengerusinya Amran Ahmad dipecat selepas mengadukan dua kes perbelanjaan syarikat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli majlis eksekutif NUJ itu Wan Syamsul Amly Wan Seadey berkata, mereka "tidak teragak-agak untuk bertindak lebih jauh" jika organisasi media itu terus-menerus "cuba menindas suara pekerja".

"Mula-mula syarikat keluarkan surat tunjuk sebab. Lepas ini mereka akan pecat Amran dan mana-mana ahli yang bersuara lantang membela hak pekerja-pekerja di Utusan Melayu.

"Jika ini berlaku, kami semua membantah sekeras-kerasnya dan mungkin membawa perkara ini ke perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang merupakan presiden Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Julai lalu, Amran dikenakan tindakan disiplin tersebut atas dakwaan "menfitnah" kumpulan media berpengaruh itu susulan tindakannya membuat dua aduan kepada SPRM seperti dilaporkan di Malaysiakini dan Harakahdaily.

Difahamkan, beliau diminta membuat penjelasan bertulis kepada pengurusan Utusan Melayu (M) Berhad selewat-lewatnya Selasa lalu - kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan yang lebih serius diambil terhadapnya.

Bagaimanapun masih belum jelas bentuk-bentuk tindakan tersebut.

Pada 25 Jun lalu, ketua kesatuan wartawan akhbar Umno itu melaporkan perbelanjaan ubahsuaian satu pejabat biro RM46,000 kepada suruhanjaya tersebut.

Sementara dua bulan sebelumnya, NUJ Utusan mengadu kos membeli dua set tiang gol dan jaring penghadang di sebuah kilangnya di Perai, Pulau Pinang yang didakwa "terlalu mahal" RM160,000.

Kesatuan itu mewakili hampir 300 ahli yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.

Kesatuan sekerja itu masih lagi bergelut untuk memeterai perjanjian bersama (CA) penggal 2008 hingga 2011, antaranya, pelarasan gaji sebanyak 10 peratus, kenaikan gaji tahunan RM5, tambahan elaun kenderaan sebanyak RM50 dan pengekalan faedah-faedah lain yang terkandung dalam CA itu.

Sunday, May 10, 2009

ULAMA ATAU PROFESIONAL JADI PEMIMPIN?

Saya mohon kebenaran daripada Utusan Malaysia kerana memuatkan tulisan Dr Maza ini (Mingguan Malaysia, 10 Mei 2009).

Saya perturunkan ini untuk tatapan pembaca sesuai dengan perkembangan dalam PAS sekarang.

Kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Encik Aziz Ishak, terima kasih awal untuk kebenaran yang dipohon.

PAS panas memperdebatkan isu kepimpinannya sama ada patut dipegang oleh golongan 'ulama' atau profesional? Saya tidak berhasrat memberikan pandangan kerana itu urusan 'rumahtangga jiran' yang tiada keperluan untuk campur tangan.
Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; Apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.

Saya masih ingat dalam satu temu bual akhbar Harakah, saya menjawab persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawapan tidak disiarkan. Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: "Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi.

Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah. Dengan menghormati ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas. Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit.

Jika sesetengah tokoh agama yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku".

Al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang membolehkannya berijtihad menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut khalifah mestilah berketurunan Quraisy. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum. Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: Para imam itu daripada Quraisy (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: "Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraisy disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)". Ertinya, jika syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraisylah yang mempunyai dalil hadis. Syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik. Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: Apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraisy?

Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka.

Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan ini. Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang 'bukan ulama' dalam kalangan umat Islam gagal berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi oleh prinsip kehidupan oleh individu pemerintah itu sendiri. Dalam erti kata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya.

Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negara. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.

Apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orang ramai? Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil 'ustaz'? Perkataan ulama berasal dari 'ilmu'. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam. Bidang pengajian Islam itu pula luas. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah?

Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi 'kontang' dalam soal ini, dia tidak layak.
Saya berpendapat perbahasan; sama ada ulama atau profesional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; Apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik?

Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu. Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya.

Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran 'ulama' ataupun profesional. Justeru itu, Nabi SAW bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari : "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim).

Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi SAW pernah menegur beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi SAW. Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah menyebut: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut.

Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani - walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan 'ulama' atau 'profesional' yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah.

Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.

