Showing posts with label naik. Show all posts
Showing posts with label naik. Show all posts

Saturday, December 4, 2010

PENGGUNAAN PERKATAAN JUGA TRANSFORMASI....

Apa jua susunan perkataan atau istilah ekonomi – pengurangan subsidi – yang nyata namanya NAIK.

Kerajaan mengumumkan semalam pengurangan subsidi sebanyak lima sen bagi setiap liter petrol RON 95 dan diesel, lima sen setiap kg bagi Gas Asli Cecair (LPG) dan 20 sen satu kg bagi gula berkuatkuasa tengah malam tadi.

Berikutan pengurangan subsidi itu, harga petrol RON95 ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 satu kg dan gula RM2.10 satu kg.

Bunyinya menarik dan bersebab – sebab ekonomi dan mengurangkan pergantungan rakyat kepada subsidi.

Namun yang nyata, kerajaan menaikkan harga m inyak Ron95 dan diesel 5 sen. Sementara LPG naik 20 sen bagi satu kilogram.

Tahniahlah kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana pandai menggunakan kata-kata. Ini juga antara bentuk transformasi kerana ia tidak lagi menggunakan naik tetapi ‘pengurangan subsidi’.

Bezanya dengan kenaikan Ron97 sebelum ini ialah, yang itu diakibatkan ‘kuasa pasaran’ dan yang ini pula’ kerana kerajaan mengurangkan subsidi.

Pada tengah malam Selasa lalu (30 November 2010), Ron 97 juga naik iaitu 15 sen.
Menurut Perdana Menteri, kenaikan sebanyak 15 sen harga petrol RON97 bermula 1 Disember 2010 adalah mengikut harga pasaran dunia dan bukannya ditentukan oleh kerajaan.

"Berdasarkan harga pasaran dunia, ada kalanya naik, ada kalanya turun," jelas beliau.

Dalam konteks Ron95 diesel, LPG dan juga gula, oleh kerana ia membabitkan subsidi pengumuman tentang rationalisasi subsidi itu dibuat melalui kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri.

Langkah pertama program rasionalisasi subsidi dilaksanakan pada 16 Julai apabila subsidi bagi petrol RON95 petrol dan diesel dikurangkan sebanyak lima sen seliter, 1sen bagi satu kg untuk LPG dan 25 sen bagi satu kg gula.

Ini bermakna sudah dua kali tahun ini kerajaan pimpinan Najib mengurangkan subsidi.
Jika kerajaan pandai menggunakan kata-kata, rakyat juga mungkin selepas ini akan juga menggunakan kata-kata umpamanya ‘menarik sokongan daripada kerajaan’ atau ‘menarik sokongan kepada Yang Berhormat’ jika mereka tidak lagi mengundi menyokong kerajaan atau Yang Berhormat Barisan Nasional (BN).

Bunyinya menarik dan beralas.

Perkataan ‘menarik sokongan’ juga transformasi daripada perkataan ‘tidak menyokong kerajaan’ atau ‘menentang kerajaan’.

Amat jelas rakyat kini semakin dibebani dengan kenaikan minyak Ron95 dan diesel 10 sen, LPG 15 sen gdan gula pula 45 sen bagi gula untuk tahun ini sahaja.

Pastinya selepas ini rasional lain ialah herga kita masih murah berbanding negara lain.

Tidak tahulah bagaimana rakyat rasa mengenai kenaikan ini. Apakah mereka akan pendam sahaja dan tunggu waktu untuk memberikan jawapannya.

Jika kerajaan boleh memberikan tempoh sehingga tengah malam untuk kuatkuasakan harga baru, selalunya perkiraan undi penting pada pilihan raya juga sampai lewat malam.

Mungkin rakyat juga akan memberitahu kerajaan pada lewat malam bahawa mereka juga mempunyai kuasa untuk menentukan siapa wajar memerintah Malaysia pada pilihan raya umum nanti.

Friday, January 1, 2010

TAHUN BARU 2010…GULA & MINYAK

Harga gula naik.

Bagi orang seperti saya, bukan tidak tersentuh apa-apa. Lagi mahal lagi bagus sebab saya dinasihatkan menggunakan gula pada peringkat paling minimum.


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung, serta RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa 12 tengah malam semalam.

Apapun, kenaikan harga gula akan mendatang impak kepada harga makanan dan minuman.

Dalam konteks penyeludupan di sempadan (jika ada) ia tidak berkesan apa-apa.

Biarpun harga gula di Malaysia dinaikkan tetapi ia masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain di rantau Asia Tenggara.

Harga baru gula di Semenanjung ialah RM1.65 sekilogram berbanding Thailand (RM2.50), Singapura (RM3.05), Indonesia (RM3.40) dan Filipina (RM3.62.

Seperti saya katakana, kenaikan harga gula sebanyak 20 sen hanya akan membawa kesan kenaikan harga yang minimum ke atas produk berasaskan gula termasuk makanan dan minuman.

Pastinya, kenaikan tertinggi melibatkan krimer pekat manis seberat 505 gram dengan anggaran kandungan gula 228 gram, kosnya cuma naik 4.6 sen sahaja atau kurang daripada 5 sen.

Sepatutnya harga secawan teh tarik dengan anggaran gula 40 gram hanya akan mengalami kesan kenaikan 0.8 sen, iaitu kurang daripada 1 sen. Namun, saya fikir ia tidak akan terjadi begitu.

Harga barangan makanan dijangka naik melebihi paras itu dan akan bisinglah pengguna nanti.

Demi rakyat, kerajaan terus menanggung kos subsidi gula yang besar sebanyak RM1.008 bilion walaupun selepas harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen.

Dengan berdasarkan anggaran penggunaan gula dalam negara pada 2010 sebanyak 1.26 juta tan metrik, tanggungan subsidi gula oleh kerajaan akan meningkat kepada RM1.26 bilion pada 2010 berbanding RM720 juta pada 2009 jika harga gula dikekalkan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom berkata semalam, kenaikan harga gula tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga gula mentah dunia terutama sejak Ogos lalu.

Pada ketika harga gula naik, harga minyak mentah dunia melonjak naik menjelang tirai tahun baru 2010 semalam, dengan isyarat baru ke arah pemulihan krisis kewangan global.

Kontrak hadapan minyak mentah New York bagi 'light sweet' bagi pembekalan Februari, meningkat 8 sen lebih tinggi untuk dititup kepada AS$79.36 setong.

Kontrak hadapan London Brent North Sea bagi pembekalan Februari bagaimanapun menurun 10 sen untuk ditutup pada harga AS$77.93 setong.

Mengambil kira kebanyakan pasaran dunia ditutup berikutan cuti panjang tahun baru, kontrak hadapan New York dijangka mencecah kepada paras harga AS$80 setong apabila dibuka Isnin.

"Jelas momentum ke arah harga AS$80 setong selepas wujud petanda pemulihan terhadap kemelut ekonomi global sebelum ini," kata penganalisis pasaran, Mike Fitzpatrick dari MF Global.

Apakah selepas ini harga minyak pula akan dikaji semula?