Showing posts with label Rogol. Show all posts
Showing posts with label Rogol. Show all posts

Sunday, July 7, 2013

ROGOL & MINUMAN KERAS DI SUKMA KE-16 - LAIN DIHARAPKAN, LAIN YANG BERLAKU...


"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan Sukan Malaysia, sudah tentu saya merasa amat sedih dan dukacita kerana kejadian ini telah mencacatkan temasya ini yang telah berlangsung dengan baik sekali tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar. Ini adalah kali pertama insiden ini berlaku dalam sejarah pengelolaan Sukan Malaysia bermula pada tahun 1986 yang lalu.”
 – Khairy Jamaluddin Abu Bakar

Kejadian memalukan di Sukma 2013 iaitu kejadian rogol bergilir-gilir oleh atlet terhadap atlet atau pegawai pengiring bolajaring wanita sangat-sangat jijik dan memalukan.

Kes mungkin berpunca daripada pesta 'mabuk-mabuk' dan menghairankan bagaimana minuman keras sewenang-wenangnya dibawa masuk ke kem Sukma di Universiti Putra Malaysia itu.

Kes seumpama itu kali pertama berlaku dalam sejarah temasya Sukma dan ia mencemarkan imej Sukma.

Sudah tentu Majlis Sukan Negara (MSN), selaku penganjur temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16, pastinya terpaksa menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes rogol ini.

Media melaporkan seorang atlet bola baling telah membuat laporan polis mendakwa dirogol sekumpulan atlet lelaki di Perkampungan Sukan Sukma 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Rabu lepas.

Atlet atau pengiring bolang baling wanita berusia 19 tahun itu mendakwa dirogol bergilir-gilir dalam keadaan separuh sedar di bilik penginapan sebuah kolej di perkampungan sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu lalu.

Laporan sama turut menyebut, sebelum kejadian berlaku, mangsa dikatakan meneguk minuman keras bersama beberapa atlet bola baling lelaki pasukannya di sebuah gelanggang bola keranjang bagi menghilangkan tekanan setelah pasukan mereka kalah dalam perlawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Etika apakah yang dipraktikkan oleh kesemua mereka?

Selepas itu, mangsa dikatakan dibawa pulang ke sebuah bilik penginapan kolej oleh beberapa atlet lelaki berkenaan.

Mangsa sedar kira-kira jam 4 pagi dan mendapati dirinya dalam keadaan bogel serta dihimpit oleh seorang lelaki. Lelaki itu serta rakannya bertindak merogol mangsa secara bergilir-gilir.

Mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, sebelum tiga atlet lelaki itu ditahan polis di perkampungan sukan berkenaan pada petang Jumaat lalu.

Tiga lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. Ketiga-tiga atlet berusia 18 hingga 19 tahun terbabit kini direman seminggu bermula tangkapan

"Kita tak boleh dedahkan apa-apa lagi kerana siasatan sedang dijalankan menjurus pelbagai aspek mengikut Seksyen 376 kanun Keseksaan kerana merogol," katanya, hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata, polis memandang serius perkara tersebut kerana ia melibatkan imej sukan negara amnya dan perbuatan jenayah dalam kalangan atlet, khasnya.


"Laporan ini amat serius. Kita akan lakukan siasatan lanjut dan terperinci mengenai kes ini," katanya.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong menjelaskan, pihaknya mendapat kerjasama polis dan UPM dalam memastikan kawalan keselamatan terjamin di Perkampungan Sukan. Pegawai keselamatan hanya mengawal di persekitaran kawasan Perkampungan Sukan dan tidak melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik atlet.

"Saya pun baru diberitahu mengenai perkara itu pagi ini. Mengikut laporan (sebuah akhbar tempatan), ia sudah menjadi kes polis, jadi kita serahkan kepada polis untuk lakukan siasatan.

Kita mempunyai hampir 4,000 atlet di Perkampungan Sukan, tidak mungkin kita memeriksa setiap bilik. Kita juga mengadakan pengasingan blok mengikut jantina bagi tujuan keselamatan," katanya.

Bagi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, beliau mencadangkan supaya ketiga-tiga atlet yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes rogol seorang pegawai pengiring atlet bola baling wanita dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2013 digantung dahulu sementara siasatan dijalankan.

Khairy berkata, meskipun kes ini telah dilaporkan kepada polis dan ia adalah di bawah siasatan polis sekarang ini, namun disebabkan atlet itu merupakan atlet daripada Wilayah Persekutuan yang berada di bawah tanggungjawab Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), tindakan awal perlu diambil terhadap atlet tersebut.

