Showing posts with label Idris Jala. Show all posts
Showing posts with label Idris Jala. Show all posts

Wednesday, March 23, 2011

INJIL BAHASA MELAYU - KERAJAAN BERLEMBUT DENGAN HANYA COP 'UNTUK KRISTIAN'

Hanya cap “Untuk Kristian” (For Christianity) yang perlu diletakkan pada Kitab Injil Berbahasa Melayu berbanding tag dan nombor siri sebelum ini.

Alkitab hanya akan dicap dengan tulisan “Untuk Kristian” menggunakan warna yang jelas berhuruf Arial saiz 16 dan tiada perkataan lain atau nombor siri akan dicap ada kitab Injil.

Selain itu, bagi memastikan tiada masalah pelaksanaan oleh kakitangan agensi-agensi awam, kerajaan akan memastikan satu garis panduan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dikeluarkan mengenainya.

Sah sudah, walau ada kritikan atau pandangan bahawa kitab Injil Bahasa Melayu mungkin akan ‘menyesatkan’ sesetengah anak muda Islam tetapi itulah keputusan dan dasar kerajaan mengenai perkara itu setakat ini.

Kita menunggu pandangan mereka yang mahir mengenai Islam terhadap keputusan ini kerana amat jelas Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din sudah ‘kalah’ dalam perjuangannya mengenai perkara ini.

Sebelum ini, Harun Din pernah mengemukakan soalan apa kesannya apabila pengedaran Kitab Bible berbahasa Melayu ini? Adakah kita hendak lihat anak muda Islam membeli Kitab tersebut lalu terpesong agama mereka?

Harun Din sebelum ini turut menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya bahawa ianya tidak releven dan sewajarnya PAS yang ‘bagaikan bersetuju’ dengan penyebaran bebas Kitab Injil Bahasa Melayu itu tidak bertindak melulu dalam mengejar karier politik tanpa memikirkan soal kedaulatan Islam pada masa hadapan.

Apa pun bagi kerajaan, cara ini dianggap terbaik untuk mengelakkan kontroversi berterusan mengenai dua syarat pelepasan kesemua 35,100 naskhah Alkitab yang ditahan Kementerian Dalam Negeri.

Daripada 35,100 naskhah yang ditahan itu, 30,000 tersadai di Pelabuhan Kuching manakala bakinya di Pelabuhan Klang.

Pengumuman mengenai keputusan mewajibkan cap itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dalam kenyataan dikeluarkan petang semalam.

Menurut laporan Bernama: “Kerajaan ingin menekankan bahawa sejak 15 Mac lalu, ia telah memberi arahan untuk melepaskan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Klang dan Kuching. Bagaimanapun, sehingga hari ini kumpulan Kristian yang mengimport kitab Injil belum mengambilnya kerana mereka tidak mahu menerima tag dan nombor siri pada kitab Injil.”

Idris berkata, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein mengatakan bahawa tindakan mengenakan cap dan nombor siri adalah protokol standard, sebagai contoh naskhah al-Quran yang diimport ke negara ini juga diperiksa sebagai naskhah sahih dan dikenakan cap dengan nombor siri sebelum boleh dilepaskan.

Katanya, naskhah al-Quran yang tidak dibenarkan ditahan dan dimusnahkan.
“Tindakan mengenakan cap dan nombor siri pada kitab Injil Bahasa Malaysia tidak harus dianggap sebagai menghina kitab suci,” katanya lagi.

Banyak pihak melihat keputusan menerima desakan agar tidak mengenakan sebarang syarat - jika tidak enggan menerima buku suci penganut Kristian dalam Bahasa Malaysia itu – sebagai cara terakhir mengatasi isu berkenaan.

Menariknya, langkah itu diumumkan sehari selepas Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan untuk membuka laluan kepada pilihan raya negeri ke-10. Tarikh pilihan raya akan diumumkan hari ini.

Minggu lalu, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menegaskan pihaknya tidak akan mengambil Alkitab atas alasan kedua-dua syarat tersebut menghina agama mereka.

Sebaliknya, CFM menggesa Putrajaya dengan segera menggugurkan dua syarat dikenakan Kementerian Dalam Negeri yang membolehkan Alkitab, yang ditahan di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching, dilepaskan.

CFM sebelum ini mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengambil keputusan untuk mengecap naskhah Alkitab di Pelabuhan Klang dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian Sahaja”, yang menurut Hishammuddin dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP), tanpa sebarang niat untuk mencacatkan kitab suci kristian itu.

