Friday, February 7, 2014

LUMUR DARAH AYAM, TAWARAN TAMPAR TERESA KOK PERNYATAAN KEMARAHAN MELAYU ISLAM


"Ia adalah simbolik peristiwa berdarah, bermakna kita beri amaran kepada Teresa Kok supaya jangan cetuskan peristiwa yang menggugat keamanan dan perasaan orang Melayu. Darah ini maknanya peristiwa 13 Mei... faham-fahamlah,"

Kenapa sekumpulan NGO yang menggelarkan diri mereka 'Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia' semalam menyembelih empat ekor ayam dan melumur darahnya pada kain rentang yang tertera gambar pemimpin DAP dan PKR?

Juga kenapa mereka menawarkan RM500 kepada sesiapa yang sanggup menampar mulut Ahli Parlimen Seputeh, Tereka Kok yang celupar itu?

Kenapa tidak ada kejadian seperti itu sebelum ini?

Apakah mereka perkauman dan gila publisiti? Apakah kerana itu mereka akan ditahan dan disiasat polis sementera mereka yang menyebabkan timbulnya kemarahan itu lepas dan bebas?

Malaysiakini yang membuat laporan itu mengatakan tindakan itu dibuat dalam perhimpunan yang dinamakan 'Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu' oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina.

Apa dia?

'Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu' oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina.’


Ia berlangsung berhampiran Jalan Tun Perak berdekatan Puduraya, petang semalam. Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30 peserta itu merupakan reaksi kepada video Tahun Baru Cina yang dilakonkan Teresa dengan tajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014' dan flashmob oleh Khai Loon di Pulau Pinang.

Flashmob tersebut menyaksikan sayur kangkung disumbat ke dalam mulut patung kayu dengan karikatur menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi membantah kenaikan harga barang baru-baru ini.

Selain itu satu tawaran dengan ganjaran RM500 buat mana-mana individu yang berjaya menampar Teresa Kok dan merakamkannya.

Tawaran itu dibuat aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mustafa Hamzah yang menjadi pengacara majlis demo ringkas perikatan NGO itu berhampiran Jalan Tun Perak, tengahari semalam.

"Pada mereka yang sanggup menampar Teresa Kok akan diberikan ganjaran RM500.Ganjaran ini akan diberikan secara tunai kepada pemuda-pemuda yang berani mempertahankan tanahair. Ganjaran ini akan dikumpul dari NGO Jemaah Islam Malaysia," katanya penuh bersemangat.

Sebahagian peserta himpunan sebelum itu memegang poster dengan gambar ayam yang kepalanya diganti dengan kepala Teresa Kok.

Poster itu menawarkan ganjaran RM500 kepada individu pertama yang berjaya menampar Kok dan merakamkannya sebagai bukti.


Mustafa mengacarakan perhimpunan itu mengetuai laungan, "Jahanam Teresa Kok!" sebanyak enam kali dan disambut oleh peserta-peserta lain. Ia disusuli pula dengan laungan "Petualang mesti dihancurkan dari bumi bertuah ini!" yang turut diulang oleh peserta-peserta lain

Tawaran luar biasa itu dipercayai dibuat sebagai reaksi kepada video Tahun Baru Cina yang dilakonkan Kok dengan tajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014'. Kok memainkan watak sebagai hos dalam acara bual bicara dengan menemuramah panel pakar tentang apa yang diharapkan dalam Tahun Kuda.

Mereka yang melakonkan pakar itu ialah - Brother Wai, lelaki mudah tersentuh dan mengalirkan air mata; Puan Jit, wanita gemuk berambut besar yang suka barang kemas dan beg tangan, dan Cik Yan Yan, pakar dalam pelancongan dan Feng Shui.

Nasihat pakar-pakar tersebut antaranya melibatkan beberapa isu termasuk keselamatan, kekayaan, pendidikan dan ekonomi, menjadi topik dengan anekdot biasa kepada rakyat Malaysia

 Antara lain, merujuk kepada cincin berlian, beg tangan berjenama dan hartanah di New York dan juga beberapa bahan berita lain yang berkaitan pelancongan dan pendidikan vernakular.

