Showing posts with label Saiful. Show all posts
Showing posts with label Saiful. Show all posts

Wednesday, July 11, 2012

MARI KITA TONTON SANDIWARA 'MUSIM BARU' ANWAR IBRAHIM


"Yang arif hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan... Mohamad Zabidin telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menilai semula keseluruhan keterangan berkaitan dengan pengutipan, pengendalian dan analisis sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Mohd Saiful." - Pihak Pendakwaan

Terkhilaf, terkhilaf dan banyak yang terkhilaf.

Bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan kini semakin jelas mendapat pembelaan sewajarnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mendengar perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini beberapa kali disifatkan terkhilaf dalam memutuskan terdapat keraguan ke atas integriti sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Saiful Bukhari.

Demikian jika menurut pihak pendakwaan yang memohon Mahkamah Rayuan agar mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Saiful Bukhari.

Menurut Bernama, pihak pendakwaan juga memohon supaya Ketua Pembangkang itu disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu.

Menurut pihak pendakwaan Mohamad Zabidin telah pun membuat penemuan di akhir kes pendakwaan bahawa "male Y" yang diperoleh dari profil DNA yang dianalisis oleh ahli kimia, Dr Seah Lee Hong adalah dari 'semen extract' (ekstrak air mani) yang mana berpadanan dengan profil DNA yang diperolehi dari sampel-sampel yang diambil dari lokap yang dihuni dan digunakan oleh Anwar.

Ini adalah antara alasan pihak pendakwaan dalam petisyen rayuan yang difailkan petang Isnin lepas di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan terhadap pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang itu daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful.

Dalam petisyen itu pihak pendakwaan mengemukakan 10 alasan.

Pihak pendakwaan berkata, Mohamad Zabidin di akhir kes pendakwaan juga telah memutuskan bahawa tidak ada jalan untuk pegawai penyiasat DSP Blacious Judy Pereira menggunakan sampel-sampel DNA yang diperolehi dari sel lokap itu untuk mengusik sampel-sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful.

Ia juga menyatakan bahawa hakim telah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa dari manakah pegawai penyiasat itu dapat memperolehi sampel air mani yang berpadanan dengan profil DNA yang diperolehi dari sampel-sampel barang-barang yang digunakan oleh Anwar yang diambil dari lokap itu.

Pihak pendakwaan juga berkata bahawa hakim itu telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mendapati terdapat keraguan terhadap integriti sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Mohd Saiful sedangkan hakim itu telahpun memanggil Anwar membela diri terhadap pertuduhan meliwat itu di akhir kes pendakwaan.

"Yang arif hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan berdasarkan keseluruhan keterangan yang dikemukakan," kata pihak pendakwaan.

Ia juga berkata Mohamad Zabidin telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menilai semula keseluruhan keterangan berkaitan dengan pengutipan, pengendalian dan analisis sampel-sampel DNA yang diperolehi daripada Mohd Saiful.

Hakim itu telah memberi pertimbangan yang salah kepada keterangan-keterangan saksi-saksi pembelaan iaitu Dr David Wells and Dr Brian Mc Donald, yang menyatakan pendapat mereka yang berdasarkan teori-teori yang tidak lengkap dan tidak menyeluruh tanpa mengambil kira teori-teori-teori dan penulisan-penulisan oleh lain-lain pakar yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan berkata hakim itu juga telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal menilai kepakaran dan pengalaman Dr Brian dalam pemeriksaan DNA.

Hakim itu juga telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal menimbangkan bahawa Dr Seah dan ahli kimia Dr Nor Aidora Saedon telah memberikan pendapat mereka berdasarkan pemeriksaan dan analisis yang dibuat oleh mereka sendiri ke atas sampel-sampel DNA tersebut berbanding dengan Dr David and Dr Brian yang memberikan pendapat mereka hanya berdasarkan teori-teori sahaja.

 "SP5 (Dr Seah) dan (Dr Nor Aidora) SP6 juga telah mengambil kira kemungkinan-kemungkinan yang ditimbulkan oleh saksi-saksi pembelaan semasa membuat pemeriksaan dan analisis ke atas sampel-sampel DNA tersebut," kata pihak pendakwaan lagi.

Hakim itu juga telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira bahawa tidak ada keterangan yang menunjukkan mana-mana bekas-bekas sampel DNA yang telah dimeteri itu telah dikacau ganggu.

