Showing posts with label kristian. Show all posts
Showing posts with label kristian. Show all posts

Friday, August 5, 2011

ISU GEREJA – KENAPA KHALID IBRAHIM TERGESA-GESA MINTA MAAF?

"Saya memberitahu beliau (Pastor Daniel Ho) bahawa saya telah minta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyediakan laporan penuh mengenai insiden ini, termasuk sebab-sebab terperinci serbuan tersebut dilakukan.Saya berharap dapat berjumpa dengan Pastor Daniel Ho sebaik sahaja laporan lengkap ini diterima..." - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Pendedahan oleh Exco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam sepatutnya diambil perhatian berat oleh Kerajaan Selangor.

Sebaliknya. Kerajaan Selangor memandang serius kejadian di mana polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis makan malam muhibbah di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya malam kelmarin.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara peribadi telah menghubungi Paderi kanan DUMC, Pastor Daniel Ho dan menyatakan kekesalan pihak kerajaan negeri berhubung insiden itu.

"Saya memberitahu beliau bahawa saya telah minta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyediakan laporan penuh mengenai insiden ini, termasuk sebab-sebab terperinci serbuan tersebut dilakukan, :" kata Khalid.

Kenapa Khalid begitu tergesa-gesa dan takut kepada paderi kanan berkenaan? Khalid takut paderi atau DAP?

Ternyata selepas ini PAS Selangor akan berdepan dengan Parti Keadilan Rakyat dan DAP sekali lagi dan Dr Hassan mungkin akan dianggap mendatangkan masalah kepada kerajaan Selangor.

Malah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka akan ditanya mengenai perkara ini.

Kita menunggu apa pula kata Khalid Samad dan konco-konconya terhadap Dr Hassan. Apakah Dr Hassan akan dibelasah oleh Khalid yang mempertahankan tindakan Menteri Besarnya yang akan menyebabkan Dr Hassan akan dikenakan tindakan atau amaran keras?

Hassan membuat pendedahan selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist berkenaan dan maklumat yang diterima mengatakan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan.

“Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut. Tiada serbuan dan tiada tangkapan dibuat. Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan,” kata Dr Hasan dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, anggota penguatkuasaan Jais bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di bangunan gereja itu walaupun cuba dihalang oleh pihak penganjur.

“Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai,” katanya.

Laporan Malaysiakini menyebut, Dr Hassan berkata pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “Quran” dan “pray” diselitkan pada ucapan di majlis itu.

“Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan bagi menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti.

“Pegawai penguakuasa Jais dan polis mendapati ada percubaan di kalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang,” katanya.

Menurut Dr Hasan berdasarkan siasatan awal, 12 penganut Islam didapati terbabit dengan majlis itu dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan.

Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Semua 12 mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di bahagian penguakuasaan Jais untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, paderi kanan gereja itu, Daniel Ho dalam satu kenyataan akhbar berkata majlis makan malam yang diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO malam semalam bertujuan menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan.

Menurutnya, majlis itu juga bagi meraikan usaha NGO berkenaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam beberapa projek komuniti, termasuk kerja-kerja amal dengan wanita dan kanak-kanak, mangsa HIV/AIDS dan penyakit lain.

Persoalannya, tiada tempat lainkan bagi 12 individu itu berbuka puasa?

Atau kalau miskin sangatpun, kenapa Gereja dijadikan tempat berbuka puasa?

Atau juga apakah Kerajaan Selangor lalai untuk mendekati 12 ‘individu miskin ini’ sehingga terpaksa berbuka puasa di Gereja?

Saturday, May 14, 2011

SOI LEK KECAM UTUSAN, BELA DAP...

Sah sudah ada pemimpin tertentu dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) sebenarnya ‘bayangan DAP’ dalam pakatan Barisan Nasional.

Jika sebelum ini ada pemimpin Gerakan memainkan peranan seperti ini, kini pemimpin sebuah parti komponen BN semakin menonjolkan dirinya kononnya juara bukan–Islam.