Perhimpunan ringkas itu turut disertai beberapa NGO pro-Islam lain dan wakil-wakil mereka turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan.

Pengerusi Angkatan Perpaduan Islam Sejagat Malaysia (API), Datuk Seri Aziz Nani menggesa pihak berkuasa bertindak ke atas Teresa Kok jika tidak mahu mereka bertindak sendiri.

"Ini semua NGO Islam, seandainya pihak berkuasa gagal bertindak terhadap Teresa Kok, kami sendiri akan bertindak seperti yang perlu pada Teresa Kok," katanya tegas.

Wakil penganjur, Zulkifly Sharif dari Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) yang berucap sewaktu ayam-ayam itu disembelih berkata mereka yang wajahnya ada pada poster tersebut cuba memanipulasi kenaikan harga barang baru-baru ini.

"Kenaikan harga barang seperti yang dihebohkan sekarang ini adalah satu jenis propaganda bagi memburukkan kepimpinan Melayu. "Mereka cuba mencetus kebencian dan memperkotak-katikkan kepemimpinan Melayu agar rakyat membenci dan menghina kepimpinan Melayu.

"Kami amat terkejut dengan tindakan pelampau Cina dan Kristian ini yang melakonkan imej pemimpin Melayu disumbat mulutnya dengan kangkung yang mana pemimpin-pemimpin ini telah dipilih secara demokrasi oleh rakyat Malaysia," katanya. 


Pemimpin yang wajahnya terdapat pada kain rentang pembantah adalah:

1. MP Seputeh, Teresa Kok,

2. MP Gelang Patah, Lim Kit Siang,

3. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP, dan

4. ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dari PKR.

Mencuri perhatian di antara peserta himpunan NGO pro-Melayu itu adalah seorang lelaki Tionghua dikenali sebagai Sunny Goh.

Memegang jawatan sebagai pengerusi perhubungan hal ehwal masyarakat Cina bagi Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib), Goh menggesa pemimpin DAP agar berhenti "membuat kecoh".

"Saya bernama Mr Goh, saya mewakili rakyat Malaysia, rakyat Cina tak kira bangsa, saya minta pemimpin pembangkang jangan buat kecoh.  Di negara-negara lain tak aman, di Malaysia sahaja aman. Saya mewakili Cina Malaysia dan seluruh masyarakat Malaysia berharap agar parti politik Cina tolonglah jangan cetuskan kekecohan yang tak perlu," katanya

Sebelum itu, beberapa peserta turut bertindak memijak kain rentang dengan wajah pemimpin itu.

Di akhir perhimpunan, penganjur mengedarkan lebih dua raga sayur kangkung kepada peserta himpunan dan orang ramai yang hadir pada majlis itu.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Zulkifly berkata tindakan menyembelih dan melumur darah ayam itu adalah simbolik kepada "peristiwa berdarah" 13 Mei 1969.

"Ia adalah simbolik peristiwa berdarah, bermakna kita beri amaran kepada Teresa Kok supaya jangan cetuskan peristiwa yang menggugat keamanan dan perasaan orang Melayu. Darah ini maknanya peristiwa 13 Mei... faham-fahamlah," katanya.

NGO-NGO lain yang turut serta dalam perhimpunan itu adalah Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), serta Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).

Wednesday, February 5, 2014

PEMBERHENTIAN PEKERJA KONTRAK - ‘VALUE FOR MONEY’ ATAU CAMPUR TANGAN POLITIK?


“Kesemua kakitangan ini hanya menjadi mangsa keadaan. Jika ada masalah lain yang tidak melibatkan pekerja, jangan turut sama heret penjawat awam...syarikatnya perlu melihat dari semua aspek, dalam konteks menyeluruh sebelum membuat keputusan. Tindakan menamatkan perkhidmatan serta-merta itu adalah tidak adil."
Presiden Cuepacs - Azih Muda

Mudahnya memberhentikan pekerja apabila merasakan tidak penting buat seseorang atau syarikat.

