Showing posts with label Putrajaya. Show all posts
Showing posts with label Putrajaya. Show all posts

Sunday, April 1, 2012

DENDAM? DENDAM APA? SIAPA SEBENARNYA PENDENDAM!!!


Kenapa tiba-tiba Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap mengenai dendam?

Siapa pula berdendam dengan Anwar tetapi hakikatnya Anwar yang bagaikan menyimpan dendam berterusan seperti juga Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kerana dendam, Nik Aziz tidak mahu bersatu dengan UMNO dan sering mengulangi kes PAS dipecat daripada Barisan Nasional (BN).

Anwar pula bagaikan berdendam dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan UMNO walaupun mengatakan dia tidak mempunyai perasaan sedemikian.

Sedangkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang ‘mengangkat beliau’ dari sebuah pertubuhan NGO – ABIM – walaupun sebelum ini diserang dengan pelbagai gelaran seperti MAHAZALIM dan MAHAFIRAUN yang bertanggungjawab menjadikannya seorang pemimpin terkenal.

Begitu juga dengan UMNO – kalau tidak kerana UMNO, Anwar tidak akan ke mana-mana jika menjadi Presiden ABIM dan mungkin kalau ketika ini masih dalam ABIM, beliau pun sudah bersara!

UMNO menjadikan Anwar seorang Timbalan Menteri dan kemudian Menteri dan akhirnya ke tahap Timbalan Perdana Menteri selain pernah memangku jawatan Perdana Menteri pun.

Dalam parti UMNO pula Anwar ialah Ketua Pemuda UMNO, Naib Presiden UMNO dan akhirnya Timbalan Presiden UMNO!

Jadi siapa dendam siapa? Tun Dr Mahathir Mohamad?


Tidak sekali-kali dan mereka berdua tidak layak untuk dibandingkan! Mungkin kalau ada yang mempunyai perasaan TERHIRIS adalah individu berikut:

1. Tun Ghafar Baba yang sehingga matinya tidak memaafkan Anwar selepas beliau ‘digulingkan oleh Anwar’ daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri;

2. Rafidah Aziz yang dikalahkan sekali sebagai Ketua Wanita UMNO apabila kroni Anwar – Zaharah Sulaiman – menumpakan Rafidah; 

3. Ketua Pengarang akhbar-akhbar arus perdana yang ‘dilontarkan jauh’ oleh Anwar (mungkin insan seperti Zainuddin Midin dan beberapa yang lain); Insan seperti Datuk A Kadir Jasih, Datuk Johan Jaafar, Datuk A Nazri Abdullah dan beberapa yang lain tidak mungkin berdendam kerana mereka adalah ‘orang Anwar’;

4. Pemimpin yang pernah bersekutu dengan Anwar dalam Team Wawasan umpamanya Tan Sri Rahim Tamby Chik;

5. Pemimpin Bahagian UMNO yang ‘dijatuhi oleh kumpulan Anwar’; 

6. Usahawan dan peniaga yang ‘disenjah jatuh’oleh kumpulan Anwar;

7. Pengarah Urusan, CEO syarikat tertentu yang digantikan dengan orang Anwar;

8. Bekas pegawai Kementerian Pelajaran (dulu Pendidikan) yang digantikan oleh suku sakat Anwar ketika Anwar berkuasa;

9. Penjawat awam yang disekat oleh Anwar untuk menduduki jawatan penting yang diisi dengan ‘orang Anwar’;

10. Tokoh-tokoh agama di kementerian, jabatan dan organisasi serta NGO tertentu yang ‘tidak sehaluan’ dengan Anwar;

11. Pemimpin dalam GLC yang ‘diminta berhenti’ atau ‘tidak dinaikkan pangkat’ yang tempat mereka digantikan oleh ‘kroni Anwar’; dan 

12. Banyak lagilah…hanya Anwar dan ‘kroni Anwar’ sahaja yang tahu!!!

Jadi apabila Anwar semalam memberi jaminan beliau tidak akan membalas dendam terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) sekiranya berjaya memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) nanti, ia adalah suatu janji yang boleh didengar tetapi belum pasti boleh dipercayai.

Malah Anwar berkata, beliau sedia memaafkan pemimpin yang melakukan pelbagai kezaliman kepada dirinya juga berharap rakyat mengambil sikap sama terhadap kesalahan pemimpin BN yang menyalahgunakan harta negara.

Kalau jadi Perdana Menteri, Anwar berkata :“Saya sama sekali tidak akan dera atau mengambil sikap untuk membalas dendam biar pun pelbagai perkara dan ancaman dihadapkan kepada saya dan rakan sekarang. Saya pernah melalui keadaan paling teruk dalam kehidupan, tetapi itu tidak menjadi dendam. Sama seperti saya lakukan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh pelbagai benda, namun selepas keluar saya tidak mengambil sikap membalas dendam terhadap perbuatannya,”

Oh mulianya hatimu wahai Anwar. Tetapi bagaimana dengan sekutumu...PAS dan DAP yang kuat pendendam itu?