Ini dilakukan bukan untuk sokongan kepada partinya. Malah dia bersuara juga bukan kepentingan orang Kristian, tetapi kepentingan DAP.

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek – Presiden Skandal Seks - iaitu presiden sebuah parti komponen ( saya tidak salahkan parti kerana ia bukan keputusan mesyuarat parti) hari ini (13 Mei 2011) mahu pemberita dan editor Utusan Malaysia digantung tugas jika laporannya Sabtu lalu mengenai isu Kristian dan agama Islam adalah tidak benar.

Malah Presiden Skandal Seks itu berkata teguran yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri kelmarin ke atas akhbar milik Umno itu tidak mencukupi.

Kami berharap polis akan menyiasat dengan terperinci latar belakang tulisan yang disiarkan oleh Utusan, di mana kami dimaklumkan bahawa sesetengah pihak mahu mempolitikkan agama demi kepentingan politik. Jika tulisan itu tiada sebarang asas, kama kami merasakan pihak-pihak yang bertanggungjawab di Utusan perlu digantung sebagai amaran bahawa kerajaan akan memegang mereka yang mahu mempolitikkan isu-isu agama, bertanggungjawab,” kata Chua.

Sedangkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata semalam, laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai usaha pihak tertentu untuk menjadikan Kristian sebagai agama Persekutuan Sabtu lalu seperti dipetik daripada dua blog adalah berasas.

Dan asas pada pemberitaan tersebut mungkin boleh dijelaskan melalui sebuah laporan polis hari ini yang dibuat oleh seorang individu yang turut berada dalam majlis dimaksudkan di Pulau Pinang.

Selain itu, katanya, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan telah tampil menjelaskan mengenai asas laporan muka depan akhbar berkenaan sewaktu memberi keterangan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri, kelmarin.,

"Jadi inilah yang saya tekankan hari itu, jangan kita beremosi tentang perkara berhubung kait agama, kaum, biar pihak berkuasa (iaitu) polis khususnya untuk jalankan tugas mereka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Rawatan dan Prihatin (CCSC) Chow Kit di Kuala Lumpur.

Laporan muka depan akhbar ini Sabtu lalu yang bertajuk Kristian Agama Rasmi? seperti dipetik daripada pendedahan dua blog tempatan iaitu Bigdog dan Marahku bagaimanapun turut menyiarkan penafian Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dari DAP yang turut hadir pada majlis itu.
Di Pulau Pinang semalam, seorang ahli DAP, Mohamed Razali Abdul Rahman, 42, yang hadir pada majlis kesyukuran tertutup paderi-paderi berkenaan tampil membuat laporan polis bagi menceritakan insiden sebenar.

Chua beria-ia benar apabila mengatakan tidak harus ada andaian bahawa laporan-laporan itu tidak berasas dan jika dakwaan itu benar, mereka yang bertanggungjawab harus disiasat dan didedahkan.

Tegasnya: “Kami berharap bahawa dalam isu ini, kerajaan tidak akan berkompromi dan harus menegakkan keadilan dan menghantar mesej yang jelas kepada rakyat Malaysia bahawa agama tidak harus digunakan dalam pertarungan politik. Orang yang menulis berita terbabit termasuk editor harus digantung kerana menulis laporan palsu atau mencetuskan sensasi, yang tiada asas.”.

Bukan itu sahaja, Presiden Skandal Seks ini juga mahukan ‘orang di sebalik kepada semua ini’ harus berhadapan dengan tindakan.

Selain tuduhan Chuna bahawa Utusan Malaysia melaporkan perkara yang 'tiada asas', siapa orang yang dimaksudkan Chua?

Chua tuding jari terhadap seseorang?

Tuesday, May 10, 2011

ISLAM SEBENARNYA BUKAN AGAMA RASMI…

Agama apa yang menjadi agama rasmi Malaysia dan sebelum ini Persekutuan Tanah Melayu?

Islam atau Kristian?

Jangan terkejut selepas Perlembagaan 1948, Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Malaysia 1963, agama Islam sebenarnya 'bukan agama Rasmi' Persekutuan.