Apakah sumbangan mereka mereka sebelum ini tidak dapat dinilai dari segi kebaikan dan sumbangan mereka atau bergantung semata-mata kepada 'value for money?'

Benarkah pemberhentian 20 kakitangan kontrak anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) serta-merta pada Selasa bebas campur tangan politik?

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penglibatan beliau dalam pemecatan kakitangan PHSB itu.

Katanya, keputusan itu dilakukan sendiri pihak pengurusan PHSB dan menganggap tiada sebarang pemecatan pekerja berlaku melainkan pemberhentian disebabkan mereka tidak melanjutkan kontrak kakitangan terbabit.

"Itu adalah keputusan pengurusan PHSB dan saya percaya pasti ada sebabnya malah pada saya konsep dipecat boleh jadi tiada tetapi konsep tidak diteruskan pelantikan boleh jadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat negeri Selangor anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam malam semalam.

Abdul Khalid berkata menerusi nota yang diberikan kepadanya, pihak pengurusan PHSB memaklumkan tindakan itu adalah sebagai langkah untuk menentukan jumlah pekerja yang sesuai dalam organisasi berkenaan.

Ini memandangkan pekerja yang diberhentikan itu adalah pekerja kontrak.

Sementara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyifatkan pemecatan seramai 20 kakitangan anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holding Sdn. Bhd. (PHSB) merupakan langkah perkhidmatan cekap 'value for money'. Keputusan menamatkan kontrak dibuat dalam satu operasi penyusunan semula organisasi sumber manusia bagi mengelak pertindihan tugas.

"Perkhidmatan 20 anggota berkenaan di PKNS telah dibuat berperingkat secara kontrak seawal 2010 bertujuan mengisi jawatan dan memperkukuhkan beberapa bahagian baharu di PKNS antaranya pemasaran, strategi dan media, pelaburan serta pengurusan organisasi dan integriti.

"Walaubagaimanapun setelah mengkaji keputusan tersebut, PKNS berpandangan tiada keperluan untuk meneruskan khidmat 20 pegawai tersebut memandangkan kepakaran dan pengalaman yang sama sudahpun sedia ada di kalangan pegawai tetap PKNS," kata kenyataan PKNS hari ini.

Tambahnya, sehubungan itu, PHSB telah membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan mereka menurut terma yang terdapat dalam kontrak masing-masing.

Reaksi kepada pemberhentian itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Azih Muda meminta supaya penjawat awam tidak dijadikan mangsa kemelut politik.

Cuepacs mendakwa ia dikaitkan dengan isu pengguguran Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Azih yang mengulas mengenai 20 kakitangan kontrak anak syarikat PKNS, PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) ditamatkan perkhidmatan serta-merta pada Selasa berkata, kemungkinan wujud campur tangan politik sehingga menyebabkan tindakan pemecatan itu.

Kesemua kakitangan PHSB, yang juga anak syarikat PKNS, menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa pada Selasa.

Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

“Kesemua kakitangan ini hanya menjadi mangsa keadaan. Jika ada masalah lain yang tidak melibatkan pekerja, jangan turut sama heret penjawat awam

 Apapun sebab atau masalah yang berlaku, PKNS atau anak syarikatnya perlu melihat dari semua aspek, dalam konteks menyeluruh sebelum membuat keputusan.

Tindakan menamatkan perkhidmatan serta-merta itu adalah tidak adil,” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Azih berkata, PKNS sepatutnya mengutamakan kebajikan pekerja yang perlu menyara kehidupan sekeluarga dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. “Ini bukan soal pekerja kontrak atau perkhidmatan cekap atau ‘value for money’, tetapi ini soal kebajikan. Selangor sendiri dikatakan sebagai negeri berkebajikan, utamakanlah kebajikan itu.

