Showing posts with label PRK. Show all posts
Showing posts with label PRK. Show all posts

Tuesday, June 7, 2016

DEMI ‘SEHATI SEJIWA’, ELOK PAS TARIK DIRI DARIPADA PRK SUNGAI BESAR, KUALA KANGSAR...


“Masa belum terlambat untuk PAS tarik diri dan beri laluan kepada UMNO/BN dengan membuktinya sebagai 'rakan parti pemerintah  dan penasihat’ mereka. Atau jika bertanding juga, minta penyokong PAS undi wakil UMNO melalui BN di dua PRK itu.”

Untuk apa PAS bertanding di dua pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar?

Untuk bantu UMNO/Barisan Nasional (BN) menang? Atau tidak mahu memberi ruang kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) memperkenal dan memperkembangkan pengaruhnya melalui PRK, gara-gara marah dan meluat kepada pemimpin parti baru itu.

Pemimpin PAS sehingga ke hari ini masih tidak dapat menerima hakikat bahawa sebilangan pemimpin terkenalnya sudah meninggalkannya. Mereka kini berjuang pada platform baru melalui Pakatan Harapan (PH) untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

PAS yang terpinggir kononnya mahu membentuk blok ketiga kini tersepit antara beriringan dengan UMNO, bersendirian atau merujuk kepada PH.

Namun syarat besar yang menjadi penghalang untuk rujuk ialah, mereka perlu menarik balik ‘sumpah seranah’ mereka terhadap DAP dan menerima AMANAH sebagai rakan sekutunya.

‘Mampos’ PAS tidak akan melakukan perkara seumpama itu.


Ini  kerana jelas PAS kini pun sudah hilang arah dan blog ketiga yang mahu diciptakannya dengan parti IKATAN masih diawang-awangan.

PAS yang mendakwa DAP mempunyai agenda seperti menghalang perjuangan Islam yang dibawakan olehnya turut menyalahkan DAP yang kononnya menyokong tindakan AMANAH untuk memecahkan undi yang sepatutnya diterima calon pembangkang, iaitu PAS.

Sedangkan AMANAH ternyata sudah menzahirkan atau ‘established’ diri mereka sebagai sekutu PH dan bertanding di dua PRK itu atas nama PH untuk menggerakkan slogan dan perjuangannya ‘Membebaskan Rakyat’ untuk menyelamatkan Malaysia.

Kini persoalan  yang paling penting ialah siapa musuh PAS sebenarnya?

Apakah UMNO/BN atau PH yang diwakili PKR, DAP serta AMANAH?

Melihat kepada ucapan dan kata-kata pemimpin PAS, nyata sekali musuh mereka kini ialah DAP, AMANAH dan PKR. Walaupun PKR dikatakan masih rakan kerjasama politiknya, namun dengan PKR berada dalam PH, pasti tidak boleh menganggapnya sebagai bukan musuh pilihan raya.

Jadi PAS ini apa? Dengan UMNO/BN sebagai ‘penasihat’ dan dengan PKR masih mahu mengekalkan ‘tahaluf siyasi’nya.

Tempoh menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi dan PAS jangan hanya menyerang DAP dan AMANAH sebagai strategi politiknya.

PAS mahu jadi apa sebenarnya?

Azhar Abdul Shukur, calon AMANAH untuk PRK Sungai Besar
Sebagai parti pembangkang yang kuat dan parti pemerintah di negeri tertentu atau penasihat semata-mata? Atau hanya rakan kongsi pemerintah di negeri tertentu sahaja seperti yang berlaku di Selangor sekarang?

Berbeza dengan AMANAH di mana persetujuannya untuk bersama PH adalah bermatlamat memperkenalkan sebuah lagi gabungan parti pembangkang kepada rakyat.

Ia  melihat ada agenda yang lebih besar iaitu untuk menonjol dan memperkenalkan Pakatan Harapan sebagai pakatan baharu setelah Pakatan Rakyat dimusnahkan.

Pengarah komunikasinya Khalid Samad berkata, keputusan Amanah meletakkan calon di dua kawasan itu bukan bertujuan untuk bergaduh dengan PAS, sebaliknya dibuat dengan agenda yang lebih besar.

“Ini bukan soal Amanah nak gaduh dengan PAS. PAS letak calon, Amanah pun turun nak lawan PAS, tidak. Soal gaduh Amanah dengan PAS itu soal kecil, itu hanya dalam minda PAS yang kata kita letak calon ini kerana PAS letak calon, tak ada kaitan pun dengan PAS,” katanya kepada pemberita di Pejabat Amanah Sungai Besar semalam.