Semalam Peguam Syahredzan Johan menegaskan, Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menggariskan bahawa Islam adalah “agama rasmi” negara.

Lebih jauh beliau menyeru masyarakat Malaysia supaya ‘bangkit’ memperbetulkan fahaman bahawa Islam agama rasmi Malaysia.

Menurutnya isu ini jika dipermainkan sangat bahaya sedangkan kedudukan agama Islam tidak diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai ‘Agama Rasmi’.


“Perlembagaan sangat jelas dalam hal ini. Islam bukan agama rasmi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi semalam.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan, hanya ada satu agama bagi persekutuan, tetapi bukan rasmi atau tidak rasmi.

Syahredzan berkata, rakyat biasa boleh dimaafkan kerana tidak biasa dengan undang-undang, tetapi menteri dan peguam-peguam tidak boleh dimaafkan kerana ia bukan sahaja tugas mereka, tetapi tanggungjawab mereka.
Syahredzan berkata, beliau membangkitkan perkara ini sebab tiada pihak yang berbuat demikian.

“Ia perkara yang sangat bahaya dan ia dipermainkan dan disebabkan itu, ia menjadi lebih daripada isu perlembagaan semata-mata, ia menjadi momok... ia menjadi isu agama dan isu sosial dan isu politik dan satu masalah.

(Perlu ada) seseorang bangun dan mengatakan mengenai perkara ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Syahredzan, ketua jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam merujuk kepada Artikel 3 yang menyebut bahawa “agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai Persekutuan di mana-mana bahagian Persekutuan” dan menekankan bahawa perkataan “rasmi” tidak pernah disebutkan di mana-mana bahagian.

Syahredzan Johan mengulas perkara ini ketika kontroversi tercetus ekoran laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bahawa pengikut Kristian mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.

Kita menunggu pakar Perlembagaan kita, termasuk Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan , Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk memperjelaskan perkara ini.

Selain itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz juga mampu memberitahu rakyat apa kedudukan sebenar agama Islam di Malaysia.

Selain itu, apakah benar apa yang dikatakan oleh Syahredzan bahawa seksyen dalam Perlembagaan mesti ditafsir bersama Artikel 11, di mana setiap orang ada hak untuk mengamalkan agama masing-masing dan tertakluk kepada Klausa (4) yang mana berkaitan dengan Islam - untuk menyebarluaskannya.

Menurut beliau: “Kita kena faham terminologi yang betul untuk digunakan apabila kita bercakap apa sahaja berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

Lebih jauh beliau mengatakan Menteri pun tidak tahu mengenai perkara ini.

Setiap orang, daripada kalangan menteri sehinggalah NGO, malah sehingga blogger mengatakan macam-macam, yang menunjukkan mereka tidak tahu apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Katanya, dengan memasukkan perkataan-perkataan ke atas Perlembagaan, blogger, menteri dan surat khabar membaca perkara-perkara yang tiada dan meminda undang-undang.

“Dan, ia bercanggah dengan Perlembagaan,” kata peguam itu.

Oleh itu kata Syahredzan, Putrajaya mesti menerajui usaha untuk membetulkan salah tanggapan ini bagi mengelakkan malapetaka.

“Sesuatu perlu dilakukan, kerajaan mesti menyatakan dengan jelas apa yang ada dan apa yang tiada dalam Perlembagaan,” katanya.

Jawablah wahai Pak Menteri dan pemimpin UMNO. Anda kini sedang dicabar dan lebih jauh mengatakan Islam Bukan Agama Rasmi Malaysia.

Saturday, May 7, 2011

JANGAN BIARKAN, SEKAT DARI AWAL

Terus terang, ada dua perkara membimbangkan penulis.

Bukan bimbang Kristian akan menjadi agama rasmi negara ini. Itu sukar berlaku.

Tetapi proses ke arah menjadikan agama berkenaan sebagai agama rasmi akan membabitkan kejadian-kejadian yang tidak diingini dan mungkin akan menyebabkan ketegangan kaum dan agama.