“Sehubungan itu, saya meminta supaya PKNS meneliti semula keputusan menamatkan perkhidmatan kakitangan itu dan memberi peluang kepada mereka untuk menyara kehidupan,” katanya.

Beliau menambah, diharapkan tindakan menamatkan perkhidmatan tidak dijadikan sebagai satu trend melibatkan penjawat awam semata-mata untuk menambahkan keuntungan.

“Sebagai kerajaan atau GLC (syarikat berkaitan kerajaan), mereka seharusnya berkongsi keuntungan itu dengan mengutamakan kebajikan pekerja,” katanya.

Sebelum ini, Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Setiausaha Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek ditukar ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkuatkuasa serta-merta, berikutan isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 10 Januari lalu.

Wakil pekerja terbabit, Dr Alif Aiman berkata mereka berasa amat terkejut dengan pemecatan itu berikutan tiada sebarang perbincangan diadakan sebelum ini dan menganggap pemberhentian serta-merta itu menganiaya mereka.

"Kejutan yang kami terima semasa hadir bekerja hari ini ibarat penganiayaan malah tiada alasan kukuh. Pemberhentian ini betul-betul menyusahkan kami yang rata-rata pencari nafkah utama keluarga.

"Apa yang kami amat kesalkan adalah sehingga saat ini, kami semua masih tidak tahu mengapa kami diberhentikan sedangkan kami tidak melakukan sebarang kesalahan terhadap syarikat malah kami sanggup berkorban masa dan tenaga demi membangunkan PHSB," katanya kepada pemberita Selasa.

Dr Alif, yang juga merupakan Pengurus Kanan Pemasaran PKNS, berkata menerusi surat berkenaan mereka hanya dimaklumkan mengenai pemberhentian dibuat selaras dengan perubahan dan hala tuju PKNS dalam menyusun semula organisasi dan sumber manusia termasuk PHSB.

Katanya alasan pihak pengurusan syarikat itu dilihat tidak dinyatakan secara terperinci terutamanya proses penyusunan semula itu sedangkan prestasi PKNS berada dalam kedudukan yang baik malah mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit.

"Apa salah kami sehingga diberhentikan serta-merta dan jika ada salah, mengapa tidak diberikan surat tunjuk sebab ataupun adakan siasatan dalaman. Jika kami hilang punca pendapatan begini, bagaimana pula nasib keluarga yang kami tanggung.

"Antara objektif kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat dan kami bekerja keras membantu PKNS menjana pendapatan demi bantu rakyat lain, tapi ini balasan yang PKNS bagi pada kami dan adakah ini negeri berkebajikan yang dicanang kerajaan Selangor," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan pemecatan itu dan berharap pihak yang sepatutnya bertanggungjawab dapat menyatakan sebab pemecatan dan menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.

PILIH ATAU TOLAK ANWAR DIKAJANG DIKETAHUI 23 MAC

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua kiri) mengumumkan tarikh penamaan calon dan membuang undi bagi pilihan raya kecil DUN Kajang di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang ditetapkan pada 23 Mac manakala tarikh penamaan calon ialah pada 11 Mac. Tempoh berkempen adalah selama 12 hari.

PRK Kajang adalah yang ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Dua PRK sebelum ini ialah bagi DUN Kuala Besut di Terengganu yang diadakan pada 24 Julai tahun lalu diikuti DUN Sungai Limau, Kedah pada 4 November.

Kedua-dua kekosongan di kerusi tersebut berlaku setelah kematian penyandangnya.

Tarikh berkenaan diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai PRK Kajang HARI INI.

Sebanyak 18 pusat mengundi disediakan bagi PRK Kajang iaitu tiga bagi undi awal dan 15 untuk pengundian biasa.

Kerusi DUN Kajang diisytiharkan kosong selepas Adunnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh meletak jawatan secara tiba-tiba pada 27 Januari lalu.