Berucap depan 10,000 penyokong di Padang Perdana di Kota Bharu, malam kelmarin, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh jelas ‘marah’ dengan pendekatan pihak lawan yang sentiasa melakukan tindakan kontroversi, termasuk menuduhnya melakukan perkara yang tidak senonoh tidak sesekali akan melunturkan semangatnya untuk menukar Putrajaya.

Apakah Anwar boleh maafkan begitu sahaja? Tidak mengheret mereka yang melakukan  'menyulitkan karier politik beliau' serta yang melakukan penyeleweangan dan pembaziran (ikut kaca mata Anwar)?

Jika tidak mengambil tindakan dan memaafkan sahaja, Anwar tidak akan kekal lama di Putrajaya (jika berjaya) dan beliau pasti akan dihumbankan sama ada melalui tunjuk perasaan, pemberontakan atau juga paling mudah, pilihan raya.

Jadi jangan percaya dengan kata-kata manis dan pujukan Anwar. Jika ketika berkuasa dia mementingkan 'kroninya' dan kalau berkuasa sekali lagi, 'kroninya' akan menentukan arah kempimpinan dan matlamat politik Anwar.

Renungkan....

Sunday, October 2, 2011

PAS BELUM LAYAK KE PUTRAJAYA…USAH MIMPILAH!


Semalam PAS menyambut tahunnya ke 60.

Sempena sambutan itu, ilmuan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan malam semalam, ada dua prasyarat PAS untuk ke Putrajaya.

Pertama PAS perlu kerangka politik lebih besar dan kedua perlu ikon yang boleh diterima ramai seperti Dr Burhanuddin Helmy.

Maknanya, tokoh PAS yang ada sekarang bukan kelas yang mampu menawan Putrajaya.

Dengan kata lain, apakah Dr Asri member isyarat kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau juga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar janganlah dok mimpi ke Putrajaya kalau pemimpin PAS macam sekarang!

Itu belum sebut pasal Mohamad Sabu lagi yang dah ‘mencemarkan imej PAS’ sehinggakan PAS beberapa negeri tidak minat dengan pemimpin berkenaan.

Bagi Dr Asri, PAS yang menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-60 hari ini memerlukan kerangka politik lebih besar dan pemimpin-pemimpin yang boleh diterima oleh semua rakyat jika mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat kelak.

Mengakui PAS sudah matang dalam arena politik, namun menurut bekas mufti Perlis itu, parti Islam tersebut perlu melahirkan ikon yang boleh diterima setiap lapisan masyarakat jika ingin terus kekal relevan.

Bercakap pada forum perdana sambutan 60 tahun PAS di Dewan Millenium di Kepala Batas, malam tadi Dr Asri berkata, parti yang kini diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang memerlukan tokoh ikon terutamanya untuk mendapatkan kepercayaan rakyat berbilang kaum.

“PAS perlu mewujudkan atau gilap seorang tokoh yang bukan sahaja diterima ahli PAS tetapi orang di luar PAS, kalau kita lihat terdapat 60 peratus pengundi yang belum membuat keputusan.

“PAS perlu seorang tokoh yang bukan sahaja disebut nama sudah dikenali macam Burhanuddin al-Helmy... hebat, bukan sebut nama orang dah kenal, tapi rakyat juga lihat dia layak untuk jadi perdana menteri,” katanya.

Burhanuddin merupakan pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Hari ini PAS meraikan sambutan enam dekad kewujudannya di Kepala Batas — tempat kelahiran parti Islam ini dan rakan komponen Pakatan Rakyat.

Kata Dr Asri, tokoh ikon itu akan membantu PAS bersama Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

“PAS mesti wujudkan tokoh ikon ini, ini perlu untuk ke Putrajaya, PAS perlu wujudkan tokoh di kalangan PAS sendiri,” katanya.

Dr Asri turut menasihatkan PAS supaya membentuk kerangka politik yang lebih besar.

Beliau turut memberi cadangan agar kepimpinan tertinggi PAS tidak melibatkan diri dalam hal-hal remeh yang boleh diselesaikan di peringkat bawahan.

“PAS perlu kerangka politik yang baru, PAS perlu wujudkan kerangka yang lebih besar... kerangka Malaysia bukan kerangka Kelantan.

“Umno bukan piawaian untuk PAS buat perbandingan, PAS perlu berada di tempat lebih tinggi,” katanya. Asri turut menekankan agar kepimpinan PAS terus mempertahankan dasar Islam walaupun dikritik pihak tertentu.

