Sunday, March 20, 2011

MINTA SERAH DNA – KARPAL UGUT ZAID IBRAHIM?

Polis trafik sedang melancarkan lalu lintas di hadapan setesen bas Kota Bharu, sewaktu wakil dari NGO yang membuat demonstrasi aman mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi DNA, semalam (19 Mac 2011) - Gambar UTUSAN.

Dakwaan Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim bahawa dia diugut Karpal Singh amat serius!

Lebih serius lagi apabila Zaid mengatakan ugutan itu mendatangkan ancaman yang sangat serisu terhadap keselamatannya.

Malah menurut Zaid, beliau kini berada dalam keadaan ketakutan.

Zaid lantas meminta polis membuat siasatan ke atas Karpal selain meminta polis melindungi keselamatannya.

Kenapa Presiden KITA itu diugut?

Ia berikutan nasihat Zaid kepada anak guam Karpal, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyerahkan sampel DNA tanpa perlu menunggu perintah mahkamah dalam perbicaraan kes liwat.

Menurut Zaid, perbuatan mengugut adalah satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

"Saya mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa ugutan Karpal Singh ini mendatangkan satu ancaman yang sangat serius ke atas keselamatan saya, sekaligus menyebabkan saya berada dalam keadaan ketakutan, sedangkan nasihat saya kepada Anwar dibuat secara baik, malah turut dibuat pelbagai pihak lain.

Zaid juga berkata Anwar tidak perlu takut jika dia tidak bersalah.

"Pemimpin seperti Anwar ini cakap bergetar (lantang), oleh itu, saya hanya cadangkan beliau tidak berselindung dari segi teknikal," katanya.

Bagi Zaid, beliau menganggap nasihatnya kepada Anwar dibuat secara baik, malah turut dibuat pelbagai pihak lain.

Berikutan itu Zaid membuat laporan polis dan diiringi beberapa penyokongnya, ke Balai Polis Kota Baharu pada 9.36 pagi semalam.

Zaid dakwa, laporan polis dibuat berikutan ugutan Karpal menerusi kenyataan di beberapa portal dan akhbar iaitu Malaysiakini, Malaysian Insider dan The Star.
Hairan juga tiba-tiba Karpal mengugut orang?

Kenapa dia berani berbuat demikian atau sengaja untuk mengalih perhatian orang ramai terhadap tunjuk perasaan supaya Anwar menyerahkan DNA?

Atau apakah tindakan Karpal ini sengaja dirancang sama ada oleh beliau atau juga Anwar agar beliau ‘dikecualikan’ daripada menyerahkan DNA berkenaan?

Dan pendedahan Zaid bahawa "Pemimpin seperti Anwar ini cakap bergetar (lantang), oleh itu, saya hanya cadangkan beliau tidak berselindung dari segi teknikal," menguatkan lagi keyakinan bahawa Anwar sebenarnya berusaha melalui Karpal agar beliau dibebaskan daripada tuduhan liwat ‘secara teknikal’?

Sebagai peguam Zaid tahu kemungkinan-kemungkinan yang menyebabkan beliau tinggalkan Anwar dan PKR.

Dan sebagai peguam juga Zaid mungkin tahu apa cara untuk ‘menjamin Anwar dihukum’ dan juga apa cara untuk ‘membebaskan Anwar’.

Ternyata apabila Zaid memilih untuk meminta Anwar menyerahkan specimen DNAnya, Karpal merasa tergugat dan lantas mengugut beliau.

Apakah polis akan bertindak terhadap laporan Zaid dan mungkinkah Karpal akan dikenakan tindakan?

Wednesday, March 16, 2011

INJIL BAHASA MALAYSIA - IDRIS JALA BERTINDAK ATAS KEPUTUSAN SIAPA?

Gambar daripada Malaysiakini yang menunjukkan kitab Injil Berbahasa Malaysia.

Tidak apalah demi politik dan pilihan raya!

Mungkin ramai yang berasa lega dan gembira apabila kerajaan semalam bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching Sarawak, dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Ia tidak terhad kepada penganut Kristian sahaja khususnya di Sarawak dan Sabah tetapi juga di kalangan pemimpin PAS.

Kita melihat isu ini selain isu agama juga ada kaitannya dengan pilihan raya Sarawak.

Kerana itu menurut rakan blogger, Gelombang Rakyat, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din dikatakan telah dikunjungi beberapa kumpulan Pemimpin PAS Pro Erdogan bagi memujuk beliau membuat kenyataan membenarkan Kitab Injil berbahasa Melayu dibenarkan untuk terus beroperasi di seluruh Negara.