Yang pasti, satu jawatankuasa Kabinet khas berhubung isu semasa ini, yang terdiri daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi perpaduan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Hal Ehwal Parlimen), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (bagi hal ehwal agama) dan Idris sendiri serta Peguam Negara telah mengadakan pertemuan Khamis lalu untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Pertemuan susulan turut diadakan antara beliau dan Peguam Negara dengan wakil-wakil dari CFM, Majlis Gereja Malaysia dan beberapa kumpulan Kristian dengan penasihat perundangan mereka.

“Pada pertemuan ini, saya dan Peguam Negara membentangkan bagi pihak kerajaan apa yang kami percaya sebagai penyelesaian yang dapat diadakan melibatkan semua pihak. Untuk menunjukkan komitmen kerajaan menyelesaikan isu ini dengan baik, kerajaan telah menerima satu tawaran daripada penderma-penderma Kristian yang bersedia untuk membayar kos bagi kesemua kitab Injil, yang telah pun dicap dan diberikan nombor siri.

“Kitab-kitab Injil ini boleh dilepaskan di negeri masing-masing semasa, sama ada dengan cap dan nombor siri, atau diletakkan pelekat tertera perkataan ‘Untuk Kristian’ bagi menutup cap dan nombor siri yang sudah dikeluarkan sebelum ini,” kata Idris sambil menambah, pilihan terletak pada pengimportnya.

Sekiranya mereka tidak mahu menerima bekalan sedia ada itu, penderma-penderma terbabit akan membayar kos penuh untuk mendapatkan naskhah Alkitab baru yang tertera perkataan “Untuk Kristian”, yang dicetak di lokasi ia diterbitkan atau dicap oleh Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching.

Idris menambah, kumpulan masyarakat Kristian memohon diberikan masa untuk membincangkan penyelesaian dan akan dimaklumkan kepada kerajaan dalam waktu terdekat.

Apa yang pasti, Perdana Menteri dan jawatankuasa khas Kabinet dalam usaha menyelesaikan masalah itu memberi amanah kepada Peguam Negara dan Idris untuk menyampaikan penyelesaian yang disyorkan oleh kerajaan kepada kumpulan Kristian.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu menerangkan, kerajaan mahu isu tersebut diselesaikan secepat mungkin tanpa memihak mana-mana pihak selari dengan semangat 1 Malaysia.

Wednesday, March 16, 2011

INJIL BAHASA MALAYSIA - IDRIS JALA BERTINDAK ATAS KEPUTUSAN SIAPA?

Gambar daripada Malaysiakini yang menunjukkan kitab Injil Berbahasa Malaysia.

Tidak apalah demi politik dan pilihan raya!

Mungkin ramai yang berasa lega dan gembira apabila kerajaan semalam bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching Sarawak, dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Ia tidak terhad kepada penganut Kristian sahaja khususnya di Sarawak dan Sabah tetapi juga di kalangan pemimpin PAS.

Kita melihat isu ini selain isu agama juga ada kaitannya dengan pilihan raya Sarawak.

Kerana itu menurut rakan blogger, Gelombang Rakyat, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din dikatakan telah dikunjungi beberapa kumpulan Pemimpin PAS Pro Erdogan bagi memujuk beliau membuat kenyataan membenarkan Kitab Injil berbahasa Melayu dibenarkan untuk terus beroperasi di seluruh Negara.

Ini akan memberi kelebihan politik terhadap parti tersebut terutamanya dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Sarawak.

Sebaliknya menurut blog berkenaan, Harun Din dengan nada marah memberi amaran keras terhadap pemimpin-pemimpin tersebut agar tidak menggadaikan maruah Agama Islam demi kepentingan politik sempit.

Harun Din kemudiannya bertanya kembali apa kesannya apabila pengedaran Kitab Bible berbahasa Melayu ini? Adakah kita hendak lihat anak muda Islam membeli Kitab tersebut lalu terpesong agama mereka?

Harun Din juga menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya bahawa ianya tidak releven dan sewajarnya PAS tidak bertindak melulu dalam mengejar karier politik tanpa memikirkan soal kedaulatan Islam pada masa hadapan.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dalam satu kenyataan berkata, langkah kerajaan ini adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kitab itu mesti dicop dengan tag "Untuk Penganut Agama Kristian sahaja".

Persoalannya, siapa beri arahan supaya dibenarkan sedemikian?

