Showing posts with label Banjir. Show all posts
Showing posts with label Banjir. Show all posts

Thursday, December 5, 2013

SYED AZMAN…SUDAH-SUDAHLAH BERBOHONG, MEMFITNAH & MEMPERLEKEHKAN ORANG!

Banjir yang melanda bandar Chukai...

TIDAK BENAR sama sekali tuduhan Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bahawa pimpinan kerajaan negeri Terengganu  lebih mementingkan Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC sekarang, sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat.


Beliau merujuk kepada keadaan banjir yang semakin buruk melanda Terengganu, khususnya di daerah Kemaman.

Syed Azman
Sedangkan pasukan petugas sudah menjalankan kerja mereka sejak kelmarin (3 Disember) apabila sehingga jam 9 malam berkenaan, sebanyak lapan buah pusat pemindahan dibuka di daerah Kemaman bagi menempatkan 171 mangsa banjir di daerah itu. susulan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.

Beberapa kawasan terjejas teruk kelmarin termasuk Kampung Teluk Kalong yang menjadi kampung paling awal berpindah ke pusat pemindahan. Turut terjejas kawasan bandar Chukai dekat Kompeks Centre Point Kemaman yang turut digenangi air selain beberapa kawasan rendah lain di seluruh daerah ini juga ditenggelami air.

Selain itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu turut memaklumkan Bilik Gerakan Daerah Kemaman di Pejabat Daerah Kemaman telah dibuka jam 10.38 pagi Selasa.

Tahukah Syed Azman apa perasaan pekerja yang ditugaskan dan pekerja sukarela jika membaca atau diberitahu mengenai kenyataan beliau itu.

Syed Azman tidak perlu diberitahu mengenai keprihatinan pemimpin UMNO - sebilangan daripada mereka, khususya dari daerah Kemaman, tidak pun menghadiri perhimpunan tersebut.

Kenyaataan Syed Azman semalam bahawa PAS kesal dengan sikap Kerajaan Terengganu yang lambat bertindak dalam membantu mangsa-mangsa banjir, tidak tepat dan mempunyai niat tidak baik.


Kenyataan untuk tujuan politik dalam keadaan sebegini amat dikesalkan dan tidak pun membantu apa-apa kepada mangsa banjir berkenaan.

Syed Azman sengaja mengeruhkan keadaan!

Syed Azman sendiri mengakui banjir di Terengganu tahun ini agak luar biasa berbanding tahun sebelum ini, sehingga pada hari kedua sudah banyak kawasan dinaiki air.


Jadi, wajarkah kenyataan sedemikian dikeluarkan oleh seorang pemimpin ‘Parti Islam’ yang memperjuangkan keadilan bukan sahaja dari segi pembelaan tetapi juga sikap pemimpin terhadap pemimpin yang lain?

Menurut beliau, hujan lebat yang turun sejak semalam menyebabkan beberapa daerah di negeri Terengganu mengalami banjir dan antara daerah yang teruk dilanda banjir di Kemaman terutama di kawasan Air Putih.

"Sehingga tengah hari ini sudah banyak kawasan di Kemaman terutama di Air Putih dilanda banjir. Banyak penduduk yang terpaksa berpindah dan terperangkap. Tetapi kita amat kesal kerana sehingga sekarang masih tidak kelihatan bantuan-bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu," katanya ketika menghubungi Harakahdaily tengah hari semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankkuasa PAS Pusat berkata, sikap pihak Kerajaan Terengganu yang lambat bertindak memghadapi bencana banjir dan nasib mangsa-mangsa banjir itu amat dikesali dan ia tidak seharusnya berlaku.

"Sedangkan mangsa-mangsa banjir sekarang berada dalam keadaan yang cukup mencemaskan. Mereka amat memerlukan bantuan segera daripada pihak kerajaan negeri dalam pelbagai aspek," ujarnya.

Lambat bertindak? Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pulang ke Kemaman kelmarin selepas diberitahu banjir semakin buruk.

ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang sampai di KLIA malam semalam - pulang dari lawatan luar negara – bergegas pulang pagi ini ke Kemaman bagi tujuan mendekati rakyat yang dilanda musibah.

