Showing posts with label PPBM. Show all posts
Showing posts with label PPBM. Show all posts

Tuesday, April 3, 2018

PARTI, LOGO PPBM BERTANDING PRU14 HANYA TINGGAL HARAPAN?


 
Hari ini Selasa.

Bukan hari untuk menyaman sesiapa. Cuma menunggu apa jadi dengan cakap-cakap Najib Razak akan menyaman tetapi tidak menjadi sehingga kini.

Hari ini Selasa. 

Masih menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk memberikan jawapan kepada permohonan Parti Pribumi Bersatu (PPBM) mengenai pendaftaran parti itu. Diluluskan atau dibatalkan pendaftaran parti itu.

Juga apakah logo PPBM boleh digunakan pada pilihan raya umum akan datang walaupun ada cakap-cakap bahawa semua parti Pakatan Harapan (HARAPAN) terpaksa menggunakan logo PKR.

Ada pemimpin dan penyokong PPBM melenting dan marah jika disebut HARAPAN terpaksa gunakan logo parti lain selain PPBM.

Namun realitinya?

PPBM sudah memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan RoS pada Khamis lalu bagi menyerahkan semua dokumen berkaitan yang diminta olehnya.

Walaupun penantian ini dirasakan lama dan apa sahaja kemungkinan akan berlaku, harapan tetap tinggi agar PPBM dan Logo PPBM dapat digunakan pada pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan dalam masa terdekat.


RoS menghantar notis mengancam PPBM menghadapi risiko dibatalkan pendaftaran  bertarikh 28 Februari lalu,  RoS juga memberi syarat PPBM menyerahkan minit mesyuarat dan dokumen kewangan dalam masa 30 hari daripada tarikh berkenaan.

Sebelum ini, pada lalu, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah mengakui parti itu tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara dituntut RoS menerusi notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 yang berkuat kuasa sejak 28 Februari lalu.

Dua tuntutan yang mungkin tidak boleh dipenuhi PPBM itu, membabitkan laporan berkaitan perjalanan mesyuarat bahagian dan cawangan parti itu seperti diarahkan menerusi notis terbabit.
Namun, usaha tetap dilakukan. Pemimpin dan penyokong PPBM tidak pernah kalah dalam konteks semangat perjuangannya.

Selain itu, biarpun PPBM berpendirian bahawa tarikh akhir melakukan perkara itu sepatutnya pada 9 April, iaitu tarikh surat diterima dan bukan pada 29 Mac, PPBM tetap melakukannya.

Harapan ahli dan penyokong PPBM begitu menyala-nyala, juga rakyat yang menentang rejim Najib Razak mahukan PPBM dibenarkan bertanding atas logo dan parti PPBM yang dilihat mempunyai banyak kelebihan berbanding UMNO dan PAS.

Dengan kekuatan sokongan sekutu PPBM - PKR, AMANAH dan DAP – peperangan di ‘padang yang sama rata’, tanpa adanya tekanan dan halangan dllihat akan memudah dan memberikan ruang adil kepada rakyat untuk menentukan siapa kerajaan baharu yang sepatutnya memerintah Malaysia.


Dikira sejak Khamis, hari ini Selasa  (3 April 2018), bermakna kini masuk hari lima PPBM sudah memenuhi tuntutan notis RosS yang dikeluarkan di bawah Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.

Selepas semua dokumen sudah dihantar dan jika RoS masih dengan sikapnya untuk tidak melepaskan PPBM agar boleh bertanding pilihan raya dan menggunakan logonya sendiri, maka  akan terjawab dan terserlah syak wasangka dan punca sebenar kenapa PPBM dihalang.
Dengan kata lain ia ibarat ‘ramalan benar belaka’.

Pertama, amat jelas kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN)/UMNO sangat takut kepada perkembangan parti PPBM yang semakin mendapat sokongan ramai. Ini tidak termasuk yang tidak ‘mendedahkan identiti mereka’.

Kedua, tindakan RoS menggambarkan kerajaan BN/UMNO mahu mempertahankan Najib sebagai Perdana Menteri melalui apa cara sekali pun, walaupun terpaksa melanggar lunas-lunas demokrasi;

Ketiga, menjadikan PPBM parti yang tidak diluluskan merupakan usaha kerajaan BN/UMNO menimbulkan berbagai ‘salah faham’ dan kepercayaan palsu bahawa PPBM sebagai penyebab gagalnya pendaftaran HARAPAN,  termasuk menggunakan logo HARAPAN.

Keadaan ini sedikit sebanyak akan menyebabkan timbulnya perasaan tidak puas hati di kalangan tertentu dalam komponen HARAPAN terhadap  PPBM kerana masalah yang diakibatkan oleh kehadirannya yang tidak mendapat kelulusan RoS, dan pailing penting

Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PPBM cuba ditonjolkan sebagai ‘pemimpin gagal’ walaupun di peringkat partinya sendiri – PPBM – kerana tidak mampu mentadbir parti seperti yang disyaratkan oleh RoS.

Dengan kegagalalan mentadbir PPBM, dengan sengaja diajukan persoalan - bagaimana mungkin Dr Mahathir boleh mentadbir HARAPAN  dan seterunya mentadbir negara?

Semua ini adalah helah dan permainan politik kerajaan BN/UMNO bersama-sama RoS untuk menekan pembangkang, khususnya PPBM yang menyebabkan HARAPAN terpalit sama.


Sehingga RoS dapat memberi atau menjelaskan apa, di mana dan kedudukan sebenar kelemahan dokumen tambahaN yang diserahkan oleh PPBM kepada mereka Khamis lalu, selagi itulah RoS dilihat sebagai dipergunakan sepenuhnya oleh BN/UMNO.

Dokumen tambahan itu yang diserahkan oleh setiausaha penganjur PPBM, Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya pada petang Khamis dirasakan boleh memenuhi semua perkara yang dituntut oleh RoS.

