Sunday, November 21, 2010
APA AGENDA EKONOMI MELAYU?
Oleh Dr. Noor Azlan Ghazali
(Mingguan Malaysia)
Saya mengajukan persoalan ini kepada orang Melayu dan juga keseluruhan rakyat Malaysia. Apakah agenda ekonomi orang Melayu? Soalannya ringkas tetapi jawapannya mungkin tidak semudah yang disangka.
Mencabar dan menguji keupayaan kita untuk berbicara mengenai sesuatu yang amat penting secara terbuka. Mungkin bukan sahaja orang Melayu, tetapi rakyat berbangsa Cina, India, dan lain-lain juga ingin tahu.
Bukan perkara asing lagi untuk semua rakyat Malaysia. Kedudukan ekonomi Melayu adalah perkara pokok dalam proses pembangunan negara. Sejauh mana kemajuan yang dicapai dianggap memuaskan sebahagian besarnya secara langsung atau tidak tertakluk kepada sejauh mana ia mampu melonjakkan status sosio-ekonomi orang Melayu. Apa tidaknya, asalnya Malaysia adalah Tanah Melayu. Sekitar 54 peratus penduduk Malaysia berbangsa Melayu.
Sejarah telah menempatkan orang Melayu dan beberapa bangsa yang lain sebagai masyarakat bumiputera tanpa mengenepikan hak rakyat Malaysia dari bangsa lain.
Pastinya sebarang perubahan yang dilaksanakan semestinya mengambil perhatian yang besar kesannya ke atas orang Melayu. Tajuk ini tajuk negara. Ia wajar dibincangkan di pelantar utama di Putrajaya bukan sekadar di medan-medan kecil dan terpinggir. Semua rakyat Malaysia khususnya barisan pemimpin harus memahami, berasa selesa dan bertanggungjawab membincangkan tajuk ini.
Dalam setiap aspek pembangunan; sistem pendidikan, pembangunan industri, kemajuan wilayah, pembangunan keusahawanan, dasar kewangan, proses globalisasi dan sebagainya, penilaian bagaimana ia mengesani masyarakat Melayu sering menjadi pengukur penting, dalam menggubal dan membuat keputusan sama ada untuk diteruskan ataupun sebaliknya.
Begitulah hakikatnya rentak pembangunan negara kita. Tiada apa yang perlu diselindungi. Di samping konteks negara, polisi pembangunan sememangnya perlu dianalisis dalam konteks kemajuan bangsa Melayu. Adakah kita mempunyai kepakaran untuk melaksanakan penilaian ini? Secara sistematik dan profesional didasari pada asas ekonomi dan fakta yang kukuh.
Kesepakatan dalam pembangunan
Namun, ini bukannya lesen untuk membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Ini bukan juga lesen untuk menghalang rakyat berbangsa lain dari terus melonjak ke hadapan. Dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia, semangat maju bersama mesti dipupuk dan dipegang kukuh. Perhatian utama ialah bagaimana kek ekonomi negara dapat diperbesarkan. Sebaik yang boleh semuanya menang belaka, Melayu suka, Cina gembira, India ceria, Kadazan girang, Iban riang.
Pengukuhan ekonomi negara memerlukan kesepakatan. Umpama dalam peperangan, yang nak ditewaskan musuh bukannya rejimen yang lain. Malaysia berhadapan dengan cabaran besar. Arus globalisasi dan kemajuan teknologi yang begitu pantas menghambat kita.
Strategi perlu diatur segera. Sedar atau tidak, negara Vietnam yang dahulunya di tahun 1980 hampir tidak langsung ( 0 peratus) menerima pelaburan asing yang melabuh ke Asia Tenggara kini sudah menerima pelaburan asing yang hampir sama jumlahnya dengan jumlah yang diterima oleh Malaysia. Terkejut, gundah, pedih, risau, semuanya ada.
Malaysia kini di persimpangan yang amat penting. Model Baru Ekonomi (MEB) menjadi pertaruhan besar kita. Tahun 2020 hanya tinggal 10 tahun lagi, tempoh yang pendek bagi tujuan pembangunan. Sejarah mengatur medan politik negara berdasarkan kumpulan bangsa. Selagi ini medannya, maka wajarlah setiap bangsa mengatur strategi masing-masing tetapi bersyarat mesti seiring dengan strategi pembangunan negara.