“PAS sudah mencapai usia matang kerana bersedia mendengar pandangan yang berbeza, saya melihat PAS telah berjalan di atas landasan sehingga dunia Islam menyedari tentang kebangkitan Islam.

“Pemimpin-pemimpin dalam PAS perlu terus mempertahankan dasar Islam, PAS perlu realistik dan ketepikan retorik politik, PAS juga perlu bergerak ke hadapan dengan lebih terbuka dan memahami Islam secara meluas,” katanya.

Jadi, amat jelas kalau ikut Dr Asri, yang turut tidak layak selain Presiden, Musyridul Am, atau juga Naib-Naib Presidennya, termasuk Datuk Husam Musa dan Salehuddin Ayob serta barisan pemimpin lain.

Mungkinkah pemimpin muda dalam PAS dalam pembikinan dan boleh diketengahkan?

Atau ajak sahaja Dr Asri untuk menyertai PAS dan bentuknya jadi ikon.

Apa kata anda?

Saturday, March 5, 2011

BUKU JINGGA - KITAB PEMBANGKANG MENUJU KE PUTRAJAYA?

Pakatan pembangkang boleh menjual atau menjaja bukunya itu. Ia hanya berupa kenyataan perancangan bukan pelaksanaan. Jika mentadbir negeri pun kalut dengan pelbagai masalah, bagaimana mahu mentadbir negara dan kononnya melaksanakan isi buku berkenaan? Hakikatnya, tidak seorang pun kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi pemimpin pusat dalam pasukan pakatan pembangkang. Yang lain tiada pengalaman. Apakah rakyat berani mempertaruhkan negara kepada kumpulan seperti ini?

Nik Nazmi Nik Ahmad jangan nak memperkecilkan keupayaan parti lain selain Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pertama, baru berapa hari Nik Nazmi main politik berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain. Nak kata orang lain ciplak idea kita, Nik Nazmi kena buka balik cadangan-cadangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang bertimbun-timbun kalau mahu diteliti semula. Baca balik hansard Dewan Rakyat.

Insentif Tawaran Baru untuk guru dan pembayaran wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula (CESS) untuk peneroka FELDA bukan perkara baru.

Ia bukan sesuatu yang perlu dibanggakan hanya kerana ada dalam Buku Jingga pakatan pembangkang

Malah, Buku Jingga itu masih belum secara rasminya menjadi buku dasar pakatan pembangkang kerana ia hanya akan dilancarkan malam ini Sabtu, 5 Mac di Stadium Melawati, Seksyen 13 di Shah Alam pada perhimpunan ulang tahun ke 3 PKR perintah Selangor.

Tawaran untuk guru dan isu pembayaran CESSS sudah diperkatakan di Dewan Rakyat sejak 1980-1990an, cuma perlaksanaannya terpaksa disesuaikan dengan keadaan semasa.

Perkara ini bukan dibincangkan untuk Felda semata-mata tetapi juga untuk Risda dan Felcra kerana ketika itu semua agensi pembangunan wilayah di bawah satu bumbung iaitu Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah.

Sebenarnya banyak perkara dalam Buku Jingga berkenaan, kalau Kerajaan Negeri hendak laksanakan, ia memang boleh umpamanya negeri Selangor dan Pulau Pinang yang dianggap mampu.

Begitu juga Kelantan, kalau mahu memberikan insentif untuk guru memang boleh beri pada ketika kedudukan ekonominya masih teguh pada 10 tahun pertama PAS bekuasa. Sekarang kerajaan PAS boleh berdalih dengan ekonominya yang lemah. Memangpun ekonomi Kelantan lemah ketika ini!

Dengan mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menciplak idea Buku Jingga, ia hanya suara anjing yang mahu menyalak bukit. Siapalah kamu Nik Nazmi?

Apakah kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah membincangkan isu pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara?

Kalau Nik Nazmi melihat Buku Jingga sebagai pelan segala-galanya, beliau dan pemimpin PKR dan pakatan pembangkang lain tersilap langkah.

Tidak perlu berbahas mengenainya.

Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga.

Buku itu kalau mahu dibandingkan dengan buku Rancangan Malaysia Pertama hinggalah ke Rancangan Malaysia ke 10 serta buku-buku lain termasuk Buku Hijau dan sebagainya, bagai langit dengan bumi.

Saya mahu mengambil contoh di Terengganu, tanpa ‘Buku Jingga’, Buku Biru atau Buku Coklat, kerajaan Terengganu sudahpun melaksanakan pelbagai insentif sejak dua tahun lalu yang tidakpun dilaksanakan oleh kerajaan ‘kaya’ yang dikawal pakatan pembangkang sejak 2008.