 “Orang kata sudah tak ada harapan nak lawan dan jatuhkan Barisan Nasional (BN), parti pembangkang dah berpecah dan sebagainya, jadi kita nak zahirkan wujudnya gabungan parti pembangkang yang boleh mencabar BN,” katanya.

Berikutan itu beliau membidas pemikiran PAS yang menganggap keputusan parti itu meletakkan calonnya pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar  sebagai tidak menghormati kerusi tradisi PAS.

Khalid berkata, kehadiran Amanah di Sungai Besar mempunyai kaitan dengan ‘tagline’ pilihan raya yang baharu diperkenalkan pada sidang media yang sama iaitu ‘Bebaskan Rakyat, Selamatkan Malaysia’.


Naib Ketua AMANAH kawasan Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli  (gambar atas) dinobatkan sebagai calon PRK Kuala Kangsar yang menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid; Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad; dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Di PRK Sungai Besar pula Pengerusi AMANAH Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur ditentang oleh calon BN, iaitu ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dan calon PAS diwakili ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Kedua-dua PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini.

Khalid menegaskan, AMANAH mahu menyampaikan mesej kepada masyarakat dan pengundi bahawa parti ini wujud dan dapat melaksanakan fungsinya dengan baik.

“Ini soal kita nak rakyat tahu Pakatan Harapan, satu pakatan yang baharu, yang satu-satunya mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk membebaskan dan selamatkan rakyat,” katanya.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menegaskan, dengan memberikan kemenangan kepada PAS pada PRK kali  ini tidak akan membawa sebarang makna kepada rakyat kerana parti Islam itu tidak mampu menukar kerajaan secara bersendirian.

Sebaliknya, jika kemenangan diberikan kepada calon Pakatan Harapan, ia akan memberi isyarat yang kuat kepada kerajaan bahawa Pakatan Harapan boleh merealisasikan hasrat menukar kerajaan itu.

"Pilihan raya kali ini pada saya keputusannya mudah. Sama ada kekal kerajaan BN sedia ada atau untuk tukar dengan kerajan baru Pakatan Harapan. Saya tahu ada rakan Pas yang bertanding. Tetapi kemenangan PAS idak ada kesan kepada kehidupan rakyat atau kebarangkalian tukar kerajaan atau tidak," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar kelmarin.

Rafizi menjelaskan kempen kali ini bukan satu parti. “Kita buat keputsan kita masuk sebagai Pakatan Harapan. Dari segi keputusan, strategi kempen kitaputuskan bersama. Konsepnya PKR dan DAP masuk bukan sebagai jentera sokongan tetapi sebagai jentera utama sama seperti AMANAH," katanya.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata PRK di dua Parlimen itu sebenarnya satu pertarungan untuk melawan BN.

Menurutnya, walaupun berlaku pertembungan lebih dari dua penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar
hanya Pakatan Harapan sahaja yang mampu menumbangkan BN.

“Parti lain tidak mampu sama ada dari segi jumlah kerusi yang ditandingi, atau jumlah kerusi yang mampu dimenangi. Mereka tiada kemampuan untuk menolak BN dan tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian tanpa undi berpasukan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menjelaskan bahaw DAP menyokong AMANAH pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana ia adalah rakan sekutu dalam Pakatan Harapan.

“Kita sokong parti AMANAH sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan. Apa salahnya kalau kita (DAP) sokong calon parti AMANAH. Satu tuduhan melulu kalau nak sebut kita ada agenda tertentu,” katanya pada sidang akhbar semalam.


Lim mengulas kenyataan Presiden PAS yang mendakwa DAP menyokong calon AMANAH dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana parti itu mempunyai agenda seperti menghalang perjuangan Islam yang dibawakan PAS.

Hadi berkata, tindakan AMANAH bertanding dalam kedua-dua PRK itu hanya untuk memecahkan undi yang sepatutnya diterima calon pembangkang.

Guan Eng berkata, DAP dan AMANAH mempunyai matlamat dan agenda sama, iaitu menentang BN.

Melihat kepada kenyataan pemimpin PAS, khususnya Hadi, ia menguatkan andaian bahawa PAS kini jelas tidak ketengah dan ketepi.

Adalah baik jika parti itu menarik diri daripada dua PRK ini jika sekadar mahu memenangkan UMNO/BN. Peranan seperti ini bukan sifatnya sebagai parti pembangkang.