Kemudiannya diharmonikan agar jangan ada yang tertembak sesama sendiri. Mungkin ini satu cabang 1 Malaysia yang perlu digembelengkan.
Strategi 'co-opetition', berkerjasama dan bersaing secara serentak secara sihat baik untuk Malaysia. Dengan 53 tahun kemerdekaan, Malaysia sudah cukup matang untuk membangun secara majmuk, berkompromi dan memenuhi kehendak semua pihak secara saksama. Di sudut mata dunia, inilah antara keunikan dan kekuatan Malaysia yang disegani. Serata dunia kita menjaja Malaysia Truly Asia. Kalau ia berjaya untuk pelancongan, mengapa tidak untuk kemajuan semua bangsa. Jangan beremosi tetapi meletakkan fakta dan asas yang jelas bagi menterjemahkan sesuatu hasrat.
Ke manakah ekonomi orang Melayu?
Ke mana agaknya nak kita tuju? Apakah hasrat ekonomi orang Melayu? Apakah ukuran terbaik mengukur kejayaan ekonomi orang Melayu? Kalau ditanya sebahagian besar rakyat Malaysia, jawapannya, 30 peratus! Versi terkini ada pula yang kata 50 peratus, 60 peratus dan bermacam lagi. Benarkah kalau penguasaan ekuiti 30 peratus dicapai kita dianggap berjaya dan selesa? Bagaimanakah semua ini akan tercapai?
Apakah strategi dan agenda kita? Masih tidak jelas.
Apa pun pengiraan dan kewajaran di sebalik angka-angka peratusan penguasaan ekuiti ini, apa yang perlu dilaksanakan masih samar untuk diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan.
Kalau kita membina rumah tentu ada pelan dan susun atur pembinaannya. Sebelum mula membina kita sudah mula melakar dan membayangkan bagaimanakah bentuknya apabila siap nanti. Pembinaan dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat. Cepat atau lambat bergantung pada usaha kita. Mesti ada koordinasi yang baik. Tidak boleh dibina bumbung tanpa ada tiangnya. Tidak boleh dibina tiang tanpa ada tapaknya. Siapakah yang melakar pelan rumah ekonomi orang Melayu?
Bagaimanakah rupanya rumah ekonomi orang Melayu yang hendak dibina? Siapa yang bertanggungjawab membina dan memantau pembinaannya? Di manakah tiang dan tapak rumah ekonomi orang Melayu?
Kita memerlukan satu pelan strategik yang komprehensif dengan terjemahan keberhasilan yang jelas, difahami dan disokong semua. Kita seharusnya mempunyai kesepakatan dalam pelan ini. Rumah ekonomi orang Melayu besar sifatnya-bagai istana.
Banyak 'pekerja' yang terlibat-pendidik, usahawan, ilmuan agama, ahli sains dan teknologi, pakar kewangan, perancang pembangunan, pembina infrastruktur, aktivis budaya, dan sebagainya. Setiapnya berfungsi secara berbeza tetapi dengan pelan yang jelas kita mampu membina, memantau, menilai dan menyemak kemajuan sepanjang pembinaan istana ini. Tidaklah istana yang diharap tetapi pondok jadinya.
Agenda Strategik Ekonomi Melayu: Penyertaan-Pemilikan-Penguasaan (3P)
Dalam tempoh 53 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memberi impak yang besar kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Jangan dinafikan kemajuan yang dicapai.
Hidup kita lebih selesa. Pada tahun 2009, pendapatan bulanan purata isi rumah bumiputera ialah RM3,624. Benar, dari segi jumlah masih lebih rendah dari bangsa China (RM5,011) dan India (RM3,999). Ini bukan bererti kita lemah. Jangan salah tafsir data purata ekonomi ini. Bumiputra merupakan komposisi terbesar dan begitu tersebar sifatnya. Yang lebih penting walaupun komposisi kita besar, dalam tempoh lima tahun yang lepas (2004-2009), berbanding bangsa lain, pertumbuhan tahunan purata pendapatan bumiputra mencatat kadar tertinggi iaitu enam peratus (China: 2.5 peratus dan India:3.0 peratus). Ini petanda yang amat baik menuju ke arah keserataan nilai.