Apakah programnya?

Bajet pendidikan yang tinggi iaitu lebih 35 juta setahun;

• Bayaran sekali sahaja untuk kemasukan ke universiti untuk semua pelajar Terengganu bagi diploma dan ijazah sebanyak RM700-RM1,000 seorang, tanpa mengira bangsa dan keturunan;

• Bayaran insentif kepada pelajar terpilih yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan dan Sijil Pelajaran Malaysia;

• Menukar pinjaman kepada biasiswa untuk pelajar cemerlang yang mendapat Ijazah Kelas Pertama. Mereka juga layak menerima bayaran RM5,000 tunai;

• Guru-guru Besar dan Pengetua yang sekolah mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM diberikan ganjaran, termasuk lawatan sambil belajar ke luar negara;

• Bantuan pakaian dam beg sekolah secara percuma;

• Program e-Book untuk pelajar tahun 5 dan Tahun 6 sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (perbelanjaannya kini mencecah hampir RM60 juta);

• Dan tidak lama lagi, kelas maya untuk sekolah terpilih di seluruh negeri dengan perbelanjaan antara RM30,000 hinga RM90,000 bagi satu kelas; dan banyak lagilah.


Apakah ciri-ciri seperti ini ada dalam Buku Jingga?

Dengan memperlekehkan tawaran baru untuk guru yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta adalah sikap angkuh pakatan pembangkang.

Hanya kerana Najib mengumumkan bayaran CESS baru-baru ini, bukan bermakna BN mencedok idea paakatan pembangkang. Sebelum ini pun bayaran sebanyak RM5000 sudah dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 dan bakinya akan dibayar bila-bila masa sahaja. (Menurut Nik Nazmi - FELDA masih lagi berhutang sebanyak RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka).

Mungkin pakatan pembangkang mempunyai ideanya sendiri untuk membubarkan FELDA Plantations dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan pertama FELDA jika mereka menang pilihan raya. Tetapi pendapat warga Felda belum ditanya. Apakah mereka bersetuju atau sebaliknya. Selain itu, apakah cara itu mendatangkan kebaikan kepada peneroka?

Program ‘baik mana sekali pun’ kalau hanya ada dalam buku dan hanya untuk manifesto pilihan raya tidak akan mendatangkan apa-apa untuk rakyat.

Di dalam Buku Jingga, pakatan pembangkang mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru-guru menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan pembangkang bagi menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

Itulah sahaja yang cuba disogokkan kepada guru namun bagi kerajaan Barisan Nasional, bukan sahaja guru tetapi semua kakitangan kerajaan menerimanya setiap tahun pada musim perayaan dan hujung tahun.

Siapakah yang lebih peka dan prihatin sebenarnya?

Hakikatnya, tidaklah perlu nak membahaskan Buku Jingga sama ada di di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau.

Pakatan pembangkang boleh menjual atau menjaja bukunya itu. Ia hanya berupa kenyataan perancangan bukan pelaksanaan. Jika mentadbir negeri pun kalut dengan pelbagai masalah, bagaimana mahu mentadbir negara dan kononnya melaksanakan isi buku berkenaan ?

Hakikatnya, tidak seorang pun kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi pemimpin pusat dalam pasukan pakatan pembangkang. Yang lain tiada pengalaman. Apakah rakyat berani mempertaruhkan negara kepada kumpulan seperti ini?

Dan kita lihat sendiri bagaimana Anwar, walaupun mempunyai pengalaman tetap berkiblatkan kepada negara tertentu. Bagus sangatkan negara yang beliau berkiblat itu?

Apakah suasana dan tuntutan politik dan ekonominya sama dengan keperluan rakyat Malaysia?

Malang sekali kalau Niuk Nazmi mengatakan Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap serta tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

Hakikatnya Najib tidak perlu melayan Anwar malah, sama ada Perdana Menteri, mahupun Timbalan Perdana Menteri tidak usahlah layan atau membincangkan buku berkenaan.

Transformasi ekonomi dan politik yang sedang dilaksanakan sekarang jauh lebih baik dan pandang ke depan, bukan dasar-dasar pakatan pembangkang yang bersifat memancing undi untuk menang pilihan raya.

Yang penting bagi mereka bukan rakyat didahulukan tetapi mereka mendahului rakyat untuk ke Putrajaya dan selepas itu akan berlakulah pelbagai kekalutan.

Jadikan Selangor dan Pulau Pinang – sebelum ini Perak - sebagai kes kajian yang menarik betapa Buku Jingga itu sebenarnya hanyalah khayalan politik oleh pemimpin politik yang sedang berkhayal untuk ke Putrajaya!