Masa belum terlambat untuk PAS tarik diri dan beri laluan kepada UMNO dan BN dengan membuktinya sebagai 'rakan parti pemerintah dan penasihat’ mereka. Kalau bertanding juga, minta penyokong undi calon UMNO melalui BN di dua PRK itu.

Jika demikian, peranan PAS lebih jelas iaitu untuk memenangkan UMNO, lagipun UMNO menyokong dan memberikan laluan kepada mereka untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda seksyen 355 Akta Mahkamah Syariah 1965.

Bukankah PAS sudah mencipta sejarah melalui usul berkenaan gara-gara sokongan UMNO?

Bagi PAS itulah satu perjuangannya yang sangat penting dan kejayaan membentangkan usul itu sudah dilihat sebagai kemenangan yang besar baginya.

Tidak ada kemenangan lain

Itu baru jelas PAS dan UMNO ‘sehati sejiwa’!!!!!!!!

Saturday, May 31, 2014

ADUN MANA YANG AKAN MENYEBABKAN PRK DIADAKAN DI TERENGGANU


"Jika pilihan raya kecil diadakan, apakah rakyat akan menerima BN atau menolaknya gara-gara ‘dosa yang dilakukan ADUN berkenaan’...Selain itu pembangkang akan menggunakan isu ini untuk menentang BN habis-habisan dan apakah ia akan menjadi suatu keruntuhan kepada kerajaan BN hasil daripada kesan ‘teori domino’ gara-gara ADUN berkenaan?

Bolehkah kita percaya dengan berita bahawa pilihan raya kecil akan berlaku di Terengganu?

Laporan Free Malaysia Today pada 29 Mei 2014 menyebut seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan melepaskan jawatan di atas sebab-sebab peribadi.

Laporan ini menimbulkan pelbagai spekulasi terutamanya di Terengganu apabila dua persoalan diperkatakan.
Pertama - apakah benar akan berlaku pilihan raya kecil?

Kedua - benarkah ia diakibatkan oleh wujudnya perempuan simpanan seperti yang didakwa oleh portal berita berkenaan?

Kesan laporan itu besar kerana ia akan menjejaskan kedudukan Barisan Nasional (BN) dengan kerajaan negeri.

BN kini mempunyai 17 kerusi manakala PAS dan PKR mempunyai 15 kerusi.

Jika PAS menang dalam PRK itu , ia menyebabkan BN dan PAS akan mempunyai bilangan kerusi yang sama (16 kerusi).

Persoalannya  ialah jika pilihan raya kecil diadakan, apakah rakyat akan menerima BN atau menolaknya gara-gara ‘dosa yang dilakukan ADUN berkenaan’?

Selain itu pembangkang akan menggunakan isu ini untuk menentang BN habis-habisan dan apakah ia akan menjadi suatu keruntuhan kepada kerajaan BN hasil daripada kesan ‘teori domino’ gara-gara ADUN berkenaan?

Memang diakui  laporan FMT itu menyebabkan heboh di negeri Terengganu berita kononnya satu pilihanraya kecil bakal diadakan tidak lama lagi kerana seorang ADUN dikatakan akan meletakkan jawatan.

Perkara ini sudah diperkatakan di Facebook apabila banyak komen-komen menggambarkan kedudukan negatif kepada BN dan UMNO Terengganu.

Sejak dua hari lepas memang pelbagai khabar-khabar angin bertiup di negeri tersebut.

Pejabat FMTsendiri dikatakan dihujani dengan panggilan telefon daripada orang ramai untuk mengesahkan berita tersebut.

Menurut laporan FMT ADUN itu tidak tahan dengan tekanan dan beliau akan melepaskan jawatan di atas sebab-sebab peribadi walaupun beliau telah berhasrat tidak mahu bertanding lagi pada PRU akan datang.

FMT difahamkan ia adalah kerana bekas perempuan simpanannya membuat aduan kepada istana yang mana ADUN tersebut mungkir janji.

Pihak yang rapat dengan istana ketika dihubungi menjelaskan setakat ini ahli perniagaan tersebut belum lagi membuat temujanji dengan istana.


Persoalan kini ialah apakah kes ini ada kaitan dengan laporan awal FMT sebelum ini bahawa ada Menteri Besar (MB) yang mempunyai perempuan simpanan?

Jika demikian, tidak sukar untuk meneka siapa dimaksudkan oleh FMT ini.

Bagaimanapun, identiti ADUN berkenaan masih dirahsiakan sejauh ini.