DEB serampang bermata dua. Yang pertama jelas kemajuannya. Pada tahun 2009 kadar kemiskinan ialah 3.8 peratus jauh menurun dari lebih dari 50 peratus awal 70-an. Usaha membasmi kemiskinan perlu diteruskan. Perhatian dan tenaga kita perlu dikerah pada yang mata yang kedua, perihal struktur dan penguasaan kek ekonomi rakyat Malaysia.
Agenda ekonomi Melayu perlu bersifat strategik. Keberhasilan apa jua langkah memajukan ekonomi orang Melayu perlu menuju ke matlamat akhir yang sama iaitu mencapai kedudukan ekonomi yang mantap dan lestari, mempunyai organiknya yang tersendiri untuk terus mengukuh. Dengan pencapaian ini kita perlu secara teratur dan dan terancang berani melepaskan tongkat polisi afirmatif kerajaan tanpa menjejaskan apa yang telah dicapai.
Polisi afirmatif jangan dibuang langsung tetapi digunakan sebagai jaringan keselematan bagi yang memerlukan. Untuk menjadi strategik dan membenih sifat organik, agenda ekonomi Melayu perlu mensasarkan kepada 3P: Penyertaan, Pemilikan, dan Penguasaan.
Saturday, November 20, 2010
ALLAH BAYAR TUNAI KEPADA ANWAR
Ini bukan mengenai isu liwat.Ia berkaitan bagaimana perasaan seseorang pemimpin tertinggi apabila dikecam dan diserang oleh seseorang yang beliau ‘dengan tangannya sendiri’ mengangkat orang itu ke jawatan penting parti dan kedudukan, tiba-tiba ‘menggigit kembali tangannya’.
Nah rasakan, mungkin Allah bayar tunai apa yang pernah pemimpin tertinggi ini lakukan kepada seseorang yang lain sebelum ini.
Tidak perlu menunggu selepas mati atau di akhirat!Terus terang , saya bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Datuk Zaid Ibrahim seperti saya bersimpati dengan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Anwar menentang dan memburuk-burukkannya.
Anwar perlu muhasabah diri mengenai apa yang dia lakukan terhadap seorang insan yang banyak berkorban dan melakukan terbaik untuknya – TDr Mahathir Mohamad.
Apa yang Dr Mahathir tidak lakukan untuk menaikkan Anwar. Dalam masa satu dekad sahaja Anwar melonjak daripada seorang yang tidak kaya dan pengaruhnya tidak sebenar mana, menjadi seorang yang dikenali dalam dan luar negara.
Segala-galanya bermula pada 1982 dan pada 1993 di mana Anwar?
Bukankah daripada sebagai Ketua Pemuda UMNO kepada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri?
Siapa dalam politik Malaysia dan UMNO meningkat begitu cepat? Bukankah Dr Mahathir mencipta sejarah untuk Anwar hingga ke peringkat begitu tinggi?
Soal beliau dipenjara dan terpaksa mengharungi kehidupan sukar selepas itu adalah ‘kesilapan dirinya sendiri’ dan bukan dicorakkan oleh Dr Mahathir.
Mungkin ada yang berkata Dr Mahathir menggunakan Anwar untuk memperkukuhkan kedudukan politikknya.
Persoalan ialah apa kurangnya Anwar? Bukankah ‘pengambilan’ terhadap Zaid itu dibuat selepas Zaid memburuk-burukkan UMNO dan kepimpinan kerajaan, termasuk Dr Mahathir sendiri?
Anwar gunakan Zaid untuk memperbaiki penarafan politiknya di kalangan rakyat Malaysia dan kemuncak ialah dengan begitu mudah dan cepat meletakkan Zaid Ibrahim sebagai calon Parti Keadilan Rakyat bertanding di pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.
Tidakkah ini sesuatu yang menunjukkan Anwar melakukan apa sahaja untuk menaikkan Zaid?
Tetapi kini apa yang Anwar dapat?