“Oleh kerana atlet ini merupakan atlet daripada Wilayah Persekutuan yang berada di bawah tanggungjawab MSWP, saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, untuk mengambil tindakan awal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairy turut meluahkan rasa terkilan dengan insiden terbabit apabila beberapa atlet dan pegawai daripada pasukan bola baling lelaki Wilayah Persekutuan telah membawa masuk minuman keras ke dalam UPM yang menjadi perkampungan Sukan Malaysia.

“Mereka telah minum minuman tersebut di Gelanggang bola keranjang Kolej Kedua UPM. Saya memandang serius perkara ini," katanya.

Khairy turut mengarahkan agar MSN membuat satu "post-mortem" segera supaya kejadian tersebut tidak berulang pada mana-mana temasya kebangsaan akan datang.

"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan Sukan Malaysia, sudah tentu saya merasa amat sedih dan dukacita kerana kejadian ini telah mencacatkan temasya ini yang telah berlangsung dengan baik sekali tanpa menghadapi sebarang masalah yang besar.

“Ini adalah kali pertama insiden ini berlaku dalam sejarah pengelolaan Sukan Malaysia bermula pada tahun 1986 yang lalu,” jelas beliau.

Khairy turut menjelaskan, Jawatankuasa Pengelola sememangnya mengadakan kawalan yang begitu ketat di tempat penginapan peserta.

Malah katanya, kerjasama daripada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut digunakan untuk menjaga aspek ini termasuk Unit Keselamatan UPM.

“Prosedur penempatan adalah mengikut prosedur UPM sendiri dan mereka amat ketat dalam mengawal penempatan terutama dalam memisahkan blok asrama lelaki dan wanita.

"Pengawal dan anggota polis sentiasa membuat rondaan kawasan terutama di sebelah malam tetapi ia tidak meliputi dalam kawasan asrama kerana menjadi tanggungjawab anggota kontinjen sendiri.

Bagi Khairy, pegawai-pegawai terdiri daripada pengurus, penolong pengurus, jurulatih dan sebagainya bertanggung jawab penuh kepada anggota pasukan mereka termasuk hal-hal keselamatan dan disiplin

Apakah atlet dan mangsa rogol sahaja wajar dipersalahkan dan pihak lain cuci tangan?

Sumber – Bernama & Sinar Harian

Saturday, January 8, 2011

ROBINGAH - RAIS ORANG YANG BAIK...LAPORAN SAYA DIPERKOSA TIDAK BENAR

Robengah, 46, (kanan), bekas pembantu rumah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim yang diambil dari laporan portal berita detik.com, di Kuala Lumpur. Gambar itu diambil oleh wartawan di rumahnya di Desa Pagelak, Kecamatan Madukara, Kabupaten Banjarnegara, Jawa Tengah, Jumaat. Robengah menafikan dirinya diperkosa menteri Malaysia itu yang telah menjadi majikannya dari tahun 1999 hingga 2007. Beliau juga membantah keterangan Migrant Care dan media Malaysia dalam temubual bersama BERNAMA semalam .

"Datuk orang yang baik. Saya tidak pernah ada masalah dengannya (Rais).

"Semua laporan yang mengatakan saya diperkosa sama sekali tidak benar," demikian kata Robingah dalam kenyataan yang disiarkan portal berita Detiknews.com semalam. Laman web itu ialah portal berita paling berpengaruh di Indonesia.

Jadi di manakah kebenaran laporan sama ada oleh bloggers mahupun mereka yang memetik berita daripada blogger berkenaan mengatakan Rais adalah ‘perogol’?

Wanita itu berkata, jika Rais berperangai jahat dan berperilaku kasar terhadapnya, tentu beliau tidak akan dapat bertahan untuk bekerja selama itu di rumahnya.

Semua keluarga Rais juga melayan para pembantu dengan baik, katanya.

"Jadi jika ada pemberitaan yang menyatakan bahawa saya pernah diperkosa Datuk, itu sama sekali tidak benar," katanya.

Suami wanita itu yang berusia 52 tahun, yang turut mendampinginya semasa ditemuramah wartawan, telah menyatakan rasa terkejut ketika mendengar berita yang menyebutkan bahawa bekas majikan isterinya itu kononnya telah memperkosa pembantunya, apalagi mahu mempercayai bahawa mangsa itu adalah isterinya.

"Selama bekerja di Malaysia, isteri saya tidak pernah mengeluh mendapat perlakuan yang tidak baik daripada majikannya," kata beliau.

Bekas pembantu rumah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Robingah, 46 semalam menafikan dakwaan dia telah dirogol oleh bekas majikannya itu seperti yang tersebar dalam Internet baru-baru ini.