Tuesday, November 11, 2008

MATA TERTUMPU KEPADA JK PENGURUSAN

Oleh Hambali Abdul Latiff

Bahagian Kedua (sambungan daripada Bahagian Pertama - Bahagian Larut):

1. UMNO Bahagian Tanah Merah


Latar Belakang: Mesyuarat bahagian Tanah Merah diambil alih Badan Perhubungan Umno Kelantan selepas menerima arahan Ibu Pejabat Umno berikutan bantahan dan masalah yang berlarutan sejak mesyuarat cawangan, Julai lalu.

Ada dakwaan bahawa 27 daripada 117 cawangan dalam Bahagian UMNO Tanah Merah dibatalkan pendaftaran ekoran isu pembayaran yuran. UMNO Tanah Merah diketuai oleh Nik Kemaruzaman Sulung yang memangku jawatan Ketua Bahagian sejak Datuk Hashim Safin meninggal dunia April lalu.

Ada pihak mendakwa kepimpinan UMNO Bahagian Tanah Merah enggan mengiktiraf hak 27 cawangan yang layak bermesyuarat daripada keseluruhan 115 cawangan. Berikutan itu, UMNO bahagian Tanah Merah merupakan yang terakhir mengadakan mesyuarat selepas ibu pejabat parti mengarahkan Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pengendalian kesemua 115 mesyuarat cawangan bahagian itu. Hasil pemantauan yang dibuat hanya 108 cawangan sahaja yang layak bermesyuarat.

Masalah: Masalah teknikal berikutan dakwaan wujud anggota hantu pada pemilihan peringkat cawangan. Satu permohonan mahkamah dibuat menghalang 32 perwakilan daripada menyertai persidangan bahagian itu kerana didakwa tidak layak menyertai mesyuarat kerana gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember lalu.Siapa terlibat? Antara anggota Umno bahagian Tanah Merah yang terlibat dengan perintah itu ialah Ketua bahagian yang menang tanpa bertanding, Ikmal Hisyam Abdul Aziz, anggota jawatankuasa Umno bahagian, Ali Akbar Mayim, Bakri@Mohd Bakri Mustafa, Yahya Mustapha dan Rasdi Mohamad.


Tindakan Bahagian: Mesyuarat 8 November 2008 ditangguh dan keputusan mengenainya disampaikan peguam parti dari Ibu pejabat Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengenai masalah teknikal ekoran ada pihak yang menyerahkan satu permohonan mahkamah menghalang 32 perwakilan daripada menyertai persidangan bahagian itu kerana didakwa tidak layak menyertai mesyuarat kerana gagal menjelaskan yuran tahunan sebelum 31 Disember lalu. Mesyuarat yang diadakan di Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah itu yang sepatutnya berlangsung pukul 9 pagi hanya bermula pukul 10.10 pagi, dan sedikit tegang dipercayai disebabkan tindakan pihak yang mendapatkan perintah mahkamah cuba menyerahkan perintah injuksi kepada 32 anggota terbabit. Bagaimanapun, mesyuarat itu ditangguhkan kira-kira 40 minit kemudian sebaik ucapan perasmian oleh Naib Ketua Umno Bahagian Zakaria Hamad, selesai, apabila Pengerusi Tetap Sementara, Ali Akbar Mayim mengumumkan mesyuarat yang dipantau Umno Bahagian Rantau Panjang itu disambung semula pada pukul 1 tengahari untuk mendengar penjelasan Hasfanizam. Mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian itu selesai diadakan sehari sebelumnya.

Hasfanizam berkata, keputusan menangguhkan mesyuarat bahagian itu dibuat setelah beliau merujuk kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa.Persidangan Umno bahagian Tanah Merah semalam dihadiri 452 perwakilan daripada 171 cawangan.

Kesan: Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah yang berlangsung di Sekolah Menengah Teknik terpaksa ditangguhkan atas arahan Ibu Pejabat UMNO. Ia berdasarkan permohonan yang difailkan seorang AJK Umno Bahagian Tanah Merah, Ab Rahman Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kota Baharu 6 November lalu apabila 32 anggota Umno dilarang menggunakan hak mereka daripada bercakap, mengundi, dan memilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian itu sehingga kes mahkamah diselesaikan. Setiausaha Agung juga memaklumkan kes itu akan dirujuk kepada ibu pejabat Umno dan juga akan dibawa ke Mesyuarat Pengurusan Umno Malaysia. Perintah itu akan dikuatkuasakan sehingga 20 November akan datang apabila 32 anggota itu diberi hak untuk melantik peguam masing-masing, katanya semasa memberi penjelasan mengenai penangguhan itu.