Kita ingin bertanya, sejauh manakah dakwaan perempuan berkenaan yang mendakwa dia menjadi simpanan?

Apakah perempuan berkenaan sengaja mengambil peluang apabila mengetahui bahawa pemimpin berkenaan dalam kekusutan

Bukti apa yang perempuan itu ada menyebabkan FMT begitu berani mendedahkan isu ini?

Hanya perempuan dan FMT boleh menjawab isu ini.

Mungkin ketika ini yang dituduh mendiamkan diri mungkin untuk seketika bagi melihat cara-cara atau taktik perempuan berkenaan membuat tohmahan terhadapnya.

Apakah akan ada penafian dan ADUN berkenaan berusaha membersihkan dirinya demi maruahnya, BN dan juga UMNO Negeri?

Lebih memburukkan jika ADUN berkenaan memegang jawatan penting di bahagian atau UMNO Negeri.

Kita berharap laporan FMT ini tidak benar dan perempuan yang mendakwa dia simpanan ADUN demi sesuatu kepentingan peribadinya.

Wednesday, February 5, 2014

PILIH ATAU TOLAK ANWAR DIKAJANG DIKETAHUI 23 MAC

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua kiri) mengumumkan tarikh penamaan calon dan membuang undi bagi pilihan raya kecil DUN Kajang di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang ditetapkan pada 23 Mac manakala tarikh penamaan calon ialah pada 11 Mac. Tempoh berkempen adalah selama 12 hari.

PRK Kajang adalah yang ketiga selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Dua PRK sebelum ini ialah bagi DUN Kuala Besut di Terengganu yang diadakan pada 24 Julai tahun lalu diikuti DUN Sungai Limau, Kedah pada 4 November.

Kedua-dua kekosongan di kerusi tersebut berlaku setelah kematian penyandangnya.

Tarikh berkenaan diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai PRK Kajang HARI INI.

Sebanyak 18 pusat mengundi disediakan bagi PRK Kajang iaitu tiga bagi undi awal dan 15 untuk pengundian biasa.

Kerusi DUN Kajang diisytiharkan kosong selepas Adunnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh meletak jawatan secara tiba-tiba pada 27 Januari lalu.


Tuesday, January 28, 2014

TAK DAPAT JADI PERDANA MENTERI, JADI MENTERI BESAR PUN CUKUPLAH....


 "Dakwaan itu (menjadi Menteri Besar) hanyalah spekulasi dan sudah diperkatakan sejak 2008 lagi..Saya selalunya bertemu dengan Tan Sri Khalid seminggu sekali, sama ada di pejabatnya, atau di rumah Menteri Besar, untuk perbincangan mengenai kedudukan Pakatan Rakyat dan perkara umum mengenai Selangor." 
- Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mustahil Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim mahu meletakkan dirinya setaraf dengan Lim Guan Eng di Pulau Pinang atau Datuk Ahmad Yaakob di Kelantan.

Anwar tidak mungkin mahu menjadi menteri besar Selangor kerana kedudukannya sekarang sebagai pemimpin nasional.

Adalah sesuatu yang mustahil Anwar akan ‘menurunkan pangkat’ beliau sendiri daripada kedudukannya sekarang sebagai Ketua Pembangkang dengan menjadi Menteri Besar Selangor.

Namun beberapa rakab blogger mengusik…apasalahnya jika menjadi Perdana Menteri dah malap, Menteri Besar pun Menteri Besarlah!

Menurut seorang penganalisis, James Chin, cerita 'kurang senang' mengenai PKR itu berkaitan dengan pemilihan parti itu April depan.

Namun Anwar kini dikaitkan dengan pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang itu walaupun beliau menafikan mahu menjadi Menteri Besar Selangor.


Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin semalam berkata tidak wajar seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri atau ADUN meletakkan jawatan tanpa alasan yang kukuh.

Tidak tahulah kalau-kalau ia dilakukan kerana ada sebab tersendiri.

Pilihan raya adalah untuk memilih wakil kepada rakyat, bukan kerana mahu menolong rakan atau sebagainya.

Meletak jawatan bermakna PRK  perlu diadakan dan pastinya membabitkan wang rakyat yang agak banyak.

Berikutan itu, jika dilakukan juga oleh seseorang ADUN, sewajarnya bukan sahaja ADUN berkenaan wajar ‘dicerca’ tetapi orang yang bertanding menggantikannya juga ‘patut dicerca’, apa lagi sekiranya PRK diadakan kerana ingin memberi ruang kepada rakan atau kawan dalam parti.