Barisan Ahli Majlis Tertinggi Umno mengangkat sumpah sebelum bermulanya Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi, malam Rabu. 
Menteri Besar itu semalam mempengerusikan Mesyuarat Exco dan PreCouncil Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sebuah hotel dan tidak pun menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Mesyuarat MT itu diadakan di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra, sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Ahmad Shabery juga tidak hadir mesyuarat tersebut.

Pagi ini Ahmad Said akan mengiringi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan melawat kawasan banjir di Kemaman.

Pada 22 Oktober lalu, Menteri Besar berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM) menyediakan 437 pusat pemindahan yang berupaya menampung seramai 63,172 mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Daripada keseluruhan jumlah itu, Kuala Terengganu (47), Kemaman (57), Dungun (52), Besut (141), Hulu Terengganu (81), Marang (24) dan Setiu menyediakan 35 pusat pemindahan.

Menteri Besar menyebut, JKM juga mengenalpasti 118 buah pengkalan hadapan di seluruh Terengganu bagi menempatkan bekalan di tempat strategik supaya kawasan kejadian bencana tidak terputus bekalan.

Ini berbeza berbanding persediaan tahun lepas iaitu hanya memiliki sebanyak 113 pangkalan hadapan serta 397 pusat pemindahan mangsa banjir yang hanya mampu memuatkan sehingga 53,702 orang.

“Inisiatif itu juga supaya bekalan apa dihantar dengan cepat kepada mangsa bencana yang memerlukan. Selain itu, kita juga sentiasa bersiap-sedia pada bila-bila masa bagi menghadapi musim banjir dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang berisko berlaku bencana itu di seluruh Terengganu,” katanya.

Ahmad Said menegaskan, semua pihak dan agensi yang terlibat dengan persiapan berdepan musim banjir sudah bersiap sedia sepenuhnya meliputi bekalan makanan, logistik, kenderaan serta kekuatan anggota serta petugas di barisan hadapan dan sokongan.

“Saya juga menggesa semua pihak dalam pengurussan bencana negeri Terengganu yang terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, pertubuhan sukarela , badan bukan kerajaan serta pemimpin dan komuniti setempat perlu memperkemaskan lagi jentera pengurusan bencana supaya lebih proaktif dan responsive pada setiap masa,”katanya.

Wan Hakim mengharungi air banjir....
Selain Ahmad Shabery dan Ahmad Said, ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar sentiasa berada di kawasannya dan tidak ke mana-mana membantu rakyat yang berdepan dengan ancaman banjir.

Sementara ADUN Kemasik, Ir. Rosli juga difahamkan pulang pagi ini untuk tujuan yang sama.

Jadi adilkah Syed Azman menuding jari kepada pemimpin UMNO sedangkan pada waktu sebegini, semua pihak sewajarnya berganding bahu.

Kenyataan Syed Azman yang menyatakan kesalnya dengan sikap pimpinan kerajaan negeri Terengganu yang lebih mementingkan Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung di PWTC sekarang, sehingga sanggup mengabaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat adalah fitnah semata-mata.

Malah kenyataannya yang berharap agar pihak kerajaan negeri segera datang ke kawasan yang terlibat bagi memberikan segala bantuan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir dan orang ramai dalam keadaan sedang sibuk dengan urusan Perhimpunan Agung Umno, sangat-sangat tidak bertanggungjawab.

Malah kata-katanya: …”janganlah pula sampai nyawa rakyat pun hendak dipertaruhkan," adalah sesuatu yang sangat jahat dan amat dikesalkan.

Untuk rekod, Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperuntukkan kira-kira RM630 ribu sebagai persediaan menghadapi ancaman banjir tahun ini.

Pengarah JKM, Encik Zuhami Omar berkata, peruntukan tersebut bertujuan untuk membeli barangan keperluan harian untuk diserahkan kepada mangsa-mangsa banjir. JKM menyediakan keperluan asas seperti beras, gula selain menyediakan selimut, tikar dan tuala untuk mangsa-mangsa banjir.