Ini kerana Dr Seah dan Dr Nor Aidora telah mengesahkan bahawa meteri pada bekas-bekas sampel DNA yang mereka perolehi daripada DSP Judy masih utuh.

Pihak pendakwaan berkata hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira bahawa terdapat lain-lain keterangan yang menyokong keterangan Mohd Saiful sepertimana yang telah dinyatakan oleh hakim itu dalam penemuannya di akhir kes pembelaan.

Hakim itu telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila meletakkan beban pembuktian yang lebih tinggi dari beban pembuktian melampaui keraguan yang munasabah ke atas pihak pendakwaan dalam membuktikan kes mereka.

"Oleh yang demikian, perayu memohon kepada mahkamah yang mulia ini supaya keputusan yang arif hakim Mahkamah Tinggi dalam melepaskan dan membebaskan responden (Anwar) diketepikan dan responden dengan itu disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan," kata pihak pendakwaan.

Pada 2 Julai lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyerahkan rekod rayuan, termasuk penghakiman bertulis setebal 80 muka surat untuk memudahkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan.

Dalam penghakiman bertulis itu, Mohamad Zabidin memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful.

Katanya sampel berkenaan boleh diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis.

Oleh yang demikian adalah tidak selamat bagi mahkamah bergantung kepada keputusan ujian DNA yang dilakukan oleh Dr Seah terhadap sampel berkenaan.

Pada 9 Jan, Mohamad melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Anwar, 65, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman hingga 20 tahun penjara dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Kita lihatlah bagaimana selepas ini Anwar merancang untuk 'bersandiwara episod atau musim baru' dengan kemungkinan lakonan lebih hebat daripada episod lalu!

Tuesday, October 4, 2011

SAKSI MISTERI - "SI PEMBANCUH KOPI" MEMANG BENCI ANWAR!

Dia anggap Anwar munafik. Dia benci Anwar. Tapi dia kerja dengan Anwar?

Inilah keterangan saksi yang dianggap ‘misteri’ semalam.

Bekas rakan seuniversiti Mohd Saiful Bukhari Azlan memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini, bahawa Saiful mempunyai perasaan anti terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai seorang munafik.

Saksi berkenaan, Mohd Najwan Ali, 26, (gambar kiri) berkata sikap tidak suka kepada Anwar telah ditunjukkan oleh Mohd Saiful semasa mereka sama-sama menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Bangi, dekat sini pada tahun 2003.

Mohd Najwan yang sebelum ini digembur-gemburkan sebagai saksi misteri kepada Anwar juga memberitahu, Mohd Saiful turut memuatkan lambang Barisan Nasional (BN) pada laman sosial itu bersama dengan keterangan gambar 'Undilah BN'.

Berdasarkan pengetahuan bahawa Mohd Saiful adalah seorang yang pro kepada kerajaan, Mohd Najwan mengakui beliau berasa terkejut apabila mendapat tahu lelaki tersebut bekerja dengan Anwar semasa mereka berjumpa di satu kempen politik di Subang Jaya, dekat sini pada penghujung Februari 2008.

"Mohd Saiful tidak pernah memandang tinggi pada Anwar dan juga tidak pernah menjadikan Anwar sebagai idolanya," kata saksi pembelaan ke-enam itu semasa menjawab soalan daripada peguam S. N Nair.

Bertitik tolak daripada perasaan sangsi itu juga, Mohd Najwan mengakui bahawa dia telah menghantar mel elektronik yang memaklumkan peribadi Mohd Saiful kepada Anwar.

Apakah cara ini untuk menunjukkan bahawa Saiful sebenarnya ‘musuh dalam selimut’. Atau untuk menunjukkan Saiful ini seseorang yang tikam dari belakang?

Tapi dalam kes perbicaraan Anwar dan Saiful ini siapa yang ‘menikam’ dan siapa yang kena ‘tikam’?

Kita tenguklah apa kesannya daripada keterangan saksi misteri ini.

Baca di sini seterusnya untuk lebih lanjut:

Wednesday, February 16, 2011

AIR MANI SIAPA MELEKAT PADA TEKAK, LIDAH SAIFUL?

Hari ini perbicaraan isu liwat Anwar – Saiful bergema lagi!

