Sunday, December 5, 2010

NAJIB –PERTAHANKAN PUTRAJAYA DEMI RAKYAT

Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan di Konvensyen Barisan Nasional di Dewan MCA, Kuala Lumpur, pagi ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mengingatkan anggota parti itu terus mengukuhkan setiap parti komponennya dan memastikan supaya pentadbiran Putrajaya dapat dikekalkan di bawah parti itu.

Beliau mahu anggota parti dalam BN tidak mudah terleka dan terpesona dengan kejayaan awal yang ditunjukkan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil selepas Mac 2008.

"Berbanding pilihan raya umum 2008, BN yang cuba dimomok sebagai sudah suram, Alhamdulillah kini nampaknya semakin hari sudah semakin pulih," katanya dalam ucapan dasar di konvensyen BN di ibunegara hari ini.

Jelasnya, kejayaan awal itu perlu dijadikan asas kepada kemenangan yang lebih memberangsangkan.

Perdana Menteri berkata anggota BN perlu menghakis gejala penyakit khayal, lupa diri, jumud dan angkuh dalam usaha menambat hati rakyat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu dan Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan menghadiri majlis makan malam bersama-sama di kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya. Lebih 2,000 wakil Barisan Nasional hadir pada majlis itu bersempena dengan konvensyen BN.

"Kita mesti mengelak, mengikis dan membuang jauh empat gejala penyakit itu sebelum rasa sayang rakyat terhadap BN berubah menjadi benci, harapan mereka menjadi kemarahan dan sokongan rakyat bertukar menjadi penentangan," kata Najib yang juga Pengerusi BN.

Najib berkata semua gejala penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah.

Menurut Najib lagi, "angan-angan" 16 September yang dicanang oleh Pakatan Rakyat sebagai tarikh untuk merampas Putrajaya juga kini diketahui sebagai "satu pembohongan terbesar dalam sejarah politik tanahair."

"Walau apa pun terjadi, kita perlu pertahankan Putrajaya bukan kerana ego atau kepentingan diri yang sempit, akan tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," tambah Najib.

Dalam ucapan itu juga, Najib mengingatkan anggota BN supaya mempertahankan penguasaan parti itu daripada kemaraan parti pembangkang yang "hanya ingin memenuhi nafsu serakah dan tamakkan kuasa."

"Kita tahu mereka teringin sangat nak ada pejabat di Putrajaya, teringin sangat nak tinggal di Seri Perdana. Kerana itulah mereka sanggup berbuat apapun. Kalau teringin sahaja tak apa, tapi teringin sangat, itu yang bahaya," katanya yang disambut ketawa sinis hadirin.

Katanya, beliau menyedari empat penyakit lazim sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa. Hakikatnya, parti yang terlampau berkuasa jarang melakukan muhasabah terhadap kelemahan diri, katanya dalam ucapan amanat dasar di Konvensyen BN 2010 di Dewan San Choon, Wisma MCA di Kuala Lumpur pagi ini.

Dalam amanat bertema "Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat" itu, Perdana Menteri berkata penyakit khayalan kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan, manakala kelupaan kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal.

Yang ketiga, penyakit kejumudan yang terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan dan seterusnya penyakit angkuh yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran ramai, katanya.

Najib berkata untuk bangun kembali, BN mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan tersebut secara konsisten.

"Itulah yang sedang kita usaha dan sedang kita lakukan. Barulah nanti akan memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan," katanya.

Katanya bukan sekadar cukup dengan persepsi positif, akan tetapi kepercayaan sebenar rakyat terhadap BN perlulah terus dipupuk dan dibaja dengan jalan bekerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh.

"Maka, saya ingin sentiasa mengingatkan bahawa kejayaan-kejayaan awal ini perlu dijadikan asas kemenangan yang lebih memberangsangkan kelak. Dalam kata lain, jangan kita leka dan mudah terpesona. Sifirnya, untuk BN terus menerajui kepimpinan negara dan negeri-negeri, setiap parti komponen perlu diperkukuh dan diperkuat," katanya.

Najib berkata berbanding pilihan raya umum 2008, di mana BN yang cuba dimomok-momokkan sebagai sudah suram, kini nampaknya semakin hari sudah semakin pulih.

"Begitulah episod merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri Galas telah meraih kemenangan besar. Serentak dengan itu, kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi mengaut majoriti, hampir sekali ganda, menunjukkan sokongan rakyat kepada kita telah berputik dan mekar kembali.