Ini akan memberi kelebihan politik terhadap parti tersebut terutamanya dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Sarawak.

Sebaliknya menurut blog berkenaan, Harun Din dengan nada marah memberi amaran keras terhadap pemimpin-pemimpin tersebut agar tidak menggadaikan maruah Agama Islam demi kepentingan politik sempit.

Harun Din kemudiannya bertanya kembali apa kesannya apabila pengedaran Kitab Bible berbahasa Melayu ini? Adakah kita hendak lihat anak muda Islam membeli Kitab tersebut lalu terpesong agama mereka?

Harun Din juga menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya bahawa ianya tidak releven dan sewajarnya PAS tidak bertindak melulu dalam mengejar karier politik tanpa memikirkan soal kedaulatan Islam pada masa hadapan.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dalam satu kenyataan berkata, langkah kerajaan ini adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kitab itu mesti dicop dengan tag "Untuk Penganut Agama Kristian sahaja".

Persoalannya, siapa beri arahan supaya dibenarkan sedemikian?

Ia pastinya bukan keputusan Kabinet kerana mesyuarat berkenaan pada Rabu minggu lalu tidak menyebut pun perkara ini. Sementara mesyuarat Kabinet minggu ini hanya akan bermesyuarat hari ini.

Jadi, semalam Idris bertindak atas arahan siapa?

Menurut Idris: "Sejak peruntukan undang-undang itu digunakan pada tahun 1982, tiada sebarang masalah atau isu yang timbul dengan pelaksanaannya.".

Selain itu, Idris berkata kajian teliti oleh Jabatan Peguam Negara juga mendapati pengeluaran kitab-kitab itu tidak akan mengangggu dalam prosiding mahkamah berkaitan penggunaan kalimah "Allah". "Oleh itu, dalam konteks berikut Kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan buku Kitab Injil tersebut," katanya.

Itu alasan diberikan oleh Idris sedangkan Jumaat lalu (11 Mac 2011), Malaysiakini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri berpandangan, salinan kitab Injil yang dicetak di Indonesia tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia kerana keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri lebih suku abad yang lalu, kata Kementerian Dalam Negeri.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Teks aL-Quran kementerian itu Datuk Zaitun Ab Samad berkata kabinet pada Mei 1986 mengeluarkan arahan mengharamkan masyarakat bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah, Solat, Kiblat dan Kaabah.

Menurut Zaitun: "Ia bukan peraturan kementerian tetapi pihak pentadbiran perlu mematuhi keputusan kabinet.”

Kabinet, katanya tidak pernah membuat keputusan atau memberi kebenaran kepada kementerian untuk tidak lagi menahan 5,000 salinan kitab Injil yang disimpan di Pelabuhan Klang sejak Mac 2009.

"Kami juga tidak boleh mengambil sebarang tindakan (untuk tidak lagi menahan kitab berkenaan) kerana perbicaraan mahkamah dengan penerbitan Katholik, Herald masih tertangguh.

"Jadi sebarang tindakan akan membawa maksud sub judice (menghina mahkamah). Kita terpaksa hanya menunggu keputusan Mahkamah Rayuan,” kata Zaiton.

Injil dalam bahasa Melayu itu dikenali sebagai Perjanjian Baru, Mazmur dan Amsal.

Sebaliknya Idris semalam dipetik Bernama menyebut, kerajaan sangat komited dan akan memberikan komitmen yang berterusan untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu berkaitan agama dengan penuh adil dan saksama demi kebaikan Malaysia yang berbilang-bilang kaum dan agama.

Oleh itu, katanya kerajaan akan terus mengadakan dialog khas untuk membincangkan jalan penyelesaian isu-isu tertentu dengan melibatkan semua penganut pelbagai agama.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga bersetuju dan berpendapat bahawa penahanan buku Kitab Injil yang telah sekian lama ditahan seharusnya dikeluarkan.

Idris, yang merupakan penganut Kristian berasal dari Sarawak, juga telah berhubung dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) bagi pihak Kerajaan.
Sebelum ini, CFM mendakwa janji-janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa tiada pengharaman kitab Injil dalam bahasa Melayu, telah tidak dipatuhi oleh pihak berkuasa.

CFM, yang merupakan badan gabungan bagi semua kumpulan Kristian di negara ini berkata, Najib pada perjumpaan tahun lalu berkata kitab-kitab berkenaan akan dibenar diagihkan secara bebas sekurang-kurangnya di Sabah dan Sarawak
"Ini adalah satu kompromisi yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam di negara ini.