Perkembangan Lain:

1. Pada 8 Ogos 2008, Setiausaha Agung UMNO berkata, tidak timbul isu pembatalan sebahagian cawangan dalam UMNO Bahagian Tanah Merah. Apa yang berlaku sebenarnya ialah senarai ahli cawangan itu sedang dikemas kini kerana terdapat unsur-unsur meragukan. Ibu Pejabat UMNO Pusat difahamkan mengeluarkan arahan bahawa semua cawangan yang telah membayar yuran tahunan adalah layak untuk bersidang mengikut perlembagaan parti. Wakil cawangan terlibat mendakwa wujud agenda pihak tertentu bagi mencorakkan pencalonan untuk bertanding jawatan tertinggi dalam pemilihan bahagian.Mereka meminta UMNO Pusat meneliti perkembangan itu dan segera mengambil tindakan bagi mengelak perkara tersebut menjadi lebih bercelaru hingga merosakkan imej parti.

2. Setiausaha UMNO bahagian itu, Amran Abdul Rahman mendakwa sebelum persidangan cawangan bermula dari 4 Oktober hingga 10 Oktober lalu, jawatankuasa pemantau yang ditubuhkan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan dipengerusikan oleh pegawai khas kepada pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Tuan Hashim Tuan Yaakub bersetuju untuk menyerahkan salinan laporan mesyuarat kepada bahagian. Bagaimanapun hingga 20 Oktober lalu, laporan yang diminta untuk simpanan bahagian, tidak diserahkan.

Berikutan itu, UMNO bahagian itu membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku jawatankuasa pemantau perhubungan Umno Kelantan yang mengendalikan persidangan Umno cawangan di berkenaan. Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Tanah Merah kerana membantah tindakan jawatankuasa berkenaan yang disyaki cuba menyembunyikan fakta mesyuarat, seolah-olah cuba menipu bahagian dalam urusan mesyuarat pemilihan cawangan diadakan.

3. Pada 7 Oktober 2008, Umno Bahagian Tanah Merah membuat ketetapan membantah pengendalian persidangan tahunan cawangan Umno dalam bahagian itu. Mesyuarat itu yang dikendalikan Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantauan Umno Kelantan dipengerusikan Tuan HashimTuan Yaakob. Pemangku Ketua Bahagian, Nik Kemruzaman Sulong, berkata bantahan itu dibuat mereka kerana keputusan dan tindakan jawatankuasa berkenaan yang didakwa tidak telus sehingga berlaku beberapa kejadian yang disifatkan melanggar peraturan ketika mesyuarat berlangsung.

4. Laporan polis dibuat di Balai Polis Sentul pada 28 Oktober 2008 mengenai penghantaran Notis Mesyuarat Perwakilan Bahagian yang lewat dari tarikh yang tertulis pada surat notis itu.

5. Pada, 7 November 2008 lalu, Umno Bahagian Tanah Merah, Kelantan, membuat satu laporan polis di Kuala Lumpur terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa. Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Bahagian itu Amran Abdul Rahman di Balai Polis Sentul. Beliau mendakwa, Tengku Adnan menggunakan kedudukan sebagai Setiausaha Agung mengeluarkan arahan bertulis kepada Badan Perhubungan Umno Kelantan supaya mengambil alih persidangan cawangan dalam bahagian Tanah Merah sebelum tempoh yang ditetapkan. "Tengku Adnan juga membuat fitnah kononnya Umno Bahagian Tanah Merah mengalami masalah pentadbiran," katanya.

6. Selain laporan polis, seorang ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim mengemukakan saman pemula pada 7 November 2008 dan mendapat perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu kelmarin bagi menghalang 32 ahli termasuk bekas Ketua Pemuda, Ikmal Hisham Abdul Aziz bersidang. Mereka didakwa tidak membuat pembayaran yuran mengikut prosedur yang ditetapkan oleh perlembagaan parti. Ikmal Hisham sepatutnya diumumkan sebagai Ketua Bahagian yang baru setelah menang tanpa bertanding.