Bagi PPBM, mereka merasakan  telah mematuhi apa yang diperlukan oleh ROS. Menurut seorang peguam yang enggan namanya didedahkan, PPBM dianggap sudah mematuhi sepenuhnya syarat ROS dan berharap dibolehkan secara sah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Rakyat memerhati semua peristiwa ini.

Malah, tidak keterlaluan jika dianggap RoS sebagai sebauh agensi kerajaan sebenarnya sudah melakukan tindakan ‘kejam’ kepada parti politik yang mendapat sokongan ramai.

Akan semakin ramai membenci RoS dan akan merugikan kerajaan. Perbuatan mereka memang dianggap dan dilihat jahat dan kejam di mata rakyat.

Sedangkan dalam surat bertarikh 30 Mac 2018, PPBM sudah menyatakan harapannya agar ROS bersikap adil dan memberikan jawapan dalam tempoh dua hari selepas ia diserahkan.

Dengan kata lain, surat yang  ditandatangani oleh Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shaharuddin Md Salleh itu sudah menyatakan bahawa oleh kerana  semua syarat dalam notis itu telah dipatuhi, RoS tidak mempunyai sebab untuk tidak mendaftarkan HARAPAN.

Namun, harpan tinggal harapan.

Apakah dokumen tambahan terbaru yang diserahkan kepada RoS itu  juga akan hanya menjadi suatu harapan?

Wednesday, January 3, 2018

ARAH & MATLAMAT PERJUANGAN RAKYAT PPBM SANGAT JELAS….


"PBM tidak perlu diragui akan kemampuannya  menggalas tanggungjawab untuk  menjayakan aspirasi dan masa depan rakyat, khususnya orang Melayu-Islam." 

Jelas dan nyata bahawa kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah perjuangan yang disokong oleh akar umbi. Ia bertujuan membela rakyat dan dipimpin pula oleh rakyat.

PPBM meletakkan kepentingan rakyat, mengatasi segala-galanya .

Kenapa dikatakan demikian?

Pertama, rakyat – termasuk bekas ahli UMNO – terutamanya di akar umbi menerima kehadiran PPBM walaupun dalam keadaan amat daif dalam konteks kewangan dan sokongan awal, namun mereka kaya dengan api dan matlamat perjuangan.

Kedua,  kehadiran pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pemimpin negeri dan bahagian, bukan lagi orang yang berjawatan besar, Mereka adalah rakyat biasa. Kalau ada pun gelaran, mereka adalah mantan (bekas) dan bergelar sebagai Yang Berhormat (YB) sahaja. Itupun dua pemimpin besar PPBM adalah pemimpin yang dipecat daripada parti dan jawatan masing-masing.

Dengan kata lain, mereka bukan pemimpin seperti ketika Parti Semangat 46 yang pernah menentang UMNO dibentuk – ramaai  terdiri daripada bekas Menteri dan Timbalan Menteri.


Dengan kata lain, pemimpin negeri dan bahagian adalah rakyat biasa yang sanggup menegakkan panji-panji PPBM, bukan kerana bertujuan merebut kedudukan tetapi menegakkan agenda dan perjuangan suci parti demi rakyat.

Ketiga, pemimpinnya sanggup berjuang  dalam keadaan yang daif – dana politik disekat - tanpa wujudnya peruntukan daripada Pusat seperti UMNO dan parti lain dalam Barisan Nasional (BN), juga seperti yang berlaku kepada PAS sebelum ini – yang perjuangan  hanya diasaskan kepada semangat dan matamat membela rakyat; dan

Keempat, yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan PPBM kali pertama Sabtu lalu (30 Disember 2017), adalah mereka yang benar-benar setia kepada parti kerana yang lain – sama ada kerana kepentingan tertentu  atau tidak bersetuju dengan pemimpin tertentu – sudahpun meninggalkan parti secara sukarela, sama ada kembali kepada UMNO atau menjadi penentang PPBM tanpa sebarang platform kepartian;

Kelima, dibuktikan melalui PAT PPBM di IDCC Shah Alam itu  bahawa semua Ketua-Ketua  Bahagian bersama tujuh jawatankuasanya sedia hadir tanpa satu sen pun sumbangan PPBM Pusat.

Mereka bersedia datang ke Shah Alam dari seluruh pelusuk Semenanjung bagi menjayakan PAT dengan ‘duit sendiri’ namun berakhir dengan  gilang-gemilang.

Berbekalkan semangat perjuangan dan ‘wang saku sendiri’ mereka menjayakan PAT demi menunjukkan kepaduan sesama mereka, menyokong pucuk pimpinan, memenuhi keperluan ROS dan paling penting, menentang kerajaan kleptokrasi pimpinan Najib Razak melalui Barisan Nasional (BN).


Keenam, bukanlah suatu dosa atau perlakuan jenayah untuk mengadakan PAT parti demi memenuhi tuntutan ROS malah perlu diakui sejujurnya bahawa ia terpaksa diadakan seperti juga DAP mengadakan pemilihan semula jawatanuasa tertinggi parti sebelum ini.

Tujuannya bagi mengelakkan parti dikenakan tindakan, termasuk melarang menyertai Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Di sebalik memenuhi syarat ROS, ternyata PAT mampu membakar semangat ahli-ahli PPBM untuk terus memperjuangkan cita-cita dan matlamat parti.

Mereka turut memperteguhkan iltzam untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih adil dan dinamik bersama PH.

Biarlah walau  diperkecil dan dicerca usaha itu.

Namun jelas,  kepemimpinan PPBM mampu tegak berdiri menahan semua asakan, bukan sahaja daripada saingan politik seperti UMNO dan sekutu Barisan Nasionalnya (BN) tetapi juga daripada PAS dan jentera media sosial pro-BN yang sengaja mahu memperlekehkannya.

