Friday, January 14, 2011

PM ARAH MASJID KAMPUNG KERINCI PERLAHANKAN SUARA AZAN?

Aduan peguam yang tinggal di Pantai Hill Park - dimajukan terus kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid...peguam itu mendakwa bunyi solat Subuh di masjid itu "amat lantang" sehingga mengejutnya dari tidur!



Sukar mempercayainya. Namun itulah yang diperkatakan oleh penduduk sekitar masjid Kampung Kerichi di tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Kesian dengan penduduk Kampung Kerinci yang dikatakan majoritinya orang Islam dan Melayu.

Kini mereka berdepan dengan bantahan seorang peguam yang mahukan suara azan dan bacaan ayat suci al-Quran diperlahankan.

Apakah kejadian atau keputusan yang dibuat ke atas Majid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinci ini akan menjadi contoh ikutan pada masjid lain di Selangor?

Apakah orang bukan Islam yang komponennya 50 peratus atau lebih di sesuatu kawasan akan turut ‘pasang lawyer’ seperti yang berlaku di Kampung Kerinci?

Laporan Malaysiakini hari ini menyebut “Ekoran aduan, azan masjid Kg Kerinci diperlahankan” yang memaksa pihak pengurusan mengambil pendekatan memperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan termasuk ketika solat Jumaat.

Menurut laporan Malaysiakini, tindakan masjid itu dibuat ekoran aduan seorang peguam bukan Islam yang mendakwa bunyi solat di masjid itu "amat lantang".

Malah turut difahamkan aduan peguam tersebut yang tinggal di Pantai Hill Park - yang terletak lebih kurang satu kilometer dari masjid berkenaan. - dimajukan terus kepada Perdana Menteri sebelum dipanjangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid.

Betulkah dakwaan itu atau sengaja nama Perdana Menteri dan Menteri digunakan?

Dengan membabitkan nama Perdana Menteri dan Menteri, ia akan menjadi isu lebih besar dan semestinya memerlukan penjelasan mereka!

Pengurusan masjid berkenaan dimaklumkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ) bahawa sebelum ini, peguam berkenaan ada menelefon jabatan itu, merungut bahawa bunyi azan "masih lagi kuat".

Ketua imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata semalam, pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan (JAWI) akhir Disember lalu.

Mahadi berkata beliau difahamkan aduan peguam tersebut yang tinggal di Pantai Hill Park - dimajukan terus kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid.

Katanya, dalam surat tersebut - yang salinannya diberi oleh JAWI kepada pihak masjid - peguam itu mendakwa bunyi solat Subuh di masjid itu "amat lantang" sehingga mengejutnya dari tidur.

Mengenai rungutan penduduk yang mereka tidak lagi mendengar bacaan al-Quran dan pengajian kuliah Maghrib manakala laungan azan Jumaat yang perlahan sekarang, Mahadi sekali lagi berkata: "Saya tidak boleh berbuat apa-apa, kita hanya terima arahan dari pihak atasan".

"Selepas berjumpa dengan JAWI, kita memperlahankan sedikit laungan azan (pembesar suara) pada setiap waktu solat.

"Ketika khutbah Jumaat, kita menggunakan pembesar suara dalam dewan solat sahaja," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini petang semalam.

Mahadi yang mula bertugas di masjid berkenaan sejak Mac tahun lalu berkata keputusan pihak masjid itu menimbulkan 'rasa tidak puashati' di kalangan penduduk yang majoritinya orang Melayu.

Bagaimanapun, Mahadi berkata beliau "tidak boleh buat apa-apa kerana ia adalah arahan pihak atasan".

"Kita terpaksa ikut," katanya sambil menambah pertemuan beliau dengan pihak JAWI berlangsung pada akhir Disember lalu.

Ditanya mengenai rancangan sekumpulan individu untuk mengadakan perhimpunan membantah tindakan peguam berkenaan, Mahadi berkata, pihaknya ada mendengar mengenainya.

"Tetapi kita (masjid) tidak terlibat apa-apa," katanya sambil menambah beliau tidak mengetahui identiti kumpulan berkenaan.

Yang pasti, isu ini menarik untuk diperhatikan dan Malaysiakini akan ada perkara menarik yang akan berpanjangan untuk dijadikan bahan beritanya!