Barang-barang tersebut dihantar ke 110 pusat pangkalan hadapan di seluruh daerah di negeri Terengganu, terutamanya kawasan-kawasan yang biasa dilanda banjir.

Tahun ini 353 buah pusat pemindahan terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid dan surau yang dapat menampung hampir 49 ribu mangsa banjir disediakan di seluruh negeri ini.

Sementara Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melakukan persiapan rapi sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir.

Pengarah JKNT, Dr. Anwa Sulaiman berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan di setiap daerah bagi melancarkan kerja-kerja membantu mangsa banjir.

“Seramai 324 anggota jabatan telah bersedia laksanakan tugasan masing-masing jika banjir melanda negeri ini…Daripada jumlah tersebut, para petugas akan dibahagikan kepada 81 kumpulan iaitu 41 kumpulan pasukan perubatan dan 40 kumpulan pasukan kesihatan dan setiap pasukan akan diwakili oleh empat orang petugas,” ujarnya.

Pasukan perubatan akan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan dari sudut pemantauan kesihatan dan menangani kes-kes kecemasan dengan merujuk kepada hospital sekiranya perlu.

Manakala, pasukan kesihatan pula akan memberi perhatian terhadap persekitaran pusat pemindahan dengan memastikan segala bekalan air dan makanan sentiasa bersih dan terkawal agar tidak berlaku masalah kesihatan yang lain seperti keracunan makanan dan sebagainya.

Persediaan- persediaan ini tidak termasuk peruntukan bernilai hampir RM1 juta telah disalurkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bagi membantu persediaan menghadapi gelombang banjir di Terengganu.
Jumlah RM1 juta itu bagaimanapun tidak termasuk bekalan bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan memasak sepanjang bencana tersebut yang juga dijangka mencecah ratusan ribu ringgit.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mohd. Mahdi Musa berkata baru-baru ini, peruntukan itu meningkat berbanding hanya RM630,000 digunakan untuk tujuan sama tahun lepas.

Beliau berkata, pertambahan peruntukan itu disebabkan peningkatan dari segi populasi penduduk yang dijangka mencecah sehingga 10,000 orang serta bagi mengelakkan berlakunya keadaan luar jangka seperti kejadian banjir besar di Kemaman tahun lepas.

Merenung kembali kenyataan Dr Syed Azman, kadang-kadang terfikir...betul juga apa yang dikatakan oleh Ahmad Said - memang benar ADUN Batu Burok ini 'pembohong bersiri'!


Tuesday, December 25, 2012

APABILA BANJIR PUN MENJADI MODAL SOKONGAN & POLITIK PAS!

Lihat betul-betul gambar ini...keadaan kenderaan dan apa di dalamnya.

Tidak ada pun kata-kata Menteri Besar supaya bantu mangsa UMNO atau BN sahaja. Sebaliknya bantuan disalurkan sama rata – tidak kira penyokong PAS atau UMNO – seperti dilakukan untuk pembahagian bantuan sebelum ini sama ada melalui pelbagai dana, e-Book atau bantuan Hari Raya.

Daripada www.teganuku.blogspot.com
(Tajuk asal - Apabila Banjir Pun Menjadi Kepentingan Sokongan & Politik)

Seharusnya ketika bencana menimpa atau dugaan mendatang, lupakan politik buat seketika.

Namun mungkin kerana tidak mahu dilihat tidak melakukan kerja atau mempunyai niat untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PAS boleh melakukan perkara serupa, Unit Amal PAS membuat sesuatu yang sedikit janggal.

Mendakwa bahawa anggota Unit Amal Dewan Pemuda PAS Kuala Nerus antara yang terawal menghulurkan bantuan kecemasan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang melanda Kampung Pak Tuyu, Gong Badak, tidak lain dan tidak bukan bertujuan mendapatkan ‘kredit’.


Menurut laporan portal pembangkang, tinjauan Squad BO mendapati kelibat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Mohamad Ramli Nuh tidak kelihatan sehingga tengah malam itu.

Sejumlah 28 buah keluarga dari Taman Sri Tanjung dan Taman Darul Iman 6, Kampung Pak Tuyu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh dikatakan terlibat dengan banjir pada 23 Disember (kelmarin).