Yang nyata, PPBM semakin menunjukkan arah dan laluan semakin jelas kepada rakyat Malaysia mengenai perjuangan dan matlamat pentdbirannya jika menjadi sebahagian jentera kerajaan PH selepas PRU14 nanti.

Sudah pasti apa yang diperkatakan oleh PPBM tidak semuanya dipersetujui oleh parti saingannya. Yang penting, bukan pemimpin parti UMNO, PAS atau lain-lainnya yang menentukan sama ada yang disebut dan ditawarkan oleh PPBM itu dapat diterima tetapi ia ditawarkan kepada rakyat yang tentunya adalah pengundi.


Akhirnya rakyat dan pengundilah yang  akan menentukan apakah tawaran PPBM seperti disebut oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh diterima atau sebaliknya.

Sesuatu yang terserlah ialah PAT itu menunjukkan dengan jelas bahawa PPBM walaupun parti orang Melayu dan Islam tidak memainkan sentiment ‘kaum dan agama’ untuk meraih sokongan rakyat.

Ia menghargai peranan dan sumbangan bukan-Islam dan bukan-Melayu.

Malah Muhyiddin turut menggesa supaya rakyat menolak politik kotor yang dimainkan oleh BN melalui isu perkauman sebagai modal terakhir mereka untuk menakut-nakutkan pengundi untuk tidak mengundi PH.

Dengan menetapkan arah tuju PPBM dalam kontekas perjuangan seperti disebut oleh Dr Mahathir pada PAT itu, rakyat boleh melihat dan menilai dengan jelas apakah parti untuk rakyat dan dipimpin oleh rakyat di negeri dan bahagian itu, perlu disokong.
Antara perkara asas yang dijadikan gala tuju perjuangan PPBM ialah:

1.    Menjatuhkan ‘kerajaan kleptokrat ‘BN yang menyusahkan rakyat dan sekali gus mengheret turun  Perdana Menteri, Najib  Razak. Apakah perjuangan ini sebagai dendam politik?

Malah sepanjang hampir sejam ucapannya itu, bekas Perdana Menteri yang memerintah negara selama 22 tahun tersebut menyebut nama Najib sebanyak 38 kali, sejak dari awal sehingga akhir ucapan dan memberi segala gambaran buruk terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, sekali gus membayangkan dendam kesumat politiknya yang teramat tebal.

2.    Membawa Malaysia ke arah lebih baik selain membahawa ‘cahaya baru’ untuk rakyat mulai 2018 ini, tekad memulihkan doktrin pemisahan kuasa jika Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang.

3.    Dasar industri negara mengutamakan warganegara yang mengutamakan peluang pekerjaan kepada warganegara, dan jika perlu, perlindungan akan diberi kepada industri baru sehingga berdaya saing.

4.    Mengurangkan kehadiran dan oergantungan kepada pendatang asing daripada 7 juta orang kepada 2 juta orang, selain memperkenalkan skim latihan dan galakan warga tempatan. Pelaburan yang memerlukan pekerja asing akan dikurangkan, dan cukai tidak akan dikecualikan ke atas pengambilan pekerja asing.

Sementara bersedia menerima masuk warga baru dari negara lain, jumlahnya hendak tidak meninggkat tinggi sehingga mengubah secara radikal agihan peratusan warga negara berbagai kaum di Malaysia.”



5.    PPBM akan menjamin PH akan kembalikan dasar di mana badan eksekutif tidak boleh menguasai badan legislatif dan badan kehakiman, termasuk keneutralan perkhidmatan awam. Pengasingan kuasa antara pembuat undang-undang, pelaksana, penghakiman akan dikembalikan, khususnya perdana menteri tidak boleh kuasai pentadbir dan kehakiman.

6.    PPBM akan melakukan perubahan dalam cara perlantikan para pegawai tinggi kerajaan tertentu, seperti penubuhan jawatankuasa Parlimen untuk meneliti kelayakan dan pelucutan. Ia termasuk memastikan kelayakan mereka sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik. Jawatankuasa pemilih akan dianggotai wakil kerajaan dan parti lawan.

7.    Menjanjikan royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak, termasuk Terengganu yang bukan sahaja pada kadar 5 peratus tetapi lebih tinggi jumlahnya, hingga ke 10 peratus.
8.    Malah perkara paling penting iaitu janji untuk menentang penyelewengan, salah gguna kuasa, rasuah dan salah laku lain yang dilihat sebagai punca berlakunya kleptokrasi adalah teras kepada perjuangan PPBM.

Yang nyata, jika menguasai kerajaan, PPBM dan PH akan mendedahkan semua bentuk  penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan berbagai ‘dosa lain’ dan tindakan sewajarnya kan diambil untuk menegakkan keadilan kepada rakyat.

Apa yang disebutkan di atas adalah tambahan apa yang sudah disebut oleh PPBM dan PH sebelum ini termasuk menghapuskan dasar yang menyusahkan rakyat seperti cukai GST,

Penulis pernah menyatakan dengan jelas matlamat perjuangan PPBM sebelum ini, melalui sebuah rencana yang disiarkan melalui blog Rakyat Malaysia iaitu  PERJUANGAN PPBM MENYELURUH, BUKAN BERLANDASKAN ETNIK, KENEGERIAN...pada 2 Julai 2017 yang kemudian dipetik oleh Malaysiakini dengan tajuk ‘Najib bukan matlamat BERSATU’ pada tarikh yang sama.

Secara amnya, PPBM adalah sealiran dengan PH. Mereka memperjuangkan untuk memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah hingga ke akar umbi, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja skandal 1MDB, memulihkan FELDA, serta. menstabilkan harga petrol.