Anwar pun kena merenungi dirinya – apa yang Dr Mahathir tidak lakukan untuk naikkan dirinya.
1. Dr Mahathir sanggup membelakangkan kehendak ahli parti khususnya Pemuda UMNO untuk memasukkan Anwar ke dalam UMNO dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM);
2. Dr Mahathir membelakangkan kehendak Datuk Musa Hitam (kini Tun) yang menyokong Datuk Suhaimi Kamaruddin sebagai Ketua Pemuda UMNO;
3. Dr Mahathir meletakkan Anwar sebagai orang penting dalam kerajaan dan UMNO bagi menjayakan Dasar Penerapan Islam Dalam Pentadbiran bagi perkara khusus seperti pembentukan Universiti Islam Antarabangsa serta Perbankan dan Insurans Islam;
4. Dr Mahathir membelakangkan bantahan beberapa pihak dalam UMNO bagi meletakkan Anwar sebagai Naib Presiden UMNO;
5. Dr Mahathir memberikan kedudukan penting kepada Anwar sebagai Menteri Pendidikan;
6. Dr Mahathir mengangkat Anwar sebagai Menteri Kewangan dan kemudian Timbalan Perdana Menteri sementara dalam parti ialah Timbalan Presiden UMNO; dan
7. Memangku jawatan ‘Perdana Menteri’ beberapa ketika sesama Dr Mahathir bercuti di luar negara.
Bagi Anwar pula, beliau melakukan yang termampu untuknya mengangkat Zaid yang berada dalam PKR selama 18 bulan termasuk sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan anggota Biro Politiknya dan dilihat begitu intim dengan Anwar.
Malah akhirnya Zaid mendakwa dirinya sebagai Penyelaras Parti Keadilan yang kemudiannya dinafikan Anwar dan membuktikan apabila sudah tidak sehaluan lagi, segala-galanya ‘dalam kelambu’ pun didedahkan.
Jika Anwar memburukkan Dr Mahathir mengatakan beliau diktator dan sebagainya, Anwar disifatkan oleh Zaid sebagai pemimpin yang gemar menghina orang lain dan menganggap Zaid sebagai ‘orang jahat’, ‘kuda trojan dan ‘sore loser’.
Jika Anwar menggunakan reformasi untuk menunjukkan bantahan kepada Dr Mahathir, Anwar turut menerima celaan daripada penyokong PKR umpamanya apa yang berlaku di beberapa tempat, termasuk di Dataran Shah Alam malam kelmarin, apabila satu kumpulan memintanya dan Azmin Ali ‘berundur’.
Apakah Anwar tidak pernah mendesak Dr Mahathir berundur?
Apa yang berlaku kepada Anwar kini adalah pusingan roda kejadian alam yang menunjukkan betapa balasan tidak semestinya selepas seseorang itu sudah tidak ada lagi di dunia ini tetapi Allah berkuasa segala-galanya.
Anwar mungkin merasakan dia masih kuat dengan bantuan
beberapa rakannya yang masih ada dalam PKR tetapi cuba lihat siapa yang masih di kelilinginya?Yang kuat mungkin Azmin serta Saifuddin Nasution. Di mana rakan-rakannya ketika reformasi dahulu?
Kenapa mereka menjauhkan diri? Kenapa mereka tidak sebulu lagi dengan Anwar?
Jawapannya ada pada Anwar sendiri.
Nawaitu terhadap sesuatu kerja atau perbuatan amat penting untuk keredaan Allah. Jika ia dibuat kerana perasaan dendam dan cuba menjatuhkan orang lain, ia bukanlah suatu kerja yang berkat.
PKR ditubuhkan kononnya untuk keadilan, demokrasi dan mereformasikan masyarakat Malaysia. Namun pada diri Anwar sendiri sama ada sebagai Ketua Umum dan Penasihat PKR apakah dia layak untuk melakukan reformasi bagi dirinya sendiri?
Sesuai dengan Hari Raya Korban ini, adalah baik Anwar bermuhasabah dan melihat semula perjalanan politiknya – yang dipermudah dan yang disukarkan Allah untuknya membuat satu pendirian.