Mendaftar mangsa di pusat pemindahan.
Memetik mangsa banjir, Tuan Saidi Tuan Petera, 48, punca keadaan banjir semakin buruk akibat daripada kerajaan menaiktaraf jalan yang lebih tinggi dari asal. "Setiap tahun saya hadapi situasi banjir seperti ini sejak 25 tahun lalu menetap di sini. kali ini lebih teruk air naik paras pinggang dalam rumah. Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak berkuasa memperbesarkan sistem saliran air ke muara.

Kerajaan lagi yang kena! 

Bukan pemimpin PAS sahaja yang sedar masalah dan punca banjir ini, malah Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Permaisuri, Abdul Halim Jusoh turut merayu kerajaan supaya melaksanakan segera projek tebatan banjir yang membawa manfaat kepada lebih 30 buah kampung termasuk Hulu Seladang, Che Long, Guntung, Permaisuri, Nyatoh dan Kampung Buluh.

"Penduduk terbabit saban tahun terpaksa dipindahkan akibat banjir sejak lebih 20 tahun lalu dan ini menyukarkan penduduk," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir.

Kalau mahu dilihat ‘pemimpin PAS Terengganu” buat kerja, mana laporan lain?

Setakat jam 10.30  pagi ini ada dua berita sahaja dilaporkan mengenai banjir dan satu bantuan oleh PAS!

Pemeriksaan kesihatan turut diadakan pada penempatan mangsa.
Sedangkan ketika turun padang pelbagai agensi kerajaan, sama Kerajaan Negeri, Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pengangkutan Jalan atau sebagainya tidak pun meletakkan bendera UMNO atau Barisan Nasional pada kenderaan mereka. Malah, setiap penempatan mangsa, tiada pun bendera UMNO atau BN.

Sebaliknya PAS kecoh mengatakan mereka menyediakan pusat pemindahan banjir dengan meletakkan no telefon.

Contohnya dinyatakan Dewan Pemuda PAS Terengganu telah membuka bilik gerakan banjir bagi memantau dan memberikan khidmat ke seluruh neger Terengganu melalui Unit Amal. Bilik Gerakan banjir Pemuda boleh di hubungi pada nombor 0199229158 yang di uruska sendiri oleh Pengarah Unit Amal Negeri Ustaz Saiful Anbiya.

Sekadar bertanya khabar dan lihat...paling baik dapat dilakukan ialah kritik.
Seluruh Terengganu melalui satu nombor sahaja?

Perhatikan apa yang dilakukan kerajaan negeri: Bukan untuk memperlekeh. Sebaliknya kalau pemimpin PAS berganding bahu dengan kakitangan agesi kerajaan, ia akan lebih mempercepat dan memudahkan bantuan disalurkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta pemimpin UMNO pun melakukan kerja ‘turun padang’ tetapi tidak pula menyatakan tiada pun wakil rakyat PAS di tempat yang dimenangi parti itu untuk membantu mangsa banjir.

Malah Ahmad Said semalam mengingatkan mangsa banjir di negeri ini – tidak ada sebut UMNO atau PAS - agar mendaftar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memudahkan penyaluran bantuan susulan.

Katanya dari segi bantuan keperluan asas termasuk makanan tidak menjadi masalah kerana kerajaan Terengganu sudah bersedia sejak September lepas. Ketika melawat mangsa banjir semalam, beliau diiringi Pengarah JKM negeri Zuhaimi Omar.

Tidak ada pun kata-kata Menteri Besar supaya bantu mangsa UMNO atau BN sahaja. Sebaliknya bantuan disalurkan sama rata – tidak kira penyokong PAS atau UMNO – seperti dilakukan untuk pembahagian bantuan sebelum ini sama ada melalui dana, e-Book atau bantuan Hari Raya.

Janganlah kerana kepentingan politik yang sempit dan taksub, banjir pun mahu dipolitikkan.

Sebaik-baiknya kita bersatu hati membantu rakyat yang menderita dan ketika seperti ini kalau diandaikan pilihan raya diadakan, mereka pun tidak ada minat memangkah. Ini kerana dalam kepala mereka berserabut dengan masalah yang menimpa.