Ia pastinya bukan keputusan Kabinet kerana mesyuarat berkenaan pada Rabu minggu lalu tidak menyebut pun perkara ini. Sementara mesyuarat Kabinet minggu ini hanya akan bermesyuarat hari ini.

Jadi, semalam Idris bertindak atas arahan siapa?

Menurut Idris: "Sejak peruntukan undang-undang itu digunakan pada tahun 1982, tiada sebarang masalah atau isu yang timbul dengan pelaksanaannya.".

Selain itu, Idris berkata kajian teliti oleh Jabatan Peguam Negara juga mendapati pengeluaran kitab-kitab itu tidak akan mengangggu dalam prosiding mahkamah berkaitan penggunaan kalimah "Allah". "Oleh itu, dalam konteks berikut Kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan buku Kitab Injil tersebut," katanya.

Itu alasan diberikan oleh Idris sedangkan Jumaat lalu (11 Mac 2011), Malaysiakini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri berpandangan, salinan kitab Injil yang dicetak di Indonesia tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia kerana keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri lebih suku abad yang lalu, kata Kementerian Dalam Negeri.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Teks aL-Quran kementerian itu Datuk Zaitun Ab Samad berkata kabinet pada Mei 1986 mengeluarkan arahan mengharamkan masyarakat bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah, Solat, Kiblat dan Kaabah.

Menurut Zaitun: "Ia bukan peraturan kementerian tetapi pihak pentadbiran perlu mematuhi keputusan kabinet.”

Kabinet, katanya tidak pernah membuat keputusan atau memberi kebenaran kepada kementerian untuk tidak lagi menahan 5,000 salinan kitab Injil yang disimpan di Pelabuhan Klang sejak Mac 2009.

"Kami juga tidak boleh mengambil sebarang tindakan (untuk tidak lagi menahan kitab berkenaan) kerana perbicaraan mahkamah dengan penerbitan Katholik, Herald masih tertangguh.

"Jadi sebarang tindakan akan membawa maksud sub judice (menghina mahkamah). Kita terpaksa hanya menunggu keputusan Mahkamah Rayuan,” kata Zaiton.

Injil dalam bahasa Melayu itu dikenali sebagai Perjanjian Baru, Mazmur dan Amsal.

Sebaliknya Idris semalam dipetik Bernama menyebut, kerajaan sangat komited dan akan memberikan komitmen yang berterusan untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu berkaitan agama dengan penuh adil dan saksama demi kebaikan Malaysia yang berbilang-bilang kaum dan agama.

Oleh itu, katanya kerajaan akan terus mengadakan dialog khas untuk membincangkan jalan penyelesaian isu-isu tertentu dengan melibatkan semua penganut pelbagai agama.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga bersetuju dan berpendapat bahawa penahanan buku Kitab Injil yang telah sekian lama ditahan seharusnya dikeluarkan.

Idris, yang merupakan penganut Kristian berasal dari Sarawak, juga telah berhubung dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) bagi pihak Kerajaan.
Sebelum ini, CFM mendakwa janji-janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa tiada pengharaman kitab Injil dalam bahasa Melayu, telah tidak dipatuhi oleh pihak berkuasa.

CFM, yang merupakan badan gabungan bagi semua kumpulan Kristian di negara ini berkata, Najib pada perjumpaan tahun lalu berkata kitab-kitab berkenaan akan dibenar diagihkan secara bebas sekurang-kurangnya di Sabah dan Sarawak
"Ini adalah satu kompromisi yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam di negara ini.

"Kerajaan jelas sangat komited dalam menyelesaikan masalah berkaitan agama sejajar dengan konsep 1Malaysia," katanya.

Pada 9 Mac lepas, sebuah persatuan penganut kristian mendakwa Kementerian Dalam Negeri merampas kira-kira 5,000 naskhah Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang diimport dari Indonesia di Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, kementerian menafikannya sebaliknya berkata kitab berkenaan tidak menepati syarat yang ditetapkan kerajaan.

Kira-kira 30,000 naskhah kitab itu pula ditahan di Pelabuhan Kuching sejak awal tahun ini.

Dan dengan 'pembebasan' ini, pihak Kerajaan mungkin tidak terasa dibebani desakan sementara pihak yang akan bertanding pada pilihan raya Sarawak juga masing-masing turut lega kerana isu ini sedikit sebanyak sudah dineutralisekan.