"Kerajaan jelas sangat komited dalam menyelesaikan masalah berkaitan agama sejajar dengan konsep 1Malaysia," katanya.

Pada 9 Mac lepas, sebuah persatuan penganut kristian mendakwa Kementerian Dalam Negeri merampas kira-kira 5,000 naskhah Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang diimport dari Indonesia di Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, kementerian menafikannya sebaliknya berkata kitab berkenaan tidak menepati syarat yang ditetapkan kerajaan.

Kira-kira 30,000 naskhah kitab itu pula ditahan di Pelabuhan Kuching sejak awal tahun ini.

Dan dengan 'pembebasan' ini, pihak Kerajaan mungkin tidak terasa dibebani desakan sementara pihak yang akan bertanding pada pilihan raya Sarawak juga masing-masing turut lega kerana isu ini sedikit sebanyak sudah dineutralisekan.

Tuesday, March 15, 2011

HARAM JUDI - TUNDUKKAH NIK AZIZ KEPADA DESAKAN PKR, DAP?

Kerajaan Kelantan kini benar-benar terdesak dan kerjasama antara PAS dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini teruji dengan kes pengharaman judi di negeri itu.

Malah, kita mahu melihat bagaimana Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berdepan dengan desakan PKR dan DAP dalam isu ini.

Nik Aziz dikatakan membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada sekutunya dalam konteks mengharamkan semua judi di Kelantan.

Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kerajaan Kelantan tetap tidak berganjak dengan keputusan mengharamkan perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu walaupun didesak supaya pengharamannya ditarik semula.

Berikutan pengharaman itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh mendesak kerajaan Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu kerana ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-Undang Kerajaan Persekutuan dan Kelantan.

Persoalannya, apakah beliau akan ‘menarik balik’ atau bertegas sebagai sifatnya sebagai Musyridul Am PAS dan selama ini menganggap hanya Kelantan negeri Islam.

Sudah pasti rakyat Malaysia – Islam dan bukan Islam – akan memerhatikan dengan mendalam dan mengambil perhatian berat sebarang keputusan Nik Aziz.

Yang nyata, hari ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Menteri Besar Kelantan itu berhubung pendirian Musyridul Am PAS berkenaan yang mengharamkan segala perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu.

Nampaknya Nik Aziz sehingga ini tidak berganjak walaupun didesak sekutunya DAP dam PKR supaya menarik balik pengharaman berkenaan.

Anwar berkata, sepatutnya kerajaan Kelantan berbincang bersama dengan pemimpin parti lain sebelum melakukan sebarang perubahan dari segi undang-undang, peraturan atau pelaksanaan undang-undang di negeri itu.

"Saya percaya ini akan memberi gambaran tepat sekali gus mengelakkan salah faham yang boleh mengeruhkan suasana atau disalah tafsir," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pembangkang di Parlimen di sini, semalam.

Peliknya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut hadir dan bersetuju dengan kenyataan Anwar. Turut berada di situ ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Amat jelas, kini PAS Pusat dan PAS Kelantan mempunyai pandangan berbeza mengenai pengharamkan judi ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata beliau menyambut baik kesediaan PAS untuk berbincang bersama PKR dan DAP berhubung pengharaman segala perjudian termasuk loteri kebajikan di Kelantan, selewat-lewatnya lusa (Khamis).

“Lokasi perbincangan itu masih belum ditetapkan sama ada di Kedah atau Kelantan,” katanya.

Anwar yang juga Penasihat PKR itu berkata, antara yang terbabit dalam perbincangan itu nanti termasuk Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Amat jelas PKR dan DAP sedang mendesak PAS Kelantan, khususnya NIk Aziz sendiri dengan menetapkan selewat-lewatnya Khamis ini.’

Kenapa Anwar dan Kita Siang begitu terdesak mengenai isu ini hingga bagaimana memberikan kata dua kepada ‘Tok Guru’.

Kita mahu melihat reaksi PAS Kelantan dalam isu ini.

Jika Nik Aziz ‘berlembut dan membenarkan judi’ seperti loteri kebajikan, ia akan menggambarkan sikap sebenar PAS yang boleh ‘pejam mata sebelah’ dalam isu seperti ini hanya kerana mahu mendapatkan sokongan bukan Melayu.

Tetapi apakah rakyat Islam Kelantan boleh membiarkan keadaan itu berlaku dan sanggupkah mereka berlembut?