Wednesday, January 12, 2011

PRESIDEN PAS RESTU ADUKATARUNA DIKASARI DI DEPAN MATANYA?

Saya ingin berkongsi dengan penjenguk mengenai entri dalam teganuku ini:

Polis Terengganu mungkin akan memanggil Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan seorang blogger dipukul di Masjid Rusila, Marang, Jumaat lalu.

Sekumpulan jemaah masjid, dipercayai penyokong Hadi didakwa mengasari seorang penulis blog yang cuba mendapatkan beberapa penjelasan daripada Presiden PAS itu.

Apa yang tidak sedap didengar ialah Hadi yang melihat kejadian di depan matanya sendiri dikatakan membiarkan sahaja blogger itu ‘dikasari’.
Sebuah blog proPAS di Terengganu mengulas kejadian itu mengatakan 'Projek Langgar Hadi; Aduka yang kena langgar di Rusila?".

Tidak diketahui sejauh mana kekasaran dilakukan terhadap blogger berkenaan, walaupun Khairul Nizam Abd Ghani atau Aduka Taruna mendakwa turut dipukul dari belakang.

Orang ‘Tok Guru’ dikatakan ‘bertindak liar’ dengan tujuan mengajar blogger berkenaan yang menurut mereka geram dengan tindak-tanduk Khairul Nizam.

Blogger berkenaan mendakwa, dalam insiden dekat rumah Hadi di Marang pada 7 Januari lalu, beliau turut dikurung seketika di pejabat masjid berdekatan dan telefon bimbitnya dirampas.

Pada ketika blogger berkenaan berkata beliau dikasari ada blog yang menafikan ‘kekasaran’ berlaku dan jumlah mereka yang mengepung Khairul Nizam tidaklah seramai seperti yang didakwanya.

Apapun, blogger berkenaan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Marang kira-kira jam tiga petang, sejurus selepas peristiwa itu.

Khairul Nizam mula mendapat perhatian selepas didakwa menghina bekas Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail dalam tulisannya di blog awal pada Januari tahun lalu.

"Dalam kejadian itu, kira-kira tujuh atau lapan orang mengepung saya. Saya rasa dipukul daripada belakang dua kali," dakwanya.

Menurut Malaysiakini kelmarin, Khairul Nizam mendakwa, kesan daripada itu, beliau terpaksa mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik berdekatan kerana telinganya mengeluarkan sejenis cecair.

Menceritakan kembali pengalamannya, Khairul Nizam mendakwa, selepas solat Jumaat di Masjid Rusila dekat rumah Hadi, beliau menghampiri pemimpin itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu kerajaan perpaduan PAS-Umno yang meletus selepas pilihan raya umum lalu.

Oleh kerana tidak dilayan, beliau terus mengikuti pemimpin utama parti Islam itu hingga ke hadapan rumahnya - 15 meter dari masjid - sambil bertanya soalan dan merakamkan pergerakan Hadi menggunakan kamera telefon bimbit.

"Kemudian saya ditahan dalam sebuah bilik sebelum dibebaskan tidak lama kemudian," dakwanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, meskipun demikian, ia bergantung kepada keperluan dan hasil siasatan kes tersebut.

Katanya, sehingga kini, empat individu telah dipanggil untuk diambil keterangan.

"Kesemua individu lelaki berkenaan yang kita percaya saksi kejadian telah memberi keterangan masing-masing berhubung kejadian itu.

Mengulas kes Aduka Taruna berkenaan, Manoharan berkata: "Jika perlu beliau (Abdul Hadi), akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat ini," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian itu, blogger yang sering dikaitkan dengan kumpulan blogger antikerajaan perpaduan mengalami saat cemas apabila dikepung dan dibelasah sekumpulan jemaah di masjid berkenaan kira-kira pukul 2.20 petang Jumaat lalu.

Lelaki yang pernah didakwa atas kesalahan menghina institusi kesultanan Johor itu turut mendakwa di dalam blognya adukateruna.blogspot.com, dia diugut dan dimarahi selain ditahan di dalam sebuah bilik sebelum dilepaskan tidak lama selepas itu.