"Pokok pangkalnya, BN telah sentiasa mendahulukan rakyat dan mampu mengota apa yang dijanjikan kepada rakyat, sekaligus mengangkat negara ke satu tahap yang sungguh menbanggakan.

"Dari dahulu sampailah sekarang dan mudah-mudahan dengan izin Tuhan hingga selamanya, suara Barisan Nasional adalah suara keramat rakyat, berbicara dan berganding atas nama rakyat. Dari Perlis sampailah Sabah, BN menjiwai degupan sanubari dan hati rakyat, menjadi penyambung rasa, penyambung cita-cita, penyambung lidah serta aspirasi rakyat Malaysia," katanya.

Dalam ucapan hampir sejam itu yang sentiasa mendapat tepukan gemuruh perwakilan, Najib juga berkata antara nilai paling penting yang mengukuhkan BN adalah sifat kebijaksanaan, keikhlasan dan kemampuan parti pemrintah itu untuk memimpin berbekalkan wawasan serta kepentingan yang jauh lebih besar," katanya.

Najib berkata kepentingan itu adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang aman, stabil, maju lagi makmur di mana semua orang dapat membina kehidupan yang bahagia.

"Jelas sekali, orang lain hanya mampu memperdagangkan mimpi, mencanangkan angan-angan, mencetak khayalan, walhal parti kitalah sebenarnya menjadi barisan pejuang tulen untuk rakyat, yang berpasak di bumi, bersandarkan perancangan jitu, serta pelaksanaan kerja yang tersusun," katanya.

Menurutnya BN berjaya merubah sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.

Dalam hal ini, katanya, BN bukan sahaja berjaya menguruskan sebuah negara pelbagai kaum dengan baik malah dapat memajukan bidang sosio ekonomi serta memastikan keselamatan serta ketenteraman nasional.

Najib berkata bahawa sejarah menunjukkan BN tidak pernah sesekali mengapi-apikan sentimen perkauman atau menjadikan rasisme teras pengurusan perhubungan kaum di negara ini.

"Di Malaysia semenjak merdeka, kerajaan tidak pun menjadikan isu kaum dan warna kulit sebagai alasan untuk mengehadkan hak kelayakan mendaftar mengundi. Apatah lagi, bagi menentukan tempat duduk di restoran dan kenderaan awam, serta mengasingkan penggunaan bilik air, sebagaimana berlaku di negara-negara lain," katanya.

Justeru itu, katanya, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menafikan peranan BN sebagai parti pelbagai kaum sebenar yang memperjuangkan kesejahteraan hidup antara kaum di Malaysia selama ini.

"Kita dianggotai oleh pelbagai jenis parti berasaskan kaum dan ada bersifat pelbagai kaum. Bersatu dan bersama mewakili kepentingan semua pihak. Sedangkan di pihak pembangkang, tidak terjamin suara kaum minoriti akan sampai ke peringkat perbincangan kepimpinan tertinggi mereka, hanya kerana mereka tidak diwakili secukupnya," kata Najib.

Najib berkata konvensyen kali ini yang berlangsung di Wisma MCA, sebagai satu tanda bahawa "kita adalah rakan kongsi yang komited dalam usaha untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia".

Katanya pemimpin-pemimpin terdahulu telah merintis warisan paling agung yakni mekanisme perkongsian kuasa dan kerjasama politik antara kaum yang telah terbukti paling berkesan, paling praktikal dan kekal merentasi masa.

Mengimbas sejarah daripada Perikatan kepada BN, Najib berkata malah ada parti-parti yang dahulunya sebagai pembangkang, telah mengiktiraf dan memilih jalan ke arah kesatuan nasional.

"Ini kerana, mereka mempercayai bahawa masa depan negara yang terjamin hanya mampu dibela oleh BN. Selanjutnya, BN juga mengembangkan keanggotaan kepada parti-parti di Sabah dan Sarawak, sekali gus menjelmakan era baru integrasi kebangsaan apabila BN menjadi jambatan politik yang merantau jauh, merentasi Laut China Selatan," katanya.

Katanya, harus dibanggakan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar.

Dalam menyentuh program transformasi politik, Najib menggariskan antara contoh terkini adalah perubahan bersejarah dalam BN sejak ia ditubuhkan iaitu berkaitan keanggotaan.

BN bersetuju mewujudkan empat jenis keanggotaan baru -- keanggotaan secara bersekutu, secara bergabung, rakan BN dan kelab Rakan Muda BN.