Atau mungkin juga mereka akan mula menilai sikap sebenar Nik Aziz dan PAS Kelantan yang selama ini mendakwa mereka Islam tetapi sebenarnya hanya untuk kepentingan dan kemenangan politik semata-mata.

Sunday, March 13, 2011

LIWAT SAIFUL - ANWARKAH LELAKI 'Y' ITU?

Anwar enggan serah spesimen asid deoksiribonukleik (DNA)nya. Kenapa Ya?

Dilaporkan, disebabkan keengganan itu, malam hampir 1,000 ahli Wanita Perak mengadakan perhimpunan aman di Batu Gajah, meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyerahkan spesimen DNA beliau berhubung kes liwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Takut kerana apa ya? Apakah beliau yang dikatakan sebagai lelaki 'Y'?

Hari ini, kira-kira 50 orang yang mewakili 30 badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun bagi mendesak Anwar melakukan perkara serupa.

Kenapa mereka ini berminat sangat dengan spesimen DNA Anwar ini?

Kumpulan 30 NGO itu dilaporkan dilihat berkumpul di kawasan kira-kira 100 meter dari Ibu Pejabat PKR di Merchant Square kira-kira 12 tengah hari tadi sebelum berarak ke bangunan ibu pejabat itu sambil memegang sepanduk yang tertera perkataan "Kalau tak salah kenapa tak bagi sampel DNA?", "Anwar Pengecut" dan "Hanya DNA boleh tentukan siapa benar siapa salah".

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata, Anwar tidak harus menggunakan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkanguntuk meremehkan peraturan undang-undang demi mengaburi mata rakyat.

"Kita juga mendesak badan kehakiman supaya tidak "double standard" dalam isu ini. Kami rasakan bahawa keadilan tidak hanya diberikan pada Orang Kena Tuduh tetapi juga keadilan diberikan pada mangsa iaitu Saiful Bukhari yang menjadi mangsa liwat, seks di luar tabii ini," kata seperti dipetik oleh Bernama.

Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, AbdullahMansor pula berkata, Anwar perlu tampil menyerahkan sampel DNA beliau jikamerasakan dirinya difitnah.

"Berani kerana benar, takut kerana salah. Kalau benar dia tidak bersalah, kenapa susah sangat nak bagi DNA dan lakukan sumpah laknat yang sudahpun dilakukan oleh Saiful," katanya.

Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah berkata, Anwar yang kononnya memperjuangkan keterbukaan, harus juga terbuka dalam menghadapi kes beliau itu.

"Kami juga mahu perbicaraan kes ini dibuat secara terbuka. Rakyat perlu tahu kebenaran sama ada beliau layak atau tidak jadi pemimpin negara," katanya.

Perbicaraan kes liwat itu kini berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anwar, 63, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Di Batu Gajah semalam, seramai 1,000 ahli Wanita UMNO Perak mahu Anwar menyerahkan profil DNA untuk melancarkan proses perundangan, sekali gus memberi penjelasan sebenar kepada rakyat mengenai kes liwat dihadapinya.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Hamidah Osman, berkata penyerahan spesimen daripada badan ketua pembangkang itu akan menamatkan sebarang spekulasi mengenai identiti sebenar profil DNA lelaki tidak dikenali dinamakan ‘Lelaki Y’ yang didedahkan pada prosiding perbicaraan kes itu sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, perhimpunan seumpama itu diteruskan ke daerah lain di seluruh Perak bagi mendapatkan suara ramai dalam mendesak Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menyerahkan DNA.

“Sudah tiba masa Anwar menjelaskan perkara sebenar dengan menyerahkan spesimen badannya untuk menamatkan sebarang spekulasi yang timbul daripada kes itu.
Perjalanan proses mahkamah bukan saja membabitkan Anwar atau Mohd Saiful Bukhari Azlan, tetapi perkara yang ingin rakyat tahu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Apabila direnung mengenai tindakan Wanita UMNO ini, persoalan ialah kenapa Anwar takut menyerahkan spesimen DNAnya?

Seharusnya Anwar yang dikenali sebagai pemimpin yang 'berani' dan bertaraf antarabanghsa, tidak takut atau curiga untuk tampil ke depan dengan secara sukarela menyerahkan spesimen DNA yang diperlukan.

Dengan cara itu beliau tidak akan dimalukan dengan demonstrasi sedemikian, juga sekali gus akan menamatkan spekulasi dan kekeliruan rakyat mengenai siapa lelaki 'Y'.