Dalam konteks ekonomi dan pendapatan rakyat, amat jelas PPBM akan tetap perjuangkan penghapusan GST  secara beransur-ansur dan diganti dengan cukai jualan mengikut selera rakyat dengan nilai mata wang dipertahan tanpa penjualan dolar Amerika dalam simpanan (rizab) negara.

Dalam konteks  pemulihan nilai mata wang Ringgit , PPBM akan menjamin supaya tidak menekan rakyat, terutama yang mempunyai anak belajar di luar negeri adalah antara yang sewajarnya diterima baik oleh rakyat.

Malah, tafsiran foreign direct investment (pelaburang langsung asing) akan dikembalikan kepada pelaburan dalam industri pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan dan eksport.

Hutang-hutang baru untuk projek yang membazir akan dikenal pasti dan akan dikaji semula dari segi kemampuan negara.

Pada peringkat antarabangsa, PPBM akan memberi kepada sebarang ketidak adilan yang dilakukan oleh mana-mana pihak di dunia. Sebarang rampasan wilayah oleh mana-mana pihak akan ditentang oleh Malaysia.

Secara menyeluruh PPBM memahami bahawa  rakyat berkehendak kepada kerajaan yang adil dan bersih. Malah sudah dijelaskan bahawa PPBM  bersependapat dengan kehendak kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan, malah PPBM turut menyokong himpunan BERSIH.

Memanglah untuk  mengalahkan BN bukanlah perkara yang mudah.

Di sebalik itu, jika PPBM dan PH tidak kuat, BN tidak akan menunjukan sikap kebimbangan melampau mereka.

BN amat bimbang dengan sokongan rakyat.dan mereka membuktikan  kegusaran dan kebimbangan dengan cara  terdesak menggunakan berbagai ugutan. Mereka menggunakan  isu perkaauman dan taktik kotor termasuk melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dianggapnya sebagai "amat berat sebelah".

Apa yang nyata, PAT sulung parti itu Sabtu lalu=  sejak penubuhan PPBM diluluskan pada September 2016 -  adalah penegasan semula dengan beberapa penambahbaikan yang semakin jelas kepada rakyat yang turut sedang bersiap sedia menukar kerajaan di Putrajaya,  melalui  pilihan raya umum ke-14 yang perlu dipanggil selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Dalam kedudukan PPBM yang solid (bersatupadu)  sedemikian – perjuangan oleh rakyat demi rakyat melalui parti yang disertai rakyat sehingga di peringkat akar umbi amat bersedia demi menempuhi cabaran dana pa jua halangan mendatang.

PAT PPBM itu isyarat penting kepada rakyat bahawa PPBM memerlukan sumbangan dan sokongan rakyat untuk sama-sama dengan PH memperjuangkan kepentingan rakyat.

Ia hanya boleh dilakukan melalui menumbangkan BN dan Najib. Kerana itu pada PAT itu, nama Najib, BN dan kleptokrasi diulang-ulang dan dijadikan sebagai antara sasaran penting untuk ditumbangkan..

PPBM tidak perlu diragui akan kemampuannya  menggalas tanggungjawab untuk  menjayakan aspirasi dan masa depan rakyat, khususnya orang Melayu-Islam kerana selain ia memang tiang seri kepada perjuangannya, PPBM turut  membuktikan kepada rakyat bahawa walau dalam kedudukan yang semuanya ;kurang dsn cuba disekat dalam berbagai helah, PPBM akan terus gah di arena politik Malaysia.

Jadikan perangsang daripada PAT akhir tahun 2017 untuk membulatkan tekad dan menjuruskan perjuangan untuk 2018 bertujuan membentuk sebuah kerajaan baru yang dinamik, adil dan makmur di Malaysia.

Sudah nyata, PAT sulung dihadiri oleh  941 perwakilan daripada 983 perwakilan yang layak menghadiri PAT itu, adalah landasan dan mercu tanda  menuju kemenangan bersama PH pada PRU14.

Jadikan iltizam menentang kleptokrasi sebagai azam tahun baru 2018 selainmemberikan sokongan , kepercayaan dan keyakinan  tidak berbelah bahagi  dan jayakan apa juga keputusan tertnggi parti kerana pada waktu ini,  kepaduan dan perjuangan bersama bagai ‘seberkas lidi’ lebih penting daripada segala-galanya.

Biarkan suara-suara sumbang terus berbunyi.

Mereka tidak akan diam  kerana mereka sebenarnya semakin  kecewa kerana gagal untuk untuk merosakkan parti daripada dalam dan yang di luar pula tersangat bimbang dengan sokongan rakyat kepada parti untuk rakyat.

Sudah nyata dan tersangat jelas, PPBM sudah  mampu berdiri tegak melalui  PAT baru-baru ini untuk berdepan apa sahaja cabaran termasuk melalui PRU14 tidak lama lagi.

Friday, November 24, 2017

UMNO vs PPBM - WAHAI NAJIB, BANDINGLAH ‘EPAL DENGAN EPAL’…


UMNO, khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak jangan buta sejarah apabila membandingkan UMNO dengan pembangkang yang menganggapnya berada dalam keadaan kucar-lanar atau berserabut.

Bagi Najib, UMNO kini semakin kukuh dan terus konsisten. Memang pun, parti dah berusia 70 tahun.

Bercakap pada satu majlis di Pekan kelmarin, Najib lupa bahawa pada awal penubuhannya, banyak rintangan di hadapi UMNO. Ini termasuk pemisahan antara sayap ulamanya yang membawa kepada pembentukan PAS.

Malah, Presiden UMNO (lama) yang ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946 Dato Onn Jaafar turut meletakkan jawatan dan menubuhkan parti baru, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Walaupun penubuhan UMNO mendapat sokongan istana namun itu tidak bermakna ia tidak menempuh gelora.

Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951 yang menolak usul beliau mengenai cadangan keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu".

Berikutan itu, Dato Onn kemudian menubuhkan IMP pada 26 Ogos, 1951

Selain itu, UMNO turut berdepan dengan krisis diakibatkan oleh  Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan yang dikatakan  diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini.
 
Bukan sedikit pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa akan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja loteri yang dianggap perjudian.

Akibatya wujud  penubuhan PAS selepas berlangsungnya Muktamar Ulama Ke-3 di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth.

Ada mengatakan PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada 23 Ogos 1951 dan ada yang lain mengatakan PAS ditubuhkan pada 24 November 1951. Akhirnya tarikh rasmi penubuhan PAS bersetuju pada 24 November 1951.

Krisis selepas itu adalah perkara biasa tetapi yang nyata, UMNO tidak pernah lepas daripada cabaran dan ujian getir.

Kerana itu apalah pelik sangat jika PPBM turut menghadapi krisis dan ancaman dalaman?

Membandingkan UMNO yang kini dianggap begitu stabil dengan PPBM adalah tidak  adil.

PPBM baharu setahun jagung!

Malah, penubuhan cawangan PPBM berasaskan Pusat Daerah Mengundi juga banyak yang masih belum selesai.

Kegagalan menyelesaikan isu berkaitan struktur organisasi akar umbi khususnya di peringkat cawangan menjadi antara punca PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) parti.
Perkara itu diakui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang mengesahkan kegagalan menyelesaikan isu berkenaan turut meletakkan PPBM dalam situasi keliru untuk menentukan siapa yang layak menghadiri AGM terbabit.
Kerana itu kepastian diperlukan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) apakah PPBM tidak perlu pemilihan peringkat cawangan? Jika ia tidak perlu PPBM boleh teruskan AGM di peringkat bahagian dengan perwakilan ahli jawatankuasa bahagian sahaja.
Najib juga dengan bangganya berkata semangat perjuangan parti itu berbeza dengan situasi pembangkang.

“Biar pembangkang kucar-lanar, kita tetap utuh dan sentiasa berbudi. Bukan sahaja suka bantu rakyat tetapi sentiasa di sisi rakyat sama ada ketika mereka senang atau susah.

Sebagai Perdana Menteri, Najib bertuah kerana dapat memberikan apa sahaja kepada pemimpin UMNO di semua peringkat.

Namun di pihak parti PPBM yang kekurangan segala-galanya perlu bergerak dengan banyak halangan, namun keupayaannya untuk berkembang dengan begitu cepat memuaskan hati semu pihak, khususnya Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau menepuk dada bangga kerana wujudnya kekuatan parti itu, Najib lupa kepada sumbangan mereka yang pernah ada dalam parti itu, di mana setengahnya kini dalam PPBM tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

Najib menerima UMNO dalam keadaan yang mantap dan stabil dan pastinya ini memberikan kelebihan kepadanya untuk turut memberi manfaat hingga dapat membantu mengukuhkan ekonomi negara.

Perbandingan tidak adil, tidak setaraf dan ‘permainan di padang yang berlainan’ antara sebuah parti yang sudah 70 tahun dengan parti setahun jagung adalah tindakan ‘masuk bakul angkat sendiri’.

Apa lagi, PPBM bukan sebuah partii yang mempunyai ramai pemimpin ternama seperti dalam Parti Semangat 46 yang ditubuhkan hasil perpecahan akibat pemilihan UMNO 1988.


Satu lagi, PPBM bukanlah parti yang diakibatkan keluarnya pemimpin UMNO secara enbloc seperti yang berlaku melalui penubuhan Semangat 46 atau Parti AMANAH daripada PAS
.
Dua pemimpin utama PPBM kini – Presiden dan Timbalannya - adalah mereka yang dipecat oleh kerajaan dan parti, namun pengikut PPBM tetap mendadak.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi 'tiang seri' kepada PPBM sebenarnya mengundurkan diripada UMNO lebih awal berbanding dua pemimpin UMNO yang dipect itu.

Najib jangan terlalu merasa terselamat dengan kedudukan UMNO hari ini. Hakikatnya wujud ‘bantahan secara senyap’ daripada rakyat dan mereka yang ada dalam UMNO sendiri.

Yang menunjuk-nunjuk memberi sokonan ialah mereka yang mendapat imbuhan secara langsung daripada Najib dalam apa juga bentuk, termasuk ‘dedak’.

Sudah pasti semakin ekat pilihan raaya ramai mahu menjadi juara pertahankan Najib.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang berada di peringkat cawangan UMNO? Apakah mereka selesa dengan kedudukan sekarang?

Jika selesa, kenapa ada cawangan yang tidak mampu mengadakan mesyuarat cawangan atau kalau ada laporan mesyuarat cawangan pun, apakah ia mesyuarat yang benar-benar sah?

Jika UMNO yang berusia 70 tahun tetap berdepan berbagai masalah, apakan pula bagi PPBM yang baru setahun ditubuhkan, semestinya tidak boleh terlepas daaripada berdepan dengan berbagai isu dalam konteks strukturnya.

Bandinglah epal dengan epal, bukan durian Musang King dengan ‘Timun Cina’ (tembikai) wahai Najib! 

Sunday, November 19, 2017

ISU ROS - PPBM MUNGKIN PIHAK YANG AKAN ‘GELAK TERAKHIR’


"Janganlah pemimpin BN/UMNO atau parti lain cepat ‘bertepuk tangan’ kerana mungkin jika ada penyelesaian baik dengan RoS, pihak yang akan ‘ketawa terakhir’ adalah PPBM."

Ramai gembira dan ‘tergelak besar’ apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dikhabarkan berhadapan kemungkinan pendaftarannya dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN)/UMNO melihat perkara ini akan banyak memberikan kelebihan kepada mereka.