Pertama, isu agama sekali lagi menjadi perbincangan terbuka yang akan menyebabkan berlakunya syak wasangka pada ketika beberapa isu lain seperti isu bukan Islam memasuki masjid sewenang-wenangnya, bukan sahaja mentafsir al-Quran dan Hadis serta isu Kitab Injil dalam bahasa Melayu belum dapat dibereskan.

Kedua, jika benar ada pemimpin DAP melakukan perkara seperti ini, bukan sahaja agama Islam tergugat kedudukannya tetapi ‘pelindungnya’ iaitu Yang DiPertuan Agong dan sultan Melayu juga tergugat.

Ini bahaya. Bendunglah sebelum meledak!

Dua laman blog semalam, iaitu 'bigdog' di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk 'Making Christianity the official religion? dan blog Marahku di http://marahku.blogspot.com. memperkatakan perkara ini dan dilaporkan pula Utusan Malaysia hari ini.

Menurut laporan berkenaan satu majlis pertemuan paderi-paderi diadakan di Pulau Pinang dan berikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan didedahkan oleh dua blog berkenaan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, pada majlis makan malam sempena pertemuan , seramai 35 orang paderi dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan mahu Perdana Menteri juga dalam kalangan penganut agama itu.

Laporan blog 'bigdog' mendakwa majlis itu dianjurkan oleh kawasan Parlimen DAP dipercayai Jelutong dan turut dihadiri oleh kira-kira 100 yang lain termasuk wakil rakyat parti itu dari Sarawak dan beberapa pekerja parti.

"Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi," dakwa blog berkenaan.

Blog tersebut menambah, sebagai satu komuniti minoriti, cita-cita DAP itu jelas membuktikan mereka cuba bertindak sebagai kaum majoriti.

"Ini merupakan lembaran baru dalam politik yang mana kaum minoriti memainkan peranan sebagai kaum majoriti di samping strategi cauvinis DAP menyemai politik kebencian. Sesuatu yang pasti ia bergerak pada landasan yang sangat berbahaya," dakwa blog itu.

Utusan Malaysia hari ini memetik Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan majlis pertemuan paderi dari seluruh negara yang turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini sebagai tetamu.

Jeff yang ditanya mengenai ikrar itu mendakwa, ketika majlis berlangsung, beliau sibuk 'melayan' iPad selain menjamu selera walaupun turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang didakwa terlibat dalam satu pertemuan antara paderi-paderi dari seluruh negara di sebuah hotel di Jalan Macalister, Khamis lepas.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Wira Perkasa Daerah Timur Laut, Mohd Rizuad Mohd Azudin di Balai Polis Jalan Patani, di sini pada kira-kira pukul 1.20 tengah hari.

"Isu ini akan merosakkan perpaduan kaum yang telah terjalin lebih 50 tahun,” kata Mohd Rizuad selepas membuat laporan polis berkenaan.

Penulis berpendapat, elok sekali jika polis dapat menyiasat dakwaan blog berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana juga pihak yang cuba mencetuskan isu perkauman di negara ini.

Jangan jadikannya API DALAM SEKAM. Amat Berbahaya!

Sunday, January 10, 2010

PADAMKAN SEGERA API KEMARAHAN...

Ada pihak sengaja mempersendakan nasihat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.


Yang di-Pertuan Agong semalam menitahkan semua pihak supaya sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Ini nasihat daripada ‘penjaga’ kesucian agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

Tuanku Mizan juga menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat-tempat ibadah tanpa mengira kaum.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Seri Paduka memandang serius isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu, baru-baru ini juga meminta rakyat menghormati tempat ibadat agama masing-masing tanpa mengira kaum.

Namun apakah pihak-pihak tertentu menghormati nasihat Yang di-Pertuan Agong itu? Apakah dengan melanggar nasihat itu menunjukkan pihak tertentu daripada jenis ekstrem atau sengaja mahu merosakkan hubungan umat Islam dengan penganut agama Kristian?