Tuesday, February 4, 2014

AHMAD SAID BANGGAKAN UMAT ISLAM YANG CINTAKAN PENYELIDIKAN CIPTAAN ALLAH


Ahmad Said bukan berbelanja ke luar negara untuk menyebarkan dakyah politik kepada pelajar dan rakyat kita di luar negara seperti pemimpin pembangkang di Terengganu ini, sebaliknya menggunakan sebaik-baik peruntukan untuk menjamin Terengganu, penyelidikan Islam dan bukan Islam dari negara ini kelak mempunyai stesen sendiri dalam penyelidikan khutub berskala besar di Antartika.

Daripada hambali1

KUALA TERENGGANU (4 Februari 2014) - Lawatan kerja 15 hari Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika yang ‘berpandangan ke hadapan’ tamat kelmarin.

Beliau kini dalam perjalanan pulang ke tanah air..

Menteri Besar yang ‘berani meneroka dan menyertai mereka yang mengamalkan pemikiran mendahului cara berfikir secara biasa’, dijangka akan sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Beliau akan menjawab soalan wartawan, termasuk kata-kata sinis, tuduhan membazir serta hasil misi pada sidang media di KLIA  tengah hari ini.

Isu lawatan Menteri Besar Terengganu menjadi kontroversi (lihat sini, sini, sini,) apabila ada pihak-pihak tertentu, khususnya pemimpin pembangkang apabila mengatakan ia sebagai sesuatu yang merugikan selain kenyataan akhbar yang sedikit terkeliru.


Walaupun sebelum pergi Ahmad Said sudah menjelaskan tujuan lawatannya pada 15 Januari lalu, pihak-pihak berkenaan tidak putus-putus mempersoalkan keuntungan daripada lawatan berkenaan yang dilihat oleh mereka, lebih banyak membazir.

Malah ada mempersoalkan kenapa Menteri Besar mengetuai lawatan berkenaan bukannya pegawai atau penyelidik daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Ahmad Said mengetuai lawatan ke Antartika itu adalah melalui anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Lawatan kerja itu mempunyai tujuan jelas iaitu bagi membuka laluan kepada kerajaan Terengganu, amnya Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH). 

Sumbangan kepada lawatan ini akan menjurus kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang turut dapat menyumbang kepada penyelidikan perubahan cuaca dunia yang semakin tidak menentu.

Malah menyebut sahaja Malaysia, kita adalah negara Islam yang maju dalam pelbagai bidang dan penyelidikan khutub Selatan - iaitu salah satu keajaiban ciptaan Allah s.w.t. – tidak salah, sebaliknya membuka langkah kepada negara Islam lain menyertai misi ini.

Amat menghairankan apabila pemimpin PAS mengkritik usaha ini sedangkan di zaman Nabi Muhamad pun ‘umat Islam dituntut belajar hingga ke negara China’.

Kita di zaman moden yang perlu menonjolkan usaha dan kesungguhan untuk belajar serta bersaing dengan penyelidik bukan Islam yang lebih awal meneroka benua berkenaan pasti tertanya-tanya apakah sumbangan kita untuk sama-sama menyertai misi dan penyelidikan berkenaan.

Ahmad Said ke Antartika bukan untuk glamour, membuat kejutan atau menunjuk-nunjuk beliau seorang yang mampu mencipta berita atau sengaja mereka-reka berita untuk mempopular atau menaikkan namanya.

Lawatan ini pastinya lebih awal di atur, sebelum pun beliau digelar 'Robin Hood' ( beliau menafikan gelaran berkenaan) selain kejutan-kejutan lain.

Sultan Terengganu ketika membuat lawatan ke Antartika.
Bagi Menteri Besar Terengganu, sudah sampain masanya saintis Islam dan negara-negara Islam mengadakan penyelidikan secara serius di kutub selatan itu.

Selain bagi tujuan penyelidikan, ia akan memberi imej dan gambaran yang baik terhadap orang Islam dan tidak membiarkan orang bukan Islam sahaja berbuat demikian.