Malah, pelbagai kemungkinan sudah diperkatakan oleh media rasmi, televisyen dan media sosial milik BN/UMNO mengenai perkara ini.

PAS tidak mengulas tetapi sebagai parti lawan mereka, pastinya jika sesuatu berlaku kepada PPBM, pastinya akan turut melegakan beban saingan ditanggung mereka.

Kenapa mereka gembira dan sesetengahnya berdoa sedemikian?

Malah,  ada pemimpin penting UMNO di sebuah negeri mengatakan ‘kedudukan parti itu (PPBM) yang  terus goyah selain bakal memberi kelebihan kepada UMNO’.

Bagi mereka,  jika PPBM dibatalkan, seolah-olah dengan sendirinya pemimpin PPBM tidak boleh bertanding pilihan raya. Satu beban berat BN/UMNO sudah dapat diatasi.

PPBM yang dlihat ancaman kepada UMNO melebihi PAS khususnya di negeri Johor, Kedah, Melaka, Perak, Terengganu dan Negeri Sembilan, akan ‘mempermudahkan kerja UMNO’ berdepan pesaing sengit mereka.

Bagi UMNO, walaupun PAS menyatakan akan bertanding banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ia bukan ancaman besar.

Apa lagi sebarang kemungkinan akan berlaku antara dua parti itu dan jika ‘taawun’ diisytiharkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan UMNO. Kerja UMNO lagi ringan.

PPBM kini berdepan dengan tindakan RoS kononnya gara-gara tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti iaitu tidak mengadakan mesyuarat tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai ARMADA dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.



Kelmarin, Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim memaklumkan ,pihaknya tidak mengiktiraf Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PPBM yang di hadiri  12 orang ahli majlis tertinggi pada 2 November tahun lalu.

Menurut Surayati, fasal 28, yang merujuk kepada pindaan perlembagaan pribumi, menyatakan bahawa sebarang pindaan kepada perlembagaan parti itu mesti disokong tidak kurang daripada 2/3 perwakilan yang hadir pada AGM atau EGM.

Sejak RoS memperkatakannya kepada umum, UMNO bagaikan mengambil kesempatan untuk memburuk-buruk dan mengecam PPBM seolah-olah parti yang mahu menggantikan UMNO itu tidak berusaha untuk mematuhi perkara-perkara yang ditetapkan oleh RoS.

JIka mahu diperkatakan apa yang melanda PPBM sekarang, sebuah parti pembangkang yang menjadi sekutu PPBM dalam Pakatan Harapan (PH) ketika ini, iaitu DAP, pernah berdepan dengan berbagai ancaman kemungkinan terbabal pendaftarannya.

Jika ramai masih ingat, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), DAP berdepan kemungkinan logo 'Roket' tidak boleh digunakan dalam pilihan raya selepas pendaftaran parti itu mungkin terbatal ekoran kemelut berhubung pemegang jawatan yang dibentuk semasa pemilihan parti pada 15 Disember 2012.

Akibat kes itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memaklumkan parti itu bercadang menggunakan logo PAS di Semenanjung dan simbol PKR di Sabah dan Sarawak, jika isu itu tidak diselesaikan sebelum pilihan raya tersebut.

Jadi bukan sesuatu yang pelik jika benar PPBM akan dibatalkan kerana calon-calon PPBM boleh bertanding atas tiket parti seperti PKR.


Menariknya, semalam Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan bahawa PH sudah bersedia dengan kemungkinan pendaftaran PPBM dibatalkan menjelang PRU14.

Malah bagi beliau, ini bukan perkara baharu bagi pembangkang kerana situasi sama pernah dilalui DAP menjelang PRU13 pada 2013.

Janji PH untuk bersama-sama PPBM untuk ‘bersama-sama dalam menanganinya’ walau dalam apa juga keadaan pastinya tidak akan ‘melepaskan BN/UMNO’ begitu sahaja.

Lebih melegakan PPBM ialah kata-kata Wan Azizah bahawa PH tidak akan mengarahkan PPBM supaya segera menyelesaikan konflik dalaman mereka, sebaliknya yakin dengan kepimpinan parti itu dalam membuat keputusan yang terbaik.

Lebih meyakinkan, PPBM bukan berpeluk tubuh sebaliknya akan mengemukakan laporan berkaitan penubuhan parti kepada Jabatan RoS bagi mendapatkan maklum balas lebih terperinci mengenai desakan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu.

Presidennya,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semalam, terdapat beberapa kekeliruan oleh pihaknya yang digesa untuk membentuk AGM kerana faktor tempoh masa kelulusan bahagian daripada ROS masih baru dan kurang dari setahun.

Usaha PPBM untuk meminta pandangan ROS dalam status mengelirukan, malah  hanya lapan bahagian terawal sahaja diluluskan ROS iaitu 24 Julai lalu. “Bagaimana ,ahu buat AGM?” tanya

Kerana itu pertemuan dengan RoS pada 30 November ini untuk membentangkan segala laporan sangat penting sebagai menandakan PPBM bersedia untuk patuh dengan sebarang keputusan ROS sekiranya pihak terbabit terus mendesak untuk PPBM mengadakan AGM dalam tempoh terdekat.

Selain itu PPBM akan turut meminta panduan daripada ROS dalam pembentukan AGM seandainya perkara itu terus ditekankan termasuk melaksanakan sebarang kehendak mereka.


Jadi, janganlah pemimpin BN/UMNO atau parti lain cepat ‘bertepuk tangan’ kerana mungkin dalam isu ini jika ada penyelesaian baik dengan RoS, pihak yang akan ‘ketawa terakhir’ adalah PPBM.


Malah, apabila selesai, mereka bukan sahaja tidak boleh ketawa lagi tetapi terpaksa mengunci mulut dan berdepan serangan politik lebih besar daripada PPBM.