Menurut Dr Asri, “...pilihan raya kecil membabitkan wang rakyat yang agak banyak..kalau jadi tabiat wakil rakyat letak mudah-mudah maka banyaklah wang rakyat dibazirkan. “...kalau ada alasan kukuh seperti kesihatan bolehlah diterima tapi kalau sekadar nak beri ruang kawan-kawan maka itu satu pembaziran.. kenapa yang sepatutnya tidak bertanding dari awal?,” katanya yang dipetik menerusi laman Facebooknya. 

Media semalam melaporkan Adun Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh telah meletakkan jawatan sebagai ADUN di kerusi itu.

Peletakan jawatan Chin Cheh sebagai anggota ADUN Kajang membuka persoalan sama ada tempat itu akan ditandingi oleh Ketua Umum PKR itu.

Anwar semalam menafikan beliau akan mengambil alih tempat Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, seperti yang didakwa sebuah portal berita.

Anwar berkata, dakwaan itu hanyalah spekulasi dan sudah diperkatakan sejak 2008 lagi.

Menjawab soalan media mengenai pertemuannya dengan Khalid malam minggu lalu, Anwar menjelaskan, beliau sering mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu, bukan pada malam Ahad lalu sahaja.

“Saya selalunya bertemu dengan Tan Sri Khalid seminggu sekali, sama ada di pejabatnya, atau di rumah menteri besar, untuk perbincangan mengenai kedudukan Pakatan Rakyat dan perkara umum mengenai Selangor," katanya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut menafikan bahawa Anwar akan menggantikan tempat Abdul Khalid.

“Abdul Khalid akan tetap meneruskan tugasnya sebagai menteri besar,” kata Saifuddin.

Perletakan jawatan itu diumumkan speaker DUN Selangor Hannah Yeoh petang ini dan akan dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok (hari ini).

Yeoh berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan semalam.

Berhubung sebab peletakan jawatan itu, Yeoh berkata perkara itu harus diajukan kepada Lee sendiri. Undang-undang menetapkan pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Yeoh yang juga ADUN DAP bagi kawasan Subang Jaya jari ini turut ditanya berhubung kemungkinan calon untuk kawasan itu.

“Saya tidak mahu cakap perihal calon dan saya tidak mahu mengulas khabar angin. Agak awal untuk membuat spekulasi. Sehingga hari ini kerusi ini kosong. Itu sahaja,” katanya.

Yeoh juga berkata, oleh kerana ia kerusi PKR, parti itu yang akan mengumumkannya. Bagaimanapun, cara yang dipilih oleh PKR itu masih memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

Pada pilihan raya umum lalu, Lee sebagai calon PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, BERJASA dan tiga calon bebas.

Kawasan itu mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad pula berkata, walaupun hanya mengetahui pengunduran itu melalui media, beliau difahamkan bahawa PKR akan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Saya hanya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution kelmarin bahawa PKR akan meminta Tan Sri Khalid berundur dan Anwar akan bertanding pada satu pilihan raya kecil,” katanya 

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan atau persetujuan dibuat untuk menggantikan menteri besar Selangor dibuat.

“Tidak pernah dibincangkan,” katanya menjawab soalanMalaysiakini. Khalid memberikan pendapatnya bahawa pelantikan menteri besar di negeri itu perlu mendapat konsensus daripada tiga komponen parti dalam Pakatan Rakyat seterusnya mendapat perkenan sultan.

"Tak ada. Proses pelantikan MB perlu mendapat konsensus ketiga-tiga parti (dalam Pakatan Rakyat). Calon menteri besar dipilih dan dipersetujui ketiga-tiga parti.

"Mereka juga akan memberitahu kepada Tuanku Sultan dan perkenan Sultan. Jadi banyak tatacaranya," katanya bagi menjawab soalan pemberita di Kuala Lumpur semalam. Beliau ditanya sama ada peletakan jawatan ADUN Kajang itu sebagai usaha menyingkirkan beliau sebagai menteri besar.

Ditanya sama ada ura-ura Anwar bertanding di DUN Kajang dalam pilihan raya kecil dan menggantikan beliau, Khalid berkata: "Kita belum ada perbincangan lagi (mengenainya).

Perkara itu akan ditentukan oleh biro politik (PKR)," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau "tidak terkejut" dengan usaha menggantikannya kerana sebelum ini ada "ura-ura" mengenainya.


Ditanya sama ada beliau bersetuju untuk melepaskan jawatan sekiranya PAS dan DAP bersetuju beliau berbuat demikian, Khalid berkata: "Ia boleh dilakukan dengan ketiga-tiga parti duduk bersama.