Sama ada perlu dia meneruskan langkah untuk terus memporak-perandakan masyarakat Malaysia, mengaibkan Islam dan wajarkah dia meneruskan ‘langkah ke Putrajaya’ untuk menjadi Perdana Menteri.
Atau dia berkorban dan mengorbankan cita-cita dan nafsu serta ‘dendam kesumat terhadap Dr Mahathir yang tidak berkesudahan ‘ untuk menjadi rakyat biasa yang insaf terhadap segala dosa politik dan peribadinya agar sisa-sisa hidupnya tidak semakin tercemar dengan pertelingkahan berterusan sama ada dengan lawan politik atau bekas kawan politiknya.
Jelas isu Zaid menjadi pengajaran penting buat Anwar untuk menilai siapa dirinya yang sebenar!
SIME DARBY - HUKUM INDIVIDU ATAU DAPATKAN SEMULA KERUGIAN
Kemelut kerugian besar Sime Darby’.Penulis ini menimbulkan soal kenapa Lembaga Pengarah tidak mengumumkan langkah-langkah yang sepatutnya diambil bagi mendapatkan balik sejumlah besar kerugian tersebut.
Kerugian yang dialami sejumlah besarnya adalah dari kos over run yang ditanggung semasa
menjalankan kerja-kerja projek. Dalam semua kontrak tentu ada variation klaus mengenai perubahan harga atau pindaan kepada spesifikasi yang membolehkan kontraktor mendapat tambahan harga projek (melainkan dalam semua kes ini tidak ada variation Klaus), kata pengirimnya.Ikuti apa yang ditulis oleh Esa Adam dari Bandar Sunway, Selangor:
“KERUGIAN besar RM1.63 bilion yang ditanggung oleh Sime Darby memeranjatkan ramai rakyat dan juga warga korporat di Malaysia.
Dalam mesyuarat agung tahunannya pada 16 November 2010 Pengerusi Sime Darby Tun Musa Hitam mengumumkan yang Sime Darby akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang dipercayai terbabit menyebabkan ia mengalami kerugian yang amat besar.
Pemegang-pemegang saham Sime Darby mengalu-alukan tindakan Lembaga Pengarah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit tetapi tidak mengumumkan langkah-langkah yang sepatutnya diambil bagi mendapatkan balik sejumlah besar kerugian tersebut.
Kerugian yang dialami sejumlah besarnya adalah dari kos over run yang ditanggung semasa menjalankan kerja-kerja projek. Dalam semua kontrak tentu ada variation klaus mengenai perubahan harga atau pindaan kepada spesifikasi yang membolehkan kontraktor mendapat tambahan harga projek (melainkan dalam semua kes ini tidak ada variation Klaus).
Sepatutnya Lembaga Pengarah Sime Darby menumpukan usaha lebih ke arah mendapatkan balik lebihan kos ini dari syarikat-syarikat yang memberi kontrak kepada Sime Darby dan bukan hanya tertumpu kepada aspek salah laku individu yang terlibat.
Ini kerana jika ia pun berlaku salah laku dan individu disabit kesalahan dalam mahkamah berapa banyakkah yang boleh dituntut oleh Sime Darby.
Pesalah lebih cenderung memilih tinggal di penjara dari[ada membayar balik tuntutan dari Sime Darby. Dan jumlahnya mungkin tidak sebanyak mana dari jumlah RM1.63 bilion itu.”
Ada kebenaran mengenai apa yang disuarakan oleh Adam ini.
Sewajarnya pihak yang terbabit dalam menggendalikan isu ini melihat semula tindakan Lembaga Pengarah Sime Darby itu.
Monday, November 15, 2010
ZAID AKHIRNYA KELUAR PKR?
Datuk Zaid Ibrahim akhirnya keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) — sebagaimana telah dijangkakan ramai sebelum ini, - seminggu selepas mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden.Isnin lalu, beliau mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden atas alasan diselubungi kepincangan dan kecacatan.
Pada ketika beberapa akhbar dan Bernama tidak berani mengesahkan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, dengan mengatakan Zaid tidak menolak kemungkinan akan keluar daripada parti itu dalam masa terdekat, The Malaysian Insider begitu yakin mengatakan Zaid keluar PKR seperti dijangka.