Dalam pada itu, blogger tersebut di dalam entri terbarunya semalam memberitahu merancang bertemu Presiden PAS untuk diwawancara sekali lagi.

Kelmarin, Setiausaha politik Hadi, Dr Samsuri Mokhtar, engggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Saya dengar ada laporan-laporan polis dibuat oleh Aduka terhadap kesnya dan (laporan) penduduk Rusila terhadap Aduka.

"Jadi oleh kerana ianya dalam siasatan, saya tidak akan komen," kata Dr Samsuri.

Khairul Nizam merupakan antara penulis blog pro Pakatan Rakyat yang menentang kuat idea kerajaan perpaduan. Beliau juga antara penggerak kempen "PAS Reform" dan "Langgar Hadi".

Dalam usaha itu, beliau mahu bertemu dan berdialog dan merekodkannya dalam bentuk video.

Percubaan sulungnya di muktamar PAS Jun lalu di Pengkalan Chepa, Kelantan juga mengalami kegagalan, tetapi tidak berakhir dengan kekasaran.

Selepas kejadian itu, Khairun Nizam tetap tidak mengalah dan mahu meneruskan usaha menemui Hadi, malah mahu membawa rombongan penulis blog dan pengguna Facebook selepas ini.

"Kami akan cuba mengumpulkan blogger dan Facebooker 'otai' dengan blogger dan Facebooker baru, dalam satu tarikh, bersama-sama, bertanya soalan kepada Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang, di Rusila," tulisnya dalam blog.

Kita akan menyaksikan sejauh mana 'perang' AdukaTaruna - Hadi kerana blogger berkenaan sudah memberi amaran - "Gua akan jumpa Hadi di Rusila lagi, insyaallah".

Sunday, January 9, 2011

JANGAN BIARKAN 'PAKATAN SYAITAN' BERTERUSAN!

Karpal ‘wajib’ disapina sebagai saksi pendakwa raya dalam kes liwat kedua Anwar kini kerana beliau mempunyai pengetahuan mengenai aktiviti liwat Anwar dalam kes pertamanya dengan bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar...Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978 memperuntukkan seseorang peguam (Karpal) agar tidak mewakili Orang Kena Tuduh (OKT) iaitu Anwar sekiranya peguam itu mempunyai sebab mempercayai bahawa dia boleh menjadi saksi berkaitan sesuatu fakta yang material.

Kasi Taruk itu Bai, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Juga minta Naib Presiden PAS, Mat Sabu (Mohamad Sabu) - orang pertama menggelarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “Al Juburi” - tampil jadi saksi kes liwat yang dihadapi Ketua Pembangkang itu.

Ini kerana mereka ini tahu kes Anwar ini dan tidak adil kepada masyarakat Malaysia sekiranya kedua-dua mereka berdiam diri.

Amat jelas kini peranan Karpal sebagai peguam bela Anwar dalam kes liwat kedua ini diragui kerana selain mengetahui maklumat mengenai kes pertama Anwar, Karpal juga merupakan pemimpin DAP yang jelas menentang pelaksanaan negara Islam seperti dicita-citakan PAS.

Pada ketika Karpal kini menjadi peguam Anwar dan Mat Sabu pula berdiam diri dengan mengunci rapat mulutnya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula sangat‘percayakan Anwar ’ bahawa Anwar bersih, sanggupkah Mat Sabu melihat orang Islam diperdayakan Anwar?

Pemimpin PAS yakin gila dengan Anwar dan menganggap Karpal sebagai di pihak yang benar-benar membela Anwar.

Sedangkan sebenarnya dengan maklumat yang begini jelas, kenapa pemimpin PAS tidak cuba mendapatkan maklumat daripada Mat Sabu dan Ahli Parlimen itu perlu memberikan maklumat tepat kepada pemimpin PAS yang lain.

Pemimpin PAS perlu sedar kini wujud ‘satu konspirasi dan pakatan syaitan’ yang jelas sedang berlaku lerana di pihak Karpal, dia pernah menyatakan secara terbuka dalam ceramah DAP di Hotel Federal pada 1997 yang beliau mempunyai bukti kukuh bahawa Anwar terlibat melakukan sodomi.

Apakah Karpal tersalah cakap?