Baginya, usaha penyelidikan dan menyertai misi seperti ini adalah fardhu kifayah bagi umat Islam selaras dengan ayat Al Quran yang ada menyebut bahawa tiap-tiap apa yang dijadikan Allah sama ada di langit atau dibumi tidak sia-sia.

“Saya rasa sepatutnya menjadi tanggungjawab saintis Islam membuat penyelidikan di Antartika kerana ia bertepatan dengan ajaran Islam supaya kita menimba ilmu di mana sahaja tempat,” katanya dalam satu sesi temuramah dengan Manis FM yang disampaikan melalui Whatsapp.

"Jika tidak, kita umat Islam akan terus ketinggalan malah dengan berbuat demikian kedudukan imej orang Islam akan meningkat dan setanding dengan bukan Islam." katanya.

Mengenai beribadah ketika di Antartika, katanya jika gereja boleh dibina di kawasan penyelidikan, apa salahnya kita orang Islam membina surau, tempat orang Islam menunaikan sembahyang.

"Orang bukan Islam yang bersama kami di sini (Antartika) kagum dan terharu melihat kami menunaikan solat jemaah dan berpuasa semasa berada dalam eksplorasi Antartika itu. Mereka amat mengalu-alukan kehadiran kita sehingga bertanya bermacam-macam soalan mengenai umat Islam kepada kami," kata Ahmad Said.

Beliau amat yakin suatu masa Malaysia akan mempunyai stesen penyelidikan sendiri di sana, walaupun ketika ini menumpang dengan stesen pihak negara lain.

"Kalau Peru yang bukan kuasa besar dan maju ekonominya boleh membuka beberapa stesen penyelidikan di Antartika, saya percaya negara Islam, termasuk Malaysia pun boleh melakukan perkara yang sama,” tegasnya melalui wawancara itu.

Amat nyata, pemergian atau lawatan Menteri Besar ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri Terengganu untuk menyediakan platform kepada saintis dan penyelidik untuk menjalin kerjasama strategik dengan Chile.

Penglibatan kerajaan Terengganu dalam misi itu turut menggambarkan sokongan padu kerajaan negeri terhadap usaha yang dijalankan di peringkat Kerajaan Pusat dan global sebagai untuk melahirkan kumpulan penyelidik yang berwibawa dan dihormati.


Menteri Besar ketika misi berkenaan turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara INACH dan YPASM bagi membuka laluan kerjasama dalam bidang penyelidikan di benua itu. 

Dengan termeterai memorandum persefahaman itu, Kerajaan Negeri yakin dapat menubuhkan sebuah stesen kendalian bersama Malaysia-Chile di Antartika.

Melalui penubuhan stesen berkenaan, akan membolehkan lebih ramai pertukaran pelajar dan kakitangan akedemik terlibat dalam penyelidikan di sana

Ini sebenarnya penting dan membuka ruang untuk anak Terengganu bersama-sama dengan penyelidik antarabangsa meneroka penyelidikan sains khutub yang sangat penting bagi iklim dan kehidupan manusia. 

Chile menjadi tuan rumah kepada delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Besar Terengganu itu dan akan dibawa melawat stesen penyelidikan yang dikendalikan oleh INACH di Antartika.

Reaksi kepada kritikan terhadap lawatan Menteri Besar itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee (kiri) berkata sepatutnya penduduk di negeri ini berbangga usaha Menteri Besar itu kerana berfikiran jauh demi untuk kemajuan negeri ini pada masa depan.

“Ia adalah satu penerokaan baru ilmu bagi memenuhi hasrat manusia di bumi, jadi kebetulan pula, penerokaan Antartika ini telah dibuat sebelum ini, bukan sahaja pihak negara, bahkan seluruh dunia membuat penerokaan ilmu ke kawasan Antartika.

Mohd Jidin berkata, lawatan selama 15 hari yang bermula sabtu lepas itu adalah satu perkara penghayatan kehidupan masa depan dan usaha Menteri Besar itu adalah wajar.