"Kita akan terus bergerak dan berusaha agar dasar keahlian terus BN ini akan menjadi realiti yang membawa manfaat kepada parti dan rakyat," katanya.

"Kesimpulan yang boleh dibuat, BN adalah parti yang bertanggungjawab...BN adalah parti yang melaksanakan amanah rakyat dan BN adalah parti di mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan pengharapan," kata Najib.

Saturday, December 4, 2010

KONVENSYEN BN - BUKAN SEKADAR CIPTA PIAGAM BARU

Najib yang menyambung kesinambungan perjuangan dan kepimpinan BN perlu membuktikan apa yang dilakukan oleh Tun Razak pada 1974 akan terus relevan dan mampu menjadi tonggak kepada kecemerlangan dan kemakmuran, selain kestabilan Malaysia.

Konvensyen Barisan Nasional (BN) dua hari – hari ini dan esok (4 dan 5 Disember 2010) amat bermakna untuk parti dan Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Ia bukan sekadar untuk "mencantikkan diri" menerusi logo baru dan piagam baru tetapi yang maha penting ialah suatu tranformasi yang merencana dan mencari semangat sebenar BN dalam menghadapi cabaran mendatang.

Penubuhan BN pada 1974 melalui inisiatif Tun Razak berjaya membawa masuk pelbagai parti politik bergabung di bawah satu payung termasuk Pas kecuali Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan DAP. yang menukar simbol (Perikatan) agar sesuai dengan keperluan ketika itu kini akan dinilai semula ketika anaknya, Datuk Seri Mohd Najib menjadi peneraju.

Komponen BN terus berkembang sehingga dianggotai 15 parti tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008, ia menjadi 14 parti setelah Parti Maju Sabah (SAPP) bertindak keluar daripada BN.

Biarpun tempoh masa antara 1974 dan 2010 itu memakan masa 36 tahun, namun ia bukanlah masa yang terlalu lama. UMNO, MCA dan MIC yang menjadi komponennya lebih lama hadir dalam perikatan itu iaitu sejak zaman Perikatan lagi apabila bergabung untuk kali pertama pada pilihan raya bandaran 1952.

Najib yang menyambung kesinambungan perjuangan dan kepimpinan BN perlu membuktikan apa yang dilakukan oleh Tun Razak pada 1974 akan terus relevan dan mampu menjadi tonggak kepada kecemerlangan dan kemakmuran, selain kestabilan Malaysia.

Tiada orang lain yang mampu memberikan semangat kepada Najib ketika ini selain Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut mengecapi gaya pimpinan bapa Najib.

Selasa lalu, bekas Perdana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji pentadbiran Najib kerana menerima maklum balas dan pendapat orang luar mengenai hal-hal negara.

Beliau berkata penerimaan oleh pentadbiran pada masa ini telah membawa kepada dasar lebih baik yang menyenangkan semua pihak, dengan berkongsi dan meluahkan apa yang ada dalam fikiran mereka, sehingga mendapat sokongan lebih baik daripada orang ramai.

"Saya mesti mengakui bahawa Najib dan pentadbirannya sangat terbuka. Apabila
memerlukan konsultasi daripada sesiapa, mereka akan berbuat demikian, dan saya
juga pernah memberikan pendapat beberapa kali, misalnya mengenai proses transformasi," katanya pada ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Eropah-Malaysia (MEF) di Kuala Lumpur.

Malah beliau meramalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti lebih baik pada pilihan raya umum akan datang berbanding dengan pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan kini masih kuat dan mungkin marjin kemenangan adalah sesuatu yang baik.

Menurut Dr Mahathir: “Saya benci untuk meramal perkara ini kerana ia mungkin tidak diterima dengan sangat baik, tetapi saya fikir menang kuat adalah sangat penting...dalam pilihan raya umum akan datang, kerajaan akan masih menang dan majoriti mungkin lebih baik daripada 2008," katanya ketika ditanya mengenai ramalan beliau bagi pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir berkata pilihan raya umum 2008 menyaksikan pencapaian BN terlalu teruk kerana tewas di lima negeri dan Kuala Lumpur, serta gagal memperoleh majoriti dua pertiga bagi memerlukan untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

"Pilihan raya 2008 jelas menunjukkan bahawa BN telah kehilangan sokongan bukan hanya daripada mereka yang bersimpati tetapi juga anggota parti komponen. Malah kubu kuat BN juga tewas," kata Dr Mahathir yang memegang tampuk kepimpinan kerajaan selama 22 tahun.