7. Pada sidang media di Kuala Lumpur yang turut dihadiri bekas Ketua Wanita bahagian, Datin Suhanie Deraman; bekas Ketua Pemuda Umno Tanah Merah, Jusoh Deraman dan bekas Ketua Puteri, Paridah Mat Riffin, Nik Kamaruzaman meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan bagi menyelesaikan beberapa kepincangan yang didakwa berlaku di bahagian itu termasuk ketika mesyuarat Umno cawangan dalam bahagian itu. Beliau bimbang jika tidak diatasi, ia boleh menyebabkan mesyuarat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri tidak sah kerana wujudnya ahli hantu dan ahli yang gagal membayar yuran tahunan dibenarkan mengundi untuk memilih calon. Ketiga-tiga pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri terbabit tidak hadir ke mesyuarat perwakilan sayap pimpinan mereka yang dibuat di tiga lokasi berbeza di Tanah Merah pada 7 November 2008 bagi menyertai Nik Kamaruzaman untuk menyatakan bantahan.

Selain isu keahlian UMNO Bahagian Tanah Merah membantah keputusan Jawatankuasa Pengurusan UMNO menyerahkan penggendalian Mesyuarat Perwakilan UMNO Tanah Merah dan sayap-sayapnya kepada BadanPerhubungan UMNO Negeri mengikut Fasal 20.3 Perlembagaan UMNO.

1. Benarkah Setiausaha Agong membuat fitnah terhadap JK Bahagian Tanah Merah dan ‘merampas kuasa’ apabila mengarahkan Badan Perhubungan UMNO mengambil alih dan mengatur mesyuarat cawangan Bahagian UMNO Tanah Merah?

2. Benarkan Setiausaha Agung menggunakan kuasanya membenarkan sejumlah 30 daripada 45 cawangan gagal membayar yuran tahunan dan satu cawangan yang lewat membayar Yuran Tahunan menjalankan persidangan cawangan

3. Benarkah Saetiausaha Agung membenarkan cawangan bermesyuarat di luar tempoh ditetapkan oleh MT iaitu 4 hingga 10 Oktober 2008

4. Sebab masalah timbul pada mesyuarat cawangan berbeza antara kenyataan Setiausaha Agung dan Bahagian UMNO Tanah Merah. Setiausaha Agung berkata punca pengambil alihan ialah masalah dalaman pentadbiran Bahagian berkenaan tetapi UMNO Bahagian Tanah Merah berpendapat kegagalan Ibu Pejabat UMNO mengatasi permasalahan termasuk kesahihan penambahan, pengurangan dan pertukaran ahli UMNO serta kepincangan di Bahagian Sistem Maklumat Ibu Pejabat punca sebenar.

5. Benarkah Notis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian tidak menepati Perkara 6.2 Peraturan Persidangan Perhimpunan Agung Perwakilan Bahagian dan Persidangan Cawangan iaitu “Setiausaha Bahagian hendaklah memberitahu Cawangan dengan bertulis sekurang-kurangnya 14 hari (14) hari terlebih dahulu dipada hari diadakan Perwakilan Bahagian’.

Selain isu peribadi yang ditujukan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilih dan Pemantau Negeri Kelantan, Tuan Hashim Tuan Yaacob kenyataan Ikmal Hisham di Utusan Malaysia Online pada 11 Oktober 2008 yang beliau menang tidak bertanding, mengundang banyak pertanyaan. Ulasan mengenai kemenangannya itu dianggap ‘ tidak wajar dibuat’ kerana keputusan rasmi belum dibuat. Difahamkan, sebarang kenyataan keputusan pencalonan cawangan-cawangan hanya boleh dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan atau selepas tujuh (7) hari persidangan perwakilan Bahagian tamat. Ringkasan Laporan Utusan Malaysia Online adalah seperti berikut:

Ikmal Hisham, Ketua UMNO Tanah Merah
http://www.utusan.com.my

KOTA BHARU 11 Okt. - Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian tersebut selepas tiga lagi pencabarnya tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Pada mesyuarat cawangan yang berakhir semalam, Ikmal mendapat sebanyak 91 pencalonan manakala tiga lagi pencabarnya iaitu pemangku ketua UMNO bahagian tersebut, Nik Kemaruzaman Sulong memperoleh lapan pencalonan; ahli jawatankuasa bahagian, Rosli Kadir (enam) dan ketua penerangan bahagian, Datuk Supardi Md. Noor (dua).