Tidak mungkinkan sama sekali. Dan kalaupun beliau tersilap, dengan menjadi saksi, beliau boleh membetulkannya kenyataannya.

Tidakkah dengan menolak berbuat demikian, Karpal kini secara tidak langsung memberi imej buruk kepada ahli Parlimen pembangkang itu kerana sanggup membuat kenyataan palsu di tempat awam?

Bukan itu saja, malah masyarakat Malaysia tahu, Karpal pernah mendesak Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mokhtar Abdullah melakukan siasatan. Dengan berrdasarkan kata-kata Karpal sendiri 'saya akan pastikan fakta sebelum membuat kenyataan umum', amat terang lagi bersuluh bahawa Karpal memang sudah menilai fakta yang ada sebelum membuat kenyataan umum itu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendesak Jabatan Peguam Negara memanggil Karpal untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwa dalam perbicaraan kes liwat kedua yang dihadapi Anwar.


Apapun, jika merujuk kepada http://weechookeong.wordpress.com kelmarin apabila Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong itu mendesak Karpal menawarkan diri sebagai saksi kes.

"Saya tidak percaya Karpal sebagai pengamal undang-undang akan membuat kenyataan demikian tanpa mengenal pasti dan mempunyai bukti kukuh berdasarkan kenyataan Azizan Abu Bakar (bekas pemandu Anwar) bahawa beliau diliwat Anwar ketika itu, “ kata Choo Keong.

Mengulas kenyataan Karpal itu, Choo Keong berkata, beliau tidak percaya pemimpin pembangkang itu tidak membaca penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan bertarikh 2 September 2004 yang turut diterbitkan dalam Jurnal Undang-Undang Malaya (MLJ).

"Dalam penghakiman oleh Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad menyebut 'Kami mempunyai bukti bagi mengesahkan perayu terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung percaya bahawa mengatakan kejadian di Tivoli Villa berlaku'
.
"Sesiapa yang membaca penghakiman Mahkamah Persekutuan itu pasti membuat kesimpulan bahawa keputusan mahkamah itu adalah jelas. Saya pasti Karpal mengetahui perkara ini, tetapi apabila membaca kenyataan beliau di FMT, kepala saya pusing," katanya.

Selain Zahrain, bekas Pengerusi DAP Johor, S. K. Song turut menggesa Pengerusi DAP itu memberikan respons segera terhadap kenyataan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang mendakwa beliau mempunyai bukti kukuh bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam kes liwat.

Song turut menuntut kalangan pemimpin DAP lain agar tidak mengunci mulut berhubung dakwaan berkenaan.

Menurut beliau, tanpa bertindak dalam menjawab segala dakwaan terbabit, ia akan mendorong sesiapa sahaja memberikan pelbagai andaian terhadap kenyataan Choo Keong.

Karpal bagaimanapun dalam kenyataan kepada portal berita dalam talian, freemalaysiatoday.com (FMT) menganggap desakan itu sebagai sukar dibayangkan kerana Anwar telah 'dibebaskan' oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes sodomi yang pertama.

Dengan pendirian Karpal yang cuba berdalih, adalah amat wajar jika Peguam Negara mempertimbangkan secara serius untuk mengenakan sapina bagi mendesak beliau mendedahkan bukti yang dikatakan dimilikinya.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menerusi entri bertajuk Hello, are you Mr. Poo-Singh? dalam blog http://zul4kulim.blogspot.com/ semalam turut mencadangkan Karpal disapina.

Zulkifli yang pernah mewakili Anwar dalam kes liwat pertamanya menjelaskan, Karpal ‘wajib’ disapina sebagai saksi pendakwa raya dalam kes liwat kedua Anwar kini kerana beliau mempunyai pengetahuan mengenai aktiviti liwat Anwar dalam kes pertamanya dengan bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.

Menurutnya, ini kerana Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978 memperuntukkan seseorang peguam (Karpal) agar tidak mewakili Orang Kena Tuduh (OKT) iaitu Anwar sekiranya peguam itu mempunyai sebab mempercayai bahawa dia boleh menjadi saksi berkaitan sesuatu fakta yang material.

Kata Zulkifli, perbicaraan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin bakal mencatat sejarah tersendiri sekiranya peguam bela Anwar itu disapina sebagai saksi Pendakwaraya kes itu.