Sunday, July 2, 2017

PERJUANGAN PPBM MENYELURUH, BUKAN BERLANDASKAN ETNIK, KENEGERIAN...

Jawapan kepada "Soalan Kepada BERSATU dari ahli DAP".


Sebagai ahli (walaupun bukan pemimpin penting) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) saya terpanggil untuk menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan pengarah pendidikan politik DAP Johor, Mahadzir Ibrahim seperti disiarkan oleh Malaysiakini semalam.

Selepas bertanyakan AMANAH melalui “Surat ahli DAP untuk AMANAH”  pada 28 Jun, Mahadzir nampaknya seperti dibekalkan peluru oleh DAP untuk menghala meriamnya kepada PPBM pula.

Tidak diketahui apakah pemimpin DAP ini diberikan lesen untuk menghala meriamnya kepada PPBM, namun diharapkan ia hanya persoalan peribadi.

Apapun, pertanyaan ini ada juga baiknya untuk semua ahli PPBM dan rakyat menilai semula hala tuju parti ini.

Walaupun baru menjadi ahli PPBM kira-kira empat bulan, persoalan yang saya rasakan paling menarik yang dibangkitkan oleh Mahdzir ialah “Apakah kita tidak ada ghairah untuk membina negara bangsa?”

Menurut beliau, AMANAH, PKR dan DAP masing-masing telah jelaskan pakejnya.

Selain mahu menjadikan UMNO/BN pembangkang, parti-parti ini sudah siap dengan agenda-agenda membangunkan kembali negara ini, baik dalam aspek keadilan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan malah kebudayaan.

Berdasarkan kenyataan ini, ia menggambarkan sebaliknya dalam konteks PPBM yang seolah-olah agenda utama PPBM hanya ‘untuk menjatuhkan Najib Razak’ sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN, Presiden UMNO dan yang lain dan lain, termasuk Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saya ingin mengajak pembaca, khususnya Mahdzir meneliti, mentelaah dan meyakini ucapan pelancaran PPBM oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PPBM pada  Sabtu, 14 Januari 2017 jam 8.30 malam di Stadium Malawati, Shah Alam.

Bagi saya harapan yang digarapkan oleh  Dr Mahathir dan sumbangan beliau kepada negara selama ini menjadi sebab besar saya menyertai PPBM dan meninggalkan UMNO - parti yang saya sertai sejak 1983 dengan menjadi ahli kali pertama di Cawangan Bukit Chawi, Seberang Perak - selain perkembangan mutakhir dalam negara.

Hakikatnya, inilah intipati perjuangan dan jika mahu dikatakan sebagai wadah dan visi perjuangan PPBM pun, ia memang memang tepat.

Jelas dan nyata,  PPBM ditubuh bertujuan mewakili orang Melayu dan Bumiputra lain dalam parti campuran pembangkang untuk pemulihan pemerintahan yang demokratik di negara ini bersama dengan kaum lain seperti yang diwasiatkan oleh pejuang kemerdekaan negara bertuah ini.

“PPBM adalah milik semua orang Melayu dan Pribumi Malaysia. Sebagai parti pribumi ia mendapat pengiktirafan dan sokongan semua kaum.

“Kami berikrar akan berpegang kuat kepada amanah untuk menyelamatkan negara ini, dan berpegang kepada perlembagaan negara untuk memelihara hak dan kedudukan orang Melayu dan pribumi lain tanpa merampas hak kaum-kaum lain,” kata Dr Mahathir.

Bukankah ini mesej perjuangan dan janji PPBM kepada rakyat negara ini?

Amat nyata sekali bahawa tiada ada satu usaha yang lebih mulia daripada usaha yang PPBM bersama rakan-rakan kita usahakan bagi mengamal ma’aruf dan membasmi kemungkaran Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO.

Malah dengan sokongan rakyat melalui parti campuran pembangkang PPBM berharap untuk kembalikan negara ini sebagai egara demokratik yang menghormati pemerintahan mengikut undang-undang.

Sudah pasti melalui cara ini bermakna rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa siapa sahaja termasuk pemimpin Kerajaan, jika terdapat salahlaku atau jenayah dilakukan mereka.

Dengan kata lain PPBM bersedia dan akan menyahut teriakan rakyat yang mahu supaya diselamatkan dari kleptokrasi pemerintah penyangak dan penyamun, yang bernama BN dengan Najib  sebagai penerajunya.


Soal menghapuskan imej negara kleptokrasi ini besar perjuangannya apa lagi jika diizinkan Allah swt, tidak aka nada pilih  kasih dalam menguatkuasa undang-undang negara.

Malah pendakwaraya tidak boleh letak tuduhan dan laporan oleh orang awam atau agensi Kerajaan dalam OSA (Akta Rahsia Rasmi), untuk melindungi jenayah sesiapa.

Tidakkah ciri-ciri ini menggambarkan kebebasan berpolitik dihormati oleh Kerajaan Parti Campuran Pembangkang.dan bukan seperti sekarang?

Banyak perkara berkait pembangunan, dasar kewangan, arah tuju pembangunan, dasar luar, pelaburan asing dan sebagainya ditegaskan oleh Dr Mahathir pada pelancaran parti.

Kata-kata bahawa: “Percayalah kerajaan yang akan mengganti BN pimpinan Najib mempunyai cukup kepakaran dalam bidang pentadbiran, politik, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan hidup masyarakat untuk melaksana program pemulihan negara dalam perkara-perkara yang tersenarai di atas. Kerajaan ini akan hormati sistem pentadbiran negara dengan memisahkan kuasa antara legislature (pembuat undang-undang dan dasar), eksekutif (pelaksana keputusan pembuat undang-undang dan dasar Kerajaan) dan kehakiman...“ begitu membawa keyakinan kepada saya sebagai pengundi dan rakyat yang dahagakan arah tuju negara yang lebih baik berbanding sekarang.