Daripada apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir itu amat jelas BN perlu mencari arah perjuangan dan hala tuju yang tepat untuk berdepan pembangkang.

Dengan kata lain BN perlu mempunyai pendekatan radikal dalam menarik golongan muda untuk menyertainya. Kalau tidak mampu menarik mereka secara terus kerana peraturan menegahnya, mesti ada cara lain untuk mendekati mereka.

Kerana itu penting BN menilai sebaik-baik langkah untuk menggunakan peluang dan ruang baru untuk menyasarkan kumpulan pengundi yang berbeza.

BN perlu menjelaskan bahawa perubahan yang sedang dilakukan bukan sekadar mencantikkan luarannya tetapi merupakan satu usaha ke arah mengatasi beberapa perkara yang dilihat boleh menimbulkan pertikaian.

Bak kata pensyarah Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian, "(Contohnya) orang akan bertanya bagaimana mahasiswa universiti yang tidak boleh terlibat dalam politik akan dibenarkan menjadi "rakan" kepada parti politik," katanya.

Cabaran paling penting buat Najib ialah untuk mendapat mandat pertama di mana rekod sebelum ini menunjukkan setiap Perdana Menteri baru akan diberikan mandat besar oleh rakyat.

Tun Razak menang besar pada Pilihan raya Umum 1974 yang menyaksikan pembangkang sukar bangkit dan begitulah juga Tun Hussein Onn pada pilihan raya 1978.

Tidak terkecuali Dr Mahathir pun mendapat sokongan yang baik pada pilihan raya pertamanya selepas menjadi Perdana Menteri pada 1982.

Dan sejarah membuktikan kebenaran ini pada pilihan raya ke 11(2004), Tun Abdullah Ahmad Badawi turut menang cemerlang walaupun empat tahun selepas itu (2008) BN kehilangan banyak kerusi!

Selain berhasrat menang banyak kerusi berpaksikan konsep menawan hati rakyat untuk menerima sesiapa yang ingin menyertai BN sebagai ahli terus atau ahli bersekutu menjadi "Rakan BN” yang juga penting ialah bagaimana BN mampu bertahan dan menyerang asakan pembangkang dan dalam barisan sendiri.

Yang daripada pembangkang amat jelas umpamanya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang.

Tetapi asakan daripada dalam umpamanya apabila ada suara daripada parti seperti MCA, Gerakan, Perti Bersatu Sabah atau juga komponen dari Sarawak.

Contohnya, dalam isu soal perkongsian kuasa – apakah ia benar-benar mencerminkan pemuafakatan kerana ada pihak dalam BN sendiri yang merasakan ia didominasi oleh kumpulan tertentu.

Tetapi paling penting kata Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow, cabaran terbesar ialah bagaimana untuk menonjolkan BN sebagai satu pakatan yang bersatu dan yang sama-sama berusaha untuk berkhidmat dengan baik kepada rakyat.

Soal ini adalah tunjang atau nadi BN kerana kerajaan pimpinan Najib berslogankan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Jika rakyat merasakan mereka tidak diutamakan BN akan ditinggalkan dan inilah sebenarnya sabaran dan hala tuju sebenar yang perlu diberikan keutamaan oleh konvensyen ini.

Setiap komponen perlu memberikan buah fikiran dan selepas ia menjadi keputusan atau piagam dan kerana itu hormatlah.

Idea dan pelan transformasi BN akan menjadikan ia gagasan perjuangan demi rakyat dan negara Malaysia yang menuju ke tahap sebuah negara maju yang makmur, aman dan sejahtera.

Selamat Berkonvensyen!

PENGGUNAAN PERKATAAN JUGA TRANSFORMASI....

Apa jua susunan perkataan atau istilah ekonomi – pengurangan subsidi – yang nyata namanya NAIK.

Kerajaan mengumumkan semalam pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON 95 dan diesel, lima sen setiap kg bagi Gas Asli Cecair (LPG) dan 20 sen satu kg bagi gula berkuatkuasa tengah malam tadi.

Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.

Bunyinya menarik dan bersebab – sebab ekonomi dan mengurangkan pergantungan rakyat kepada subsidi.

Namun yang nyata, kerajaan menaikkan harga m inyak Ron95 dan diesel 5 sen. Sementara LPG naik 20 sen bagi satu kilogram.

Tahniahlah kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana pandai menggunakan kata-kata. Ini juga antara bentuk transformasi kerana ia tidak lagi menggunakan naik tetapi ‘pengurangan subsidi’.