Pihak berkuasa jangan melihat nasihat yang di-Pertuan Agong sebagai remeh dan bertindaklah sewajarnya kepada pihak yang membakar gereja tidak jauh dari ibukota.

Ini berikuatan pada pagi semalam, tiga buah gereja dibaling dengan bom buatan sendiri. Tiga buah gereja terbabit ialah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja The Assumption di Jalan Templer serta Gereja Life Tabernacle, kedua-duanya di Petaling Jaya.

Dilaporkan sebuah lagi gereja, Good Sheperd Lutheran di Jalan Othman di sini dilaporkan turut menjadi

sasaran pihak tidak bertanggungjawab apabila dilempar bom petrol. Kejadian itu hanya disedari seorang paderi di gereja terbabit pada pukul 2 petang semalam.

Insiden pertama berlaku pada kira-kira jam 12.30 malam di Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati apabila dipercayai seorang lelaki bermotosikal membaling topi keledar berisi bom petrol melalui tingkap gereja tersebut.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam mengumumkan geran bantuan berjumlah RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernancle bagi menempatkan semula gereja berkenaan.
Isunya bukan sekadar membayar ganti rugi. Namun yang penting ialah bagaimana menghapuskan syak-wasangka di kalangan orang Islam dan Kristian.

Jangan biarkan sampai api kemarahan memuncak dan pertelingkahan kaum bermula. Sukar memadam dan

menghapuskannya.

Janganlah asyik memberi amaran tanpa tindakan sejawarnya. Jika ada orang Islam yang melampau dan boleh menggugat kestabilan, bertindaklah!

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, malah sedia menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menghalangnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula berkata kawalan keselamatan di gereja di seluruh negara dipertingkatkan dengan polis mengadakan rondaan yang lebih kerap.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata adalah “Haram memusnahkan rumah ibadat agama lain.” Beliau berkata, kerajaan harus bertindak tegas terhadap pihak yang membangkitkan isu ini sebelum ia menjadi bertambah kritikal.

“Tindakan seperti melucutkan hak kerakyatan patut dikenakan ke atas mereka yang cuba mengganggu-gugat keamanan dengan mencetuskan ketegangan seperti ini.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Islam melarang perbuatan merosakkan rumah ibadat seperti yang berlaku semalam. Beliau percaya, perbuatan tersebut dilakukan oleh individu yang tidak memahami ajaran Islam dan mengikut nafsu amarah.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Perak pula berharap tidak ada pihak cuba menangguk di air yang keruh atau membuat provokasi.

Semalam, Tuanku Mizan menitahkan semua pihak terutamanya umat Islam agar bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Seri Paduka menzahirkan harapan itu memandangkan kerajaan sedang mengambillangkah-langkah yang perlu berikutan keputusan mahkamah itu dan semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Tuanku Mizan memandang serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rabu lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katholik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara.

Penangguhan ini berjaya diambil berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri serta Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia demi kepentingan rakyat dan negara.

Wednesday, January 6, 2010

PERASAAN UMAT ISLAM TERGURIS...BERSATULAH

Oleh Hamidah Othman (hamidahosman.blogspot.com)

1. Keputusan Mahkamah Tinggi mengejutkan umat Islam, yang rata-ratanya membantah. Ulama, pemimpin UMNO, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, ahli akademik dan sebahagian pemimpin pembangkang termasuk Dewan Ulama Pas turut bersatu menyatakan bantahan.

2. Yang turut menjadi persoalan mengapa larangan penggunaan perkataan Allah yang pernah ditetapkan oleh

Majlis Fatwa Kebangsaan, boleh dicabar di mahkamah.