Zulkifli berkata, sapina itu boleh berlaku sekiranya pihak pendakwa raya memohonnya kepada mahkamah kerana Karpal pernah mendakwa beliau mempunyai bukti kukuh mengenai keterlibatan Anwar dalam kes liwat pertamanya pada 1997.

Karpal, menurut Zulkifli, boleh diambil tindakan menghina Parlimen atau sumpah bohong (perjury) sekiranya dalam keterangannya sebagai saksi nanti, beliau menafikan mempunyai bukti aktiviti liwat Anwar seperti yang didakwanya dalam sidang Dewan Rakyat pada 1997.

Lantas Zulkifli bertanya: “Adakah beliau mempunyai agenda politik yang jahat, atau ada sebab-sebab lain? Wallahua’lam, tepuk dada tanyalah kepala otak sendiri!,” .

Mengenai Mat Sabu yang sengaja menguncikan mulutnya, apakah beliau orang pertama menggelarkan Anwar sebagai ‘Al-Juburi’ mahu terus ‘menyimpan aib Anwar’ sedangkan Anwar kini diperingkatkan mengaibkan negara dan pemimpin Islam di Malaysia.

Kata Zulkifli melalui blognya: “Sesuai dengan sabda Rasullulah SAW, ‘addenul nasihah’, maka teman mengemukakan nasihat teman kepada para ulama, ilmuwan, kepimpinan dan ahli akar umbi Pas, (supaya) mufaraqahlah daripada ‘Pakatan Syaitan’ ini,” katanya.

Saturday, January 8, 2011

ROBINGAH - RAIS ORANG YANG BAIK...LAPORAN SAYA DIPERKOSA TIDAK BENAR

Robengah, 46, (kanan), bekas pembantu rumah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim yang diambil dari laporan portal berita detik.com, di Kuala Lumpur. Gambar itu diambil oleh wartawan di rumahnya di Desa Pagelak, Kecamatan Madukara, Kabupaten Banjarnegara, Jawa Tengah, Jumaat. Robengah menafikan dirinya diperkosa menteri Malaysia itu yang telah menjadi majikannya dari tahun 1999 hingga 2007. Beliau juga membantah keterangan Migrant Care dan media Malaysia dalam temubual bersama BERNAMA semalam .

"Datuk orang yang baik. Saya tidak pernah ada masalah dengannya (Rais).

"Semua laporan yang mengatakan saya diperkosa sama sekali tidak benar," demikian kata Robingah dalam kenyataan yang disiarkan portal berita Detiknews.com semalam. Laman web itu ialah portal berita paling berpengaruh di Indonesia.

Jadi di manakah kebenaran laporan sama ada oleh bloggers mahupun mereka yang memetik berita daripada blogger berkenaan mengatakan Rais adalah ‘perogol’?

Wanita itu berkata, jika Rais berperangai jahat dan berperilaku kasar terhadapnya, tentu beliau tidak akan dapat bertahan untuk bekerja selama itu di rumahnya.

Semua keluarga Rais juga melayan para pembantu dengan baik, katanya.

"Jadi jika ada pemberitaan yang menyatakan bahawa saya pernah diperkosa Datuk, itu sama sekali tidak benar," katanya.

Suami wanita itu yang berusia 52 tahun, yang turut mendampinginya semasa ditemuramah wartawan, telah menyatakan rasa terkejut ketika mendengar berita yang menyebutkan bahawa bekas majikan isterinya itu kononnya telah memperkosa pembantunya, apalagi mahu mempercayai bahawa mangsa itu adalah isterinya.

"Selama bekerja di Malaysia, isteri saya tidak pernah mengeluh mendapat perlakuan yang tidak baik daripada majikannya," kata beliau.

Bekas pembantu rumah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Robingah, 46 semalam menafikan dakwaan dia telah dirogol oleh bekas majikannya itu seperti yang tersebar dalam Internet baru-baru ini.

Malah, wanita itu, sebaliknya memberitahu, dia telah dilayan dengan baik oleh Rais dan ahli keluarganya sepanjang bekerja di rumah majikannya itu dari tahun 1999 hingga 2007.