Bezanya dengan kenaikan Ron97 sebelum ini ialah, yang itu diakibatkan ‘kuasa pasaran’ dan yang ini pula’ kerana kerajaan mengurangkan subsidi.

Pada tengah malam Selasa lalu (30 November 2010), Ron 97 juga naik iaitu 15 sen.
Menurut Perdana Menteri, kenaikan sebanyak 15 sen harga petrol RON97 bermula 1 Disember 2010 adalah mengikut harga pasaran dunia dan bukannya ditentukan oleh kerajaan.

"Berdasarkan harga pasaran dunia, ada kalanya naik, ada kalanya turun," jelas beliau.

Dalam konteks Ron95 diesel, LPG dan juga gula, oleh kerana ia membabitkan subsidi pengumuman tentang rationalisasi subsidi itu dibuat melalui kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.

Langkah pertama program rasionalisasi subsidi dilaksanakan pada 16 Julai apabila subsidi bagi petrol RON95 petrol dan diesel dikurangkan sebanyak lima sen seliter, 1sen bagi satu kg untuk LPG dan 25 sen bagi satu kg gula.

Ini bermakna sudah dua kali tahun ini kerajaan pimpinan Najib mengurangkan subsidi.
Jika kerajaan pandai menggunakan kata-kata, rakyat juga mungkin selepas ini akan juga menggunakan kata-kata umpamanya ‘menarik sokongan daripada kerajaan’ atau ‘menarik sokongan kepada Yang Berhormat’ jika mereka tidak lagi mengundi menyokong kerajaan atau Yang Berhormat Barisan Nasional (BN).

Bunyinya menarik dan beralas.

Perkataan ‘menarik sokongan’ juga transformasi daripada perkataan ‘tidak menyokong kerajaan’ atau ‘menentang kerajaan’.

Amat jelas rakyat kini semakin dibebani dengan kenaikan minyak Ron95 dan diesel 10 sen, LPG 15 sen gdan gula pula 45 sen bagi gula untuk tahun ini sahaja.

Pastinya selepas ini rasional lain ialah herga kita masih murah berbanding negara lain.

Tidak tahulah bagaimana rakyat rasa mengenai kenaikan ini. Apakah mereka akan pendam sahaja dan tunggu waktu untuk memberikan jawapannya.

Jika kerajaan boleh memberikan tempoh sehingga tengah malam untuk kuatkuasakan harga baru, selalunya perkiraan undi penting pada pilihan raya juga sampai lewat malam.

Mungkin rakyat juga akan memberitahu kerajaan pada lewat malam bahawa mereka juga mempunyai kuasa untuk menentukan siapa wajar memerintah Malaysia pada pilihan raya umum nanti.

Tuesday, November 30, 2010

DEMI MELAYU - PERKARA 66 PERLEMBAGAAN WAJAR DIPINDA

Saya tertarik dengan pendapat seorang pembentang kertas kerja pada Wacana "Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan" di Shah Alam semalam yang memperkatakan mengenai Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini menarik kerana menurut Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff, kuasa untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang oleh raja-raja dalam Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan yang sebelum ini telah dipinda perlu dikembalikan semula bagi memastikan sistem pemerintahan beraja di negara ini dapat dikekalkan.

Sebenarnya, ada kalangan Menteri yang mempunyai pengalaman dan kelulusan undang-undang turut bersetuju jika pindaan kepada Perkara 66 ini dipinda.

“Ini adalah antara perkara penting yang perlu bagi orang Melayu kerana Raja-Raja Melayu mampu melindungi mereka dengan lebih kuat lagi,’ tegas Menteri berkenaan.

Namun menurutnya, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional perlu mempunyai iltizam yang tinggi untuk melakukannya.

Mohammad Agus pula bercakap selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Sistem Raja Berperlembagaan: Keperluan dan Masa Depan pada Wacana: Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di Shah Alam semalam, menegaskan Perkara 66 ini dipinda dipinda pada 1983.

Hakikatnya, ia merupakan satu sistem yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dan perlu dikekalkan sebagai kelangsungan survival Melayu sebagai penduduk asal.

Beliau berkata, ia juga merupakan identiti dan lambang bangsa Melayu.

Jika dirujuk kepada perlembagaan, Perkara 66 ini adalah berikut:

Perkara 66. Penjalanan kuasa perundangan.