Dr Mahathir juga sudah mengatakan dengan jelas bahawa kemiskinan dalam negara akan dikurangkan melalui pengwujudan peluang kerja dan latihan kemahiran; melalui pemulihan nilai Ringgit dan pengurangan kos sara hidup.

Malah yang tegar kerana sebab-sebab tertentu akan dibantu dengan wang yang mencukupi bagi kehidupan yang dianggap selaras dengan sebuah negara yang prihatin.

“Sesungguhnya yang miskin dan daif akan diberi bantuan supaya mereka boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau tidak parti campuran pembangkang tidak akan diambilkira dalam bantuan yang akan diberi,” demikian tegas Dr Mahathir.

Perkara lain yang penting termasuk:

Ekonomi:

·     1. Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai Kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti.  Jika dipersetujui oleh rakyat BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan budget biasa. Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya.

·     2. GST akan dihapuskan secara beransur-ansur dan diganti dengan sales tax (cukai jualan) mengikut selera rakyat.dengan nilai matawang akan dipertahan tanpa penjualan Dolar Amerika dalam simpanan (reserve) negara.

          3. Kejatuhan nilai Ringgit akan dipulih melalui pentadbiran dan pengurusan                           kewangan negara secara bertanggungjawab (prudent) mengikut aturan peraturan.                 Segala perbelanjaan Kerajaan akan dirancang dengan teliti melalui budget yang sah             yang dikemuka kepada Parlimen.

·     4. Pemulihan nilai matawang supaya tidak menekan rakyat, terutama yang mempunyai anak belajar di luar negeri adalah antara yang sewajarnya diterima baik oleh rakyat.

·     5. Tafsiran Foreign Direct Investment (pelaburang asing secara langsung) akan dikembalikan kepada pelaburan dalam industri pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan dan eksport.

·     6. Pembelian tanah secara besar-besaran oleh orang asing dengan tujuan menempatkan orang mereka akan diteliti dari segi kesan terhadap masa depan politik negara

Dasar Luar:

·     1. Dasar bebas dari sebarang ikatan dengan blok-blok di dunia;

·     2. Tumpuan akan diberi kepada sebarang ketidak adilan yang dilakukan oleh mana-mana pihak di dunia. Sebarang rampasan wilayah oleh mana-mana pihak akan ditentang oleh Malaysia.

Pentadbiran:

·     1. Pihak Kerajaan (Perdana Menteri yang dipilih oleh legislature) tidak boleh menguasai eksekutif atau judiciary.

·      2. Perdana Menteri pula mesti mendapat persetujuan Kabinet sebelum mengemukakan dasar kepada Dewan Rakyat untuk mendapat persetujuan majoriti daripada ahli Dewan.

·     3. Jabatan Audit Negara akan dibebaskan daripada Perdana Menteri dan laporan disampaikan kepada Parlimen, Kerajaan dan orang ramai. Laporan audit tidak perlu dikemukakan kepada Peguam Negara. Laporan Audit tidak akan diletak dibawah OSA.
·      
4.  Akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat sokongan dalam pilihanraya.

·     5. Hutang-hutang baru untuk projek yang membazir akan dikenalpasti dan akan mengkaji semula dari segi kemampuan negara  berhutang.

PPBM tahu bahawa rakyat berkehendak kerajaan yang bersih. Malah sudah dijelaskan bahawa PPBM bersependapat dengan persepsi kebanyakan NGO dan rakyat dan ramai daripada kita telah pun menyertai tunjuk perasaan Bersih.

PPBM bersama dengan parti-parti pembangkang melalui  parti campuran akan berusaha mendirikan Kerajaan yang bersih, terutama dalam pengurusan pilihanraya di negara tercinta ini. Ini bermakna semua reformasi yang diperlukan akan dilakukan.

Paling penting juga semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Malaysia termasuk Artikel 153. Sudah tentu PPBM menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia dan akan mempertahankannya.

Bagi saya sebagai ahli PPBM, pernyataan oleh Dr Mahathir ini adalah dasar parti dan akan dipatuhi oleh kepimpinan parti berkenaan.

Dan jangan lupa, PPBM turut berjanji bahawa maruah negara akan dipulihkan disamping akan selidik habis-habisan akan wang 1MDB yang diselewengkan. PPBM  akan kejar semua wang 1MDB dan Kerajaan yang telah dilesapkan, yang memang diketahui  berada di tangan orang tertentu.

Tidak kiralah siapa akan mengetuai parti itu sama ada Presiden, Timbalannya dan seluruh ahli Majlis Perwakilan Tertinggi, Pengerusi Negara  dan semua ketua-ketua bahagian, ia adalah ‘blue print PPBM yang akan dilaksanakan sepenuhnya ‘sambil melangkah terus ke arah pilihan raya umum ke-14’.

Berikutan itu, janganlah menganggap PPBM hanya mahu menurunkan Najib semata-mata kerana agenda masa depan negara lebih penting daripada segala-galanya.

PPBM berjuang untuk rakyat dan kerana itu sokongan padu daripada rakyat sangat dialu-alukan.

Sebenarnya inilah antara faktor penarik kepada saya untuk menyertai PPBM selain faktor diri Tun Dr Mahathir itu sendiri.

Diharap pembaca dan Mahadzir jelas dengan perjuangan PPBM.

Saya amat yakin, akan ada penjelasan lebih baik daripada pemimpin PPBM  terhadap persoalan pengarah pendidikan politik DAP Johor selepas ini.

Yang penting, rakyat faham dan menyambut baik bahawa PPBM adalah parti yang ‘BERSATU, BERAMANAH, BERMARUAH’.


Insyallah...

Hambali Abdul Latiff
Cendering
Kuala Terengganu
1Julai 2017.