"Datuk Rais Yatim orang yang baik. Bahkan pemberitaan yang selama ini menyebutkan saya sudah diperkosa sama sekali tidak benar. Saya juga sering diberi wang serta oleh-oleh daripada beliau," jelas wanita warga Indonesia berusia 46 tahun itu kepada wartawan di rumahnya di sebuah perkampungan di Jawa Tengah, Jumaat.

Laporan portal berita detik.com memetik beliau sebagai berkata bahawa sepanjang lapan tahun beliau bekerja sebagai pembantu di rumah Rais dari 1999 hingga 2007, beliau pernah diberi cuti satu setengah bulan.

Katanya, beliau bekerja bersama tiga orang pembantu lain dari Indonesia.
"Biasanya kami sering bahagi-bahagi tugas. Saya bertugas sebagai pengantar makanan jika ada jamuan di rumah Datuk. Selain itu juga membukakan pintu pagar bila Datuk baru pulang," katanya.

Robingah semalam dikunjungi empat kakitangan Balai Pelayanan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP3TKI) di rumahnya di Banjarnegara, Jawa Tengah untuk siasatan mengenai dakwaan tersebut.

Dan semalam juga NGO - Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta memutuskan untuk tidak akan membawa perkara berkenaan kepada mahkamah, lapor Kompas.com.
Ia kerana menghormati hak seorang amah Indonesia yang didakwa dirogol oleh seorang menteri Malaysia.

"Kami berada pada posisi menghormati permintaan mangsa supaya kes ini tidak dihebahkan dan dibawa ke muka pengadilan,” kata penganalis dasar, Migrant Care, Wahyu Susilo, pada sidang media di Warung Daun, Cikini, Jakarta. Menurut Wahyu, Migrant Care berharap kejadian itu dijadikan teladan kepada kerajaan Indonesia supaya tidak mengabaikan nasib pekerjanya di luar negara.

"Pemerkosaan perlu dibuktikan dan harus ada laporan sebelum membolehkan tindakan lanjut diambil. Tetapi sehingga malam semalam, mangsa masih belum mahu membuat laporan, maka kami hanya menghormati.

Saya kira dalam keadaan ini kami tidak boleh ke mahkamah tetapi hanya ingin menegakkan hak asasi manusia dan mahu kes tersebut dijadikan pelajaran kepada kedua-dua kerajaan untuk benar-benar serius soal perlindungan buruh asing,” katanya.

Amat jelas kini dengan Rais membuat penafian dan Robingah semalam menafikan Rais ‘merogolnya’, kes ini seakan tamat.

Rabu lalu, Rais menafikan segala dakwaan yang dibuat ke atasnya oleh beberapa orang bloger dan juga beberapa pemimpin parti pembangkang bahawa dia telah memperkosa pembantu rumahnya berbangsa Indonesia empat tahun lalu ketika masih berkhidmat di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk julung-julung kalinya mengulas mengenai kes ini dengan menggesa semua pihak agar tidak membuat andaian ke atas tuduhan yang dilemparkan kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, bahawa beliau telah merogol pembantu rumahnya empat tahun dahulu.

Perdana Menteri berkata, semua pihak harus membenarkan undang-undang mengambil tempatnya kerana Rais telah menyatakan kesediaannya untuk disiasat secara menyeluruh berkaitan dakwaan tersebut.

"Beliau telah pun membuat kenyataan berhubung dakwaan itu dan beliau berdiri teguh bahawa beliau tidak melakukan perbuatan itu. Oleh itu kita tidak harus membuat andaian dan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang melainkan siasatan telah selesai dilakukan," ujar Najib.

Banyak pihak meminta Najib membuat pendirian mengenai isu ini dan ternyata dua penafian oleh Rais dan Robingah telah menjernihkan imej Rais.

Kini terpulanglah untuk Rais yang berkelulusan undang-undang untuk memikir atau menilai apakah akan mengambil sebarang tindakan terhadap orang yang ‘memfitnahnya’.
Apakah Rais akan menyaman dan menuntut ganti rugi kerana memalu dan mengaibkan diri dan tempias terhadap keluarganya.

Kita juga mahu mendengar apakah ada permohonan kemaafan daripada mereka yang sebelum ini mendakwa Rais seorang ‘perogol’.