(1) Kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang hendaklah dijalankan melalui Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen (atau, dalam hal yang disebut dalam Perkara 68, oleh Dewan Rakyat) dan, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam Perkara ini, diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(2) Tertakluk kepada Perkara 67, sesuatu Rang Undang-Undang boleh bermula di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen.

(3) Apabila sesuatu Rang Undang-Undang telah diluluskan oleh Majlis Parlimen tempat Rang Undang-Undang itu bermula, maka Rang Undang-Undang itu hendaklah dihantar kepada Majlis Parlimen yang satu lagi; dan Rang Undang-Undang itu hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya apabila telah diluluskan oleh Majlis Parlimen yang satu lagi itu dan persetujuan telah dicapai antara kedua-dua Majlis Parlimen itu mengenai apa-apa pindaan yang dibuat dalam Rang Undang-Undang itu atau apabila Rang Undang-Undang itu dikehendaki dikemukakan sedemikian di bawah Perkara 68.

(4) Yang di-Pertuan Agong hendaklah dalam masa tiga puluh hari selepas sesuatu Rang Undang-Undang dikemukakan kepadanya memperkenankan Rang Undang-Undang itu dengan menyebabkan Mohor Besar dicapkan pada Rang Undang-Undang itu.

(4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah
memperkenankannya.

(4B) (Dimansuhkan).

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang hendaklah menjadi undang-undang apabila diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau sebagaimana yang diperuntukkan dalam Fasal (4A), tetapi tiada undang-undang boleh berkuat kuasa sehingga undang-undang itu telah disiarkan, tanpa, walau bagaimanapun, menjejaskan kuasa Parlimen untuk menangguhkan kuat kuasa mana-mana undang-undang atau untuk membuat undang-undang yang berkuat kuasa ke belakang.

(6) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini atau dalam Perkara 68 boleh menidaksahkan mana-mana undang-undang yang mengesahkan aku janji yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan yang bermaksud bahawa Rang Undang-Undang yang dimaksudkan oleh aku janji itu tidak akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan olehnya kecuali mengikut aku janji itu.

Yang penting, jika kuasa itu dikembalikan kepada Yang DiPertuan Agong atau Raja-Raja Melayu, ia dapat mengimbangi peranan penggubal undang-undang.

"Dengan kembalinya kuasa itu, raja-raja boleh semak dan imbang di situ," katanya.

Menurut Mohammad Agus yang ditemui wartawan selepas itu, bukan mudah untuk mengembalikan perkara itu kepada yang asal (pinda semula Perkara 66) kerana ia memerlukan undi majoriti dua per tiga Ahli Dewan Rakyat untuk kelulusan.

Kata beliau, untuk mendapat undi majoriti itu juga agak sukar kerana tidak mungkin Ahli Dewan Rakyat bukan Melayu akan menyokong perkara itu.

"Jadi saya rasa hanya raja-raja yang boleh meminta supaya kuasa itu dikembalikan kepada mereka dan saya yakin kalau raja yang minta pasti orang Melayu akan sokong," kata beliau.

Apakah akan ada permintaan sedemikian?

Bagaimanakah menggembalikan kuasa itu? Jika orang Melayu dan rakyat Melayu merasakan kuasa itu perlu dikembalikan, mereka perlu bersatu menyokong pindaan ini.

Tidak kiralah dari parti mana sekali pun, jika Ahli Parlimen berbangsa Melayu memahami perlunya pindaan ini, mereka perlu menyokongnya.

Dalam banyak perkara penting, kuasa Raja-Raja Melayu sangat jelas diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan orang Melayu di negara ini.

Ini ditegaskan oleh pakar undang-undang perlembagaan, Prof. Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi pada majlis yang sama bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melantik Perdana Menteri, menteri Kabinet dan timbalan menteri untuk menasihati baginda dalam tugas-tugas baginda. ''Kuasa-kuasa ini diperuntukkan dalam perkara 43(1),(2) dan 43A Perlembagaan Persekutuan."

Selain itu, keputusan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk tidak memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak boleh dicabar kerana ia jelas dilakukan mengikut perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh negeri itu.

Katanya, peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai raja berperlembagaan amat jelas digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh di negeri masing-masing. Menurutnya, peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan juga telah menetapkan kuasa-kuasa baginda di dalam pelbagai perkara.

Dan jika Pindaan 66 itu dilakukan, ia akan mengukuhkan lagi peranan Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam menjamin kedudukan orang Melayu.

Persoalannya, berani dan bersediakan UMNO dan Barisan Nasional melakukannya walaupun berdepan dengan cabaran yang sukar?