Bagi jawatan timbalan ketua, ia akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara seorang tokoh agama, Baharudin Yusof yang mendapat 53 pencalonan dan bekas Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Shaari Hassan (50) manakala dua lagi individu iaitu Supardi dan ahli jawatankuasa bahagian, Moktar Bahari tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Dalam pada itu, seorang guru, Bakri @ Mohd. Bakri Mustapa turut menang tanpa bertanding bagi jawatan naib ketua selepas mendapat 82 pencalonan selepas empat lagi pencabarnya tidak layak untuk bertanding.

Sementara itu, Ikmal Hisham ketika dihubungi di sini hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua cawangan yang mencalonkannya dan yakin dengan kebolehannya untuk memimpin serta membawa perubahan kepada parti di bahagian tersebut.

"Saya bersyukur kerana mesyuarat cawangan ini berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang masalah walaupun pelbagai halangan terpaksa ditempuh sebelum ini," katanya.

Apapun, harapan bagi UMNO Bahagian Tanah Merah ialah Najib melihat masalah mereka serta mahu keputusan dan budi bicara Tengku Adnan dalam menggendalikan kes bahagian mereka berkiatan dengan individu tertentu turut disiasat.

Rumusannya dalam kes UMNO Bahagian Tanah Merah ialah:

a) Kenapa UMNO Bahagian Tanah Merah enggan mengiktiraf hak 27 cawangan yang dikatakan layak bermesyuarat daripada keseluruhan 115 cawangan dalam Bahagian itu?

b) Kenapa UMNO Bahagian tidak dibenarkan menghantar Wakil Bahagian ke Persidangan Cawangan;

c) Kenapa salinan Buku Laporan Mesyuarat tidak dibenarkan diserahkan kepada Cawangan dan Bahagian;

d) Kenapa Jadual Persidangan Cawangan tidak dibincang terlebih dahulu dengan Bahagian dan Cawangan;

e) Kenapa laporan dan keputusan rasmi Persidangan Cawangan tidak dimaklumkan kepada UMNO Bahagian walaupun persidangan telah 30 hari berakhir;

f) Benarkah Wakil Pemantau yang dihantar oleh Jawatankuasa terabit membuat Akuan Palsu apabila mengaku menyerahkan Peringatan Persidangan 2007, Kertas Persidangan 2007/2008 dan Laporan Kewangan 2007 untuk simpanan Urusetia Bahagian tetapi sebenarnya tidak berlaku demikian?

g) Knapa membuat perubahan tarikh Persidangan Cawangan tanpa memaklumkan kepada UMNO Bahagian? Dan

h) Kenapa tidak melayan dan responsive terhadap aduan-aduan UMNO Bahagian kepada pelbagai penyelewengan yang dikesan berlaku dalam Persidangan Cawangan?

Jawapan ada pada Jawatan Pengurusan UMNO dan Jawatan Disiplin UMNO.

(Ikuti sambungan Bahagian Akhir)

Tuesday, October 28, 2008

SUKARNYA MENDAPAT MAKLUMAT

Sukarnya mendapat maklumat terkini mengenai pemilihan UMNO yang benar-benar sahih.
Tidak pasti orang lain tetapi saya menghadapi masalah mengumpul maklumat apabila sumber berita semuannya berbeza sama ada daripada sumber rasmi seperti Bernama atau Utusan Malaysia serta daripada portal berita seperti Malaysiakini dan Agendadaily.

Usaha Agendadaily dan Malaysiakini sebagai antara yang terbaik sejauh ini selain Bernama dan Utusan Malaysia yang kadang-kadang agak ketinggalan.

Laporan mengenai jumlah Bahagian UMNO yang sudah bersidang pun pening dibuatnya. Bernama mengatakan sehingga 27 Oktober (semalam), sebanyak 102 sudah bersidang.

Malaysiakini pula melaporkan 103 sudah bermesyuarat dan Utusan Malaysia juga mengatakan 103 tetapi Agendadaily melaporkan 105 UMNO Bahagian telah selesai mengadakan Persidangan Perwakilan masing-masing. Ini bermakna ada 86 lagi UMNO Bahagian yang belum mengadakan persidangan perwakilan mereka.

Lalu cuba ke portal umno-online (http://irc-malaysia.com) lagi tidak boleh diharap. Tidak payah disebutlah.

Sepatutnya pada musim seperti ini laman web UMNO smenjadi tempat rujukan rasmi tetapi itulah keadaan sebenar sumber maklumat UMNO. Tidak boleh diharap!