Perbicaraan kelmarin dilihat dalam pelbagai perspektif, termasuk berapa hari Mohd Saiful tidak mandi wajib.

Di pihak pendakwa nampaknya mereka semakin jelas dengan bukti-bukti ke arah siapa yang meliwat siapa.

Namun hari ini dijangka peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan tumpuan kepada apa yangh dikatakan mereka sebagai 'keterangan yang bercanggah dari saksi pendakwaan mengenai jumlah hari Saiful tidak mandi atau tidak mencuci badannya' yang dianggap akan memudahkan pihaknya mengemukakan hujah-hujah lebih konkrit dalam perbicaraan akan datang.

Untuk lebih jelas mengenai perbicaraan kelmarin, ikuti entri bertajuk 'PALITAN SPESIMEN DARI TEKAK, LIDAH SAIFUL MILIK ANWAR?' daripada blog http://lawi-ayam.blogspot.com/

Seronok apabila membaca berita perbicaraan Ketua Pembangkang, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008 seperti disiarkan harakahdaily online dan Bernama kelmarin.

Pada laporan harakahdaily semalam, isu yang diketengahkan ialah berapa hari Saiful tidak mandi tetapi Bernama pula melaporkan “Saiful Dakwa Dipaksa Lakukan Seks Oral – Saksi”.

Harakahdaily turut memetik kenyataan peguambela Anwar, peguambela S N Nair (gambar kanan) ketika bercakap kepada pemberita selepas perbicaraan semalam berkata, keterangan yang bercanggah dari saksi pendakwaan mengenai jumlah hari Saiful tidak mandi atau tidak mencuci badannya itu, pasti akan memudahkan pihaknya mengemukan hujah-hujah lebih konkrit dalam perbicaraan akan datang.

Saya tidak mahu mengulas mengenai isu Saiful tidak mandi wajib ini. Ia diperkatakan lebih jelas mengenai isu Saiful tidak mandi slia baca di sini.

Nampak sangat peguambela Anwar mahu berhujah mengenai berapa hari Saiful ‘berkepala babi’ melebihi isu ‘bontot Saiful digodam’ dan mulut Saiful yang ‘masih terlekat air mani’ orang yang meliwatnya ketika dibuat ujian di Hospital Kuala Lumpur (HKL)..

Beginilah hukum mahkamah, apa sahaja yang menjadi tandatanya, kekaburan dan keterangan bercanggah akan menjadi modal peguam.

Persoalan asas yang ingn diketahui oleh rakyat Malaysia atau juga dunia ialah apakah Saiful diliwat oleh Anwar. Orang ramai hanya mahu tahu apakah benar Anwar meliwat Saiful?

Menurut laporan Harakahdaily: “Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini (Isnin, 14 Februari 2011) didedahkan dengan keterangan yang bercanggah oleh saksi pihak pendakwaan berhubung jumlah hari Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak mandi atau tidak mencuci punggungnya. Dalam keterangan terdahulu, saksi pihak pendakwaan menjelaskan Mohd Saiful tidak mandi atau tidak mencuci punggungnya selama empat hari, tetapi hari ini hanya dinyatakan selama dua hari sahaja.

Pakar jagaan kecemasan HKL, Khairul Nizam menjelaskan, Saiful tidak mandi, tidak membuang air besar dan tidak mencuci punggungnya selama dua hari disebabkan kesakitan pada bahagian anusnya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan peguambela S N Nair sebagai sebahagian bukti Saiful benar-benar diliwat oleh seseorang yang didakwa oleh Saiful seorang tokoh terkemuka, Anwar Ibrahim, dalam perbicaraan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersambung hari ini (semalam)”.

Sementara ahli patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siew Sheue Feng pula memberitahu Mahkamah Tinggi kelmarin bahawa beliau mengambil palitan spesimen dari tekak dan lidah Mohd Saiful Bukhari Azlan selepas lelaki itu memberitahunya yang dia telah dipaksa melakukan seks oral oleh "seorang tokoh berprofil tinggi".

Ketika disoal balas oleh peguam S. N. Nair kenapa beliau mengambil spesimen dari dua tempat berkenaan, Dr Siew berkata apabila beliau merekodkan sejarah kejadian itu daripada pesakit, selain memberitahu beliau yang dia telah diliwat, pengadu juga mendakwa dia diminta melakukan aksi tersebut. Kata Dr Siew, Mohd Saiful juga memberitahunya yang dia tidak boleh duduk selama dua hari akibat perlakuan seksual yang tidak direstuinya itu.