Jadi janganlah disukar dan dikusutkan lagi mereka dengan masalah dan bantu membantulah antara kita kerana BANJIR TIDAK MEMILIH SAMA ADA KITA PENYOKONG UMNO ATAS PAS.

INGATLAH kebanyakan yang jadi mangsa di negeri ini adalah Melayu dan Islam.

Friday, November 21, 2008

BANJIR – MI KUAH DAN SELIMUT

(Kenanganku)

Hujan Lebat yang dijangka melanda Pantai Timur hingga lusa, boleh menyebabkan kawasan rendah dan tebing sungai mungkin dinaiki air.

Membaca berita hujan sederhana dan kadangkala lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga petang Ahad boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai membuatkan saya mula terkenang kepada kisah-kisah silam mengenai banjir.

Antara 1972 - 1974, banjir membawa rezeki kepada saya apabila ketika itu sebagai stringer kepada Berita Harian dan Utusan Malaysia saya boleh membuat rezeki melalui berita dan rencana saya.

Biarpun dibayar dengan harga antara RM15 dan RM20 satu rencana ketika itu tetapi dengan kedudukan saya sebagai pelajar tingkatan lima dan enam, ia sudah cukup lumayan.

Dengan meminjam mesin taip abang saya, Hasbullah Latif dengan dengan galakan daripadanya, saya menghantar berita dan rencana.

Bolehlah saya belanja kawan-kawan makan ‘mi kuah’ (mi sup) di kedai Isa atau teh halia telur puyuh di kedai Salam Nor (Allahyarham) di Taman Serendah Sekebun Bunga (tapak Hotel Riverview di Kota Bharu ketika ini).

Sedikit sebanyak, rakan serumah saya ketika belajar di tingkatan enam di Maktab Adabi Kota Bharu ketika itu Sayuti Mokhtar (kini di RTM), Shamsuddin Abdullah (kini tinggal di Kampung Bakap, Jabi) dan seorang lagi saudara Umar (tidak dapat di kesan di mana beliau berada sekarang) dapat juga merasa rezeki yang begitu besar bagi saya ketika itu.

Selain itu antara ‘kawan minum’ saya yang rapat ketika di Kota Bharu ialah penyair Wadi Leta S.A., Allahyarham Abdul Aziz H.M (guru dan kawan ketika di Maktab Adabi Kota Bharu) serta penyanyi S.M. Buang (juga tidak diketahui di mana beliau kini).

Ketika itu kami antara kumpulan yang disebut sebagai ‘Perenang Malam’ kerana hanya keluar pada sebelah malam, termasuk musim banjir. Antara meraka yang sering menjadi teman perbualan ialah Talib Y.K. (Allahyarham) dan sesekali Norhisham Mustaffa (penyair dan penulis terkenal hingga kini).

Tetapi selepas itu saya tidak banyak merasai kesan banjir besar sejak berhijrah ke Pulau Pinang pada 1970an dan awal 1980an dan di Kuala Lumpur bermula 1983.

Ketika di Pulau Pinang selalunya musim banjir di Pantai Timur berlaku ketika saya sudah mula belajar pada semester kedua di Universiti Sains dan apabila menjadi tutor dan pensyarah, antara Oktober hingga Januari, saya jarang pulang ke Besut, Terengganu.

Bagaimanapun, tahun lepas saya turut menikmati suasana hujan lebat dan banjir yang tidaklah sebegitu besar apabila menyertai kumpulan yang menyampaikan bantuan kepada orang ramai.
Dan dengan kemungkinan datangnya banjir sekali lagi, biarpun mungkin tidak menjadi mangsa banjir, saya merasakan kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa hendaklah diberikan tumpuan yang sewajarnya.

Harapan ialah kita tidak mahu lagi mendengar suara-suara yang ‘marah’ dan ‘geram’ umpamanya terhadap Perdana Menteri dan Menteri yang berada di luar negara ketika banjir melanda penduduk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Saya cukup kagum dengan usaha-usaha yang dijalankan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Kerajaan Pas Negeri Kelantan yang bertungkus-lumus. Kebetulan pula ketika itu kedua-dua pihak sedang mencari sokongan bagi berdepan pilihan raya.