Inilah masalahnya dengan UMNO, orang lain ada portal, kita mahu ada portal, orang ada website, kita ada website. Walaupun ada usaha menyediakan maklumat pada pautan memgenai pemilihan tetapi tidak juga di update.

Nak harapkan laman UMNO negeri-negeri? Laman UMNO Pahang menunjukkan kemaskini terkini pada Februari 2008.

Cuba juga cari laman web UMNO Sabah tidak juga jumpa, begitu juga dengan Perak. Melaka, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Umno Selangor pula yang terbaru ialah berita 13 September bertajuk “Anwar Berdolak-dalik Tentang Rancangan Ambil Alih Kerajaan” sementara cerita terbaru mengenai Ketua Perhubungannya iaitu Tan Sri Muhammad Muhd.

Taib ialah ketika menawarkan diri untuk kembali merebut kerusi Naib Presiden pada pemilihan Disember ini” (Tarikhnya ialah
Bayangkanlah, betapa maklumat mengenai pertandingan yang begitu penting seperti ini daripada UMNO termasuk dari Ibu Pejabat UMNO Kuala Lumpur pun tidak ada.

Dengan berbezanya jumlah bilangan mesyuarat yang dilaporkan daripada empat sumber di atas, maka berlakunya juga perbezaan nombor pencalonan,

Malaysiakini melaporkan, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pencalonan ke-103 untuk jawatan presiden . Muhyiddin pula dikatakan memperolehi 65 pencalonan.Manakala dua lagi calon - Datuk Mohd Ali Rustam mendapat 23 pencalonan manakala Tan Sri Muhammad Muhd Taib mendapat 17 pencalonan.

Untuk jawatan Timbalan Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein (85), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (62), Datuk Seri hafie Apdal (46), Datuk Khaled Nordin (50) dan Datuk Syed Hamid Albar (22).

Utusan Malaysia pula berkata, Najib mendapat 101, Muhyiddin 63, Mohd Ali Rustam (23) dan Muhammad (15).

Untuk Naib Presiden Utusan Malaysia menyebut Hishammuddin Tun Hussein (83), Zahid (58), Shafie (50) dan Khaled (49).

Bernama berkata Najib menyapu bersih 102 pencalonan sehingga kini sementara Muhyiddin mara dengan jumlah 65 pencalonan. Muhammad mendapat 15 manakala Ali Rustam masih kekal dengan 22 pencalonan.

Hishammuddin pula dengan 85 pencalonan, Zahid (62), Khaled (50), Mohd Shafie (45) dan Syed Hamid (22).

Bilakah agaknya akan ada satu sistem maklumat yang baik untuk memudahkan rujukan bagi tujuan dan penyelidikan khususnya mengenai UMNO.

Waktu ‘main-main tunjuk kertas’ tidak sesuai lagi ketika ini apa lagi pemilihan ini penting bukan seperti pemilihan biasa.

Ia bagi menentukan Presiden dan Timbalan Presiden yang akan menjadi Perdana Menteri dan Timbalannya yang kedua-duanya dari UMNO.

Pada ketika tokohnya begitu gah, sistem penyaluran maklumat mengenai pemilihan UMNO begitu lemah.

Masa masih ada, sebaik-baiknya diperbetulkan semua ini supaya UMNO bukan sahaja gah dari segi nama dan ketokohan pemimpinnya tetapi juga sistem maklumat untuk tujuan penyelidikan, penyaluran dan penyampaian yang berkesan dalam abad ke 21 ini.

Friday, October 17, 2008

TABUNG AZAN UNTUK PERKARA BAIK!

Membaca kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang menjelaskan bahawa antara tujuan utama penubuhan 'Tabung Azan' adalah untuk membiayai dan melatih muazzin (bilal) muda untuk melaungkan azan di surau dan masjid, menjadikan saya terpanggil untuk menyokong usaha ini.

Walaupun sebelum ini saya sungguh tersentuh apabila Utusan Malaysia dibantai teruk oleh Teresa Kok dan DAP, saya tertanya-tanya apa sebenarnya tujuan Syed Ali menyokong Utusan Malaysia.

Dengan tertubuhnya tabung berkenaan, jelas Syed Ali bukan sahaja menjalankan dayausaha untuk menyokong Utusan Malaysia tetapi juga melakukan perkara baik.