Utusan Malaysia dan Bernama mengatakan mungkin kerana menerusi SMSnya kepada Bernama, Zaid menegaskan keputusan keluar PKR itu masih dalam pertimbangan.
"Belum (keluar parti), mungkin tidak lama lagi.”
Malaysiakini sekadar menyebut Zaid bersedia tinggalkan PKR kerana meluat dengan pemimpinnya. Memetik blog Zaid, Malaysia kini melaporkan Zaid sebagai berkata:“Saya tidak mahu terus bersekongkol dengan perkara buruk atau yang tidak betul dalam parti supaya orang yang tertpilih itu akan dilantik mengisi jawatan tertinggi. Saya benci untuk mengalah kerana akan dilabel sebagai orang yang mudah berputus asa. Saya lebih rela (ketua umum PKR) Anwar (Ibrahim) pecat saya.
“Tetapi jika mereka tidak pecat saya, sudah tentu saya akan meninggalkan parti tidak lama lagi,” katanya kepada portal berita, Free Malaysia Today.
Akhbar The Star hari ini turut melaporkan, bekas calon timbalan presiden PKR itu telah membuat keputusan untuk keluar parti, dengan mengatakan bahawa beliau telah muak dengan pergolakkan dalaman parti.
Zaid juga dilaporkan berkata, bahawa “beliau tahu masanya sudah suntuk untuk terus berada dalam PKR ekoran serangan bertali arus ke atas peribadinya oleh pemimpin-pemimpin parti”.
Malah ketika itu beliau juga mengumumkan akan melepaskan kesemua jawatan dalam parti dan hari ini memutuskan untuk meninggalkan PKR.
“Saya tahu hari saya dalam parti (PKR) sudah dihitung kerana pemimpin — pemimpinnya secara terus-menerus menyerang saya,” kata Zaid yang menyertai PKR 18 bulan yang lalu.
Bagaimanapun, Sekretariat ibu pejabat Parti
Keadilan Rakyat PKR masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada Zaid.Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar kiri) berkata surat peletakan jawatan perlu diserahkan kepada parti terlebih dahulu sebelum PKR mengesahkan Zaid keluar parti.
Ia seperti kerja kalau nak berhenti pertama serahkan surat letak jawatan kepada majikan kemudian mereka akan buat keputusan Kita masih belum menerima apa-apa surat daripada Zaid setakat ini yang mengatakan mahu keluar parti katanya.
Bagaimanapun Saifuddin berkata bahawa beliau tidak rasa terkejut sekiranya laporan media mengatakan Zaid mahu keluar parti adalah benar. “Tidak ia bukan satu kejutan kepada kita Tidak tidak sama sekali,” katanya.
Zaid sebagaimana telah dijangkakan ramai sebelum ini keluar PKR seminggu selepas mengumumkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden
Dalam temu bual dengan The Star edisi hari ini Zaid berkata, saya tidak jelek dengan parti tetapi jelek dengan pemimpin-pemimpin yang sakit dalam parti ‘
Zaid mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.
Malah kata Zaid beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil.
Minggu lalu, Zaid turut meminta Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pesaing jawatan timbalan presiden Azmin Ali agar meninggalkan PKR atas alasan mereka punca kepada segala masalah dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu.
Zaid, penyelaras Pakatan Rakyat, menyertai PKR pertengahan Jun 2009 selepas dipecat oleh Umno beberapa bulan sebelum itu, di mana beliau juga kritikal dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Kelmarin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Umno tidak akan menerima beliau kembali.
Dalam temu bual dengan The Star edisi hari ini, Zaid berkata, “saya tidak jelek dengan parti tetapi jelek dengan pemimpin-pemimpin yang sakit dalam parti.”
Zaid mengambil keputusan ini ketika tinggal sebulan lagi Pakatan Rakyat dijadual mengadakan konvensyen kedua mereka di Pulau Pinang.
Malah kata Zaid, beliau diserang bertubi-tubi hanya kerana meminta agar diadakan pemilihan yang bersih dan adil.
Zaid, yang berada dalam Umno selama 23 tahun, sebelum ini merupakan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan anggota Biro Politiknya.
Pada April lalu beliau bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.