Kena ada perbincangan. Tapi sekarang tidak ada lagi".

Spekulasi itu timbul ekoran laporan The Star Online bahawa Anwar akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar.

Portal itu melaporkan bahawa Khalid bersetuju melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.

Susulan perletakan jawatan Chin Cheh dari PKR sebagai Adun Kajang, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyatakan pihaknya tidak akan terburu-buru untuk mengambil sebarang tindakan susulan berhubung perkara itu.

Menurutnya, Adun tersebut mungkin akan berubah fikiran dalam hal tersebut (peletakan jawatan), namun pun begitu pihaknya tetap menunggu surat tersebut daripada Speaker Selangor, Hannah Yeoh.

“Tidak boleh terburu-buru, dia (Adun) tersebut mungkin merubah fikirannya malam ini. “…namupun begitu kita akan tetap menunggu surat peletakan tersebut…. baru kita akan buat tindakan lanjut. “…kita tengok surat itu, dan baru kita akan rujuk kepada Pegawai Undang-Undang SPR, untuk buat keputusan” katanya kepada Sinar Harian Online semalam.

Antara nama lain yang dipercayai bakal bertanding selain Anwar adalah Ahli Parlimen Pandan penggal pertama Rafizi Ramli.

Thursday, June 27, 2013

KUALA BESUT KUBU UMNO, N1 TETAP PENYELAMAT BN TERENGGANU

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu telah menyebabkan Barisan Nasional (BN) Terengganu kini mempunyai hanya kelebihan satu kerusi sahaja.

Nasib BN Terengganu akan ditentukan apabila pilihan raya kecil bagi DUN Kuala Besut akan diadakan berikutan kematian penyandang Dr A.Rahman Mokhtar, akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari mulai hari ini.



Yang Dipertua DUN Terengganu hari ini menyerahkan surat pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu.

Yang Dipertua DUN Mohd Zubir Embong menyerahkan surat itu kepada Pengarah SPR negeri Fakhrul Razi Ab Wahab di pejabat beliau di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada 10 pagi ini.

Fakhrul Razi berkata beliau akan menyerahkan surat itu kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini. Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut boleh diadakan selewat-lewatnya pada 27 Ogos depan.

Pada ketika pembangkang begitu bersemangat untuk bertanding berdasarkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, SPR negeri menyatakan pihaknya sudah bersedia untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut (N1).

Fakhrul Razi berkata, kesemua petugas SPR negeri yang baru sahaja selesai mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu bersedia memikul tanggungjawab mengendalikan PRK itu pada bila-bila masa berdasarkan arahan yang dikeluarkan SPR.

“SPR negeri bersedia menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan serta tidak tmbul kesulitan kerana kita baru sahaja menjalankan PRU13 yang lalu. Semua petugas-petugas dan pegawai pengurus pilihan raya (RO) sudah mendapat latihan dan taklimat yang cukup. Mungkin hanya perlu `refreshment’ lagi sebelum diadakan PRK. Selain itu, kerjasama amat baik dari kerajaan negeri dan jabatan-jabatan yang terlibat amat memuaskan serta bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh SPR nanti,” katanya selepas menerima surat makluman kekosongan kerusi DUN Kuala Besut itu.

Semalam Anwar seperti tidak sabar-sabar mengatakan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut bakal menyaksikan saingan sengit.

"Ini satu pilihan raya kecil yang sangat kritikal, kerana majoriti yang diperolehi oleh Umno di situ (kerusi Kuala Besut) agak membanggakan. Namun mereka (Umno) hanya mendapat kelebihan dua kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, tidak sampai satu jam berita kematian Dr Rahman tersebar.

Anwar turut melahirkan keyakinan pilihan raya kecil yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tersebut merupakan peluang terbaik kepada dan Pakatan Rakyat merampas kembali kerusi berkenaan.

"Saya percaya PAS juga akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya.


Berikutan kematian Dr A.Rahman akibat kanser paru-paru kelmarin, pilihan raya kecil pertama bakal diadakan selepas pilihan raya umum diadakan pada 5 Mei lepas.

Kawasan itu akan menjadi tumpuan sekiranya pilihan raya kecil diadakan memandangkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Terengganu dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi PAS manakala satu lagi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Dr Rahman maraih 8,809 undi manakala Napisah Ismail (PAS) mendapt 6,375 untuk memenangi majoriti 2,434. Terdapat 144 undi rosak dengan kawasan pilihan raya itu mempunyai 17,713 pengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil itu diadakan pada Ramadan.