3. Banyak persoalan berlegar daripada isu tersebut, daripada soal hujah sehinggalah kepada kesannya kepada umat Islam. Agama Islam adalah agama rasmi dalam Perlembagaan negara. Asas bantahan ialah nama Allah berdasarkan kepercayaan (tauhid) orang Islam tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Ini kerana Allah yang dimaksudkan oleh agama lain berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

4. Kalimah Allah juga adalah eksklusif untuk agama Islam sahaja kerana ia sebahagian daripada ayat suci al-Quran dan langsung tidak terdapat dalam kitab agama lain. Maka penggunaan perkataan Allah bagi agama lain dikhuatiri mengelirukan umat Islam, yang padahnya tidak boleh diambil mudah.


5. Semua ini terjadi berpunca daripada kelemahan dan perpecahan umat Islam. Disebabkan perbalahan dan kebodohan berpolitik, Islam makin tergadai. Adalah sesuatu yang memalukan parti-parti Islam tidak boleh bersatu dalam menjamin survival Islam.


6. PKR dan pemimpinnya dilaporkan menyokong perkataan Allah digunakan oleh gereja Katolik, sesuatu yang tidak mengejutkan atas strategi politik. PKR sememangnya dalam beberapa isu kritikal, dilihat mengambil pendirian yang mengutamakan kepentingan politik mengatasi kepentingan agama dan Perlembagaan. Isyarat lebih jelas daripada semua ini, status-quo Islam di Malaysia boleh berubah bila-bila masa kerana angkara pemimpin Islam sendiri.


Bersatulah Umat Islam Untuk Kali Ini

1. Tahun baru ini (2010) bermula dengan episode yang menyedihkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald The Catholic Weekly boleh dianggap sebagai penghinaan kepada umat Islam di negara ini.

2. Penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk agama Islam sahaja kerana ia sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran dan langsung tidak terdapat dalam kitab agama lain.

3. Masalah itu berpunca daripada sikap umat Islam sendiri, perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini menyebabkan penganut agama lain secara terang-terangan berani mengambil kesempatan daripada kelemahan itu.

4. Pemimpin politik yang berkuasa dan mempunyai pengaruh masih lagi tidak sedar dan insaf, kebarangkalian pada masa akan datang penganut agama lain untuk terus mengambil kesempatan adalah terlalu besar.

5. Kalimah Allah merupakan sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran yang pada setiap masa tanpa sebarang kompromi tidak boleh dikongsi oleh mana-mana pihak selain penganut Islam. Menariknya Istilah ‘Allah’ sememangnya tiada dalam 'kamus kitab' agama lain dan jika masih ingin digunakan, ia membawa maksud untuk mempermain-mainkan kesucian kalimah ini.

6. Mengapa kini baru ditimbulkan soal merujuk tuhan agama Kristian sebagai Allah?. Selama ini tuhan yang mereka sembah itu hanya dirujuk di dalam kitab suci mereka sebagai Lord sahaja.

7. Tindakan tersebut juga hanya akan menambahkan lagi kekeliruan kepada banyak pihak, keputusan mahkamah itu dikhuatiri bakal mendatangkan kesan lebih buruk seperti kemungkinan tercetusnya pergaduhan dan perpecahan pada masa depan disebabkan perselisihan pendapat.

8. Golongan yang menyokong pengunaan ini terdiri daripada golongan Islam Liberal dan menariknya Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad menyokong kehendak Mubaligh Kristian mengantikan pertakaan ‘God’ kepada didalam Bible kepada perkataan Allah. Kak Midah yakin kekesalan pasti bersarang jauh disudut hatinya dengan keputusan mahkamah ini.

9. Mana perginya Dewan Pemuda Pas yang begitu lantang selama ini ?, mana perginya ulama Pas yang hanya berdoa untuk kemusnahan bangsa dan agama sendiri sahaja? Bersatulah demi agama ini untuk kali ini.

10. Apakah ini agenda terancang pihak-pihak gereja untuk mengelirukan umat Islam dengan memanipulasi nama Allah di negara ini?

Kesan dari perubahan ini

11. Perkara ini telah berlaku di Indonesia pada tahun 1999 dimana pengunakan perkataan Allah mula digunakan, maka lahirlah Gereja Jemaah Allah antara yang Kak Midah pernah lihat di Bandung, Indonesia. Risalah-risalah yang sangat mengelirukatn umat Islam di Indonesia.