Ditanya tentang keadaan Mohd Saiful ketika pengadu pertama kali menemui beliau, Dr Siew berkata dia berkeadaan tenang, manakala dua lagi pakar lain melakukan pemeriksaan perubatan terhadapnya.

Menjawab soalan Nair sama ada beliau mencatatkan nota tentang latar belakang keluarga Mohd Saiful, ahli patologi itu berkata beliau tidak berbuat demikian secara khusus kerana mindanya bertumpu terhadap dakwaan yang dibuat pengadu."Dia juga tidak menunjukkan sabarang tanda sebagai seseorang yang mengalami masalah psikiatri, dia agak tenang, memberi kerjasama dan bersopan," kata Dr Siew.

Dr Siew berkata demikian menjawab soalan Nair kenapa keterangan yang diberinya bercanggah kerana laporan yang disediakannya pada 13 Julai 2008 menyebut bahawa tidak ada penemuan klinikal tentang berlakunya penusukan, tetapi menyatakan sebaliknya apabila berada di kandang saksi, Dr Siew berkata laporannya itu adalah lebih berdasarkan pada penemuan klinikal dalam keadaan ketiadaan laporan ahli kimia.

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Dr Siew berkata Mohd Saiful tidak pernah mengadu kepada beliau tentang sebarang objek plastik yang dimasukkan ke dalam anusnya.

Kata Dr Siew walaupun DSP Judy hadir ketika pemeriksaan perubatan dijalankan, pegawai itu tidak pernah mengarah atau campur tangan dalam tugas beliau.

Menjawab satu lagi soalan oleh Nordin, Dr Siew berkata spermatozoa boleh kekal hingga 46 jam pada bahagian anus dan selama 65 jam di dalam rektum. Sementara itu, pakar penjagaan kecemasan HKL Dr Khairul Nizam Hassan mengesahkan bahawa Mohd Saiful berada dalam keadaan tenang ketika beliau membuat pemeriksaan terhadapnya.

"Dia memberitahu saya yang dia mengambil masa untuk membuat pendedahan tentang serangan seksual yang berlaku terhadapnya dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat tindakannya itu," kata Dr Khairul apabila disoal balas oleh Nair.

Dalam hujahnya pula, peguam pasukan pembela kes liwat Anwar menegaskan tiada bukti air mani dikesan pada Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana tiada ujian yang sewajarnya dijalankan untuk memastikan perkara tersebut.

Peguam Anwar berusaha untuk mengatakan bahawa bontol Saiful tidak kena belasah sebagai usaha meragukan keterangan Saiful dan pakar HKL. Sedangkan Saiful sebelum ini mengatakan Anwar mengajaknya melakukan perbuatan liwat (lihat di sini).

Nair berkata, meskipun keputusan makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan adanya kesan air mani, tetapi tiada ujian-ujian yang standard dijalankan untuk mengesahkan perkara itu.

Menurut beliau, laporan kimia juga tidak mengambil kira ujian-ujian standard yang harus dijalankan untuk menentukan sebarang kehadiran air mani.

Dengan merujuk kepada laporan kimia, Sankara berkata, laporan kimia juga menunjukkan bahawa kesan air mani sendiri ada ditemui pada seluar dalam dan seluarnya.

“Bagaimanapun perkara ini tidak dicatatkan oleh anda?” soal Nair yang turut diakui oleh Dr Siew bahawa beliau memang tidak mengambil catatan.

Dr Siew pula berhujah, di peringkat antarabangsa terdapat ujian-ujian yang standard seperti itu yang diamalkan seperti PSA 'antigen' dan RSID yang akan memberi gambaran tepat mengenai air mani.

Apakah Dr Siew akan konsisten dan mampu membuktikan air mani itu adalah 'orang yang dituduh'?

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang mendengar perbicaraan kelmarin menetapkan perbicaraan akan disambung hari in (Rabu) mulai jam 8.30 pagi.

Turut hadir dalam perbicaraan kelmarin ialah peguam Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Thursday, October 14, 2010

KONSPIRASI KAITKAN NAJIB, ROSMAH...

Kenapalah begitu terdesak sekali pihak pembangkang mahu kaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes liwat Anwar Ibrahim?