"Apa pun, SPR akan bermesyuarat untuk menentukannya (tarikh penamaan calon dan pengundian)," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan dan penyampaian sijil pilihan raya umum negara ke-13 negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan malam semalam.

Ada pihak mengatakaan BN kini berada dalam kedudukan tidak menentu kerana kegagalan untuk mengekalkan kerusi itu akan menyebabkan satu keputusan dan keadaan yang tergantung.

Sekiranya berlaku, DUN mungkin perlu dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang baru.

Yang nyata sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, DUN Kuala Besut adalah kubu kuat Umno. Namun, UMNO Terengganu tidak akan mengambil perkara itu sebagai perkara yang mudah.

Kerana itu, menurut Ketua Penerangan Umno Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, BN akan melakukan semua yang terdaya untuk mengelakkan DUN digantung. "Keadaan Dewan Undangan Negeri yang tergantung akan menjadi satu tragedi.

Kita mesti melakukan semua yang kita boleh untuk memastikan kemenangan yang meyakinkan," katanya semalam.

BN Terengganu akan memastikan calon yang dipilih untuk pilihan raya kecil itu adalah yang sama berkaliber seperti Dr Rahman.

Ada pihak mengatakan pertempuran pilihan raya kecil untuk Kuala Besut akan menjadi pertandingan hidup atau mati bagi BN.

Ini kerana pakatan pembangkang, sememangnya mahu merebut peluang untuk memerintah kerajaan. kedudukan DUN yang tergantung akan mengakibatkan krisis kerana parti yang satu lagi boleh mendakwa mereka mempunyai mandat untuk mentadbir negeri. apa yang pasti PR meletakkan satu perjuangan yang baik dan BN perlu bersedia dengan lebih baik untuk mempertahankan kerusi itu.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sekiranya keputusan pilihan raya tidak memihak kepada BN, Terengganu akan ditinggalkan dengan DUN yang tergantung, dengan gabungan pakatan pembangkang yang masing-masing mempunyai 16 kerusi negeri.

Jika ini berlaku, Sultan boleh memberi peluang kepada BN yang merupakan pemerintah pada masa ini untuk membentuk kerajaan dengan mendapat sokongan majoriti daripada Dewan Undangan Negeri.

"Jika mereka gagal, Sultan akan memberi peluang yang sama kepada pakatan pembangkang. Jika kedua-duanya gagal, Dewan Undangan Negeri perlu dibubarkan dan pusingan pilihan raya yang baru perlu diadakan bagi negeri ini.

Kerana itulah menurut Prof Datuk Dr Mohamed, Prof Dr Mohamed yang merupakan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) berkata pilihan raya Kuala Besut adalah sangat penting kerana ia akan menentukan nasib Terengganu.

Saturday, February 26, 2011

KEYAKINAN BN & HARAPAN PAS DI KERDAU, MERLIMAU

Permulaan yang baik dan harmoni antara penyokong UMNO/Barisan Nasional dan PAS/pembangkang pada dua tempat penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) di Merlimau dan Kerdau pagi ini, diharapkan suasana berterusan hingga hari membuang undi.

Harakahdaily Online turut memaklumkan bahawa sepanjang perarakan dan menunggu masa pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada kedua-dua PRK itu, ia berlangsung dalam suasana harmoni.

PRK di kedua-dua Dewan Undangan Negeri Kerdau dan Merlimau yang akan berlangsung 6 Mac menyaksikan pertembungan antara calon PAS dan UMNO sahaja.

Di Kerdau, pertembungan dua penjuru adalah antara calon PAS, Hassanuddin Salim dengan calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Pengawaii Pengurus bagi PRK Kedau, Datuk Tarif Abd Rahman mengumumkan perkara itu jam 11.30 pagi ini dan hanya menerima satu bantahan daripada calon-calon yang bertanding sepanjang tempoh bantah dari jam 10 hingga 11 pagi ini.

Di JASIN pula, pegawai pengurus pilihan raya Roslan Eusoff mengumumkan pihaknya menerima tiga bantahan tetapi kedua-dua pencalonan diterima. Pertandingan dua penjuru adalah antara calon BN, Roslan Ahmad dengan calon PAS, Yuhaizad Abdullah pada PRK Merlimau.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menganggap DUN Merlimau adalah kubu BN selain calon BN adalah yang satu-satunya bukan seperti pembangkang.