Saya rasakan usaha ini wajar disokong bukan kerana Utusan Malaysia banyak berjasa kepada orang Melayu dan Islam semasa tetapi jasanya begitu penting dan bermakna buat orang Melayu.
Saya tertanya-tanya kenapa Musyridul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengatakannya sebagai gimik politik.

Nik Aziz mendakwa tindakan Umno melancarkan Tabung Azan bersama Utusan Malaysia kononnya bagi memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini disifatkan sebagai gimik politik.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, usaha mereka mewujudkan Tabung Azan bagi membantu akhbar Utusan Malaysia sesuatu yang tidak rasional.

Cuba mencari maklumat, saya menyelidik bukan sahaja melalui utusan-online (http://utusan.com.my) tetapi beberapa blog selain http://rockybru.blogspot.com sudah pun melaporkan mengenai usaha membantu Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

Blog seperti http://lawi-ayam.blogspot.com menjalankan kempen “Jom Sokong Utusan Malaysia” sejak 10 Oktober 2008 dengan tema “Mari Ganyang Teresa” selain menyiarkan rencana “Nik Aziz bela Teresa Kok’ sementara http://gegernya.blogspot.com menyokong Utusan Malaysia dan usaha Syed Ali.

Malaysiakini semalam melaporkan bahawa Syed Ali ada menegaskan: “Kita nak beritahu mereka (DAP) bahawa kita mampu membentuk dan melatih muazzin muda kerana kita rasa tercabar orang yang mempertikaikan laungan azan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang wakil rakyat DAP yang menyifatkan tindakan Umno bahagian Cheras melancarkan 'Tabung Azan' sebagai satu gimik dan mendakwa Umno masih tidak putus asa untuk memainkan sentiman perkauman dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San juga berkata tindakan menubuhkan tabung tersebut juga merupakan bukti terdapat segelintir anasir negatif dalam Umno yang masih ingin mewujudkan sesuatu yang telah terbukti tidak pernah berlaku.

Sebaliknya, kata Syed Ali, pihaknya rasa terpanggil dan rasa bertanggungjawab untuk membantu surau dan masjid menyediakan pembesar suara bagi melaungkan azan kerana ianya adalah sebahagian daripada syiar agama Islam.

"Kita nak cari duit. Kenapa nak laungkan azan tak boleh. Ini Malaysia, sebuah negara Islam. Dan kita nak naikkan semangat orang Islam," kata Syed Ali.

Tambah Syed Ali lagi, beliau mensasarkan untuk mengutip derma RM30 juta sebagai usaha untuk memberitahu DAP pihaknya mampu berbuat demikian.
Wang yang terkumpul adalah untuk membeli peralatan surau dan pembesar suara serta diberikan di surau-surau.

Ditanya mengenai laporan sebelum ini menyebut penubuhan tabung itu juga bertujuan untuk membantu Utusan Malaysia yang disaman oleh Teresa, beliau berkata sebarang sokongan terhadap tersebut adalah dalam bentuk sokongan moral.

Katanya ini kerana Utusan merupakan kumpulan media yang besar dan mampu menyediakan sumber kewangan sendiri untuk membela diri.

Kelmarin, 14 Oktober, mengisytiharkan tindakan yang diambil syarikat itu terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berbunyi: “Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan sesalinan Surat Sebelum Tindakan pada 14 Oktober 2008 kepada Yang Berhormat Teresa Kok kerana membuat penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia yang dikatakan telah ‘memutar-belitkan’ penyataan-penyataan beliau berkenaan makanan yang disajikan kepadanya semasa berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penyataan-penyataan beliau telah diterbitkan oleh media-media nasional dan menerusi blog beliau sendiri. Penyataan-penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia adalah pada 22 September 2008 dan berpunca daripada kenyataan beliau semasa sidang akhbarnya pada 19 September 2008 berkenaan makanan yang disajikan kepada beliau semasa berada dalam tahanan ISA. Teresa juga menyatakan bahawa Utusan Malaysia telah memutar-belitkan kenyataan asal beliau dalam laporan mereka. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Surat Sebelum Tindakan memohon relif antara lain penarikan balik dan kenyataan kemaafan yang penuh dan lengkap daripada Yang Berhormat Teresa Kok kepada Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkenaan penyataan-penyataan fitnah. Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan Surat Sebelum Tindakan tersebut melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co yang beralamat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.”