Malah, wanita itu, sebaliknya memberitahu, dia telah dilayan dengan baik oleh Rais dan ahli keluarganya sepanjang bekerja di rumah majikannya itu dari tahun 1999 hingga 2007.

"Datuk Rais Yatim orang yang baik. Bahkan pemberitaan yang selama ini menyebutkan saya sudah diperkosa sama sekali tidak benar. Saya juga sering diberi wang serta oleh-oleh daripada beliau," jelas wanita warga Indonesia berusia 46 tahun itu kepada wartawan di rumahnya di sebuah perkampungan di Jawa Tengah, Jumaat.

Laporan portal berita detik.com memetik beliau sebagai berkata bahawa sepanjang lapan tahun beliau bekerja sebagai pembantu di rumah Rais dari 1999 hingga 2007, beliau pernah diberi cuti satu setengah bulan.

Katanya, beliau bekerja bersama tiga orang pembantu lain dari Indonesia.
"Biasanya kami sering bahagi-bahagi tugas. Saya bertugas sebagai pengantar makanan jika ada jamuan di rumah Datuk. Selain itu juga membukakan pintu pagar bila Datuk baru pulang," katanya.

Robingah semalam dikunjungi empat kakitangan Balai Pelayanan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP3TKI) di rumahnya di Banjarnegara, Jawa Tengah untuk siasatan mengenai dakwaan tersebut.

Dan semalam juga NGO - Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta memutuskan untuk tidak akan membawa perkara berkenaan kepada mahkamah, lapor Kompas.com.
Ia kerana menghormati hak seorang amah Indonesia yang didakwa dirogol oleh seorang menteri Malaysia.

"Kami berada pada posisi menghormati permintaan mangsa supaya kes ini tidak dihebahkan dan dibawa ke muka pengadilan,” kata penganalis dasar, Migrant Care, Wahyu Susilo, pada sidang media di Warung Daun, Cikini, Jakarta. Menurut Wahyu, Migrant Care berharap kejadian itu dijadikan teladan kepada kerajaan Indonesia supaya tidak mengabaikan nasib pekerjanya di luar negara.

"Pemerkosaan perlu dibuktikan dan harus ada laporan sebelum membolehkan tindakan lanjut diambil. Tetapi sehingga malam semalam, mangsa masih belum mahu membuat laporan, maka kami hanya menghormati.

Saya kira dalam keadaan ini kami tidak boleh ke mahkamah tetapi hanya ingin menegakkan hak asasi manusia dan mahu kes tersebut dijadikan pelajaran kepada kedua-dua kerajaan untuk benar-benar serius soal perlindungan buruh asing,” katanya.

Amat jelas kini dengan Rais membuat penafian dan Robingah semalam menafikan Rais ‘merogolnya’, kes ini seakan tamat.

Rabu lalu, Rais menafikan segala dakwaan yang dibuat ke atasnya oleh beberapa orang bloger dan juga beberapa pemimpin parti pembangkang bahawa dia telah memperkosa pembantu rumahnya berbangsa Indonesia empat tahun lalu ketika masih berkhidmat di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk julung-julung kalinya mengulas mengenai kes ini dengan menggesa semua pihak agar tidak membuat andaian ke atas tuduhan yang dilemparkan kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, bahawa beliau telah merogol pembantu rumahnya empat tahun dahulu.

Perdana Menteri berkata, semua pihak harus membenarkan undang-undang mengambil tempatnya kerana Rais telah menyatakan kesediaannya untuk disiasat secara menyeluruh berkaitan dakwaan tersebut.

"Beliau telah pun membuat kenyataan berhubung dakwaan itu dan beliau berdiri teguh bahawa beliau tidak melakukan perbuatan itu. Oleh itu kita tidak harus membuat andaian dan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang melainkan siasatan telah selesai dilakukan," ujar Najib.

Banyak pihak meminta Najib membuat pendirian mengenai isu ini dan ternyata dua penafian oleh Rais dan Robingah telah menjernihkan imej Rais.

Kini terpulanglah untuk Rais yang berkelulusan undang-undang untuk memikir atau menilai apakah akan mengambil sebarang tindakan terhadap orang yang ‘memfitnahnya’.
Apakah Rais akan menyaman dan menuntut ganti rugi kerana memalu dan mengaibkan diri dan tempias terhadap keluarganya.

Kita juga mahu mendengar apakah ada permohonan kemaafan daripada mereka yang sebelum ini mendakwa Rais seorang ‘perogol’.

Wednesday, January 5, 2011

RAIS YATIM NAFI ROGOL PEMBANTU RUMAH iNDONESIA

"Tujuan merosakkan nama dan imej saya itu jelas supaya perjuangan di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) tergencat dan menggagalkan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional khususnya Gagasan 1Malaysia yang dicipta Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak." - Rais Yatim

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini dilaporkan membuat laporan polis terhadap seorang anggota Kabinet berhubung kes rogol membabitkan pembantu rumah warga Indonesia kira-kira empat tahun lalu.

Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin berkata walaupun tidak mempunyai bukti kukuh mengaitkan menteri berkenaan dalam kejadian tersebut namun banyak perkara yang membuktikan pemimpin Umno itu terlibat.

Laporan itu hampir sama tempohnya dengan kenyataan yang ditunggu daripada empunya diri yang akhirnya datang jua hari ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini membuat penafian terhadap tuduhan oleh penulis blog dan pembangkang bahawa kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007.

Setidak-tidaknya Rais sudah berusaha membersihkan dirinya apabila menafikan melakukan perkara terkutuk itu dan bergantunglah kepada orang ramai - rakyat Malaysia khususnya - mempercayai beliau atau tidak.

Menteri UMNO itu turut menafikan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

"Saya menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama yang memetik Rais sebagai berkata: "alegasi liar yang ditujukan terhadap diri saya susulan laporan blog dan parti-parti politik pembangkang di akhir-akhir ini adalah longgokan fitnah dan pendustaan yang dahsyat, jelek dan jahat."

"Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara," katanya.

Rais berkata beliau dan anggota keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam siastan itu dan apa-apa keputusan siasatan rasmi itu akan diterima dan dipatuhi.

Beliau berkata "sementara siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, pihak-pihak yang rakus mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain diminta menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik."

"Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar yang disiarkan di bawah mana-mana pojok blog, laman web di internet setakat ini berkaitan alegasi salahlaku atau jenayah memperkosa mana-mana individu sedemikian adalah bertujuan jelek, berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan tanpa lunas sahih di sisi undang-undang," katanya.

Rais berkata sehubungan itu, perkara ini adalah mainan politik jahat dan kotor yang sengaja digembar-gemburkan bagi tujuan memperolehi dividen politik pembangkang.

Laporan polis oleh PAS dan sekutunya di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa lepas susulan spekulasi blogger adalah bukti bahawa alegasi ini bermotifkan politik kotor dengan tujuan supaya rakyat di Jelebu memihak kepada pembangkang sedangkan mereka tiada kesahihan hak untuk membuat laporan sedemikian dari sudut perundangan, kata anggota Parlimen Jelebu itu.

Rais berkata: "Alegasi pemerkosaan seperti yang dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil wikileaks."

Beliau berkata tindakan mengaitkan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebagai tidak melayani aduan pada 2007 berkaitan kes tersebut adalah suatu perbuatan "politik licik murahan yang semata-mata bertujuan mengelirukan fakta di mata rakyat kerana perkara tersebut tidak pernah dibawa ke perhatian Abdullah dan Musa."

"Apa-apa yang disebut sebagai laporan dari luar atau dalam negara yang mengisahkan alegasi memperkosa individu tertentu di dalam media blog, laman web atau lain-lain di internet adalah manifestasi politik bagi tujuan merosakkan peribadi saya selaku Anggota Pentadbiran Kerajaan Malaysia yang rekod khidmat saya tidak pernah tercela dengan sebarang salahlaku dalam tempoh hampir 40 tahun," katanya.

Rais berkata tujuan merosakkan nama dan imej beliau itu jelas supaya perjuangannya di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) tergencat dan menggagalkan dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional khususnya Gagasan 1Malaysia yang dicipta Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

"Pembangkang dan pihak-pihak yang tidak senang dengan penerimaan dan kejayaan dasar ini di kalangan rakyat bertindak untuk membantutkannya melalui fitnah dan pendustaan murahan.

"Mereka berpandangan dengan 'membunuh pengantarnya' tujuan jahat mereka tercapai," tambahnya.

Rais berkata dengan adanya gara-gara dan perkembangan pilihan raya kecil dan umum di musim kini, "isu seperti ini diolah oleh mereka itu sebagai 'lembing rejaman' yang diharap akan membunuh politik dan perjuangan murni kerajaan.

"Mereka menganggap dengan dedahan bersifat spekulasi dan tohmahan ini pemerhatian umum terhadap kes-kes jenayah besar seperti liwat yang melibatkan pimpinanan pembangkang akan dapat dipesongkan," katanya.

Sejak kebelakangan ini, beberapa laman blog telah menyiarkan cerita yang mengaitkan Rais merogol seorang pembantu rumah pada 2007.

Rasanya, sebelum membuat sebarang pendirian, baik kita tunggu juga kenyataan pihak lain, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai pendirian kerajaan dalam isu ini.

Sama-sama kita tunggu!