Apakah tidak ada cara 'bersih' untuk menjatuhkan seseorang? Jangan kerana pemimpin parti yang kita dokong kotor maka kita mahu 'mengotorkan' orang lain juga!

Kini apa lagi mahu dikatakan oleh mereka?

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong (gambar kiri) mendedahkan wujudnya konspirasi oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa kata pemimpin PAS seperti Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa, Datuk Salahuddin Ayob dan kumpulan yang sering memperkatakan isu ini terhadap pendedahan Wee?

Tidak benar? Konspirasi?

Menurut Wee, jelas terbukti apabila kandungan surat akuan bersumpah (SD) pertama yang ditandatangani bekas setiausaha sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman pada 29 Jun 2008, langsung tidak mengaitkan sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) sebagai terlibat dalam laporan polis bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, berhubung kes liwat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, SD kedua yang ditandatangani Rahimi, kandungannya telah dipinda dan cuba mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes itu.

"Saya telah diminta menjadi 'pesuruhjaya sumpah' pada SD pertama Muhamad Rahimi, dan saya boleh mengatakan 100 peratus dalam surat pertama yang dikatakan oleh pihak tertentu telah hilang, kandungannya tidak menuduh sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) terlibat dalam laporan polis Saiful," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengenai SD kedua, Wee menafikan ia ditandatangani pada hari yang sama dengan SD pertama, sebaliknya beberapa hari kemudian, tanpa kehadiran beliau.

Sehubungan itu, Wee yang juga seorang peguam menegaskan, beliau langsung tiada kaitan dengan SD kedua Rahimi sebagaimana yang didakwa oleh ketua penerangan parti PKR Latheefa Koya dan ketua Pemuda PKR Kedah Saiful Izham Ramli.

Bagaimanapun, ketika ditanya siapa yang merancang konspirasi itu, beliau enggan mengulas lanjut.

Wee, yang juga bekas anggota majlis tertinggi PKR, tetapi keluar daripada parti itu Mei lepas kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, berkata demikian sebagai respons kepada cubaan Latheefa dan Saiful Izham untuk mengaitkan beliau dengan skandal tersebut, dalam keterangan mereka di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman semalam.

Baru-baru ini, Rahimi mendakwa beliau dipaksa menandatangani dua SD pada 2008 bagi mempertahankan Anwar daripada pertuduhan liwat serta mengaitkan Najib dan isterinya dalam kes itu.

Semalam, seorang lagi bekas pembantu am kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam berhubung satu Akuan Bersumpah yang ditandatanganinya pada 2008.

Rasid Rosdi, 31, dalam satu kenyataan yang dihantarkannya kepada Bernama melalui e-mel berkata, beliau membuat laporan polis itu kerana mendakwa akuan bersumpah yang ditandatanganinya itu dilakukan secara paksaan dan dalam keadaan tertekan.

Rasid yang merupakan bekas banduan dan mengaku mengenali Anwar semasa dalam penjara berkata, pada malam 28 Jun, 2008, selepas Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis berhubung dakwaan diliwat Anwar, dirinya telah dipanggil ke sebuah hotel di Shah Alam dan ditahan serta dikawal rapi selama beberapa hari.

"Saya dipaksa oleh Latheefa Koya (Ketua Penerangan PKR) untuk menandatangani satu akuan bersumpah sedangkan saya tidak pernah mengarang atau membuat akuan bersumpah tersebut.

"Saya juga tidak bersetuju dengan kandungan akuan bersumpah tersebut dan Latheefa tidak pernah menceritakan kepada saya mengenainya serta saya tidak memahaminya seratus-peratus," dakwanya.

Rasid mendakwa beliau menurunkan tandatangan pada akuan bersumpah itu kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya.

Beliau berkata, langkah membuat laporan polis itu diambil selepas melihat bekas pembantu kepada Anwar, Rahimi Osman yang terlebih dahulu membuat tindakan sama di IPD Klang Selatan pada 6 Oktober lepas.

"Selepas melihat Rahimi saya terpanggil untuk membetulkan keadaan. Saya juga telah membuat satu akuan bersumpah yang baru bagi menceritakan perkara yang sebenar.
"Namun saya tidak boleh mendedahkannya kerana saya juga risau jika ianya boleh menganggu perbicaraan mana-mana kes di mahkamah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Rasid dan berkata laporan itu akan dirujuk ke Bukit Aman.