12. Selepas ini, jangan pula hairan jika kita melihat tulisan GEREJA ALLAH bagi menggantikan House Of God dihadapan rumah-rumah ibadat kristian diseluruh negara. Ini akan menjadi lambang kepada perbuatan melacurkan agama oleh puak-puak yang mengaku pejuang Islam seperti PAS !

13. Cuba kita bayangkan jika suatu hari nanti kita dihidangkan dengan ayat "Jesus anak Allah" dan juga "Mary itu wanita pilihan Allah" didalam bible digereja-gereja seluruh negara. Apakah ini tidak menimbulkan kekhuatiran didalam hati sanubari kita?

14. Bagaimana pula jika generasi muda kita di khabarkan, "Jika kita berdosa kepada ALLAH, jumpalah paderi di gereja untuk pengampunan" ?

15. Apakah ayat sebegini tidak mengelirukan pemikiran umat Islam terutamanya anak-anak muda muslim yang masih didalam proses mengenal Allah SWT?

16. Sekalung tahniah buat parti Pas kerana melalui pembesarnya iaitu Khalid Samad, isu penggunaan nama Allah ini tercetus dan menaikkan semangat pihak kafir untuk menjahanamkan iman umat Islam di negara ini
17. Tidak mustahil akan ada lagi beberapa kejutan besar dan semuanya berpunca daripada kelemahan kita sendiri yang terlalu sibuk berpolitik. Fikir, renung dan muhasabah diri sendiri jangan sampai maruah agama terus tergadai.

18. Keputusan mahkamah itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi Negara.

19. Pandangan Kak Midah ini bukan bermakna umat Islam tidak menghormati keputusan mahkamah, kita terima dan akur sebagai menghormati keluhuran undang-undang tetapi dengan perasaan penuh dukacita dan sedih yang mendalam.

20. Semoga Allah merahmati kita semua.

Thursday, July 16, 2009

APA YANG SEDANG BERLAKU DI MALAYSIA?

Ini kes sensitif.

Pada ketika 1Malaysia sedang digerak dan kempennya sedang berjalan lancar, laporan Malaysiakini menyebut sembilan penganut Kristian termasuk dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) ditahan polis semalam berhubung dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut.

Dilaporkan kumpulan itu berada beberapa hari di beberapa kolej kediaman UPM dengan bergerak dari bilik ke bilik untuk menyampaikan ajaran mereka.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM Safwan Abdul Ghani dalam satu kenyataan berkata selain itu, mereka juga didapati menyebarkan risalah kepada warga kampus dan bergerak di tiga buah kolej iaitu Kolej Pendeta Zaaba, Kolej Sepuluh, dan Kolej Sebelas.

"Aktiviti yang berlaku beberapa hari itu akhirnya membawa kepada penangkapan sembilan individu tersebut,” katanya.

Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi diperolehi daripada pihak universiti dan polis, setakat ini.

Undang-undang negara melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim.

Mereka yang ditangkap di kampus Serdang menjelang 10 malam tadi dibebaskan di balai polis Sepang kira-kira 3.45 petang semalam, kata peguam Annou Xavier.

Kesemua mereka ditahan di sebuah bilik pelajar di Kolej ke-10 sewaktu berkunjung ke situ tetapi aduan polis dibuat dengan dakwaan mereka cuba menyebarkan Kristian.

Selain dua mahasiswa, kumpulan itu termasuklah tiga rakyat tempatan dan empat warga Hong Kong.

Tindakan tersebut diambil susulan satu aduan polis yang dibuat oleh lima pelajar UPM terhadap kumpulan tersebut.

Seorang daripada kumpulan itu Yip Bok Wan, selepas dibebaskan, membuat aduan balas di balai polis terbabit, menafikan pembabitan mereka dan menuduh laporan awal berasaskan maklumat palsu.

Beliau dan peguam tersebut enggan memberikan butiran lanjut saat-saat penangkapan mereka.