Maka ramailah turun padang untuk bertemu mangsa banjir (pengundi?). Kali ini jika berlaku banjir tidaklah diketahui apakah ‘rezeki masih murah’ atau sebaliknya. Saya berdoa usaha murni ini diteruskan oleh semua pihak kerana ia kerja kebajikan, kerja untuk rakyat.

Saya masih ingat pada 16 Disember 2007, Datuk Shaari Mat Husin ketika itu masih ADUN Gual Periok bersama 11 yang lain melalui detik cemas apabila bot yang membawa mereka hanyut dibawa arus selama hampir lima jam.

Kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika kumpulan itu dalam perjalanan pulang menyampaikan bantuan banjir di Kampung Rahmat dekat Rantau Panjang. Bot berkenaan mengalami kerosakan enjin menyebabkan mereka dihanyutkan arus sejauh lima kilometer. Bot berkenaan beberapa kali nyaris terbalik apabila merempuh pohon-pohon kayu yang dihanyutkan arus.

Sehari sebelum itu, Azizudin Hussein (ketika itu ADUN Mengkebang pula melalui detik cemas ketika mengagih-agihkan bantuan banjir. Bot yang dinaiki wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu terbalik apabila terlanggar kabel elektrik ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar bantuan makanan untuk mangsa banjir di tiga kampung, di kawasan Kuala Krai.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, itu Azizuddin dan pengendali bot berkenaan, Hashim Mohd Salleh, 55, tercampak sebaik bot itu melanggar kabel merintangi Sungai Nal dekat Kampung Tanjung Kala. Nasib menyebelahi mereka. Kedua-duanya Berjaya berpaut pada bot yang terbalik itu sebelum diselamatkan sebuah lagi bot yang mengekori mereka.

Semalam, semua anggota polis di Kelantan sudah diarahkan berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir.Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II, Amir Hamzah Ibrahim berkata, segala persediaan telah dibuat bagi menyalurkan perkhidmatan dan bantuan terutama di kawasan yang sering membabitkan banyak mangsa.

Jabatan Meteorologi semalam meramalkan hujan sederhana dan kadangkala lebat di Pantai Timur yang bermula semalam akan berlarutan sehingga petang esok dan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai.

Jabatan itu menaik taraf amaran hujan lebat daripada peringkat kuning kepada jingga bagi ketiga-tiga negeri itu.

Kawasan yang terlibat di Kelantan termasuk daerah Kota Baharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Kuala Krai.

Di Terengganu, kawasan terlibat termasuk daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang dan Hulu Terengganu dan di Pahang, ia meliputi daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Bera dan Temerloh.

Kerja-kerja menyelamat ini bukan mudah kerana saya sendiri pernah merasainya ketika ‘tersangkut’ (terkandas) ketika perjalanan pulang sewaktu hitch-hike antara Besut- Kuala Lumpur – Kangar pada cuti penggal kedua 1973, di Temerloh.

Akibat banjir besar pada tahun itu, saya terpaksa menumpang di pusat penempatan banjir di salah sebuah kilang papan dekat Temerloh dan bekerja dengan agensi penyelamat antarabangsa.
Kebetulan ketika itu saya terpaksa menunggu rakan hitch-hike, Wan Hussein Wan Hassan (kini pegawai tinggi di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) yang tiba-tiba jatuh demam. Beliau terpaksa di hantar ke Hospital Mentakab untuk hampir dua minggu.

Kebetulan boleh cakap ‘orang putih’ saya diajak untuk mengedarkan selimut banjir dengan menaiki kenderaan ‘amphibia’ ke beberapa pusat penempatan. Bagus juga pengalaman ini kerana inilah kali pertama saya berinteraksi secara dekat dengan ‘Mat-Mat Saleh’ yang slang mereka kadangkala membuatkan saya jadi bingung! Maklumlah yang datang dari Australia dan Britain.

Di akhir perkhidmatan’ saya, dihadiahkan sehelai selimut dan ia menjadi kegemaran emak saya. Selimut ini digunakan emak saya sehinggalah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1978.