Menurut beliau yag juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata DAP dan PKR jelas mahukan kerusi ini dan apabila PAS mengumumkan ia meletakkan calon, DAP bagaikan memboilot penamaan calon hari ini.

Di Kerdau, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK berkenaan, tiada isu besar yang boleh dicanangkan oleh pembangkang.

"Yang ada hanyalah isu setempat berkaitan tanah dan isu untuk mempertingkat kemudahan jalan raya dan bekalan air, yang semuanya akan diselesaikan secepat mungkin" katanya.

Adnan berkata BN akan mengambil pendekatan bersemuka dan menemui pengundi bagi mengetahui dan menyelesaikan masalah mereka.

Kerusi Kerdau dahulunya dikenali sebagai Sanggang dan terletak dalam kawasan Parlimen Mentakab. Selepas persempadanan semula pada 2004, Kerdau diletakkan dalam kawasan Parlimen Kuala Krau.

Berdasarkan calon BN yang disifatkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang "bukan sahaja boleh menang tapi cemerlang itu", Syed Ibrahim, dilihat tidak akan menerima "serangan peribadi" daripada parti lawan.

Syed Ibrahim sering mengadakan ceramah agama di masjid-masjid di Kerdau sekaligus memperlihatkan beliau seorang yang berkualiti sebagai pemimpin akar umbi.

Naib Ketua Umno Cawangan Kerdau, Abdul Rahman Abdul Rashid, juga menegaskan tiada isu besar di Kerdau kerana kerajaan Barisan Nasional telah melaksanakan pelbagai program pembangunan di situ sejak dahulu lagi.

Beliau berkata semua kampung tradisonal termasuk kawasan Felda mempunyai rangkaian jalan bertar, balai raya, dewan, masjid dan surau.

Malah, sebuah perkampungan Orang Asli disitu juga telah dibekalkan dengan kemudahan elektrik dan air paip 24 jam.

Mengenai pemilihan Syed Ibrahim, Abdul Rahman berkata ia adalah pilihan tepat kerana Syed Ibrahim mampu menjadi wakil rakyat yang baik untuk membantu penduduk di situ.

Seperti biasa, PAS tetap menaruh harapan untuk melakukan 'kejutan' dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac depan. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tidak mustahil calon PAS menang kerana generasi muda, termasuk di Felda semakin bermaklumat dan sedar.

PAS mempertaruhkan harapannya kepada Hassanuddin yang juga calon parati itu dalam pilihan raya umum 2008, tetapi tewas kepada calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim. Hassanuddin tewas dengan majoriti 1,615 undi. Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi.

Abdul Hadi sudah memberi jaminan bahawa PAS tidak menyerang peribadi calon bn BN dan isu ijazah calon BN didakwa mungkin ditimbulkan Umno sendiri.

Naib presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata walaupun peluang mereka masih 50-50, PAS akan mampu membuat kejutan. Beliau mendakwa, BN sudah masuk perangkap PAS apabila menyangka beliau akan bertanding dalam pilihan raya Kerdau kali ini.

Tuan Ibrahim yang juga pengarah pilihan raya PAS berkata parti itu memilih Hassanuddin kerana beliau merupakan anak tempatan dan berjaya menurunkan majoriti BN sebelum ini.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang menjangkakan tidak mustahil tsunami politik akan berlaku lagi di Kerdau dan dalam pilihan raya kali ini semua undi adalah penting, tidak kira daripada bangsa apa pun.

Di Merlimau, timbalan presiden PAS, Nasharuddin Md Isa berkata kempen parti itu akan merupakan gabungan isu tempatan, nasional dan antarabangsa. Beliau menganggapnya peluang untuk jentara Pakatan Rakyat dan PAS mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, yang berada di Merlimau sejak semalam, berpendapat bahawa situasi di Merlimau adalah lebih positif daripada DUN Tenang di mana PAS tewas dalam pilihan raya kecil di situ.

"Saya berada di kawasan pedalaman Melayu malam tadi dan soalan yang mereka tanya kepada saya adalah mengenai isu pusat, jadi itu baik untuk Pakatan," tambahnya.

Walaupun apa pun harapan PAS atau jangkaan tsunami politik oleh DAP, satu hakikat yang ntidak boleh diketepikan begitu sahaja ialah BN dan UMNO sudah menabur banyak bakti di dua DUN berkenaan.

Malah, akan banyak lagi kemudahan akan dibawa sekiranya rakyat memilih kembali BN untuk meneruskan agenda pembangunan politik dan ekonomi di dua kawasan berkenaan.