“Sama juga dulu penerokaan ke bulan, ramai juga orang tidak memahami ataupun tidak mencapai tahap pemikiran pada masa itu menyatakan bahawa penerokaan ke bulan itu satu pembaziran tetapi setakat ini bukan sahaja ke bulan malah beberapa lagi planet baru sedang diterokai untuk mempelajari perkara-perkara berkaitan kejadian Allah Taala.

“Seterusnya mereka yang bekerja kuat ini dikatakan orang yang berakal ataupun ulul albab, jadi yang berakal ini bermakna penghayatannya kepada keduniaan bagi akhirat sebab mereka tahu kehidupan di dunia ini akan mempunyai limik umur dan apakah peninggalanya.

“Kalau mereka ini tidak membuat penerokaan awal, apakah satu generasi akan datang, nak mengambil di mana, jadi adalah tepat kerajaan negeri membuat permulaan ini,” katanya baru-baru ini.

Pengerusi Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri A Latiff Awang (kanan) menyifatkan pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang tidak faham perkara sebenar selain mengeluarkan kenyataan secara rambang dan melulu.

Katanya, sebagai Menteri Besar Terengganu Ahmad Said amat peka dan bertanggungjawab kepada usaha YPASM bagi meningkatkan usaha-usaha penyelidikan yang sangat penting itu.

Hakikatnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sendiri menggesa supaya kerajaan kerajaan negeri, badan swasta dan individu membantu usaha yang dipelopori oleh YPASM.

A Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, mengajak rakyat Terengganu dan pengkritik kepada lawatan oleh Menteri Besar itu agar membuka minda dengan lebih luas dan professional serta ilmiah, bukan dikalutkan dengan pemikiran dan kepentingan politik murahan semata-mata.

Ini kerana Ahmad Said membuktikan sebagai pemimpin, beliau berusaha merealisasikan gesaan kementerian selain menjayakan hasrat YPASM dalam membantu dan merealisakikan usaha murni YPASM berkenaan bagi kajian sains khutub dan iklim yang sangat penting kepada kehidupan manusia di seluruh dunia.

Bagi ADUN Jabi Mohd Iskandar Jaafar, sikap pemimpin pembangkang di Terengganu dan di negeri lain, yang sengaja melemparkan tuduhan bertujuan memperlekehkan pentadbiran Ahmad Said.

Iskandar yang juga Exco Pemuda Umno pusat berkata tohmahan dan cakap-cakap sinis oleh pembangkang mengenai lawatan itu lebih merupakan satu usaha terancang bagi menafikan keperluan kepada pengembangan ilmu saintifik pada masa hadapan.

Baginya, penyelidikan yang amat rapat dengan kehidupan seharian - tidak kiralah sama ada di Terengganu atau Malaysia, selain dunia amnya, adalah sesuatu yang wajar dibanggakan.

Adalah sesuatu yang amat sukar meyakinkan pembangkang, namun rakyat menghargai pandangan ke hadapan Ahmad Said dan pastinya mereka bangga mempunyai Menteri Besar yang menekankan usaha memajukan penyelidikan, apa lagi ia mengkaji fenomena kejadian khutub yang mempengaruhi iklim dunia ciptaan Allah s.w.t.


Ahmad Said bukan berbelanja ke luar negara untuk menyebarkan dakyah politik kepada pelajar dan rakyat kita di luar negara seperti pemimpin pembangkang di Terengganu ini, sebaliknya menggunakan sebaik-baik peruntukan untuk menjamin Terengganu, penyelidikan Islam dan bukan Islam dari negara ini kelak mempunyai stesen sendiri dalam penyelidikan khutub berskala besar di Antartika.

Biarpun dituduh membazir atau dicerca sebagai lawatan sosial semata-mata, sumbangan Ahmad Said kepada penyelidikan sains khutub oleh rakyat Malaysia yang beragama Islam akan menjadi teladan selain kelak ramai yang  akan mengagumi beliau kerana memupuk dan mengerakkan budaya dan kerja-kerja penyelidikan yang diiktiraf keperluannya oleh dunia.